Cerita Bahasa Inggeris dan SPM, kemana mahu pergi?

>> Friday, April 1, 2011

Saya berguling-guling di atas kusyen. Amat jauh perasaan dipendam. Kekalutan dan keresahan menerpa lubuk hati. Sesekali hati saya memujuk supaya tidak perlu risau. Kata Dr Fadzilah Kamsah 70% perkara yang dirisaukan tidak berlaku sebenarnya.

Tembok besar ego saya runtuh secara tiba-tiba. Membuncah fikiran yang mahu lepas bebas disebalik sebuah beban. Tetapi jangan terlampau leka, kerana sunnatullah tidak membenarkan semua yang diinginkan manusia. Kerana hampir sahaja dunia ini musnah dengan kadar lebih pantas jika semua yang diinginkan manusia itu tertunai dengan tangannya. Allah Taala mengajarmu ketika ini, mengajar supaya menjadi manusia dalam dukungan realiti. Bangkit daripada angan-angan tenggelam timbul tanpa wawasan yang pasti.

"Macam mana permohonan ke Matriks abang?" adik perempuan saya bertanya.

"Permohonan gagal..." saya menjawab suram.

Gagal! Perkataan yang menjadi trauma di dalam hidup saya. Saya amat tidak biasa dengan perkataan itu, malah ketakutan untuk gagal membuatkan saya menjadi orang paling pantas bangun setelah tersadung. Itulah yang saya belajar sedari kecil.


Kegagalan itu perit tetapi mengandungkan kemanisan

Saya teringatkan dialog di atas yang tersemat di fikiran kira-kira 7 tahun dahulu. Oh, untuk pengetahuan saya memperolehi 6 A1 3 A2 1 D7 ketika SPM 2003 dahulu. Banyaknya A itu tidak langsung membuatkan saya berbangga untuk bercerita atas sebab kecacatan di hujungnya. 1 D7 itu adalah subjek Bahasa Inggeris. Subjek yang paling saya ambil enteng, malah berbasi-basi sahaja ketika menjamahnya dahulu. Saya hanya mahukan cukup-cukup makan, atau lebih kurang sahaja.

Dengan Bahasa Inggeris di bawah penguasaan separa saya sudah memasang impian untuk ke Jepun. Atau mungkin jika tidak bernasib baik ke matriks dan paling akhir program Diploma UTM.

Namun perancangan Allah lebih baik daripada apa yang dijangka. Saya memperoleh keputusan SPM dengan perasaan bercampur baur. Gembira bercampur risau. Malah guru saya pun menunjukkan wajah confius-nya. Saya menyembunyikan perasaan itu dengan senyum kelat.

Akhirnya, setelah permohonan ke Jepun tidak bersambut. Matriks juga tidak menunjukkan jalan saya beralih ke satu jalan lain. Jalan yang membuatkan ramai guru-guru dan rakan-rakan terkejut. Saya ke Akademi Tentera Malaysia (sekarang dikenali sebagai Universiti Pertahanan Nasional Malaysia). Pilihan yang tidak popular langsung, malah saya hampir mengubah keputusan di malam-malam terakhir saya mahu berangkat.

"Pergi dan cubalah lontarkan jauh-jauh keselesaanmu, ketakutan akan membuatkan kamu jadi semakin pengecut..." perasaan saya mengenggam hati saya erat-erat. Satu semangat muncul dengan tolakan yang kuat.


Bersyukur di atas setiap ketentuan.


Alhamdulillah, hampir 7 tahun segalanya berlalu saya makin nampak hikmah yang banyak di sebalik 1 D7 saya itu. 1 D7 membawa saya kepada lapangan yang banyak saya belajar di dalamnya. Belajar diulit kematangan dan berdamping dengan orang yang kuat pendirian. Malah sekarang saya selalu mengatakan kepada ramai orang yang kecewa.

"Syeikh, 7 tahun dahulu saya dapat 1D7. Dan saya amat bersyukur dengan keputusan itu..."

Ketika tahun asas, saya mula belajar menyusun kembali penguasaan bahasa Inggeris. Saya tidak lagi memandang remeh pelajaran ini. Malah mungkin kerana hasil usaha kuat ini saya pernah ditawarkan belajar di United States Naval Academy ketika berada di tahun asas. Tetapi atas sebab-sebab tertentu saya menolaknya. Sehingga tahap ini saya tidak mengatakan penguasaan bahasa Inggeris saya baik. Namun bolehlah digunakan sebagai wahana berinteraksi dengan klien-klien 'Mat Salleh'. Belajar bahasa tidak perlu malu, redah dan buat tidak tahu sahaja...


SPM itu langkah barumu


Seperti biasa, keputusan SPM baru-baru ini diwarnai pelbagai cerita suka dan duka. Benar, keputusan-keputusan ini bakal mencorakkan masa hadapanmu. Jika kamu dapat banyak A itu tidak akan merubah kedudukanmu kecuali kamu lebih berusaha dan tidak leka. Tidak sedikit mereka yang menyapu bersih A di SPM tetapi terkandas di Universiti. Bagi keputusan tidak seberapa, janganlah berputus asa kerana dunia ini adalah Universiti terbuka. Belajarlah daripadanya, Allah itu sayang dan ingin menyelamatkanmu daripada kejahilan diri.

Bagi yang mendapat keputusan yang baik, dapatkan nasihat untuk memilih universiti dan kursus. Jangan memilih kursus kerana mengikut rasa atau perasaan ingin glamour. Ingat, perasaan ini akan mengurung dirimu dalam masa yang terlalu lama. Jika mahu jadi jurutera, tanyakan diri sendiri kembali kenapa mahu jadi jurutera. Jika mahu jadi doktor, peguam, arkitek atau apa-apa jua lapangan profesional perlulah memilih dengan nilaian yang baik. Wang ringgit bukan tiket kebahagian.

Satu pandangan saya. Bagi ibu bapa yang punya anak-anak yang cerdik, lorongkan mereka untuk memilih bidang agama. Tidak mengapa, jika ramai yang melihat kerjaya ustaz dan ustazah tidak bergaji besar. Pandanglah dari sudut nilai yang lebih daripada itu. Pelajar pintar yang bercita-cita menjadi ulama' benar-benar akan mengubati masyarakat yang sakit. Jauh berjaya daripada doktor yang mengubat dan peguam yang menyelesaikan banyak 'penyakit' masyarakat.

Yang penting adalah keikhlasan menuntut ilmu, tidak kira walau di mana dirimu tercampak. Manusia-manusia berlian akan tetap berkilau walau di dalam lumpur dirimu tertanam. Carilah potensi diri yang terpendam, insya-Allah sebuah impian itu hampir digenggam dengan hanya satu rasa-Rasa percaya pada diri sendiri!

-----------------------------------------------------------------------------------

Penulisan ini adalah hak cipta msrizal.blogspot.com. Sebarang penyiaran semula hendaklah menyertakan sekali alamat blog ini. Terima kasih kerana sudi membaca.

MS Rizal,

32100, Lumut,
2011/1432H
http://msrizal.blogspot.com/

2 comments:

Umaidah Finduilas April 14, 2011 at 7:48 PM  

Alhamdulillah, pcaturan Allah itu adlh yg terbaik...

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP