Kala ku ketuk pintu syurga

>> Sunday, September 6, 2009

Kala kubuka mata, aku melihat sekerdip cahaya datang dari timur..kemudian ia hilang ke arah barat. Muncul sinaran yang amat terang itu dihadapanku, aku mengira jaraknya mungkin dekat sahaja. Bau yang amat wangi menusuk ke liang rongga. Aku berlari ke arahnya. Aku lihat ramai kelompok manusia di situ.

Aku menjadi tidak keruan, ku lihat di kiri dan kanan. Orang ramai tidak berpakaian, semuanya seperti tidak mengambil kisah hal orang lain. Ramai antara mereka berwajah gembira, bercahaya dan putih bersih. Tetapi masih ada riak mengharap di wajah mereka.

Mereka bergerak beramai-ramai mengikut seruan di hadapan. Aku ikut bergerak ke satu tempat yang damai. Di hadapanya terdapat satu pintu yang besar beserta penjaga.

Aku dengar penjaganya menyeru, "Selamat datang kepada orang yang berpuasa, masuklah kedalamnya. Inilah nikmat Allah yang dijanjikan untukmu."

Aku mengintai dari luar, aku terpaku pada pesona di dalamnya. Aku lihat sungai-sungai susu yang mengalir, sungguh harum baunya. Aku lihat wanita-wanita yang sangat jelita, bermata jeli. Aku lihat di dalamnya ada kubah-kubah permata, dan tanahnya mengeluarkan bau yang amat wangi.

Aku lantas cuba untuk masuk, tetapi penjaga yang bermata bundar berwajah putih mengahalang ku..

"Ini babul rayyan..engkau tidak layak untuknya.."

Aku pantas terkejut. Bukankah ini pintu untuk orang yang rajin berpuasa? Apakah selama ini aku tidak berpuasa di muka bumi? Tidak pernah membiarkan tekakku kering dan perut ku kosong dimasuki angin.

"Kenapa wahai penjaga?"

Jawabnya, "Kerana engkau berpuasa berdasarkan nafsu semata-mata, hanya menahan lapar tidak menahan kelakuan. Ikhlasmu cuma sedikit, nafsu pun tidak engkau tahan dari terbangkit. Akhlakmu tidak pernah kau perelokkan, sedangkan akhlak baik itulah tanda engkau ini beriman. Ini pintu untuk orang yang tulus puasanya. Tidak mengharapkan selainnya, melainkan keredhaan Allah semata-mata."

Aku menunggu di situ jika ada harapan untukku, tetapi sehinggalah orang terakhir akhirnya pintu itu ditutup. Ditutup serapat-rapatnya.

Aku hampa, kemudian bergerak ke satu lagi kelompok manusia.

Aku nampak satu pintu yang cantik bak pohon cemara, damai sungguh hatiku meronta-ronta untuk memasukinya. Kali ini aku melihat di dalamnya istana-istana yang tersergam indah bak mutiara. Keluasan setiap istana itu adalah amat luas, tidaklah aku mengira berapa kadar jaraknya. Aku lihat penjaganya berwajah cerah, sejuk mata memandang...

Ini pintu apa wahai penjaga?

"Inilah babul solah, pintu untuk orang yang menjaga solat."

"Berikan aku masuk wahai penjaga pintu?"

"Engkau tidak dibenarkan masuk. Masih banyak amalan solatmu yang rompong. Engkau lalai dalam solat, tidak khusyuk dan tidak bertaubat selepas habis solat kerana hilang khusyuk. Engkau melakukannya kerana berbangga, mengira-ngira dan membandingkan dengan orang lain. Walhal, solatmu itu bukan untuk persaingan, solatmu untuk ketundukanmu kepada Tuhan. Maaf ini bukan pintu untukmu."

Aku tidak berputus asa, aku cuba masuk melalui pintu yang lain..

Aku melihat pintu yang indah, di dalam nya seberkas cahaya asyik sekali memandang. Aku cuba mengintainya dari luar. Kulihat buminya dari perak, dan tanahnya dari misik atau za’faran, debu lantainya dari kasturi yang semerbak harum, dan kerikilnya mutiara serta yakut dan urat-urat pohonnya dari perak, sedang dahannya dari mutiara dan zabarjad, daun dan buahnya berada di bawah. Aku melihat beberapa anak muda memetik buahnya dalam keadaan berdiri, ada yang memetik dalam keadaan duduk dan ada juga dalam keadaan baring.

Aku tidak sabar untuk memasukinya, lantas aku bertanya "Pintu apakah ini wahai penjaga?"

"Inilah babul zakah wal sadaqah, pintu untuk orang berzakat dan bersedekah.."

"Izinkan aku masuk wahai penjaga."

"Tidak, engkau tidak layak untuknya. Engkau amat bakhil dengan hartamu di dunia. Engkau hanya suka mengumpul dan mengiranya. Tidak pernah terlintas benakmu untuk memberi makan kepada si miskin. Tidak suka membayar zakat, pelaburanmu di dunia mengaut untung, tetapi pelaburanmu di akhirat kosong. Pergilah ke pintu lain."

Aku berusaha, masuk ke pintu seterusnya.

Aku lihat sekelompok manusia menanti sebuah pintu yang agam lagi indah. Inilah pintu jihad. Aku mengenalinya...

Aku dengar penjaganya menyeru, "Salam alaikum bima shobartum (Selamat sejahtera kamu kerana kesabaran kamu)."

Aku menjawab salam, lantas menyatakan keinginan. "Izinkan aku masuk wahai penjaga.."

"Maaf, Ini tidak layak bagimu! Engkau tidak tersenarai di dalam kelompok jihad qital. Engkau bukan berjihad kerana Allah. Engkau melakukannya hanya kerana kerjaya, atau mati untuk mendapat darjat di sisi manusia. Digelar sebagai wira sejagat, dianugerah gelaran itu dan ini sesudah mati. Walhal itu semua tidak berguna buatmu, carilah pintu lain.."

Kali ini aku lihat sudah banyak pintu-pintu yang tertutup rapat. Kelompok-kelompok manusia yang berwajah gembira dan bercahaya sudah memasukinya. Aku buntu, aku kelu...Oh Tuhan..aku amat berharap akan rahmatmu..Rahmatmu Ya Rahman...

Abu Hurairah r.a menerangkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Sesiapa menafkahkan di jalan Allah sepasang binatang nescaya diseru dia di pintu-pintu syurga : “Hai hamba-hamba Allah, ini suatu kebajikan.” Dan sesiapa berada dari golongan orang yang bersembahyang dipanggil dia dari pintu sembahyang. Orang yang masuk di kalangan ahlul jihad dipanggil dia dari pintu al-Jihad. Sesiapa yang masuk dari golongan orang yang berpuasa diseru dia dari pintu al-Rayyan. Dan sesiapa yang masuk dari kalangan orang yang bersedekah diseru dia dari pintu sedekah. Maka berkatalah Abu Bakar: “Engkau ku tebus dengan ibu dan ayah ku, ya Rasulullah. Tiada suatu kemelaratan bagi orang-orang yang diseru dari pintu-pintu itu. Maka adakah seseorang yang akan dipanggil dari semua pintu? Nabi menjawab : “Ya! Dan aku harapkan engkau termasuk ke dalam golongan itu.”

(al-Bukhari dan Muslim)


*Kisah hanyalah fantasi penulis untuk tarbiyah diri mengikut gambaran syurga seperti yang diterangkan oleh Al-Quran dan hadis.


MS Rizal,
32100, Lumut, Perak.
6 September 2009/16 Ramadhan 1430H
http://msrizal.blogspot.com/

2 comments:

yop September 6, 2009 at 12:13 PM  

seperti biasa,anta menulis dgn begitu baik sekali.

amir September 18, 2009 at 3:09 PM  

truskan menulis..moga Allah meredaimu ya akhi

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP