Warkah buat Mutarobbiku yang tercinta-Part 2

>> Friday, July 6, 2012

Sebuah ruang pastinya terisi dengan pelbagai perkara dan juga intonasi warna. Kerana ruang itu kadang kala tidak seperti yang dijangka. Ianya boleh sahaja tertuang dengan nilaian berharga atau sekadar debu yang tiada makna. Amatilah ruang fikiranmu Akh, adakah ianya terisi dengan isi-isi dakwah dan kalam Allah. Ini penting bagi memusatkan segala-galanya jua akhirnya kepada Allah Taala jua. 

Mungkin seorang Al-Akh boleh sahaja berteori mutorrabinya adalah seorang yang baik dan mendengar kata. 
"Insya-Allah, murobbiku hebat dan berhamasah tinggi.  Mutarobbiku cukup thiqah lagi pro-aktif, begini dan begitu..."

Namun bersediakah seorang murobbi untuk berhadapan dengan mutarobbinya yang kembali jemu. Setiap kali halaqah melihat jam di tangan, gelisah dan minggu depannya tidak hadir. Lalu lama kelamaan mutarobbi itu hilang daripada pandangan. Moga Allah memelihara mereka yang hilang dan telah mendapat ilmu yang secukupnya dalam halaqah ini. Moga mereka barang ganti yang lebih baik, walaupun sebenarnya tiada apa yang dapat menandingi nikmat hidayah itu setelah diberikan oleh Allah Taala. Namun mudah-mudahan mereka ini beroleh ganti. Mudah-mudahan…. 


Nikmat pemberian Allah Taala cukup luas dan tak terperi hitungannya. Ada manusia yang dilebihkan dan ada manusia dikurangkan dalam satu sisi. Ada yang diberi kemuliaan dan ada juga yang dihinakan. Seharusnya seseorang insan itu meletakkan syukur di paras yang standard dan tinggi. Iaitu beriman dengan sepenuhnya kepada Allah dan mengerjakan amal makruf dan nahi mungkar. Sesuatu yang senang disebut dan mampu dibuat semua orang adalah amal makruf. Tetapi pasangannya iaitu nahi mungkar amat sukar untuk dibuat. Kerana ianya bertembung dengan jahiliah dan norma kebiasaan jahiliah. Disinilah datangnya keperluan lain iaitu mengembangkan Islam ini diseluruh dasar masyarakat sehingga masyarakat ini jadi hebat dan akhirnya menjadi masyarakat Rabbani. 

“Tetapi kenapa saya yang kena buat tugas-tugas dakwah ini? Ustaz-ustazahkan ada?” 

"Saya kerja balik kerja, datang masjid, dengar kuliah, tak kacau orang cukuplah itu.  Insya-Allah dihitung-hitung pahala saya dan kurangnya saya berbuat dosa, dapat Syurgalah itu..."

Wahai Akh, beruntunglah kamu. Hebatnya kamu. Dalam segala nikmat pemberian Allah Taala yang diberi kepada umat ini, kamulah insan yang bertuah itu. Mungkin ada ramai orang yang hadir ke masjid mendengar kuliah, tetapi hitunglah berapa ramai orang yang keluar dari masjid untuk bersama tetap dalam implemantasi idea Al-Quran yang diperkatakan. Mungkin seseorang itu senang untuk mengungkapkan kata tetapi sukar untuk melaksanakan. 

 Di sini Allah Taala menempelak dengan firmannya: 

“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak kerjakan?” –As-Saff ayat 2. 

Teori semata-mata tidak memadai bagi seorang Al-Akh, di sinilah praktikalnya tarbiyyah, berteori di dalam manhaj halaqah tetapi mengimplemantasikan halaqah itu usai halaqah. Ini adalah nikmat paling besar melebihi segala nikmat, iaitu hidayah Allah SWT. Istiqamah dalam juang dakwah adalah anugerah ternilai. Ianya umpama diberikan diunjurkan tiket syurga kepada kamu sambil dikatakan, 

“Masuklah syurga ini, pintu ini sekian dan sekian. Kena lalu ini sekian dan sekian.” 

Mentaddaburi Surah Al-Jumuah 

Inilah yang Allah Taala maksudkan dalam surah Al-Jumuah, ayat 2: 

“Dialah yang mengutus seorang rasul kepada kaum yang buta huruf dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya , menyucikan jiwa mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah, meskipun sebelumnya mereka benar-benar dalam kesesatan yang nyata."

 Nikmat memikul dakwah ini dahulunya diberikan kepada Bani Israel. Bangsa yang Allah kurniakan kecerdikan, kemahiran dan kekayaan. Namun, nyata buahnya tidak seperti diharapkan. Bangsa yang dahulunya terpilih ini melebihi bangsa lain-lainya sering kali mengkhianati Allah Taala. Lalu terbitlah rasa bangga dan besar di dada mereka. Seolah-olah mereka itu anak Allah. Tanggungjawab risalah hanya layak dipikul oleh mereka sahaja sebab mereka punya kelebihan berbanding bangsa lain. Perasaan bahawa risalah mustahil dapat berkembang kecuali di tangan mereka sahaja. 

Namun Allah Taala menempelak dengan kekuasaannya. Sengaja Allah Taala kurniakan hidayah dan tanggungjawab risalah ini kepada bangsa Arab yang dikenali sebagai bangsa lain sebagai belalang padang pasir sahaja. Ummi dan tiada tamadun, malah hanya berlindung di bawah kuasa-kuasa besar. Tetapi rencana Allah Taala mahu jadikan ianya sebagai perbandingan bagi Bani Israel, bahawa Allah Taala berkuasa memuliakan sesuatu bangsa dan berhak menyerahkan kepada sesiapa jua tanggungjawab memikul dakwah ini. Jika Bani Israel itu yang pandai dan bijak tak mahu pikul beban dakwah tidak mengapa, Allah Taala boleh pilih bangsa lain yang sanggup memikulnya walaupun mereka tidak cerdik dan bodoh.
 

Sesungguhnya asal diri ini sesat dan Allah Taala yang meluruskan 

Lihatlah sifat Bani Israel ini kadang-kadang boleh juga tercerna pada nilaian akhlak diri. Allah Taala memilih kita yang mungkin grad Universiti. Kursus hebat-hebat dan dipandang tinggi masyarakat- perubatan, kejuruteraan, syariah, usuluddin, undang-undang dan sebagainya. Rasa diri mulia dan sepatutnya dipandang tinggi masyarakat. Terasa seperti ilmu tinggi dan melebihi orang lain. Namun hampa, tak mahu pikul beban dakwah. Tidak sabar menghadapinya, dan mudah sahaja terasa lelah. Rasa culas dan mengundur diri. 

“Takpelah, orang lain ada. Mereka insya-Allah lagi sanggup…” 

Tak mengapa! Kalau kamu tidak mahu, boleh sahaja Allah Taala berikan tanggungjawab ini kepada mereka yang tak merasa untuk belajar tinggi-tinggi. Yang taraf sosial rendah, namun keikhlasan tinggi. Lalu Allah berikan hidayah pada mereka, menyucikan jiwa mereka dan menghadirkan mereka pembimbing. Lalu mereka berjuang dengan ikhlasnya dalam medan amal kerana terasa bersyukurnya setelah mendapat nikmat hidayah Allah. Merekalah yang akhirnya nanti Allah Taala angugerahkan kemenangan. Merekalah yang akan terlipat dalam rahmat dan kemuliaan Allah Taala. Bukan orang yang menyangka mereka mulia, namun di sisi Allah mereka ini tiada nilainya. Mengundurkan diri dan membelakangkan diri daripada medan amal sehingga Allah Taala benar-benar memalingkan hati mereka dan menambahkan penyakit dalam hati mereka. Naudzubillahiminzalik. 

Kembalilah dirimu ke dalam as-solah Dakwah 

Rasakanlah kemulian yang Allah Taala berikan dalam diri ini. Mulianya kerana diri adalah insan terpilih melebihi mereka yang lainnya. Mengapa dalam beratus malah beribu orang, dirilah yang terpilih untuk memikul beban dakwah ini. Tidak lain, kerana Allah Taala ingin memuliakanmu dengan seribu kemuliaan. Asal sahaja, diri cepat sedar dari lena dan mengikhlaskan diri kepada Allah Taala. Kita ini tidak lain hanyalah salah satu mata rantai dari roda perjuangan Islam yang telah pun lama bergerak. Tidak sesekali kita yang memulakannya, dan tidak sesekali mereka yang sudah pergi itu mengakhirnya. Kita hanyalah penyambung pada usaha yang telah dimulakan itu. Kita faham akhirnya, bahawa itu kerja Nabi yang kami hanya berhak meneruskan dengan hikmah zaman, masa dan tempat... 

Annauhibbukum fillah… 

p/s: Terima kasih kepada zaujahku- Ustazah Nurul ‘Ain binti Mohd Lotphi yang menjadi penyokong nombor wahid tulisanku, moga Allah merahmatimu dan sama-sama menetapkan kita istiqomah dalam medan amal ini. 

------------------------------------------------------------------------------------------------------
Penulisan ini adalah hak cipta msrizal.blogspot.com. Sebarang penyiaran semula hendaklah menyertakan sekali alamat blog ini. Terima kasih kerana sudi membaca. 

MS Rizal, 
32100, Lumut, 
2012/1433H 
http://msrizal.blogspot.com/

0 comments:

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP