Merasakan diri baik.

>> Wednesday, April 30, 2008

Antara selang waktu lapang, saya gagahi diri untuk menonton filem Indonesia bertajuk Kiamat sudah Dekat.

Filem ini memang sudah lama dikeluarkan, namun baru sekarang saya berpeluang menontonnya. Cerita ini berkisarkan seorang Pemuda yang jahil ilmu Islamnya berkeinginan untuk menyunting anak gadis seorang Pak Kiyai. Sememangnya cerita ini menghiburkan dan banyak pengajaran.

Tetapi tanpa saya sedar, syaitan membisikkan sesuatu ke telinga.
Dihembusnya ke dada, ditinggalkan disepanjang urat-urat yang dijalaninya.
Apabila melihat akan kejahilan pemuda itu, Syaitan cuba membelokkan hati, dikatakannya bahawa diri ini seorang yang baik.
Dikatakannya kepada diri bahawa saya sudah boleh dikatakan baik kerana sudah tahu solat, sudah tahu mengaji, sudah tahu ilmu agama dan sebagainya sebagai pembanding kepada pemuda itu.

Aduhai diri.
Kubisikkan kembali kepada mu. Apakah solatmu itu diterima Allah? Apakah tertegaknya ia dengan ikhlas? Apakah bacaan Al-Quran itu cukup untuk membenteng diriku dari godaan? Dapatkah kau jamin amalanmu terangkat ke langit? Atau hanya dilemparkan kembali ke wajahmu. Apakah dengannya engkau semakin dekat dengan Allah Azzawajalla?

Aduhai diri.
Apakah kau fikir dirimu sudah cukup baik?
Tak lain itu semua merupakan sangkaan sahaja.
Bukan kerana orang memandangmu baik maka dirimu sudah terbukti baik.
Tetapi pandangan Allah Azzawajjalla lebih utama.
Jika dia menyingkap segala aib dirimu, apalah lagi yang tinggal untuk dirimu?

Aduhai diri.
Ingin kukisahkan kau suatu cerita.
Masih ingatkah lagi kau dengan tulisan Ibnu Taimiyyah?
Ketika mana dia berdialog dengan seorang penganut aliran al-Bataihiyah, satu gerakan pengamal Tasawuf sesat.

Orang itu bertanya kepada Ibnu Taimiyyah; "Apa yang ada padamu Ibn Taimiyyah? Jika kami pergi kepada kamu, iaitu Ahl Sunnah, wibawa kami luntur, tetapi jika kami pergi ke Tartar-Mongolia yang kafir itu wibawa kami malah muncul?"

Ibnu Taimiyyah langsung menjawab;
"Tahukah kamu perumpaan antara kami, kamu dan orang-orang Tartar itu? Kami tidak ubah seperti kuda-kuda yang berwarna putih, kamu tidak ubah seperti kuda belang, manakala orang-orang Tartar itu tidak ubah seperti kuda hitam.
Jika yang belang masuk ke dalam kelompok kuda hitam, maka akan nampak putihlah ia dikalangan kuda-kuda hitam itu.
Tetapi jika yang belang itu masuk ke dalam kelompok kuda putih, maka akan nampak hitamlah ia dikalangan kuda-kuda putih itu.
Kamu masih mempunyai sedikit cahaya.
Jika kamu masuk di celah-celah orang kafir maka nampaklah cahaya itu dan jika kamu masuk di celah-celah orang Ahl Sunnah yang mempunyai cahaya besar maka nampaklah kegelapan dan warna hitam yang ada pada kamu.
Demikianlah perbandingan antara kamu, kami dan orang-orang Tartar."

Untuk diriku?
Masih jauh lagi perjalanan mu itu. Apabila terasa baik berdampinglah dengan orang yang lebih baik, nescaya kau akan terasa dirimu itu jahat.
Apabila terasa pandai berdampinglah dengan orang yang lebih pandai. Nanti kau rasa ilmumu itu hanya sedikit sahaja.

Masih merasakan diri baik?


Adapun orang-orang yang putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam rahmat Allah (surga); mereka kekal di dalamnya.
Al-Imran,107.
Continue Reading...

Read more...

Semalam yang dilupakan


Alhamdulillah, pagi semalam saya dah habis exam.
Paper yang last adalah Paper Control System.
Ada 5 soalan. Kena jawab 4 sahaja. Soalan sikit sahaja. Tapi nak jawabnya berhelai-helai kertas. Hujung jari telunjuk dan ibu jari naik leper jadinya.

Sebelah petangnya saya berkunjung ke library. Untuk mengelakkan masa lapang yang memang sangat mesra dengan orang muda-mudi.

Kan pepatah arab mahsyur menyebut; "“Air yang tidak mengalir, akan merosakkan air tersebut. Pemuda yang banyak masa kosong , akan dibunuh oleh masa kosong itu

Seusai Zuhur kaki melangkah dari Masjid Al-Jazari ke bangunan Library.
Cuaca cerah, tiada tanda-tanda akan hujan.
Meleset lagi ramalan cuaca komputer saya semalam.

Sampai sahaja di muka pintu Library bahang kesejukan mula menjalar.
"Ah, sejuk pulak dalam ni. Menyesal pulak tak bawa sweater." Bisik hati kecil saya.

Redah jelah. Belek-belek helaian akhbar hari ini dan semalam. Selesai.
Ke ruangan majalah pula.

"Alamak, ini yang tak gemar ni. Sakit mata memandang." Mata saya menoleh pantas.
Istighfar. Terus menuju ke kaunter Library.Ada 2 orang Bro.

Saya mencapai akhbar News Straits Time yang ditinggalkan di atas kaunter, memulakan bicara sambil buat-buat belek suratkhabar.

"Bang, kenapa kat ruangan majalah tu ada banyak majalah yang front pagenya gambar perempuan pakai bikini?" Saya memulakan bicara.
Saya mula perasan yang ada satu majalah versi kesihatan di pamerkan diruang majalah. tapi hairannya semakin banyak pula.

"Oh, yang itu. Yang itu tahun-tahun lepas punya. Mr X yang nak majalah tu ada kat situ." Jawab salah seorang Brother. Apabila sebut sahaja MR X saya tak dapat nak cakap banyaklah.

"Ni mesti atas alasan berpemikiran terbukalah ni." Hati saya bersuara.

"Kalau macam tu tak boleh akan abang selindungkan. Tak payah la nak susun satu kat side ni, satu kat side sini. Nanti...."

"...Ah..ah..nampak obvious pulak ye.." Seorang lagi bro mencelah.

"Macam nilah kalau tak puas hati, boleh letak cadangan kat peti cadangan tu. Tapi kertas provided sendiri la yek." Bro yang mencelah tu memberi pandangan sambil tangannya menghala ke arah peti di belakang saya.

Peti Cadangan! Nampak kosong sebab peti ni transparent ! Mungkin saya orang pertama yang akan letak isinya...haha

Saya pun berterima kasih. Berlalu ke ruang bacaan. Dan mencapai kitab Al-Hikam. Lalu duduk untuk meneruskan pembacaan.

Continue Reading...

Read more...

Kembali mengaji?

>> Tuesday, April 29, 2008


Nampak baik mamat ni.
Alhamdulillah selalu ke masjid.
Sudah berani melaungkan azan. Tetapi menjadi Imam belum lagi.
Seusai solat di bukanya lembaran Al-Quran.
Dibacanya satu persatu, khusyuk.
Oh, di sini kurangnya masih belum lancar membaca Al-Quran.

Bukanlah memperkecilkan, tetapi ramai di kalangan kariah masih belum lancar membaca Al-Quran.
Sama ada baru tersedar dari mimpi atau sudah lama meninggalkannya.
Mereka punya semangat Islam. Tetapi apa yang membantutkan mereka dan melemahkan semangat adalah kurang lancar membaca Al-Quran.

Tidak payah malu.
Belajarlah. Teruskan belajar membaca Al-Quran. Kembalilah mengaji.
Imam masjid yang lancar dan tartil bacaannya itupun bermula daripada kosong.
Amatlah rugi jika umat ini menjauhkan diri daripada Al-Quran kerana tidak lancar bacaan.

Awak salah jika mengatakan belajar mengaji ini hanya untuk kanak-kanak atau mualaf.
Awak kena belajar juga.
Malahan jika diselak kelas mengaji secara percuma di sekitar lembah kelang. Kebanyakan muridnya adalah orang yang dah berumur.
Pulak tu ada yang baru nak mula dari Iqra' 1. Namun faktor umur tidaklah menghalang mereka.

Justeru, kalau umur masih 20-30 tahun. Masih tidak tahu mengaji? Jangan segan-segan nak pergi belajar. Masih belum terlambat.
Silap-silap anda tersedar bahawa andalah yang paling muda di dalam kelas itu.

"Sebaik-baik kalian adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya." (Hadis diRiwayatkan oleh Bukhari)

Continue Reading...

Read more...

Nasyid oh Nasyid lagi...


Saya pernah menulis di dalam Majalah i keluaran Mei 2006 bil 43 berhubung dengan pencemaran industri Nasyid.

Sepanjang tempoh itu sehingga ke hari ini, saya mendrikiminasikan mana-mana nasyid yang hanya bertujuan untuk menyedapkan halwa telinga sahaja. Ianya tidak sama berbanding nasyid yang ada nur dan 'khusyuk' di dalamnya. Ya, ianya amat berbeza apabila nasyid yang dinyanyikan oleh awie berbanding nazrey raihan. Tak sama..tak sama...

My ummah, my ummah
He will say
Rasulullah on that day
Even though we've strayed from him and his way

My sisters, my brothers, in Islam
Let’s struggle, work, and pray
If we are to
Bring back the glory of his way

Hari ini, sekarang ini ia bangkit kembali. Saya kembali meminati nasyid. Ya, nasyid yang yang didendangkan oleh saudara yang nampak mukhlis dalam menyampaikan dakwahnya.

Sami Yusuf!
Ada 'kekhusyukan' dalam setiap bait-bait puitisnya.

Hati ini tersentuh mendengarnya. Teringatkan Allah apabila mendengarnya. Rindukan Rasulullah SAW. Teringatkan ibu dan ayah. Menangisi kejatuhan ummah. Semua ini dipakejkan dalam satu album.
Tidak hairanlah mengapa pemuda kelahiran Tehran, Iran tetapi membesar di United Kingdom ini diminati lagunya di seantero dunia.

Continue Reading...

Read more...

Hidayah itu milik Allah SubhanahWataala

>> Monday, April 28, 2008

Apalah diri ini mahu banggakan berbanding mereka yang masih belum mendapat hidayah.
Mereka menyembah berhala, tetapi subhanallah akhlak mereka baik malah lebih baik daripada orang Islam.
Mereka beragama kristian, tetapi senyuman mereka murah. Memberi pertolongan dan suka menyambungkan silaturrahim.
Semoga Allah memberikan hidayah kepada mereka, Insyaallah mereka ini akan jadi muslim yang baik.

Panglima gagah berbadan sasa,
Berkepala besi membawa bendera,
Ingin mencabar Khalid beribawa,
Subhanallah hidayah Allah menjelma di hati kecilnya.

"Ting...Ting..Kting.."


Bunyi dua pedang saling berlaga.
Di sana, di medan Yarmuk dua tentera yang bertembung menghantar wakil untuk memulakan pertarungan.
Jumlah antara yang bertembung berat sebelah!
Orang Islam hanya seramai 30,000 sahaja berbanding tentera rom yang seramai 100,000 orang.

Khalid Al-Walid menyerang, Gergorius Theodorus menangkis.
Gergorius menyerang, Khalid menangkis.
Pertembungan antara dua Panglima ini juga nampak tidak seimbang.
Gergorius memakai topi besi, manakala Khalid hanya memakai serban sahaja.

Di tengah-tengah pertembungan Gergorius meminta rehat. Khalid bersetuju.
Anak mata saling bertembung, lalu Gergorius mula bertanya.
Antara pertanyaannya;

Georgorius: Apakah Allah menurunkan kepada Nabi-Nya Muhammad SAW sebuah pedang dari langit kemudian diberikannya kepadamu sehingga jika kamu pakai pedang itu untuk berperang, pasti kamu akan menang?

Khalid: Tidak!

Georgorius: Habis mengapa saudara digelar Saifullah?

Khalid: Ketika Allah SWT mengutus Nabi Muhammad SAW, seluruh kaumnya sangat memusuhinya termasuk juga aku, aku adalah orang yang paling membencinya. Setelah Allah SWT memberikan hidayah-Nya kepadaku, maka aku pun masuk Islam. Ketika aku masuk Islam Rasulullah SAW menerimaku dan memberi gelaran kepadaku “Saifullah” (pedang Allah).

Georgorius: Apa tujuan kamu berperang?

Khalid: Saya menyeru kepada kalimah Lailahailallah Muhammadurrasulullah.

Selepas itu berlaku beberapa soal jawab.
Dan akhirnya Georgorius memeluk Islam.

Beliau berperang bagi pihak Islam dan syahid dalam peperangan itu.
Maha suci Allah yang memberikan cahaya kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Continue Reading...

Read more...

Keruntuhan Ummah, satu penilaian.

>> Sunday, April 27, 2008



Kita adalah bangsa yang dibunuh!
Sudah cukup untuk mengatakannya kerana kita tidak mampu lagi bangkit hasil daripada penjajahan selama 443 tahun di tanah air ini.
Dalam tempoh itu, berbagai agenda kebangkitan ummah disekat.
Walaupun wujud penentangan tetapi bukan semua yang rela bangkit sendiri.

Imam Hassan Al-Banna secara terperinci telah menggariskan krisis ini.

"Pengalaman dan sejarah telah mengajar kita bahwa penyakit bangsa Timur ini wujud dalam pelbagai keadaan dan telah menular ke setiap sudut hayat mereka."

Apa buktinya?

i. Dalam sudut politik, kita berada dalam masyarakat yang berpecah dan berpuak-puak.

ii. Dalam sudut ekonomi, amalan riba berleluasa dan semua syarikat asing menjadi kaya kesan monopolo perniagaan di negara Islam.

iii. Dalam sudut pemikiran, timbul keraguan, islam liberal, murtad, black metal dan menolak tuhan yang menggugat akidah umat Islam dan menghancurkan nilai baik di dalam masyarakat.

iv. Dalam sudut sosial, wujud budaya pergaulan bebas dan keruntuhan akhlak. Tidak mahu terikat dengan budaya setempat tetapi dalam masa yang sama mengangungkan budaya masyarakat barat.

v. Undang-undang ciptaan manusia, tidak mampu menakutkan penjenyah dan tidak mampu mendidik. Lalu orang yang dizalimi tidak dapat kembali hak mereka. Orang yang menzalimi terus menzalimi. Tidak yakin dengan undang-undang yang telah digubal oleh tuhan semesta alam.

vi. Wujud kepincangan di dalam dasar pelajaran dan sistem pendidikan, hingga menghalang generasi baru, yang bakal memimpin ke arah kesempurnaan Islam. Mereka yang tidak dalam dasar Islam dibiarkan dan diangkat sebagai pemimpin. Hasilnya rakyat jadi lesu akibat pemimpin yang tidak tahu membimbing.

vii. Dalam sudut jiwa, umat ini ditimpa denga penyakit lemah semangat, malas, pengecut, rendah diri, bacul, tamak dan pentingkan diri sendiri yang menyebabkan tidak ramai yang rela berkorban. Yang tahu hanyalah berdiam diri tanpa mampu memberi sebarang pengorbanan. Akhirnya bangsa ini terpinggir daripada semangat kepahlawanan kerana hanya mahu berseronok dan berhibur.

Cukuplah kita dipijak selama beratus-ratus tahun. Ada sinar nampaknya diufuk timur. InsyaAllah janji Allah pasti terlaksana.

"Di atas robohan kota Melaka, Kita bangunkan jiwa merdeka, Bersatulah Melayu seluruh baka, Membela hak keadilan pusaka" – Dr. Burhanuddin Al-Helmy (Kota Melaka, 1946)

Continue Reading...

Read more...

In construction

>> Saturday, April 26, 2008



Saya mohon maaf jika terdapat sebarang ketidakselesaan. Laman ini sedang dibaiki.
Harap bersabar..

Continue Reading...

Read more...

Hmm..Cerita Tabligh lagi...



"Kenapa Tuan tak nak ikut Tabligh?" Zul, bertanya. Dia adalah pelajar tahun 1. Kami selalu duduk bersama berbincang di dalam masjid.

"Ada banyak lagi cara berdakwah. Bukan ikut tabligh sahaja." Saya menjawab.

"Cuba bercerita, apa sebabnya?" Zul seperti mendesak.

"Tabligh terlalu obsess dengan apa yang mereka lakukan. Aku tidak mengatakan keseluruhan Tabligh. Tetapi Tabligh di sini...." Saya menyambung.

"Tetapi ini usaha atas iman." Zul membalas.

Selepas daripada tu saya menyambung hujah. Sebahagiannya saya keluarkan hujah seperti saya tulis di dalam artikel Jawlah Satu Kemestian?

Semua ini bermula apabila kemasukan pelajar baru sesi 2007/2008 menubuhkan sinar baru di masjid.
Oleh kerana Masjid di Univ. saya ini masih belum ada imam dan bilal tetap, maka perancangan masjid juga begitulah arakiannya.
Maka fahaman Tabligh dibawa masuk. Alhamdulillah semakin lama semakin ramai.
Kebanyakannya pelajar-pelajar baru juga yang mengikutnya.

Namun seperti yang mereka maklum dan anggota dakwah juga maklum.
Pasti ada yang menentang. Yelah dengar sahaja Tabligh. Ramai juga telinga-telinga berdengung. Pintu bilik terkunci rapat. Rumah yang tadinya riuh menjadi sepi. cakap-cakap belakang mula kedengaran.

Bagaimana dengan saya?
Saya bukan ahli Tabligh. Saya ikut mana yang saya rasa perlu. Saya bantah mana yang saya rasa perlu juga.
Sehinggalah saya pernah diziarahi. Menerangkan tujuan itu dan ini....
Oh, inilah sebab orang lari. 5 minit diminta, menjadi satu jam setengah akhirnya.
Pulak tu menerangkan seperti jalan mereka sahajalah yang mendekati sunnah.
Berziarah dan bercakap sahaja dakwah? Menulis bukankah? Tunjuk akhlak baik bukankah? Hormat-menghormati bukankah?

Keadaan menjadi agak tegang. Bila emosi menguasai diri saya minta undur diri.
Cari titik persamaan. Buang titik pertelagahan.
Mungkin sebab itu saya menulis dengan panjang lebar dalam artikel Jawlah satu kemestian?
Saya print lalu saya sampaikan kepada yang berkenaan. Alhamdulillah saya berjaya menjelaskan.

"Setiap orang yang berusaha meninggikan kalimah Islam boleh menggunakan segala yang ada padanya seperti harta benda, jiwa raga, pena, dan lidah." Sayyid Abul 'Ala al-Maududi.



Continue Reading...

Read more...

Pintu angan-angan sentiasa terbuka..




Saya sering menghadapi persoalan pemikiran bertubi-tubi. Terkadang saya agak iri hati melihat rakan-rakan yang mencapai apa yang saya hajatkan tetapi tidak kesampaian. Ianya melebar sehingga membuatkan saya berangan-angan sambil membuat andaian..kalaulah...

Astaghfirullah..Saya beritighfar.
Kehidupan saya sekarang jauh lebih baik daripada orang lain. Mungkin inilah akibat suka memandang orang yang lebih atas.

Huh..Panjang angan-angan!
Saya adalah orang yang membosankan jika saya adalah orang yang panjang angan-angan.
Saya adalah orang yang tak ramai kawan jika saya orang yang panjang angan-angan.
Saya adalah yang tak nak mati sebab panjang angan-angan.

Patutkah saya menuding jari kepada orang sekeliling disebabkan sifat ini?
Mungkin ya..mungkin tidak..
Hakikatnya orang yang panjang angan-angan berada di mana-mana.
Hendak kulari daripada mereka, memencilkan diri daripada mereka. Malangnya di Masjid pun aku terjumpa.

Patutlah kita ini tidak layak dibandingkan generasi pertama Islam.
Dalam hati mereka ada Islam dan pemikiran mereka adalah strategi menyebarkannya.

"Kebaikan generasi pertama umat ini adalah kerana adanya sifat syahid dan keimanan yang kuat dan binasanya generasi akhir umat ini kerana adanya sifat bakhil dan banyak berangan-angan." {al-Hadith, riwayat Tarmizi dan Nasa'i}



Continue Reading...

Read more...

Geli Mat!! Geli Mat..Mat...

>> Friday, April 25, 2008



Gila glamour!!!

Mungkin seronok rasanya menjadi seorang artis glamour. Sana-sini nama disebut. Ada peminat. Menjadi tumpuan lensa kamera. Berjalan di atas karpet merah dengan fesyen-fesyen terkini dan rekaan pereka fesyen terkenal. Yang wanita ada harapan kahwin dengan Datuk. Yang lelaki boleh jadi pujaan peminat-peminat wanita yang selalunya menunjukkan sifat fanatik berbanding lelaki.
Huh, bestlah dunia glamour kononnya.....

Tidak keterlaluan rasanya jika saya katakan dunia glamour kita adalah hasil import budaya Hollywood. Fesyen, gelagat, kisah rumah tangga disensasikan oleh oleh Hollywood untuk tatapan peminat-peminat artis glamour barat. Mungkin ini yang dinamakan kemajuan dan kemodenan? Perjalanan dan pembangunan 'industri seni'(meluat dengan istilah menutup bangkai ini) tanah air perlu mencapai apa sahaja yang Hollywood sudah canangkan.
Mungkin sebab itulah kita tidak perlu halang artis-artis kita yang gemar menayangkan betis gebunya. Juga kita tidak boleh menghalang mereka untuk menayangkan separuh daripada dada mereka. Biarlah, jangan tegur kerana mereka sedang mengejar dan mahu menyaingi industri seni(saya terpaksa sebut sekali lagi) yang dicapai oleh hollywood.
Bolehkah begitu? Hmm..Matlamat tidak pernah menghalalkan cara.

Saya rasa artis-artis Malaysia patut bersyukur(dalam istilah syukur mereka) kerana wartawan hiburan kita tidaklah seteruk dan sedahsyat hollywood. Sana-sini lensa kamera mereka mengintai. Tanyakanlah kepada Britney Spears, Lady Diana, Marilyn Monroe, Michael Jackson dll, adakah kehidupan mereka cukup bahagia dan setenteram mereka yang tidak glamour? Kalau tidak mengapa sampai mereka terpaksa mengambil dadah, menelan pil tidur, malah sampai ada yang bunuh diri akibat tertekan dengan dunia glamour mereka. Kalau artis kita kena macam tu, mungkin gawat jadinya mereka ini. Jadi tak salah rasanya mengucapkan terima kasih kepada wartawan apabila kisah mereka dicanangkan tetapi masih dalam adab dan displin ketimuran lagi.

Sehebat manalah artis itu apabila dia berasa megah berjalan di atas karpet merah ala Hollywood di mana anugerah. Menang dan dapat berucap. Lalu dengan bangganya mengucapkan ini adalah kerana hasil kerja kerja keras mereka sendiri,atau rasa bodoh bila bercakap melayu etc. Bukankah lebih baik mereka mengucapkan terima kasih kepada peminat yang menyokong dan tidak membeli album dan filem cetak rompak. Dan tidak lupa kepada wartawan yang sudi menutup kisah buruk mereka. Ataupunkan lebih indah jika mereka mengatakan;

"Terima kasih kerana menyokong saya dan memberi saya menang. Entah mengapa kemenangan ini membuatkan diri saya terasa kerdil. Saya tidak tahu adakah kalian akan menyokong saya kelak untuk bersoal jawab dengan Allah di mahkamah mahsyar kelak. Juga saya rasa bangga tadi berjalan di atas titian karpet merah. Namun saya tidak pasti adakah saya akan berjalan seselesa itu di titian sirat nanti. Popular itu tidak penting. Yang penting adalah apa yang saya bawa memberi kebaikan kepada anda semua di sisi Allah."

Continue Reading...

Read more...

Love is Cinta..Hati-hati dengannya

>> Wednesday, April 23, 2008



Jelek saya melihat kisah cinta di layar TV. Jika ditanya siapakah penyesat erti sebenar cinta 'merpati dua sejoli' ini. Tudingkanlah jari kepada penerbit drama, tukang buat skripnya, penata layar, pelakon mahupun make up artisnya. Cinta ditafsir secara jelek dan tidak berisi. Pemiliknya hanya layak untuk si jejaka hensem dan si dara jelita. Mediumnya hanya SMS, Telefon, keluar makan, jalan-jalan pegang tangan di Taman Bunga.

OOhh...mengantuknya tengok cerita macam ini.

Dunia adalah suatu yang realistik. Takkan seawal umur mengenal cinta hingga ke tua nak makan lauk cinta je.
Sedarkah awalannya hanya perasaan cinta berlebihan sahaja. Hmm.. Hati-hati dengan sifat ini.

Tanda-tanda bahawa akan menghadapi cinta berlebihan adalah;

1. Hati yang tidak diisi oleh rasa cinta, rasa syukur, zikir dan ibadah kepada Allah.

2. Membiarkan mata jalang atau meliar. Sedarlah bahawa melepaskan pandangan mata adalah jalan yang menghantar kepada kesedihan dan keresahan. Ia hanya membuat pandangan menjadi letih. Anta lihat tetapi bukan seluruhnya anta dapat lihat dan tatap.

Nabi SAW bersabda;
Ertinya : "Pandangan mata adalah panah beracun dari panahan Iblis" ( Mirqatul Mafatih, 1/255; Ruhul Ma'ani, 22/7)

Dan satu lagi hadis ertinya;
"Setiap mata akan menangis di hari kiamat kecuali mata yang dilindungi (berpaling) dari perkara yang diharamkan Allah s.w.t" ( at-taysir bi Syarhi al-Jami' as-Soghir, 2/216 : Hadis Hasan)

3. Memperkecilkan ibadah, zikir, doa, puasa sunat dan solat sunat.

"Sesungguhnya shalat itu mencegah dari (perbuatan- perbuatan) keji dan mungkar" Al 'Ankabuut,45

Ubatilah. Cegahlah. Lakukannya untuk menghindar cinta berlebihan ini.

1. Berusaha untuk selalu berada di pintu-pintu ibadah dan memohon sembuh daripada penyakit ini daripada yang maha agung.

2. Menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan.

"Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat." " An Nuur, 30.

3. Menjaga hati daripada perkara-perkara lagho dan maksiat yang boleh mengikatnya dan berusaha melupakannya.

4. Menyibukkan diri dengan amal soleh dan mendatangkan manfaat. Bermujahadah dengan membiasakan dia berpuasa sunat dan menangisi diri di malam hari.

5. Menikah secara syarie.

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir." Ar Ruum, 21.

Baginda Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya; "Wahai para pemuda, sesiapa antara kamu yang sudah mampu untuk menikah, hendaklah menikah."



Moga bermanfaat.

Continue Reading...

Read more...

Final Exam baru bermul@

>> Tuesday, April 22, 2008



Bermula dari tahun 2004 saya menapak di Institusi Pengajian Tinggi ini. Bermula dikenali sebagai Akademi Tentera Malaysia(ATMA) yang terletak di Sg. Besi, Kuala Lumpur yang kemudiannya dinaiktaraf pada tahun 2006 dan dikenali sebagai Universiti Pertahanan Nasional Malaysia(UPNM).

Saya sudah berada di penghujung tahun ketiga pengajian. Bermula dengan tahun asas, tahun satu, tahun kedua dan sekarang dipenghujung tahun ketiga. Masih berbaki dua semester lagi untuk saya menamatkan pengajian. Walaupun Universiti ini sudah dinaiktaraf, namun program Ijazah Sarjana Muda saya masih lagi dibawah kendalian UTM.

Hari ini, bermula kertas pertama saya untuk peperiksaan semester 2 2007/2008. Peperiksaan akhir ke lapan saya semenjak menjejakkan kaki ke menara gading 'berloreng' ini. Semester ini saya mengambil subjek;

1. Mikropemproses
2. Asas VLSI Digit
3. Kawalan Analisis dan Rekabentuk
4. Prinsip Perhubungan
5. Kemahiran Komunikasi Berkesan (English Oral)
6. Makmal Khusus Tahun ke 3(Tiada Peperiksaan Akhir)

Usaha, Doa dan Tawakkal. Bermula dari 22 April sehingga 29 April. Agak singkat unutk menghabiskan lima kertas peperiksaan. Selepas itu saya akan melaporkan diri ke firma swasta untuk menjalani Latihan Industri.

Buat sebaik mungkin msrizal!!

Continue Reading...

Read more...

Mabruk MB Perak!

>> Sunday, April 20, 2008



YAB Dato' Seri Ir Hj Mohammad Nizar bin Jamaluddin

Apabila Ulama' dan Umara' itu bergandingan

Dalam salah satu siri ceramah beliau.

Duduk sama rendah berdiri sama tinggi. Boleh jumpa ke Menteri yang tak segan makan nasi bungkus?

Sabda Rasulullah SAW yang mafhumnya;

خيارأئمتكم الذين تحبونهم ويحبونكم وتصلون عليهم ويصلون عليكم وشرار أئمتكم الذين تبغضونهم ويبغضونكم وتلعنونهم و يلعنونكم

"Sebaik-baik pemimpin kamu adalah mereka yang kamu sukai, dan mereka( pemimpin) juga menyukai kamu, kamu mendoakan mereka, begitu juga mereka, manakala seburuk-buruk pemimpin adalah mereka yang kamu benci dan mereka juga benci kepadamu, kamu melaknat mereka, mereka juga melaknat kamu" (Riwayat Muslim)



الناس على دين ملوكهم
Ertinya : "Sesungguhnya rakyat akan mengikut gaya, cara hidup dan agama pemimpin mereka"
{al-Hadith}

Mabruk dan Tahniah diucapkan kepada
YAB Dato' Seri Ir Hj Mohammad Nizar bin Jamaluddin di atas pengurniaan Pingat Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) oleh Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah, Bukit Chandan semalam.

Saya sememangnya menjangkakan bahawa YAB pasti akan mendapat pingat tersebut pada ulangtahun keputeraan baginda Sultan yang ke 80 tahun ini!


Selepas hampir sebulan lebih YAB memegang jawatan. YAB dilihat sebagai pemimpin yang disenangi baik dari sebelah pembangkang ataupun penyokong kerajaan di Perak.
Semoga Allah memberi berbanyak kemudahan dan pertolongan kepada YAB dalam menghambakan dirinya kepada rakyat negeri Perak Darul Ridzuan tercinta!



Continue Reading...

Read more...

Anda bertanggungjawab ke atas mulut dan tulisan anda!

Hala tuju mike mungkin betul. Impian mike mungkin satu titik daripada securah manisan kebenaran.Tetapi alangkah jijiknya kerana ia tidak mengikut jalan yang sebenarnya dalam menempuh kebenaran ini.

Mana mungkin kebenaran itu dapat menerima mike. Sedangkan lidah mike penuh dengan kata-kata hina dan kutukan. Baik orang dikutuk dan dihina itu pemimpin atau tidak, apakah yang memberikannya lesen mike berbuat demikian?
Alasan kebenarankah? Minta maaflah kapal kebenaran yang mahu berlayar menuju kepuncak kejayaan tidak akan berlabuh untuk mengambil mike.

Sokongan kebenaran tidak pantas diambil daripada mike. Hatta mike punya serban setinggi 1 meter. Janggut panjang mencecah lantai. Bukan, bukan itu faktor mike diterima.

Terkadang teman terfikir. Apakah kesan solat yang didirikan oleh mike? Apakah ianya membawa penghayatan kepada kehidupan mike seharian.
Jika mulut itu penuh kemas dan tartil nya mengalunkan bacaan al-quran dan zikir dalam solat dalam keadaan merendah diri. Tersasul sedikit dirisaukan batal solatnya. Lalu kemanakah tartil ini dibawa kepada kehidupan sehariannya. Tidak risaukah terbatalnya iman mike kesan daripada ini.?



mengutuk tidak kena gaya? bolehkah?
menyamatarafkan dengan beruk? bukankah manusia itu telah diangkat kedudukannya?

Teman amat, amat-amat tersinggung apabila mendengar ceramah politik, membaca blog politik dan menilai orang-orang berpolitik yang di dalamnya penuh dengan kutukan ke atas peribadi orang yang dicanangkan itu berbeza fahaman itu. Kalau dulu Dr Mahathir dimainkan hidungnya. Sekarang Pak Lah pula dimainkan telinganya. Dulu pula ada ceramah Dr Badrul Amin yang mengutuk Dr Asri sebagai 'Bapak Setan'.

Ataupun pendedahan video lucah yang entah betul atau tidak adengan Khairy Jamaluddin. Semua ini membuatkan teman tersinggung.

Sangat tidak pantas bila ada seseorang yang mengaku dirinya Mukmin namun lisannya terlalu mudah untuk melaknat. Sebenarnya perangai jelek ini bukanlah milik seorang Mukmin, sebagaimana Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersabda :

“Bukanlah seorang Mukmin itu seorang yang suka mencela, tidak pula seorang yang suka melaknat, bukan seorang yang keji dan kotor ucapannya.” (HR. Bukhari dalam Kitabnya Al Adabul Mufrad halaman 116 dari hadits Abdullah bin Mas’ud radhiallahu ‘anhu. Hadits ini disebutkan oleh Syaikh Muqbil bin Hadi Al Wadi’i hafidhahullah dalam Kitabnya Ash Shahih Al Musnad 2/24).

Dan melaknat itu bukan pula sifatnya orang-orang yang jujur dalam keimanannya (shiddiq), karena Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersabda : “Tidak pantas bagi seorang shiddiq untuk menjadi seorang yang suka melaknat.” (HR. Muslim no. 2597)

Cuba bayangkan. Bayangkan ye! Jika tulisan kejian itu dibaca oleh junjungan Nabi Muhammad SAW. Apakah mike rasa Rasulullah akan merestuinya? Ataupun tengah-tengah dok ceramah kutuk-kutuk dan gelak itu, Rasulullah SAW hadir mendengarnya. Apakah pantas untuk mike ketika itu mengatakan mike menjalankan sebahagian daripada sunnah baginda.

Bertaubat nasuhalah orang-orang yang gemar mengutuk dan menghina yang tak kena tempatnya ini. Mike bukan sekapal dengan pemimpin yang mendokong kebenaran ini. Dan teman juga mencurigai wala'(kesetiaan) yang ditunjukkan mike. Mike kena sedar tu ye.

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertobat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." Al-Hujuraat, ayat 11.

Buat pengikut pula. Ketahuilah bahawa suara mereka ini tidak layak didengar. Nilai lah secara mata hati.

"Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keridhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (karena) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas." Al-Kahfi, ayat 28.

Continue Reading...

Read more...

Sehari di Pesta buku

>> Tuesday, April 8, 2008


Apabila diberitahu bahawa pesta buku akan diadakan pada 4-13 April, hati saya mula berbunga.
Bukanlah untuk menonjolkan saya adalah si ulat buku. Malah bukan semua buku yang saya beli sudah habis saya baca. Dan masih ada buku yang saya beli pada pesta buku tahun lepas masih belum disudahkan. Namun ini bukanlah sebab untuk saya tidak menambahkan koleksi buku di atas rak.

Saya menuju ke PWTC sesudah zohor sekitar pukul 2.30 pm pada 4 April, yakni hari sabtu lepas. Untuk mencari buku saya lebih selesa untuk bergerak seorang. Lebih fleksibel dan bebas berbanding pergi membeli bersama rakan-rakan.

Saya cuma menghabiskan sekitar RM 150 sahaja. Judul buku yang saya beli adalah;

1. Khalid memburu syahid-karya Abdul Latip Talib

2. Tariq, menang atau syahid-karya Abdul Latip Talib

3. Men Are From Mars, Women Are From Venus- John Gray

4. Perkara Asas Dalam Agenda Kebangkitan Ummah-Prof.Dr. Abdul Hamid Al-Ghazali

5. Indahnya saat bersama-mu- Nik Abdul Rahim Bin Nik Abdul Ghani & Ustaz Zahazan Mohamed


Antara buku yang saya beli

Saya juga berkesempatan bertemu dengan ustaz Zahazan Mohamad. Saya bersalaman dan menghulurkan buku 'Indahnya saat bersama-mu' untuk ditandatangan. Beliau sempat bertanyakan latar belakang pengajian saya. Sekaligus memberikan saya sedikit pendorong.

".........Oh, lepas ni jadi engineer la ye?"

"InsyaAllah ustaz." Balas saya.

"Lepas habis belajar , kerja dengan sektor awam atau tentera?"

"Dengan tentera ustaz, InsyaAllah."

"Bagus! Bagus! Dua mata yang tidak akan menangis di akhirat kelak. Pertama mata yang ketika di dunia ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah. Kedua adalah orang yang berjihad mempertahankan agama dan negara. Kerja dengan ikhlas ye Rizal. Rizal kena banyak membaca dan doakan saya juga....." Ustaz Zahazan memberikan nasihat sambil tangannya terus menulis sesuatu pada buku yang sudah menjadi milik saya itu. Tulisan arab, 'Hablun Minanallah wa ni'mal waqil'...

Apabila berkunjung je gerai PTS Mellinia saya terpandang buku karya Zalisa Maz. Agak kecewa kerana sahabat blogger saya ini tidak ada di situ. Namun saya sudah cukup gembira kerana sempat bertemu dengan Abdul Latip Talib. Jujur saya mengatakan karya beliau yang saya pertama kali baca iaitu Salehuddin Al-Ayyubi cukup memukau. Dan tanpa ragu-ragu saya mencapai dua lagi karyanya.

Semoga pesta ini ada lagi tahun hadapannya..Ada impian yang masih saya mahu lunaskan.

Continue Reading...

Read more...

Kematian, pintu seterusnya menuju kepada Tuhan..!

>> Sunday, April 6, 2008



Kemana diri ini mahu lari?
Dunia dihadapannya penuh dugaan. Duri ranjau menunggu-nunggu untuk menusuk dan menikam.
Kemana diri ini mahu berpaut?
Kepada rakan-rakan yang tak putus-putus menggoda untuk meneguk kenikmatan dunia sepenuh-penuhnya. Mengatakan mati itu lambat lagi dan perjalanan di alam barzakh masih jauh lagi.

Oh, cukup diri ini termanggu dengan kata-kata Rasulullah SAW.(1) Kata baginda bahawa Allah akan mencampakkan penyakit 'wahan' ke dalam diri umat Islam di akhir zaman. Apakah penyakit 'wahan' itu? Tak lain tak bukan, cintakan dunia takutkan mati.

Mati?!!
Persoalan yang menghujani diri ini. Mati? Impian yang melangkau 30 tahun ke hadapan akan musnah di sebabkan mati. Kebahagiaan dunia yang dirasakan menyeronokkan akan terhalang disebabkan mati.
Apalah yang tinggal dengan kejayaan di mata manusia kalau diri ini seorang yang telah mati?
Atau pujian yang melambung daripada rakan taulan, sanak saudara jika diri ini adalah orang yang telah mati?
Kemana perginya pangkat, gelaran dan harta-harta melimpah ruah, jika diri ini adalah orang yang telah mati?
Adakah artis-artis, bintang bola sepak yang dipuja-puja akan mengiringi mati ini dengan seribu keberkatan.
Adakah mereka akan memberikan syafaat di saat penghisaban atau menyalahkan kita di mahkamah Mahsyar?

Oh, amat beruntunglah orang yang khusyuk dalam ibadahnya. Merekalah orang yang berjaya yang digambarkan di dalam Al-Quran (2).
Kehidupannya tenang. Jiwanya damai. Nikmat yang diperolehi diyukuri. Ujian yang datang diraih dengan sabar dan yakin diri.

Oh, amat beruntunglah orang yang punya nilai Taqwa.
Di dalam dirinya penuh degan sifat hati-hati menongkah ujian dunia.
Bukankah mereka ini pernah juga mendengar akan wasiat Luqman Al-Hakiem kepada anaknya;

"Dunia ini umpama sebuah lautan yang sangat dalam, banyak orang yang sudah tenggelam di dalamnya. Lantaran itu hendaklah engkau lengkapkan kapalmu itu dengan taqwa kepada Allah, penuhkan perutnya dengan cahaya keimanan, buatlah layarnya dari tawakkal kepada Allah, moga-moga engkau akan selamat dan itupun belum tentu, tiada seorang pun yang boleh menjamin."

Oh, amat malanglah orang benci menghadapi mati. Diandaikan mati itu tak akan menimpanya? Tidak pernahkan difikirkan tentang kenapa dia hidup dan mengapa dia perlu hidup? Bukankah hidup ini disebabkan adanya Pencipta Yang Maha Besar? Tak mahukah dia bersyahadah, bahawa Allahlah yang sebenarnya menjadikan kita daripada tiada apa-apa kepada ada. Mencipta alam ini daripada kekosongan kepada ada!

Dunia adalah sebentar. Purata hidup hanya setakat 50-60 tahun sahaja. Mati itu pasti menanti dimana-mana sahaja. Lalu bersediakah kita untuk menghadapai alam barzakh di mana Nabi Muhammad SAW telah tinggal di dalamnya selama 1400 tahun mengikut perkiraan kita berbanding 63 tahun sahaja umur baginda di dunia?
Lamanya alam Barzakh buat orang yang berfikir secara waras dan bijaksana.

Saidina Ali ra pernah berkata;
* Sesungguhnya dari nikmat dunia itu, memadai bagi kamu Islam sebagai nikmat.
* Sesunggunya dari kesibukan dunia itu, memadai ketaatan kepada Allah sebagai kesibukan.
* Sesungguhnya dari peringatan itu memadailah mati sebagai peringatan.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------
(1) Petikan hadis riwayat Abu Daud
(2) Surah Al-Mukminun

Continue Reading...

Read more...

Kita kutuk Fitna

>> Thursday, April 3, 2008



Kita bukan umat Jahanam. Kita dibangunkan dengan satu sentuhan. Sentuhan kasih sayang rahmat Allah SWT. Filem Fitna itu memang keji. Tetapi hakikatnya itu bukan satu atau pertama kali. Orang yang membuat filem itu memang keji. Tetapi hakikatnya dia bukannya berdiri seorang dan dia bukan orang yang pertama kali.

Kita punya suara yang lemah? Kita tidak...

Kita hanya dibuai mimpi indah? Kita tidak...

Siapa yang mahu mempertikaikan agama hebat ini? Ia diamalkan bukan atas dasar hujah sahaja tapi praktikal. Ia tidak mendendangkan kepercayaan karut tapi betul. Ia bukannya datang dari seorang lelaki gila tetapi lelaki yang berperibadi mulia. Ia bukan sekadar agama tok lebai atau agama Tahlil dan Yassin tetapi ia adalah agama Syumul lagi Komprehensif. Ajarannya bukan mustahil diikuti malah membawa kebaikan pula.

Justeru kenapa ini berlaku?

Kita sendiri yang membenarkan ianya berlaku.
Saya tipu?

Berapa banyak filem kita sendiri (filem kitakan wajah kita) yang menghina Islam itu secara sinis. Sungguh saya tidak dapat menerima filem yang anti-budaya, menghalalkan ikhtilat, malah mempersendakan sensitiviti kaum Islam di Malaysia. Hakikatnya kita bukan sahaja membenarkan ianya masuk dan ditayangkan. Kita turut sama-sama tumpang gembira untuk menghasilkannya. Lalu apabila filem-filem yang terang-terangan menghina begini sudah disensasikan, kita terang-terang mahu mengajak orang ramai membantahnya.

Minta maaflah, mana dia pengarah filem bertaraf profesor untuk mengulas? Mana dia artis yang bangga berpakaian mencolok mata untuk mengulas? Mana dia pelakon yang merasakan tanggungjawabnya untuk melakonkan watak ranjang untuk mengulas. Kita mahu menentang diluar, tetapi yang di dalam pun lantang berkokok. Kita mahu menyekat diluar, yang di dalam baju pun ligat mengutuk.

Pandang sinis.

Saya melihat kemarahan orang-orang Islam di Malaysia ibarat baling bola ke dinding, kena balik ke muka. Syukurlah jika yang tidak senang ini adalah orang-orang yang dari dahulu mempertahankan kesuciaan Islam. Tetapi bagaimana pula dengan sekadar hangat-hangat tahi ayam? Kita boikot! Tapi yang menyeru boikot tu pun orang yang tak segan silu menyedut asap rokok.

Jeng..Jeng...

Kita mahu boikot mereka? Mereka sendiri mengutuk filem ini. Ibarat baling batu sorok tangan... Siapa mahu dipersalahkan?

Kita mahu boikot mereka? Ah, kalau mahu dikira boikot. Banyak lagi perkara perlu diboikot. Israel yang merupakan kuasa rokok yang besar di dunia. Hampir semua rakyat negaranya bukan orang Islam. Mereka terang-terang menyembelih orang Islam. Kita masih juga membenarkan ianya dibawa masuk. Dihisap dan disedut. Kadang-kadang saya rindu pula pada pemerintahan Islam silam dibawah pemerintahan sultan Murad-IV(memerintah 1623-1640 m). Beliau sangat kuat memusuhi rokok sehinggakan pernah dilaksanakan hukuman bunuh kepada penjual rokok dan perokok aktif di dalam negara.

Apa nak buat?

Bersabarlah, jangan kembali mencemuh agama mereka. Kita boleh mempersoalkan penyelewangan agama mereka. Tetapi bukan mencemuh dan mengeji. Dekatkanlah diri kita serapat-rapatnya dengan Al-Quran. Ini mana orang tak pijak, dah kita main tinggal untuk buat orang pijak!

Sabar, sabar....

Kitakan ada OIC! Kitakan ada OIC! Kitakan ada OIC!( harapan berupa sindiran )

Continue Reading...

Read more...

Apa itu Kuew Teow ?

>> Tuesday, April 1, 2008



Antara masakan kegemaran saya adalah Kuew Teow Goreng. Sebenarnya ianya tidaklah terlalu hebat jika mahu dibandingkan dengan makanan sedap lain. Cuma ianya mudah untuk dimasak dan mudah juga untuk menelan. Saya mahu kongsi resepinya.


60 ml minyak
4 ulas bawang merah } ditumbuk
3 ulas bawang putih }
1 sudu besar pes cili
300 gm udang sedang - buang kulit
200 gm sawi – dipotong 3 cm
1 paket bebola ikan – dibelah 2
500 gm kuew teow
150 gm taugeh - dibuang ekor
Daun bawang, cili merah (hiasan)
Gula secukupnya

Bahan A (campur):
2 sudu kecil kicap manis
1½ sudu besar sos tomato
2½ sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos cili

Cara membuat:
1. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan tumbuk dan pes cili hingga terbit bau.
2. Bubuh bahan A, gula dan udang, kacau rata.
3. Masukkan batang sawi dan bebola ikan, kacau hingga udang separuh masak.
4. Campurkan daun sawi, gaul hingga separuh layu.
5. Akhir sekali, masukkan kuew teow dan taugeh.
6. Bila taugeh hampir layu, angkat. Taburkan daun bawang dan cili merah.


Continue Reading...

Read more...

Dunia seperti segelas air


Ibnu Sammak adalah seorang yang bijak pandai. Beliau sering memberi nasihat kepada Khalifah Harun al-Rasyid. Suatu hari Harun al-Rasyid berasa sangat haus, sehingga tidak tertahan rasa dahaga itu. Lalu dimintanya segelas air. Lalu Ibnu Sammak bertanya; "Sekiranya dalam keadaan dahaga ini, anda dihalang untuk minum air itu, adakah anda sanggup untuk menebusnya dengan separuh kerajaanmu?" Harun menjawab, "Ya."
Selepas selesai Harun mengahabiskan minumannya, Ibnu Sammak bertanya lagi; "Jika anda dihalang untuk mengeluarkan air yang sudah memenuhi separuh perutmu (kencing), adakah anda sanggup menebus dengan separuh kerajaanmu?" Harun menjawab, "Ya."
Lantas Ibnu Sammak membuat kesimpulan; "Lihatlah, segelas air itu lebih berharga rupa-rupanya daripada sebuah kerajaan."

Kisah di atas bolehlah dijadikan renungan kepada mereka yang terkejar-kejar akan harta dunia.
Saya agak takut memandang dunia luar. Ianya dipenuhi dengan nila-nilai materialistik yang seakan-akan berhala yang disembah. Rumah, kereta, handset, baju berjenama dan sebagainya menjadi suatu kayu ukur menilai peribadi seseorang sekarang. Saya bukanlah anti kaya atau tidak berniat untuk menjadi kaya. Saya pun mahu menjadi orang kaya, bahkan saya pernah meletakkan sebaris ayat, "I'll be a Milionaire!" di dalam dompet saya. Tetapi kaya tidak semestinya materialsitik. Dan kaya bukanlah syarat jelas untuk menjadi seorang yang Materialistik.

Saya agak kesal apabila berjumpa dengan sesetengah orang yang kerjanya hanya bermatlamatkan duit sahaja. Tanpa duit siapalah dia. Tidak benilailah dirinya. Duduk sebentar dengan mereka ini membuatkan saya rimas. Hampir tiada topik menarik lain yang mahu dibincangkan selain daripada duit dan harta. Lebih malang lagi, jika ada yang sanggup meninggalkan solat disebabkan kesibukan kerja dan duit. Dimanakah kebahagiaan yang diimpikan itu jika solat pun ditinggalkan? Tidakkah mereka pernah membandingkan diri mereka dengan orang bukan Islam lain yang juga bertungkus lumus bekerja. Mereka juga tidak solat dan bekerja keras untuk kehidupan dunia. Lalu apakah yang membezakan mereka dengan orang bukan Islam ini? Moga Allah memberikan hidayah kepada kita semua.

Kebahagiaan itu bukan terletak pada materialistik semata-mata. Lagipun kebahagiaan dengan materialsitik hanyalah sebentar dan pinjaman sahaja. Tak lebih daripada mahu berbangga sesama manusia. Tipu! Saya tak percaya itu kebahagiaan hakiki. Bagi saya, sekarang saya sudah merasa bahagia apabila punya rakan-rakan yang mengambil berat. Keluarga yang riang menyambut kepulangan saya apabila balik kampung. Saya juga merasa bahagia apabila ringan kaki ini untuk berjalan dicelah kesejukan subuh menuju ke Masjid. Lalu dimanakah hendak dikategorikan kebahagiaan ini? Boleh dapat dengan hanya materialistik?

Harta, kereta, rumah besar dan lainnya hanyalah impian kabur yang tak jelas. Apabila segala ini telah dimilik maka mereka akan bertanya pula, "What's next?" Inilah persoalan yang menghantui diri saya sejak kebelakangan ini. Ini mungkin juga akibat terkesan dengan kegilaan harta ini. Dalam fikiran sehari-hari hanya ada peta minda untuk memliki sebuah kereta yang agak besar, kahwin pada usia 24 tahun, memiliki rumah sendiri, naik haji pada usia muda dan punya kerjaya yang kukuh. Selepas itu apa dia? Ya, ini adalah impian saya yang tak jelas. Lalu saya mengambil sehelai kertas putih. Saya coretkan matlamat jelas. SYURGA. Saya gariskan cabang-cabang menujunya. Saya letakkan guide linenya iaitu ilmu Al-Quran dan Assunnah. Saya letakkan rukun Islam sebagai tiang menompang matlamat ini. Saya taburkan bunga-bunga mewangi iatu Isteri Solehah dan anak-anak soleh hasil didikan yang baik. Saya mahu hiaskan lengkap dengan peribadi yang baik dan soleh. Serta menguatkannya dengan amalan sunnat. Serta menebarkannya dengan syiar.

Lalu jika ini yang saya berjaya pegang, maka saya akan berkata; "InsyaAllah harta banyak mana pun dikurniakan Allah, saya akan sedar bahawa dunia itu tak lebih daripada segelas air sahaja.!"
Continue Reading...

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP