Jangan biarkan layang-layang kertas putus tali

>> Friday, June 18, 2010

"Ayah Ibu tidak datang?" saya membisik perlahan kepada seorang peserta motivasi Keindahan Bersamamu (KBM) anjuran Kelab Remaja JIM.

"Tidak, mereka pergi bercuti..." bisik adik remaja ini sambil menangis teresak-esak.

Saya merangkulnya perlahan. Ada ketenangan mengalir daripada pelukan ini, remaja ini merangkul saya erat-erat, langsung dia berteriak bersungguh-sungguh di bahu. Sesi terakhir program ini yang menemukan antara peserta dan ibu bapa sememangnya banyak menghamburkan tangisan. Saya sendiri tidak betah menahan genangan air mata yang mengalir.

Namun, saya sedikit merasa kecewa sebenarnya. Apabila sesi terakhir yang memerlukan kerjasama ibu bapa untuk menghadirkan diri kurang mendapat sambutan. Apatah lagi jika program ini dibuat dikalangan pelajar-pelajar yang bermasalah disiplin. Tetapi ianya berlaku sebaliknya apabila program di jalankan di sekolah rendah. Kedatangan ibu bapa amat menggalakkan. Lalu timbul satu pertanyaan di benak hati. Adakah status 'anak ku sayang' itu hanya terhad sehingga darjah 6 sahaja?



Ibu dan Ayah didiklah anak-anakmu menghadapi zaman mereka

Majalah i merupakan majalah rutin bulanan saya untuk membacanya. Malah, mungkin daripada majalah ini juga saya mengenal ramai ustaz-ustaz yang mengemudi bahtera perubahan minda. Antara ustaz yang mula saya kenali melalui majalah ini adalah Dr Mohd Asri, Ustaz Hasrizal, Ustaz Maszlee Malik, Ustaz Zaharuddin dan Kapten Hafiz Firdaus.

Ruangan kegemaran saya adalah pendidikan anak-anak. Tips-tips yang dilontar di dalam ruangan ini banyak menyedarkan saya bahawa mendidik anak-anak juga perlukan seni. Bukan main hentam keromo atau membuta tuli sahaja. Malah jika dilihat kepada masalah sosial yang berlaku di kalangan remaja sekarang juga, kemungkinan berpunca daripada kesilapan ibu bapa yang tidak berseni di dalam mendidik anak-anak mereka.

Sibuk, mungkin satu alasan yang kukuh bagi ibu bapa beralasan apabila mendapat aduan kesalahan disiplin anak-anak mereka. Namun tidak adil meletakkan sibuk sebagai punca masalah. Sesibuk mana pun kita dengan kerjaya, kita tidak akan sesibuk Nabi SAW. Baginda jauh lebih sibuk. Namun kesibukan bukan alasan untuk tidak memastikan anak-anak terjaga dengan baik. Mendapat pendidikan dengan baik. Emosi terjaga dengan baik. Anak-anak adalah makhluk Tuhan yang luar biasa. Menghargai mereka seumpama menghargai masa depan Islam. Besar ertinya bagi mereka yang memahami sunnah alam.

"Ambik itu! Letak di situ!...Ish, bukan situ!"

Saya pernah melihat seorang ibu yang mengarah anaknya seperti lagak seorang boss kepada orang gajinya. Anaknya hanya menurut tanpa bicara, mungkin risau melihat ibunya yang 'cengei' semacam. Saya memerhatikan sahaja, teori pendidikan anak-anak yang saya baca menyanggahi apa yang dilakukan oleh wanita itu. Jangan terlalu banyak mengarah anak-anak. Tetapi lakukan dengan santun seperti lagaknya meminta pertolongan. Kesilapan seperti ini boleh membuatkan anak ini memberontak dari dalam, atau mungkin suatu hari nanti tidak akan mendengar lagi arahan ibu bapanya bila sudah merasa kebebasan berada di tangannya.


Jagalah keluargamu dari api neraka

"Budak-budak sekarang ini sudah makin teruk. Berzina, mencuri, bergaduh, pening cikgu-cikgu di buatnya."

Sembang santai saya dengan seorang cikgu sekolah menengah petang ini dapat mencungkil masalah lazim dihadapi para guru di sekolah. Ada guru yang mengadu ibu bapa amat tidak ambil pusing hal anak-anak mereka. Sering mereka dipanggil ke sekolah melalui wadah PIBG. Tujuannya untuk berbincang cara memajukan anak-anak sendiri. Namun sambutannya kurang memberangsangkan. Apabila anak-anak membuat masalah, sekolah akan disalahkan kembali. Ini semua merupakan situasi tidak adil yang sering dihadapi guru-guru di sekolah. Saya hanya mampu menunjukkan wajah simpati.

Masalah remaja zaman sekarang telah bernanah dan sukar untuk diubati. Ianya berpunca dari kerosakan muda-mudi dahuluu yang kini sudah pun bertukar menjadi ibu ayah malah datuk nenek mungkin. Seseorang remaja mungkin sukar untuk menerima bahawa keluar berdua-duaan antara muda-mudi tanpa nikah adalah haram apabila melihat zaman pak cik-mak cik dahulu pun sudah ada. Perkiraannya mudah, orang dahulu boleh buat, kenapa sekarang tidak boleh? Jangan sampai kita termasuk segolongan kaum yang berkata, "Kami mendapati nenek moyang kami menganut suatu agama (lalu kami pun menurutinya)."

Sememangnya Al-Quran memperincikan kepentingan memelihara keluarga dengan baik. Firman Allah di dalam surah At-Tahrim ayat 6;



Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.


Qatadah pernah berkata; " Kamu mestilah menyuruh meraka agar mentaati Allah SWT dan menegah mereka menderhakai-Nya. Kamu hendaklah sentiasa mengawasi dan membimbing mereka melaksanakan perintah Allah SWT. Sekiranya kamu melihat sesuatu maksiat berlaku, kamu mestilah menyergah dan mencegahnya."

Jika mahukan anak-anak menjadi baik, berbudi dan beradab ianya tidak mudah dengan hanya melengkapkan makanan dan pakaian sahaja. Ianya memerlukan ilmu dan pengorbanan dari ibu bapa.

Saya melahirkan simpati kepada pasangan yang telah lama berkahwin tetapi tidak mempunyai anak. Berbanding mereka yang mudah mendapat anak-anak tetapi menyia-nyiakan peluang mendidik anak.

Mari hiburkan diri dengan membaca tulisan hubungan antara anak-anak dengan ibu dan bapa. Sangat menarik untuk dihayati bersama: Klik di sini.




MS Rizal,
32100, Lumut,
2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/

0 comments:

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP