Warkah buat Mutarobbiku yang tercinta-Part 1

>> Wednesday, May 9, 2012

Usia ini berjalan meniti masa-masa yang kian tua.  Saya mencuba untuk mengenggam masa itu, cuba menahannya daripada berjalan terus.  Namun hasilnya hampa, masa tetap sepertimana Allah Taala sebutkan mengenainya.

"Demi masa, Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian.." (Surah Al-Asr.)

Seharusnya apabila kita merenung ayat ini, menginsafi perjalanan hidup ini. Hakikatnya masa itu benar-benar menghimpit.  Mendesak manusia itu terus beramal, beramal dan beramal.  Kerana amalan itulah tujuan kita hidup.  Malah amal itu juga sinergi kehidupan, ianya mengharmonikan alam.  Alam memberikanmu daya untuk amal, dan kamu menerimanya untuk memakmurkan bumi ini. 

Medium amal-Bulatan gembira

Maha suci Allah SWT yang memberikan saya hidayahnya.  Beberapa tahun lepas, dalam sentuhan hidayah Allah itu saya mencari-cari medium untuk melunaskan tanggungjawab ini.  Kesedaran anak muda yang cetek ilmunya untuk sama-sama menyumbang ke arah amal.  Lalu saya dilorongkan kepada sebuah sinar harapan.  Sebuah bulatan gembira, liqo' biasa yang diadakan selama 2 jam di Masjid Jame' setiap hujung minggu.  Dan daripada bulatan ini saya mengorak langkah untuk terus istiqomah di dalamnya.

Ada yang mengenalinya sebagai Halaqah, ada yang memanggilnya Usrah.  Biar apapun namanya ianya inti teras dalam menginjakkan daya amal ini lebih ke depan lagi.




Berdasarkan gambarajah di atas ini, lihatlah daripada bulatan kecil ini terbit wawasan mahu mencapai UA-Ustaziatul Alam.  Yakni Islam itu mencakup seluruh dunia.  Ad-Din ini dirasai rahmatnya ke seluruh alam.  Sungguh hebat bulatan ini, ianya kecil tapi penuh kuat, ianya dihiasi dengan gelak tawa tetapi isinya serius.  Penuh harapan, tinggi semangat, terbit ruh-ruh baru untuk jihad. Hebatnya...hebatnya...

Fitrah bulatan ini, di tengah-tengah persimpangan ada yang tercicir.  Ada yang menarik brek. Ada yang letih kerana katanya jalan ini terlalu panjang untuk mencapai tujuan.  Tetapi lupakah mereka bahawa jalan ini tidak semestinya kita merasai kemenangan.  Sederet barisan sahabat yang memeluk Islam di Makkah dan Madinah, tidak semua yang merasai kemenangan saat Fathul Makkah.  Juga kisah-kisah Para Anbiya' yang dihujung mereka berakhir dengan tragedi pembunuhan.

Penilaian Halaqah.


Saya mahu kongsikan perkara-perkara ini dengan sahabat-sahabat seperjuangan dahulu yang terlalu awal menarik brek.  Fikir mereka sudah banyak tahu, malah mudah sahaja menyatakan kesimpulan,

"Saya tidak dapat apapun daripada halaqah ini..."

Nanti dahulu kawan, halaqah ini adalah sarana tarbiyah.  Ianya adalah inti daripada pembentukan diri sebagai Individu Muslim. Ianya jalan panjang.  Bagaimana seseorang itu terlalu cepat menilai halaqah ini membosankan tanpa terlebih dahulu menghadiri semua sarana tarbiyyah.  Dalam tarbiyah itu intinya adalah Usrah/halaqah, Mukhayam, Katibah/Qiam, Nadwah, Muktamar, Daurah dan Rehlah. Aneh sungguh, sahabat yang hanya hadir dalam sekali dua halaqah lalu menyatakan tiada apa yang dilalui daripada halaqah ini.  Lalu mereka kembali seperti dahulu, malah amal semakin sempit dan termangu-mangu mencari medium untuk menyampaikan amal ini.

Seorang murobbi itu amat menyintai mutarabbinya. Sedarlah di saat berat hatinya seorang mutarabbi itu untuk hadir ke setiap pertemuan halaqah, murobbi itu sentiasa melontarkan dengan kebahagian dan pengharapan. Kerana murobbi sentiasa menanamkan cinta di dalam bulatan gembira ini. Berusahalah untuk menghidupkan halaqah ini, kerana murobbi tidak pernah meminta imbalan daripadamu, tidak pernah menyatakan bayaran untuk setiap masa emasnya.  Melainkan imbalan itu hanya datang daripada Allah Taala jua.

"Jika kamu berpaling (dari peringatanku), aku tidak meminta upah sedikitpun dari padamu. Upahku tidak lain hanyalah dari Allah belaka, dan aku disuruh supaya aku termasuk golongan orang-orang yang berserah diri (kepada-Nya)." (Surah Yunus, 10:72, lihat pula QS 11:29, 51. 12:104. 25:57.26:109, 127, 145, 164, 180. 38:86).

 ----------------------------------------------------------------------------------- 
Penulisan ini adalah hak cipta msrizal.blogspot.com. Sebarang penyiaran semula hendaklah menyertakan sekali alamat blog ini. Terima kasih kerana sudi membaca. 

MS Rizal
32100, Lumut
http://msrizal.blogspot.com/

1 comments:

Azraai Ahmad May 9, 2012 at 5:52 PM  

Moga Allah Taala terus mengizinkan kita berada di jalan-Nya yg berkah ini. Jzkk atas artikelnya!

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP