Fitrah yang menjadi fitnah
>> Friday, June 17, 2011
Ubaidillah, pemuda berasal dari Jakarta Indonesia. Sudah berkahwin dan sekarang bekerja di Kementerian Pertahanan Indonesia. Saya senang dengan perwatakannya, dan sering melihat dia di Musolla. Dia adalah salah seorang peserta kursus dari luar negara untuk Kursus Bahasa Arab Komunikasi selama 2 minggu ini di Institut Latihan Islam Malaysia ATM (ILMI) Port Dickson.
"Saya kagum dengan Sukaerno," bual pagi itu saya bersama Ubai, panggilan senang saya dengannya.
"Ya, kalau Sukaerno itu pidatonya bagus. Tetapi sayang, kerana perempuan dia jatuh!" Ubai bercerita sambil menggeleng kepala kesal.
"Oh!" saya mampu berkata begitu tanda kaget.
Kagum saya cuma pada pidatonya. Tetapi pada pemikiran dan falsafah sosialis komunisme yang dia pegang bukan sesuatu yang saya kagumi. Sukaerno seorang pengagum kecantikan wanita. Hidupnya tidak lari daripada cerita-cerita dan skandal bersama wanita.
'Kita punya tanah yang subur, sehingga dicacakkan tongkat sekalipun ianya bisa mengeluarkan daun dan juga buah!'
Lihatlah cara dia berpidato, bukankah boleh membuatkan rakyatnya tersihir?
Penghias dunia
Diari cerita Sukaerno dilipat bersama-sama diari ramai pemimpin dunia yang jatuh dan tersungkur kerana watak wanita. Negatifkah watak wanita? Tidak, wanita itu adalah perhiasan dunia yang benar-benar menjadi perhiasan dan penyejuk mata andai diluruskan dengan baik dan sesuai dengan fitrah yang dijadikan Allah SWT.
Namun wanita yang dimanipulasikan sehingga mencapai tahap agen perosak masyarakat dan umpanan syaitan benar-benar menggusarkan lelaki-lelaki yang beriman.
"Boleh terangkat kopiah Pak Haji!" jenaka ini biasa saya dengar di warung-warung kopi.
Al-Quran meletakkan cinta manusia kepada wanita ini dalam kedudukan yang pertama,
Surah Al-Imran ayat 14:
Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga).
Lihatlah Allah Taala menggariskan wanita itu dicintai manusia kemudian barulah anak-anaknya, hartanya dan kekuasaannya. Ibrah besar di sini boleh diletakkan bahawia kecintaan ini boleh membantu seseorang untuk masuk ke dalam syurga Allah. Namun boleh juga menyeret seseorang ke dalam jurang neraka andai tidak mampu mengawalnya dengan baik.
Disebabkan kecintaan yang mendalam seseorang pada wanita ianya juga boleh menjadi fitnah besar kepada manusia. Nabi SAW bersabda di dalam satu hadis yang dipetik daripada kitab Riyadhus Salihin bermaksud lebih kurang begini;
Dari Abu Said al-Khudri r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya:
"Sesungguhnya dunia ini manis dan menghijau (lazat dan selesa) dan sesungguhnya Allah itu menjadikan kamu semua sebagai pengganti di bumi itu, maka itu Dia akan melihat apa-apa yang kamu lakukan. Oleh kerana itu, maka takutilah harta dunia dan takutilah pula tipu daya kaum wanita. Sebab sesungguhnya fitnah pertama yang melanda kaum Bani Israel adalah dalam persoalan kaum wanita." (Riwayat Muslim)
Fitnah kaum wanita itu tertimpa kepada sesiapa jua mungkin
Fitnah kaum wanita itu terkena kepada Habil dan Qabil. Kerana merebutkan wanita, iblis membisikkan kebencian yang kuat dalam diri Qabil kepada Habil. Lalu terjadilah apa yang telah pun terjadi. Penumpahan darah yang pertama di muka bumi, sehingga saat ini jika ada darah yang tumpah sahaja di muka bumi akibat pembunuhan, Qabil akan mendapat 'saham'nya sama.
Fitnah kaum wanita tertimpa pada Juraij. Kisah Juraij seorang yang taat beribadah tetapi pernah tersilap tidak mengendahkan panggilan ibunya. Lalu ibunya mendoakan ujian buat diri Juraij. Seorang perempuan penzina menuduh Juraij berzina dengannya dan membuatkan Juraij hampir sahaja dihukum. Lantas Allah menunjukkan kekuasaannya, bayi yang dipangku wanita penzina tersebut berkata-kata dan menafikan Juraij itu bapanya.
Fitnah kaum wanita menimpa Nabi Yusuf as. Isteri Aziz mengajak Nabi Yusuf as untuk melakukan zina kerana terpesona dengan kekacakkan Baginda as. Al-Quran menggambarkan hati Nabi Yusuf as sudah terlintas dan hampir condong mengikut ajakan Isteri Aziz tersebut namun Allah Taala menyelamatkannya.
Fitnah kaum wanita itu terkena Rahib di zaman Bani Israel yang berzina dengan wanita, mengandungkan dan membunuh wanita tersebut. Sehingga akhirnya dia menjadi musyrik dan tunduk pada Iblis.
Cerita-cerita ini bukanlah menggambarkan semua wanita itu jahat dan lelaki perlu memusuhi wanita. Tidak mungkin berlaku begitu, kerana Allah Taala menjadikan wanita itu pasangan yang menenangkan jiwa bagi lelaki. Kontra pada kisah di atas terdapat banyak kisah-kisah yang menunjukkan peranan wanita dalam dakwah yang membuatkan kita kagum.
Kisah Asiah isteri Firaun, kisah ibu Nabi Musa as, kisah Maryam ibu kepada Nabi Isa as, kisah Khodijah ra dan kisah-kisah lainnya.
Teguhnya lelaki didampingi wanita solehah
"Kita ini para suami, walau bagaimana solehah pun isteri jangan mengharapkan mereka yang bimbing kita. Kitalah yang patut bimbing mereka!" pesan saya pada anggota bawah yang telah berkahwin.
"Wanita ini bengkok seperti tulang rusuk, kalau terlalu keras mereka boleh patah. Kalau terlalu lembut mereka akan terus bengkok, maka timbanglah dengan hikmah dalam memperlakukan mereka." Pesan saya pada sesi lain pula.
Saya fikir, saya cukup mewah dengan nasihat rumah tangga kepada anggota bawahan saya. Mereka pun hairan, saya tidak berkahwin lagi tetapi kebanyakan pertanyaan saya tentang tingkahlaku isteri mereka seperti lagaknya saya sudah berkahwin. Cuma teori sahaja insya-Allah, mudah-mudahan nanti saya cukup bersedia untuk mengamalkannya.
Lelaki kuat adalah lelaki yang cukup bersabar melayan karenah isteri. Lelaki kuat juga adalah lelaki yang prihatin kepada aurat isteri dan anak-anak perempuannya. Menimbang fitnah yang cukup banyak bersumber daripada wanita, bayangkanlah pahala yang besar diganjari kepada lelaki yang berusaha menutup fitnah ini.
Dayusnya seorang suami dan bapa yang memandang remeh aurat isteri dan anak-anaknya. Membiarkan isteri tidak bertudung, malah ada yang bertudung terdedah pula lengan dan kakinya. Membiarkan mereka bertepuk tampar dan mendedahkan aurat sesama ipar duai,
"Ah, saudara mara. Ada excuse mungkin bab aurat ini dengan ipar duai!"
Jangan memperjudikan nasib anda di tengah jurang neraka!
Buat kaum lelaki seperti saya berhati-hatilah pada fitnah ini. Berpuasa dan tahanlah mata daripada melihat perkara-perkara yang tidak elok. Berpuasalah secara kerap, saya cukup kagum dengan mereka yang tidak berpuasa tetapi berjaya menahan nafsunya. Kagum kerana saya tidak mampu untuk berlaku begitu tanpa benteng puasa. Tidak kiralah seseorang itu sudah berkahwin atau belum. Kerana seseorang lelaki yang sudah berkahwin tidak terlepas daripada fitnah wanita sebenarnya,
Kerana kebiasaannya wanita apabila telah berkahwin akan melihat suaminyalah adalah segala-galanya dalam hidupnya. Tetapi lelaki apabila telah berkahwin ianya merupakan pintu pertama untuk melihat dan mengenal segala-galanya berkenaan wanita. Dengan kata lain, wanita apabila berkahwin skopnya memandang lelaki menguncup dan lelaki apabila berkahwin skopnya memandang wanita mengembang.
Jangan melayan keranah wanita-wanita yang ter'gedik-gedik'. Tepuk sebelah tangan tidak berbunyi. Lelaki yang hebat itu terletak pada ketika dia berjaya mengawal hawa nafsu yang sedang kuat mengusai dirinya.
"Ya Allah aku berlindung kepada-Mu daripada fitnah wanita dan daripada fitnah maniku."
-----------------------------------------------------------------------------------
Penulisan ini adalah hak cipta msrizal.blogspot.com. Sebarang penyiaran semula hendaklah menyertakan sekali alamat blog ini. Terima kasih kerana sudi membaca. MS Rizal, Port Dickson, 2011/1432H http://msrizal.blogspot.com/
4 comments:
Amin, Amin. Semoga Allah memperkenankan doamu dan buat kita semua.
:) amin ya rabb
Salam...
penulisan yang cukup menarik...
m0ga terus berdakwah dalam bidang penulisan...
Ibn Samaon: Amin. Allahumma 'ajib du'ana
Ubay: Amin
Khaulah: Syukran ukhti, selamat membaca..
Post a Comment
Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...