Dalam hati mereka ada penyakit

>> Tuesday, June 21, 2011

Jam 3 petang, sangat asyik jika duduk di bawah teduh. Bahang panas terik mentari seakan berpadu dengan hembusan angin. Mewujudkan rasa nyaman yang jauh lebih nyaman daripada berada di dalam bilik berhawa dingin. Badan ini terasa segar apabila bersinergi dengan alam.

"Kiri..kanan...kiri..."

Eh, bunyi orang berkawat. Tak mengapa biarkan, saya kini sedang berada di pusat latihan. Suasana itu tidak menganggu saya yang sedang asyik membaca buku falsafah 'Hermeneutik Reaksi Reformasi Kaum Muda'. Buku berat sebegini memerlukan suasana yang benar-benar harmoni untuk menghabiskannya.

"Rajin baca buku..." tegur seorang pegawai berpangkat Mejar (Ustaz) saat berpapasan dengan saya.

"Di sini lebih segar ustaz, baca di bilik nanti senang sungguh tertidur." saya berseloroh sedikit.

Ah, tenangnya suasana sebegini. Amat jarang saya merasainya.

Ini gambar saya dan pegawai-pegawai lain, di Masjid Terapung Melaka.


Petang sebegini pun ada cerita?


Ya, kadang-kadang petang sebegini (hari Sabtu) dilunaskan di program Keindahan Bersamamu sekolah-sekolah sekitar negeri Perak. Apa yang menariknya sesi petang adalah sesi khusus untuk 'attack' rasa bersalah diri sendiri terhadap kawan dan sahabat handai mereka.

"Kenapa kamu gelak-gelak? Kami (Fasiliatator) tak minta pun kamu nangis, cuma jangan kacau kawan kamu tengah nak muhasabah dirinya. Kawan apa kita ini kalau asyik kacau kawan-kawan kita?"

Ayat-ayat begini selalu digunakan untuk 'attack' remaja-remaja yang kononnya tak ada 'taman' dalam hati mereka. Maaflah, kadang-kadang pengalaman mengajar abang untuk guna psikologi skill pada kamu semua.

Maudu' cerita adalah adik-adik remaja perempuan ini. Habis slot mesti ada yang lari-lari pada kawan-kawan dia dan minta maaf sungguh-sungguh. Beza dengan kaum lelaki, pasti pembaca semua tahu kenapa?

"Nur (bukan nama sebenar), aku nak minta maaf sebab dah lama tak tegur dan cakap dengan kau..."

Kadang-kadang dialog begini ditemui hampir setiap kali penggulungan slot. Saya rasa untuk pihak lelaki pun ada, tetapi mungkin kesnya agak terpencil.


Kenapa kamu dah lama tidak bertegur ya, adik?


Merajuk!

Itu sahaja alasan yang saya dapat rangkumkan. Merajuk pada orang yang salah pada orang yang tidak pandai untuk pujuk. Akhirnya, dua-dua dah tak nak bertegur sapa. Alahai ruginya perangai keanak-anakan sebegini. Sebenarnya perangai ini pun tidak layak digelar keanak-anakan. Kerana kanak-kanak belajar daripada ibu bapanya. Kalau ibunya kerap merajuk sebab perkara remeh temeh, kemana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi...

Maaflah, naluri wanita yang merajuk itu sebenarnya normal. Rajuk itu yang menghangatkan lagi kasih sayang suami isteri. Rajuk wanita selalunya minta lelaki untuk dipujuk. Tetapi rajuk suami biarkan, tiada maknanya untuk dipujuk.

Namun sikap merajuk yang menjadi-jadi sudah tentu tidak membawa kebaikan. Ini sudah dikira sebagai penyakit hati. Saudara saudariku, jangan biarkan hati kamu berpenyakit. Kelak dirisaukan Allah SWT menambahkan lagi penyakit hati tersebut.

Kredit untuk halaqah.net . Digariskan beberapa sifat ego yang boleh mengundang perasaan merajuk yang mesti dijauhi oleh setiap Muslim;

1. Bila jawapan yang diberi betul, dia akan rasa terhibur, senang hati dan bangga

2. Jika tidak dilantik memegang sesuatu jawatan, dia akan rasa kecewa dan tidak tenang

3. Jika dia seorang ketua, dia selalu bersikap kasar ketika memberi arahan kepada orang lain

4. Jika dia orang bawahan, dia susah untuk taat kepada ketuanya dan bersikap degil

5. Mudah marah bila dinasihati

6. Emosional dan mudah tersinggung

7. Memilih kawan yang setaraf dengannya

8. Menonjolkan diri secara berlebihan

9. Memperlekehkan orang lain

10. Suka menyampuk perbualan orang lain

11. Berburuk sangka terhadap orang lain

12. Suka meninggikan suara ketika bercakap


Mudah sahaja untuk merajuk. Apabila 12 garisan di atas ini tidak mampu dibendung dan akhirnya protes berlaku. Lalu merajuk adalah jalan terbaik sangka mereka. Dengan rajuk kemahuan dituruti. Aduhai sikap ini mendatangkan kerugian kerana melambangkan keegoaan yang amat sangat. Sedarlah kemahuan yang patut dituruti adalah di syurga sahaja. Di dunia ini, jika kamu mahu mempelam Allah Taala beri kamu galah. Jika mahu sesuatu itu, lakukan secara baik dan buatlah secara baik. Ianya lebih menjernihkan keadaan dan membuatkan ramai orang suka berkawan.


Merajuk itu bukan sifat Daei

Sikap suka merajuk itu sebenarnya bukanlah sesuatu yang baik. Merajuk itu melambangkan keegoan, hati yang berpenyakit dan cepat sangat untuk terasa hati. Walhal sikap cepat terasa hati, makan hati, ambil hati dan sebagainya bukanlah sifat yang diwarisi daripada Daei agung Nabi Muhammad SAW. Apa terjadi jika para Daei punya sikap buruk sebegini, satu apa pun tak jadi!

Ibrah besar yang terdapat pada kisah Nabi Yunus bin Matta as. Ketika mana baginda meninggalkan kaum Ninawa. Baginda as pergi dalam keadaan marah apabila dakwah baginda disambut dengan ejekan dan penolakan. Lalu baginda meninggalkan mereka seraya berdoa kepada Allah SWT supaya kaum ini ditimpakan bala'. Namun rahmat Allah melebihi segalanya pemergian Nabi Yunus as itu tidak direstui oleh Allah SWT. Kaum Ninawa akhirnya beriman dan Nabi Yunus as sendiri diberikan pengajaran oleh Allah SWT dengan dikurung di dalam perut Ikan Nun.

Di sinilah Nabi Yunus as berdoa dengan khusyuk dan menghinakan diri;


“Tidak ada Tuhan melainkan Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang dzalim.” (Al-Anbiya: 87)


Maha Suci Allah yang telah mengurniakan sebaik-baik akhlak kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Kesemua ibrah Nabi-nabi terdahulu telah dihadam dengan baik oleh Baginda SAW. Renunglah pada doa Rasulullah SAW saat hatinya cukup berkecamuk dengan perlakuan penduduk Thoif ke atas dirinya. Ditambah dengan tahun kesedihan kehilangan isteri dan bapa saudara baginda yang tercinta. Saat kemuncak tekanan dan beban dakwah yang amat kuat di mana orang Islam di Makkah disiksa dan tiada nampak orang yang mahu menerima dakwah baginda.

Adakah pada waktu itu Rasulullah SAW tidak punya perasaan? Tidak, namun semua perasaan itu diadukan, dipulang, diserah kembali pada Allah Taala.

Syahdunya dan hibanya kita membaca doa dan aduan Nabi SAW ini:

"Ya Allah, kepadaMu juga aku mengadukan kelemahan kekuatanku, kurangnya helahku dan hinanya aku di hadapan manusia. Wahai Yang Paling Pengasih, Engkau adalah Tuhan kepada orang-orang yang kena tindas dan Engakulah Tuhanku, kepada siapa hendak Kau serahkan diriku? Kepada orang jauh yang bermasam muka kepadaku, ataukah musuh yang akan menguasai urusanku? Aku tidak peduli asalkan Engkau tidak murka kepadaku, sebab sungguh teramat luas afiat yang Engkau limpahkan kepadaku. Aku berlindung dengan cahaya wajahMu yang menyinari segala kegelapan dan yang kerananya urusan dunia dan akhirat menjadi baik, agar Engkau tidak menurunkan kemarahanMu kepadaku atau murka kepadaku. Engkaulah yang berhak menegurku hingga Engkau redha. Tidak ada daya dan kekuatan selain denganMu.”


Daei bukan tidak punya perasaan kecil hati dan ambil hati. Tetapi sifat itu perlu dikikis segera dengan mengadu kepada Allah Taala, kerana sikap begini bukanlah sikap yang diwarisi daripada daei agung Nabi Muhammad SAW.

Muhasabah diri itu penting
"Dah azan Asar ke?" seorang pegawai lain yang melintasi saya bertanya.

"Oh, belum lagi." jawab saya.

Jam sudah menunjukkan waktu Asar hampir menjelang, saya bingkas bangun untuk bersiap-siap. Melihat waktu yang cukup pantas pergi. Sememangnya terasa rugi untuk mensia-siakan ianya berlalu pergi.

Celakalah pada diri yang berbuat maksiat tidak tahu dosa itu mendatangkan murka besar Allah Azzawajjalla. Moga kita diberi kekuatan untuk menginsafi diri sekaligus berupaya untuk menginsafkan orang lain.

Tamam!


-----------------------------------------------------------------------------------
Penulisan ini adalah hak cipta msrizal.blogspot.com. Sebarang penyiaran semula hendaklah menyertakan sekali alamat blog ini. Terima kasih kerana sudi membaca.

MS Rizal,
71000 Port Dickson,
2011/1432H
http://msrizal.blogspot.com/

0 comments:

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP