Terus berlari atau mahu berganti-ganti?
>> Monday, April 27, 2009
Mata ini makin mengantuk menahan diri untuk terus membaca buku. Mujur Bema menghulurkan sachet Tora Bika-kali pertama saya minum kopi jenama ini. Setelah dibancuh dengan 2 sudu gula dan air yang suam-suam panas, ianya terasa enak dinikmati di waktu jam sudah menghampiri waktu pagi.
"Mata saya sudah tidak mengantuk lagi!"
Niat saya tidak mahu menulis sepanjang peperiksaan, tetapi masa itu relatif. Musim peperiksaan bukan bermakna saya perlu menelaah setiap masa. Saya perlu ada masa gurau senda, main bola, datang halaqah, baca blog dan tentu juga menulis. Kerana menulis itu bisa meleraikan kekusutan di minda.
Dari pemerhatian itu timbulnya kesedaran
Ketika ini saya sedang membuat latihan soalan-soalan semester lepas. Saya agak canggung melihat soalan-soalan mukadimah yang berkisarkan definisi subjek. Contohnya, subjek Power Electronic yang saya akan hadapi pada hari Rabu ini, insyaAllah;
1. Explain how power electronic can help reduce the world-wide environmental (polution) problem?
2. What are the two main functions of power electronic swithces drives? Explain the operation of simple MOSFET driver.
Ini antara soalan yang di luar dugaan saya. Lazimnya subjek kira-kira seperti ini jarang mengeluarkan soalan berbentuk KBKK dan fakta. Oleh kerana saya agak culas untuk membaca pangkal penerangan setiap bab, saya jadi ralat untuk menjawabnya. Sebenarnya, saya lebih gemar untuk menghuraikan persamaan litar dan menerbitkan formula. Tetapi ini adalah cara yang salah saya menghadam pelajaran. Penulis buku teks tidak sengaja menulis fakta dan definisi untuk hiasan sahaja. Isi itu ditulis untuk dibaca.
Nasihat orang yang lebih tua
Saya teringat kata-kata seorang pensyarah di dalam kuliah beberapa tahun lepas. Saya perkenalkan nama panggilannya, Encik Nik.
"Kamu semua kenalah juga membaca fakta-fakta di dalam buku ini (beliau memaksudkan buku MicroElectronic). Jangan asyik nak harap soalan kira-kira sahaja. Kamu semua bukan nak jadi Mathematician. Tetapi nak jadi Engineer." Encik Nik memberi nasihat ringkas.
Suasana kelas diam, masing-masing mendengar dengan tekun.
"Nanti kalau suatu hari ada orang yang mencipta calculator untuk menyelesaikan semua masalah matematika, susahlah kamu. Tiada kerjalah jadinya." Encik Nik menyambung. Ada pelat-pelat Kelantan sedikit di hujung intonasinya.
Ya, benarlah kata-kata Encik Nik. Satu semester mahu menghabiskan buku teks yang rata-ratanya setebal 2 cm setengah. Memang 'kebas mata' nak menghadamnya. Jika hendak mengikut saranan Encik Nik, dia akan menyuruh membaca buku teks bermula dari Dedication, Acknowledgement, Preface, Contents sehinggalah yang terakhir sekali Index.
"Kesemuanya ini sengaja diletakkan untuk dibaca. Kamu ingat penulisnya saja-saja je nak letak semua ini?" sindir Encik Nik di lain sesi pula.
Beginilah lazimnya manusia itu dinilai secara fizikalnya.
Seperti mana halnya tabiat diri yang suka main keep in view/skip/lompat-lompat di dalam menelaah, begitu juga halnya mungkin dalam usaha untuk mengenali manusia. Yang suka diambil, yang tidak suka ditinggalkan.
Ada orang yang suka berkawan disebabkan berkepentingan sahaja. Berkawan disebabkan popular, anak orang kaya, pandai, hensem, ada kereta dan sebagainya. Berkawan dengan minah ini disebabkan dia rajin belanja makan, cantik di pandang mata, ramah bercerita, popular dan lain-lain juga.
Sudah mahsyur kisah Abdullah Ibnu Maktum yang buta sebagai pengajaran. Rasulullah SAW ditegur Allah kerana membiarkan sahabat yang mulia ini demi melayan pembesar Quraisy. Semenjak itu Rasulullah amat mengambil berat kepada sesiapa yang mendatanginya. Hebatnya peribadi mulia Baginda.
Bagaimana pula dengan diriku? Cubalah hitungkan rakan-rakan dan kenalanmu.
-Berapa ramai di antara mereka yang ada berkepentingan untuk diri dan berapa ramai lagi tidak?
-Berapa ramai yang berwang di antaranya dan berapa ramai yang tidak?
-Berapa ramai yang bergelar pelajar dan berapa ramai yang kerja kampung sahaja?
-Seimbangkah di antara yang mendapat nikmat dan juga yang mendapat berkat ini?
-Orang kaya itu bermanfaat di mata, orang miskin itu bermanfaat sebagai catatan pahala. -Anak sendiri itu banyak manfaatnya di hari tua, anak yatim itu bermanfaat untuk menjamin syurga.
"Aku dan orang-orang yang memelihara anak-anak yatim seperti dua jari ini di dalam syurga" (Rasulullah SAW menunjukkan antara jari telunjuk dan jari tengah)-Hadis Riwayat Abdullah bin Al-Mubarak daripada Abu Hurairah, Tafsir Al-Munir.
Allah Taala menjadikan semua ini untuk dimbil iktibar oleh manusia. Jangan hanya duduk di dalam kepompong diri sahaja. Keluar dan hadapi realiti masyarakat. Ingatkah kita pada analogi orang di atas kapal dan orang di bawah kapal? Disebabkan tidak mahu menyusahkan orang di atas untuk menghulurkan air, maka mereka pun menebuk dinding di bawah kapal.
Jangan biarkan diri tenggelam kerana keegoan dan orang lain tenggelam kerana kejahilan. Berilah peringatan peringatan itu ada manfaatnya sesama insan.
MS Rizal,
Kuala Lumpur,
27 April 2009/ 2 Jamadilawal
2.55 pagi
http://msrizal.blogspot.com/ Continue Reading...