Secawan tazkirah di pagi ahad

>> Sunday, November 8, 2009

Lelaki yang berpewarakan menarik dan bertubuh tegap itu duduk dengan tenang. Dari gayanya, terserlahlah bahawa dia adalah seorang pemimpin yang disegani kaumnya. Datang atas jemputan untuk rundingan. Dihadapannya adalah seorang raja yang bakal menentukan nasib tempat pimpinannya. Tempat yang penuh rahmah dan barakah. Pada bila-bila masa sahaja tempat ini akan dilanggar oleh 1000 ekor tentera bergajah. Lalu, kata dua diberikan raja, menyerah dan diberikan ganjaran, atau melawan.

"Aku cuma mahu dikembalikan 200 ekor unta yang kau rampas daripadaku!"

Terkejut riak wajah Abrahah, apakah ini sahaja yang kata putus daripada seorang pemimpin kota Makkah. Tidak lain tidak bukan Abdul Mutallib datuk kepada Rasulullah SAW.

"Aku hanya tuan kepada unta-untaku, dan rumah itu(Baitullah) ada 'Tuan' yang akan menjaganya daripada kamu!" tegas Abdul Mutallib dengan penuh yakin.


Bumi barakah

Kisah tentera bergajah Abrahah dan tenteranya yang tewas kerana berperang dengan Allah amat sinonim dengan sirah Islam. Peristiwa ini benar-benar membuktikan bahawa Makkah adalah bumi yang sentiasa dilindungi Allah Taala dan dikurniakan berbagai-bagai nikmat.

Antara nikmat yang dikurniakan Allah Taala kepada kaum Quraisy yang berada di Makkah ketika itu adalah:

1) Allah memusnahkan tentera bergajah dan mengusirnya dari Makkah sekaligus mengangkat martabat kota Makkah sebagai kota suci di mata umum. Ini membuatkan pengunjung yang datang untuk beribadah rasa selamat, aman dan tenang daripada gangguan musuh.

2) Rezeki yang melimpah ruah kerana peluang berdagang di Yaman pada musim sejuk dan Syam pada musim panas. Maka sepanjang tahun, peluang berdagang itu tetap ada dan mengembalikan keuntungan yang berlipat kali ganda.

3) Nikmat keamanan serta terhindar daripada ketakutan terhadap musuh. Ini dapat menarik perhatian sekeliling dan luar kota Makkah untuk datang berniaga dan beribadat.

4) Kewujudan Baytullah itu sendiri yang merupakan rumah suci dan tiada terdapat ditempat lainnya diseluruh dunia.

Satu sahaja kesimpulan yang Allah sebutkan untuk nikmat-nikmat ini. Ianya terkandung di dalam surah Quraisy,

"Maka hendaklah mereka menyembah Allah, Tuhan bagi rumah ini."-(106:3)


Nikmat

Al-Razi menjelaskan bahawa nikmat itu ada 2 macam. Pertama, nikmat terhindar daripada kemudaratan. Dan kedua, nikmat mendapat keuntungan. Namun begitu nikmat yang pertama lebih utama sedangkan berusaha memperoleh kebaikan bukanlah sesuatu yang wajib.

Jika tidak aman, segala perkara ribut jadinya. Kucar-kacir dan tidak kemas. Tetapi jika tidak untung atau selesa, masih boleh melakukan kerja dengan baik dan kemas. Masih boleh menghasilkan keuntungan lainnya. Setuju dengan saya?

Benar, surah Quraisy ditujukan kepada kaum Quraisy. Tetapi jika diamati kita juga perlu mendapat tempias daripada keuntungan-keuntungan yang disebutkan.

"Kita harus bersyukur kerana Malaysia ini aman dan makmur.." ucap seorang pemimpin terkenal di Malaysia di pentas ucapannya.

Ya, kita mendakwa negara ini aman dan makmur. Bukankah kita seharusnya menjadi insan yang bersyukur dan menyembah Allah Taala. Dengan maksud hasil nikmat yang melimpah ruah, kita seharusnya menyembah Allah tanpa kompromi lagi.

Jangan tuding tanggungjawab Islam ini kepada negara arab sana, atau ke atas jiran tetangga. Bukankah mereka sering disibukkan dengan perang, bencana, dan pergolakan sesama saudara? Jangan kita lalai dengan nikmat ini, boleh jadi ianya ditarik balik dan diganti dengan bala.

Fikirkan sejenak...Apakah kesesengsaraan dunia yang lebih perit selain nikmat yang ditarik balik?




Dan Allah telah membuat suatu perumpamaan (dengan) sebuah negeri yang dahulunya aman lagi tenteram, rezkinya datang kepadanya melimpah ruah dari segenap tempat, tetapi (penduduk)nya mengingkari nikmat-nikmat Allah; karena itu Allah merasakan kepada mereka pakaian kelaparan dan ketakutan, disebabkan apa yang selalu mereka perbuat.(16:112)






MS Rizal,
57000, Kuala Lumpur,
8 November 2009/1430H
http://msrizal.blogspot.com/

2 comments:

ismi suzu November 13, 2009 at 3:04 PM  

lama dah tak singgah blog kamu...

MS Rizal November 13, 2009 at 3:45 PM  

Saya pun dah lama x singgah blog sendiri...

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP