Travelog Mesir Bumi Ambiya'-Part 1

>> Monday, August 6, 2012

Saya merindui debu-debu Mesir.  Itu pasti!

Travelogku 13-24 Jul 2012.  Kuala Lumpur-Bangkok-Kaherah-Bangkok-Kuala Lumpur.

Ketika pertama kali menjejakkan kaki di lapangan terbang Kaherah, saya seperti hampir-hampir tidak percaya yang  Allah makbulkan doa saya ke sini.  Ya, bagi orang marhaen seperti saya ini, menjejakkan kaki ke luar negara bukanlah sesuatu yang mudah.  Saya mengeluarkan duit simpanan sebanyak RM 3150 untuk tambang pergi balik, serta wang belanja lebih kurang RM 1500 untuk berada di kota ilmu ini selama 10 hari.

Ketika melihat bumi Mesir dari tingkap kapal terbang saya menjadi teruja seketika, ucapan tasbih tidak berhenti disebut.  Masha-Allah, cantiknya panaroma. Kepenatan kerana penerbangan menggunakan pesawat EgyptAir selama lebih kurang 11 jam dari Kuala Lumpur-Bangkok seakan hilang.  Inilah kali pertama saya melihat bumi yang hijau bertukar menjadi coklat pasir.  Juga gunung ganang tandus.  Namun disinilah pastinya terakam tamadun manusia paling lama.  Hampir kesemua kisah-kisah Nabi dan Rasul yang disebut di dalam Al-Quran diturunkan di Jazirah Arab ini.  Bermakna tamadun moden purba sudah terbina lama, bahkan mungkin jauh lebih moden daripada apa yang kita sangka moden sekarang ini. Saya sudah tidak sabar-sabar untuk menunggu kapal terbang mendarat.

Disambut Isteri Tercinta


Selepas melepasi pasukan keselamatan saya sudah dapat melihat isteri saya melambai-lambaikan tangan dengan senyuman manisnya ke arah saya.  Entah kenapa, ada perasaan malu-malu juga dalam diri saya. Almaklumlah kami baru sahaja 4 bulan berumah tangga. Tidak sampaipun genap 2 bulan, isteri saya sudah terbang kembali menyambung pengajian tahun akhirnya di Mesir.  Turut ditemani oleh isteri saya adalah adik ipar saya juga yang turut belajar di sini.

Ahlan Wa Sahlan Zauji Habibi- Selamat datang Suamiku yang dicintai

Isteri saya telah sedia menyewa kereta untuk membawa kami ke rumah tempat tinggal sementar di Sabiq, Kaherah.  Rumah akhowat, yang kosong kerana penghuninya ramai yang pulang ke Malaysia- begitu kata isteri saya.

"Banyak betul bunyi hon," saya bertingkah.  Sebelum itu saya memang pernah mendengar tentang Kota Kaherah yang penuh dengan sampah dan bunyi hon yang tidak henti-henti.

Telahan itu tepat, kelihatan banyak sampah-sampah yang tidak terurus di sepanjang jalan ketika kami menyusur membelah tengah-tengah bandar Kaherah. Juga bunyi hon yang memenuhi jalan-jalan. Pemandangan ini sebenarnya tidak berapa enak ditunjukkan kepada para pelancong.  Namun saya tidak menyalahkan rakyat Mesir seratus peratus.  Saya pasti, saya akan mendapat jawapan untuk semua ini nanti.  Terlalu awal mungkin untuk saya membuat kesimpulan.

Alhamdulillah, sampai di Sabiq dalam pukul 8 pagi. Keadaan di sekitar Sabiq, dipenuhi dengan rumah-rumah flat yang berkotak-kotak.  Debu dan sampah memenuhi pinggir-pinggir jalan.  Cuaca agak redup, namun saya menjangkakan keadaan akan berubah sebaliknya apabila nyalaan panas tengahari menjengah nanti.   Saya memanjat anak-anak tangga yang sempit untuk naik ke tingkat tiga atas.  Keadaan bangunan rumah ini agak lama, saya menjangkakan ianya mungkin dibina pada tahun 80an atau 90an.  Keadaan rumah agak tersusun dan kemas, maklumlah rumah Akhowat.  Saya perlu berehat sebentar sementara isteri saya sedang berkemas-kemas. Kami sudah merencanakan untuk kembali ke benua Asia semula.  Ke Semenanjung Sinai.  Ya, saya sangat mengimpikan untuk memanjat Jabal Musa di Sinai. 

Perjalanan ke Bumi Bersejarah

Jam 9.30 pagi. wakil agen rombongan kami ke Sinai sudah menelefon.  Namanya Ustaz Rizal, pelajar Indonesia yang sedang menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah.  Dia akan membawa kami ke Stesen Bas Ekspress untuk membawa kami ke Sinai. Saya dan isteri ketinggalan bas rombongan sebenarnya. Kami mengikut rombongan pelajar-pelajar Indonesia ke Sinai.  Namun bas ini telah bertolak jam 2.30 pagi dari Kaherah ke Tabaa di Sinai.  Saya yang baru mendarat di Kaherah pada jama 6.30 pagi tidak sempat untuk turut serta.  Hasilnya saya dan isteri terpaksa menaiki bas sendiri ke Sinai dan berjanji akan bertemu rombongan Indonesia ini di St Catherinne nanti .
 Saya dan Isteri sedang menunggu bas. Gaya orang yang mengembara.
 Ustaz Rizal dari Indonesia yang membawa dan menemani kami ke Stesen Bas. Dia ini ambil 2 Ijazah dalam bidang agama serentak, dahsyatnya semangat dia.
Berlatar belakangkan jalan-jalan di Kota Kaherah. Cuaca panas sudah mula menyegat.
Saya di hadapan bangunan tempat menunggu bas.

 Fuhh.. Lagi 8 jam perjalanan perlu ditempuh. Semoga Allah memudahkan urusan kami nanti. Insya-Allah....
----------------------------------------------------------------------------------- 
Penulisan ini adalah hak cipta msrizal.blogspot.com. Sebarang penyiaran semula hendaklah menyertakan sekali alamat blog ini. Terima kasih kerana sudi membaca. MS Rizal, 32100, Lumut, 2012/1433H http://msrizal.blogspot.com/

0 comments:

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP