Pembukaan al Quds~Di tangan umat yang zuhud

>> Thursday, August 2, 2007


Kota Iliia' merupakan pintu utama untuk memasuki al Quds. Oleh itu, pihak Rom telah memperhebatkan lagi sistem pertahanan kota itu dengan menggunakan pelbagai kecanggihan teknologi masa itu untuk menghalang kota tersebut daripada ditembusi pihak lawan.



Amru bin al As r.a bersama pasukannya telah mengepung kota Ilia'. Pasukannya menghadapi kesukaran untuk menawan kota ini kerana sistem pertahanan kota ini begitu sukar ditembusi. Pada hari kesebelas selepas pengepungan dilakukan, pasukan tentera Muslimin yang diketuai oleh Abu Ubaidah al Jarrah bersama pasukan Khalid al Walid, Syarahbil, Yazid tiba di Ilia'.



Kedatangan mereka disambut dengan laungan takbir dengan suara yang bengit dan lantang. Pihak Rom yang belum pernah mendengar laungan takbir sekuat itu bertambah gementar dan gerun kepada tentera Muslimin.

Dan mereka yakin yang datang itu adalah Amirul Mukminin Saidina Umar r.a yang akan membuka al Quds sebagaimana yang diberitahu oleh paderi mereka. Kehairanan orang Rom terjawab apabila paderi itu menjawab mengikut ilmunya bahawa dunia akan dibuka di antaranya Palestin oleh seorang lelaki yang berbadan tinggi, berkulit hitam manis dan bermata hitam yang amat hitam dan mata putih yang amat putih. Sekiranya dia datang, tiada cara untuk berlawan melainkan berserah diri. Sifat yang disebutkan tersebut, adalah sifat-sifat Saidina Umar r.a.


Lalu si paderi tampil menemui tentera Muslimin untuk memperkenalkan dirinya dan untuk berkenalan dengan ketua Muslimin masa itu. Apabila mengetahui ketua tentera Muslimin ketika itu bukannya Saidina Umar r.a, si paderi terus mengarahkan supaya tenteranya meneruskan serangan ke atas tentera Muslimin. Cuaca yang sejuk ditambah pula dengan salji dan hujan yang turun tidak mematahkan semangat kaum Muslimin untuk mengepung kota tersebut sehingga genap empat puluh hari.



Tentera Muslimin telah memutuskan sumber-sumber bekalan Rom hingga menyempitkan keadaan mereka. Selepas menghadapi tekanan yang amat hebat, si paderi meminta tentera Muslimin menyifatkan ketua Muslimin yang berada di Madinah. Apabila diberitahu oleh utusannya tentang sifat Saidina Umar r.a yang sama dengan apa yang disebutkan dalam kitab suci mereka, si paderi meminta agar genjatan senjata bersama Ketua Tentera Islam. Maka Abu Ubaidah al Jarrah datang. Si paderi lalu bertanya "mengapakah kamu mahu membuka negeri yang suci ini? Sesungguhnya orang yang berkehendakkannya akan dimurkai Allah Taala dan dibinasakan oleh-Nya", Abu Ubaidah al Jarrah lalu menjawab, "Sesungguhnya ia adalah negeri yang mulia, di situlah Nabi kami dimi'rajkan ke langit dan ianya amat dekat. Ia adalah lombong para anbiya"



"Dan di situlah kubur-kubur mereka. Kami lebih berhak daripada kamu untuk memilikinya dan kami akan sentiasa berjuang untuk memilikinya, sehinggalah Allah Taala memilikkannya kepada kami sebagaimana kami memiliki tempat yang lain". Si paderi berkata lagi "Maka apakah yang kamu mahu dari kami?" Kata Abu Ubaidah al Jarrah, "Sama ada Islam, atau jizyah atau perdamaian". Si paderi memilih untuk berdamai dan mensyaratkan supaya kota al Quds tidak dimasuki oleh sesiapa pun sebelum Saidina Umar r.a.



Apabila membaca surat yang diutuskan oleh Abu Ubaidah al Jarrrah. Saidina Umar r.a pun dengan pakaian yang compang-camping bersama seorang budak menuju al Quds dengan menaiki unta secara bergilir-gilir. Tatkala sampai di al Quds, masa itu giliran si budak menaiki unta dan Saidina Umar r.a berjalan kaki, si budak mengesyorkan supaya Saidina Umar r.a menunggang unta namun dia menolak. Mereka berdua memasuki al Quds dalam keadaan tersebut. Apabila kaum muslimin melihat kedatangan Amirul Mukminin, mereka pun bertakbir dan bertahlil. Orang-orang Nasrani begitu taajub dengan situasi ini dan mereka berfikir adakah betul orang yang dilihat iitu adalah Amirul Mukminin. Apabila Saidina Umar r.a sampai di kawasan yang becak, si budak sekali lagi menawarkan kepada Khalifah supaya menaiki Unta, tapi Saidina Umar r.a sekali lagi menolak, maka Khalifah terus memecat kedua seliparnya mengharungi becak sehingga basahlah bajunya. Orang ramai sekali lagi taajub dengan situasi ini.



Apaila si paderi melihat situasi ini, dia merasa gerun dan gementar lalu berkata kepada kaumnya: "Sesesorang pun tidak mampu untuk berdepan degan mereka, oleh itu menyerahlah kamu nescaya kamu selamat".



Kemudian selepas itu, perjanjian Umariah yang terkenal dimeterai dan Khalifah menjamin keamanan untuk kaum Nasrani dan tempat ibadah serta tempat suci mereka. Dengan pembukaan al Quds, boleh dikatakan bahawa operasi untuk membuka Syam telah sempurna dan cahaya Islam telah menyinari keseluruhan bumi Syam.



Sesungguhnya bumi Syam akan tetap menjadi benteng pertahanan umat Islam sehingga ke akhir zaman. Semoga kita semua digolongkan untuk bersama-sama tentera Muslimin yang akan membebaskan al Aqsa daripada tangan-tangan Yahudi laknatullah a'laihim.

0 comments:

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP