Tanpa bayang-bayang untuk kekal berdiri
>> Friday, March 4, 2011
Janganlah kamu berhati lemah dalam mengejar mereka (musuhmu). Jika kamu menderita kesakitan, maka sesungguhnya merekapun menderita kesakitan (pula), sebagaimana kamu menderitanya, sedang kamu mengharap dari pada Allah apa yang tidak mereka harapkan. Dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. An-Nisa' 4:104
Seiring dengan penambahan waktu, rencam manusia mencari dimanakah penghasilan hari-hari yang dituju. Bagi mereka yang tidak faham apakah ertinya kehidupan mudah sahaja berputus asa dan tewas sebelum tiba ke medan juang. Malas beramal punca hati berpenyakit. Hati berpenyakit membuatkan diri makin sakit, orang memandang jijik. Aduhai diri yang banyak melakukan kesilapan, sedarlah bahawa dunia bukan seperti apa yang diinginkan angan-angan kosong. Semuanya perlu berbayar dengan harga sebuah pengorbanan.
Jangan takut dan jangan mundur ke belakang. Kelak ujian itu pasti menimpa orang-orang yang berjanji untuk setia dalam barisan penolong-penolong Allah SWT. Benarkah ikhlas? Allah Taala menguji penolong-penolongnya dahulu. Siapa lepas, alhamdulillah semuanya terbayar tunai. Siapa sangkut, pintu taubat masih terbentang seluas-luasnya.
Terjun ke medan amal dengan seribu kekuatan
"Aku munafik, aku munafik!" sebut Hanzalah bin Ar-Rabi'.
Kehairanan Abu Bakr apabila Hanzalah berkata begitu. Lalu dia pun bertanya kepada Hanzalah apakah halnya?
"Di saat aku bersama Rasulullah SAW aku teringatkan Syurga dan Neraka. Tetapi apabila pulang kepada keluarga, aku lupa semuanya."
Abu Bakr tersentak dan tersedar bahawa dirinya juga merasakan apa yang difikirkan Hanzalah.
Lalu pergilah mereka berdua berjumpa dengan Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW bersabda: "Demi dzat yang jiwaku di tangan-Nya, andai kalian tetap seperti kalian di sisiku dan terus berzikir niscaya para malaikat akan menjabat tangan kalian, sedang kalian berada di atas tempat tidur dan di jalan raya. Akan tetapi wahai Hanzalah, ada waktumu (untuk beribadah) dan ada waktumu (untuk duniamu)"
Kisah Hanzalah ini sememangnya boleh juga dibuat pedoman pada diri. Terutamanya pada mereka yang selalu merasakan Islam itu menusuk setiap rongga jiwa saat berusrah, jaulah, daurah atau apa jua wasilah tarbiyah. Tetapi nilai-nilai ini mudah sahaja menjadi hilang saat tidak berada pada waktu dan ketika itu. Sedarlah bahawa ianya adalah sesuatu yang normal dan bukan luar biasa. Itulah medan amal.
Dengan kata lain selepas habis sahaja program pandai-pandailah bawa diri. Pandai-pandailah aplikasikan mengikut kebijaksanaan diri. Saat itu baru kamu tahu dimanakah dirimu sebenarnya, apakah sudah menghadam sebaik-baiknya sarana tarbiyah. Atau masih terapung-apung dengan angan-angan. Melakar peta kemenangan Islam di bantal atau bergerak berusaha untuk menghadapi jauh dalam nilai amal.
Saat hati sempit, gusar tiba, rasa-rasa futur mula menjelma janganlah mudah mengeluh. Bertahanlah dan serahkan urusan ini semuanya pada Allah Taala. Masya-Allah, selesai sahaja ujian ini dilepasi barulah rasa beruntung dan berharganya saat itu. Indahnya lagi ujian itu berjaya diterima. Ingatlah di saat gusar itu datang, mereka yang berlawan dan berseteru juga turut gusar. Beruntungnya gusar kerana mempertahankan kebenaran itu punya Allah sebagai sandaran, namun mereka yang berseteru dengan kebenaran tidak punya sandaran...
Ya Allah siapa saya ini?....
-----------------------------------------------------------------------------------
Penulisan ini adalah hak cipta msrizal.blogspot.com. Sebarang penyiaran semula hendaklah menyertakan sekali alamat blog ini. Terima kasih kerana sudi membaca.
MS Rizal,
32100, Lumut,
2011/1432H
http://msrizal.blogspot.com/
0 comments:
Post a Comment
Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...