Terus berlari atau mahu berganti-ganti?

>> Monday, April 27, 2009

Mata ini makin mengantuk menahan diri untuk terus membaca buku. Mujur Bema menghulurkan sachet Tora Bika-kali pertama saya minum kopi jenama ini. Setelah dibancuh dengan 2 sudu gula dan air yang suam-suam panas, ianya terasa enak dinikmati di waktu jam sudah menghampiri waktu pagi.

"Mata saya sudah tidak mengantuk lagi!"

Niat saya tidak mahu menulis sepanjang peperiksaan, tetapi masa itu relatif. Musim peperiksaan bukan bermakna saya perlu menelaah setiap masa. Saya perlu ada masa gurau senda, main bola, datang halaqah, baca blog dan tentu juga menulis. Kerana menulis itu bisa meleraikan kekusutan di minda.

Dari pemerhatian itu timbulnya kesedaran

Ketika ini saya sedang membuat latihan soalan-soalan semester lepas. Saya agak canggung melihat soalan-soalan mukadimah yang berkisarkan definisi subjek. Contohnya, subjek Power Electronic yang saya akan hadapi pada hari Rabu ini, insyaAllah;

1. Explain how power electronic can help reduce the world-wide environmental (polution) problem?

2. What are the two main functions of power electronic swithces drives? Explain the operation of simple MOSFET driver.

Ini antara soalan yang di luar dugaan saya. Lazimnya subjek kira-kira seperti ini jarang mengeluarkan soalan berbentuk KBKK dan fakta. Oleh kerana saya agak culas untuk membaca pangkal penerangan setiap bab, saya jadi ralat untuk menjawabnya. Sebenarnya, saya lebih gemar untuk menghuraikan persamaan litar dan menerbitkan formula. Tetapi ini adalah cara yang salah saya menghadam pelajaran. Penulis buku teks tidak sengaja menulis fakta dan definisi untuk hiasan sahaja. Isi itu ditulis untuk dibaca.


Nasihat orang yang lebih tua

Saya teringat kata-kata seorang pensyarah di dalam kuliah beberapa tahun lepas. Saya perkenalkan nama panggilannya, Encik Nik.

"Kamu semua kenalah juga membaca fakta-fakta di dalam buku ini (beliau memaksudkan buku MicroElectronic). Jangan asyik nak harap soalan kira-kira sahaja. Kamu semua bukan nak jadi Mathematician. Tetapi nak jadi Engineer." Encik Nik memberi nasihat ringkas.

Suasana kelas diam, masing-masing mendengar dengan tekun.

"Nanti kalau suatu hari ada orang yang mencipta calculator untuk menyelesaikan semua masalah matematika, susahlah kamu. Tiada kerjalah jadinya." Encik Nik menyambung. Ada pelat-pelat Kelantan sedikit di hujung intonasinya.

Ya, benarlah kata-kata Encik Nik. Satu semester mahu menghabiskan buku teks yang rata-ratanya setebal 2 cm setengah. Memang 'kebas mata' nak menghadamnya. Jika hendak mengikut saranan Encik Nik, dia akan menyuruh membaca buku teks bermula dari Dedication, Acknowledgement, Preface, Contents sehinggalah yang terakhir sekali Index.

"Kesemuanya ini sengaja diletakkan untuk dibaca. Kamu ingat penulisnya saja-saja je nak letak semua ini?" sindir Encik Nik di lain sesi pula.


Beginilah lazimnya manusia itu dinilai secara fizikalnya.

Seperti mana halnya tabiat diri yang suka main keep in view/skip/lompat-lompat di dalam menelaah, begitu juga halnya mungkin dalam usaha untuk mengenali manusia. Yang suka diambil, yang tidak suka ditinggalkan.

Ada orang yang suka berkawan disebabkan berkepentingan sahaja. Berkawan disebabkan popular, anak orang kaya, pandai, hensem, ada kereta dan sebagainya. Berkawan dengan minah ini disebabkan dia rajin belanja makan, cantik di pandang mata, ramah bercerita, popular dan lain-lain juga.

Sudah mahsyur kisah Abdullah Ibnu Maktum yang buta sebagai pengajaran. Rasulullah SAW ditegur Allah kerana membiarkan sahabat yang mulia ini demi melayan pembesar Quraisy. Semenjak itu Rasulullah amat mengambil berat kepada sesiapa yang mendatanginya. Hebatnya peribadi mulia Baginda.

Bagaimana pula dengan diriku? Cubalah hitungkan rakan-rakan dan kenalanmu.

-Berapa ramai di antara mereka yang ada berkepentingan untuk diri dan berapa ramai lagi tidak?
-Berapa ramai yang berwang di antaranya dan berapa ramai yang tidak?
-Berapa ramai yang bergelar pelajar dan berapa ramai yang kerja kampung sahaja?
-Seimbangkah di antara yang mendapat nikmat dan juga yang mendapat berkat ini?
-Orang kaya itu bermanfaat di mata, orang miskin itu bermanfaat sebagai catatan pahala. -Anak sendiri itu banyak manfaatnya di hari tua, anak yatim itu bermanfaat untuk menjamin syurga.

"Aku dan orang-orang yang memelihara anak-anak yatim seperti dua jari ini di dalam syurga" (Rasulullah SAW menunjukkan antara jari telunjuk dan jari tengah)-Hadis Riwayat Abdullah bin Al-Mubarak daripada Abu Hurairah, Tafsir Al-Munir.


Allah Taala menjadikan semua ini untuk dimbil iktibar oleh manusia. Jangan hanya duduk di dalam kepompong diri sahaja. Keluar dan hadapi realiti masyarakat. Ingatkah kita pada analogi orang di atas kapal dan orang di bawah kapal? Disebabkan tidak mahu menyusahkan orang di atas untuk menghulurkan air, maka mereka pun menebuk dinding di bawah kapal.

Jangan biarkan diri tenggelam kerana keegoan dan orang lain tenggelam kerana kejahilan. Berilah peringatan peringatan itu ada manfaatnya sesama insan.




MS Rizal,
Kuala Lumpur,
27 April 2009/ 2 Jamadilawal
2.55 pagi
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Mahu berdiri atau terus berlari?

>> Monday, April 20, 2009

"Macam mana exam? Ok?"

"Paper saya tak start lagi, paper tuan pula bila?"

"Khamis ini, insyaAllah..."

Ini perbualan saya bersama dengan seorang junior semasa di dalam lif. Soalan yang saya utarakan itu adalah soalan paling mudah untuk memulakan perbualan. Belajar untuk ramah tidak susah, hanya perlu banyakkan latihan senyum, dan berbual topik yang umum. Peri pentingnya hubungan sesama manusia, konsep hamblumminnas perlu menjadi sesuatu yang utama selepas hamblumminallah..

Satu pengumuman penting!

Blog ini mungkin akan diabaikan oleh sang pemiliknya sepanjang minggu peperiksaan berlangsung. Saya sedar betapa pentingnya pengumuman ini dibuat disebabkan pastinya ada yang bertanya,

"Kenapa sudah lama tidak mengupdate blog syeikh?"

Jawab saya, "Maaf akhi/ukhti/bro/sister/kawan, saya sedang concentrate pada final exam"

Di sini sengaja saya menyenaraikan jadual peperiksaan untuk semester terakhir ini..insyaallah;

23 hb April 2009 - Professional Engineering Practice (2 credit hours)

29 hb April 2009- Power Electronic and Motor Drives (3 credit hours)

4 hb Mei 2009- Engineering Management (2 credit hours)

11/12/13 Mei 2009- Presentation Final Year Project+Documentation (4 credit hours)

*Biru untuk subjek yang 'sejuk', Merah untuk subjek yang 'panas'.

Diari hidup saya di Univ. ini sudah hampir ke penghujung, segala puji bagi Allah yang telah menghadiahkan saya destinasi tarbiyyah terbaik yang pada awalnya bukan dalam impian. Saya tidak pernah mengimpikan untuk menjadi seperti ini, tetapi siapa tahu boleh jadi apa yang dibenci itulah yang terbaik buat diri. InsyaAllah saya akan mengulas lanjut tentang bab ini. Satu sahaja yang boleh saya rumuskan sepanjang 5 tahun hidup di sini, -Life is Tough Here!-




MS Rizal,
Kuala Lumpur,
20 April 2009/24 Rabiulakhir 1430H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Mukmin musleh, menghadapi transformasi diri...

>> Friday, April 17, 2009

Menuju bulan-bulan terakhir sebagai seorang pelajar graduan pastinya membuatkan ramai antara kita yang bercampur baur perasaannya. Tentunya, kepuasaan akan terjelma selepas hampir 4-5 tahun berjuang untuk mendapatkan segulung ijazah.
Memikirkan detik-detik sebagai seorang yang berkerjaya pastinya mengundang seribu macam gundah dan pertanyaan di dalam benak diri ini. Apakah daku akan sentiasa istiqamah dan tsabat di jalan ini? Insyaallah, dengan ketentuannya...

Kemana mahu pergi?

InsyaAllah, saya bakal memegang segulung ijazah sarjana muda kej. elektrik dan elektronik(tidaklah cemerlang manapun). Saya tidak berapa pasti apa yang akan berlaku di kemudian hari, cuma sedikit gambaran yang saya perolehi daripada abang-abang yang sudah berkerjaya boleh dijadikan panduan.

Menjadi biasa atau luar biasa?

Tentunya alam kerjaya adalah pentas sebenar untuk saya menguji diri. Tidak sedikit yang hanyut dilambung kesibukan, ditarik keseronokan akibat sudah berduit dan berpangkat. Saat ini komitmen begitu banyak, setiap pihak menagihnya. Jika tersilap langkah pasti saya akan tersungkur. Dan bila saya sudah tersungkur bertambahlah lagi satu titik hitam di dalam masyarakat. Justeru saya perlu ada matlamat jelas, dan proses-proses untuk membina matlamat itu.

Sudah terbentang jalan sama ada menjadi biasa atau luar biasa. Hidup seperti manusia biasa sudah tersedia highwaynya. Aturannya mudah, kerja-kahwin-beli kereta/motor besar-beli rumah-dapat anak-naik pangkat-pencen-mati! Ramai orang yang mahukan jalan hidup seperti ini. Tetapi, ini sebenarnya cara hidup yang tidak jelas, rugilah hikmah yang terbentang di dalam warna Islam jika satu pun tidak digarap dan diambil madunya.

Jalan hidup sahabat Rasul itu yang perlu dicontohi. Daripada cara hidup yang biasa-biasa, mereka berubah menjadi luar biasa dengan kehendak Allah. Malanglah, jika saya tidak mengambil ibrah daripadanya. Anehnya, saya mahu dikenali zaman, tetapi kita tidak pernah ambil tahu manusia hebat yang dirakamkan oleh zaman. Jangan persiakan hidup wahai diri. Hidup hanya sekali, tetapi peluang untuk berubah itu ada banyak kali.

Apakah kesudahanmu?

Manusia tidak tahu bila dia mati, dan bagaimanakah dia akan mati? Namun tidak salah untuk kita menetapkan mengapa kita mahu mati dan harapan bagaimanakah untuk kita mati. Bagi saya saat menuju kematian yang paling indah adalah saat kematian Saad bin Ar-Rabie' sewaktu perang Uhud. Di mana waktu-waktu menjelangnya ajal ditubuhnya terdapat 70 liang bekas tikaman, pedang, tombak dan panah. Tetapi tidak dipedulikan itu semua lantas dikhabarkan kepada Zaid bin Thabit,

"Sesungguhnya aku telah tercium bau syurga."

Juga saya fikir.
Tiada mimpi yang paling membuahkan harapan selain mimpi Syed Qutb pada malam sebelum dia diheret ke tali gantung,

" Aku bermimpi bertemu Rasulullah, baginda menunggang kuda putih dan bersalam denganku lantas berkata, "Bertenanglah wahai Sayyid, sesungguhnya kamu telah berjaya mendapat kematian sebagai seorang syahid di jalan Allah.""

Adakah kesudahan begitu layaknya untuk orang yang setiap hari fikirannya kepada hiburan, kemewahan, pangkat dan harta. Kerana ini bukan perilakunya watak yang layak memberi syafaat kepada 70 orang ahli keluarganya di akhirat kelak.

Ketahuilah diri.

Malam dan siang itu silih berganti. Itulah malam yang kelam dan inilah siang yang cerah. Seperti ini jugalah keadaan malam dan siang diwaktu hidupnya Nabi Nuh dan Nabi Hud. Inilah juga malam dan siang yang dijalani watak Qarun dan Firaun. Berjalanlah seseorang yang amat baik dan seorang yang amat jahat di bawahnya. Namun ternyata tiada siapa pun yang pernah menggugatnya. Bahkan entah berapa ramai yang telah terlipat dibawah kebahagian dan kesengsaraannya.

Jika luar biasa itulah pilihanmu...

Maka ketahulah, jalan ini bukan jalan untuk orang yang takutkan miskin dan kelaparan. Bukan untuk orang yang suka bersenang-senang memuaskan hawa nafsunya. Jalan ini adalah jalan pembersihan dan mengajar untuk memenjarakan diri di dalam dunia yang menipu. Jalan ini melimpahkan sejuta rahmat dan keberkatan tetapi amat memerlukan kejujuran dan ketahanan. Demi Allah yang diriku berada di dalam genggamannya, tiada siapa yang mampu meneranginya kecuali mukmin yang bergantung sepenuhnya pengharapan kepada Allah Azzawajalla.

Cukup hanya di sini, selamat menjalani peperiksaan semester terakhir buat diri.



MS Rizal,
57000, Kuala Lumpur,
17 April 2009/ 21 Rabiulakhir 1430H
Kembali ke laman utama..
Continue Reading...

Read more...

Tazkirah Jumaat: Ilmu tanpa amal itu sia-sia

>> Friday, April 10, 2009

"Argh..." saya melenturkan postur badan yang mula tegang.

Lantas saya membetulkan posisi punggung yang mula merencah kebas. Alhamdulillah, tesis saya sudah hampir 80% siap. Saya masih berkampung di perpustakaan, sebelum mahu pulang ke bilik sebentar. Niat di hati mahu mencetak draf tesis tersebut sebelum dihantar kepada pensyarah pusat Bahasa Inggeris. Saya perlu menyemak dahulu kandungan tesis ini yang mewah dengan kesalahan tatabahasa...huh!



Bangunan indah yang menyenangkan

"Dua perkara yang membuatkan sesebuah Universiti itu istimewa!" saya mula mahu berfalsafah kepada rakan.

"Apa dia?" rakan saya berbasi-basi.

"Masjid dan perpustakaannya!"

Benar, tanpa kedua-dua tempat ini saya tidak merasa zouq yang ada pada sesebuah Universiti. Dan kedua-dua tempat inilah yang menjadi target saya yang pertama jika melawat sesebuah Universiti. Di sinilah tempat paling bahagia buat mereka yang inginkan ketenangan. Orang ramai bersantun berada di bawah naungan bumbungnya. Tidak bercakap sia-sia dan ramai yang tekun melakukan pekerjaan mereka.

Namun apalah yang ada pada keistimewaan dua bangunan ini jika orang yang bernaung di bawahnya tidak mendapat hidayah melalui pekerjaan mereka. Perpustakaan yang mewah dengan hasil gedung ilmu yang bercambah-cambah. Buku-buku berderetan membuktikan kepandaian si pemiliknya dan anak didik di dalamnya. Masjid yang cantik diukir nan indah tetapi masih tidak ramai yang sudi memenuhkannya untuk hadir berjemaah.

Saya menyatakan kepada diri saya. Jangan tergesa-gesa mengukur orang yang banyak koleksi bukunya, adalah orang yang baik. Lebam dahinya itu benar-benar warak. Sehingga saya perlu benar-benar memerhati amal perbuatannya dan sikap istiqomahnya. Juga kesan koleksi buku-buku itu pada ibadahnya, pada akhlak dan manfaat positif dirinya.


Suatu waktu Dr 'Aidh Abdullah Qarni di Amerika

Sekitar tahun 1410 H, Dr 'Aidh melawat perpustakaan Kongres di Amerika Syarikat. Perpustakaan besar yang bergunung-gunung buku terdapat di dalamnya. Apabila diminta sahaja satu jenis buku, ratusan buku yang hampir sama jenis pun turut berada.

Namun Dr 'Aidh berbisik di dalam hatinya, "Sayang, buku-buku ini banyak, namun satu pun diantaranya tidak dapat memberikan petunjuk buat rakyat Amerika mengenal siapa dia sebenarnya Maha Pencipta.

Khabarkan kepada mereka yang berbangga-bangga untuk menunjukkan koleksi kitab-kitabnya. Koleksi buku-buku himpunannya. Yang ini semua belum tentu dapat menisbahkan mereka dengan kebaikan. Seringkali riak itu datang, dan malas beristiqamah menyambut riang.

Benar, seseorang yang hanya mempunyai satu mushaf Al-Quran yang ia selalu renungkan dan amalkan kandungan isinya adalah jauh lebih baik daripada seseorang yang bersibuk-sibuk dengan koleksi beribu-ribu jilid bukunya. Namun satu pun tidak dapat memanfaatknya ke arah kebaikan positif dan hidayah Allah Taala.


Lalu terjadilah seperti apa yang menimpa ahli-ahli kitab dahulu;




Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepadanya Taurat, kemudian mereka tiada memikulnya adalah seperti keledai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Dan Allah tiada memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.


Sekian pemudah bicara, Islam itu tidak sekadar hebat pada namanya sahaja. Tetapi wajah-wajah mulia yang mencatat pena sejarah dengan darah dan air mata untuk menegakkannya. Bukankah mahsyur zaman berzaman telah berkata; Ilmu tanpa amal itu sia-sia.





MS Rizal,
57000 Kuala Lumpur,
10 April 2009.
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang

>> Wednesday, April 8, 2009

Saya membuka tingkap bilik yang sedikit berhabuk. Menyedut nafas dalam-dalam, cuba mencari kerehatan di sebalik kesibukan minggu-minggu terakhir saya berjuang sebagai seorang pelajar sarjana muda. Berita yang diterima sebentar tadi memberi sedikit kegembiraan di hati kecil saya. Masa untuk membersihkan sedikit habuk di blog ini.

DS Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menang di P.059!
Syukur alhamdulillah...


Lewat hari-hari permulaan kempen pilihanraya sebelum ini, saya tidak banyak mengulas. Malah memandang perang tuduh menuduh ini secara skeptikal. Izinkan saya menggariskan satu dua perkara yang menarik pemerhatian berkenaan iklim politik di Malaysia:

1) KJ menang sebagai ketua pemuda UMNO. Saya suka kepada gaya dia bercakap. Lantang dan menggunakan Bahasa Melayu yang fasih. Soal politik wang? Ops..cukuplah seseorang itu dianggap berbohong apabila memperkatakan sesuatu yang tidak diketahuinya!

2) Tahniah kepada PM yang baru dilantik. Secara fizikalnya perlantikan ini melengkapkan kelaziman politik monarki di Malaysia. Ini kali pertama PM anak bekas PM dilantik. Dibelakang Najib berdiri kukuh hulubalang yang sekian lama taat kepada politik Nasionalis di Malaysia. Lebih-lebih lagi, penyokong kuat Allahyarham Tun Razak yang sudah beranak cucu. Tun Razak pergi di saat sokongan terhadapnya masih lagi kuat dan tidak padam. Dan selepas itu dialihkan sokongan ini ke arah Najb pula. Kini, sudah lengkaplah teori 'RAHMAN'. Selepas ini siapa pula? Tiada siapa tahu jari apa yang sepatutnya selepas jari kelingking kita.

3) Ekonomi Malaysia sedikit melonjak selepas perlantikan PM yang ke-6. Saya rasa ini sesuatu yang dapat dijangka sama seperti hal melonjaknya ekonomi AS semasa perlantikan Obama. Saya tidak mahu mengulas lanjut, saya bukan ahli di dalam bidang ini.

4) Isu penggunaan ayat Al-Quran oleh Nga Kor Ming adalah sesuatu yang meloyakan. Bibir saya mengetap geram membaca satu blog dangkal yang mengulas isu ini. Isu adun DAP memberi salam kepada muslimah PAS pun menjadi hal. Apakah ini kehinaan? Sekurang-kurangnya Nga Kor Ming membuktikan kepada kaum bukan Islam supaya jangan bersifat curiga untuk membelek Al-Quran. Dia membaca dan memahami ayatnya. Berbanding sesetengah Melayu yang hanya tahu membaca surah Yassin sahaja. Itupun tidak pernah nak faham makna, dan mengambil ibrah daripada surah ini. Hanya yang tahu, dibaca pada majlis khas dan ambil, "Barakah! barakah!" daripadanya. Bebal si watak jahil.

5) Ir Nizar tetap di hati saya. Cuma dia perlu lebih berhati-hati selepas ini dalam siri ceramahnya untuk tidak bercakap lepas. Jaga hati kawan dan lawan. Jangan banyak mengkritik, kerana itu tandanya kita punya ramai musuh. Banyakkan diam, dan bercakap bila perlu. Kerana diam itu pekerjaan paling mudah yang sukar dilaksanakan. Sesungguhnya pemimpin yang baik itu adalah pemimpin yang rakyat menyukainya dan dia menyukai rakyat. Rakyat mendoakannya(dengan sebenar-benar doa) dan dia pun mendoakan kebaikan rakyat.

Saya mendoakan supaya dialah jari yang selepas jari kelingking itu. Semoga Allah Taala melimpahkan kebaikan untuknya dan kebaikan untuk rakyat Malaysia amnya dan Muslim khasnya. Tahniah sekali lagi diucapkan. Sampaikan salam saya kepadanya .



MS Rizal,
Kuala Lumpur,
08 April 2009
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Menanam kelapa di Pulau Bukum...Tinggi sedepa sudah berbuah..

>> Saturday, April 4, 2009

Alkisah kata pepatah...

Katanya pepatah; biar mati anak jangan mati adat. Adat dijunjung biar sampai penghujung. Biarpun belum pasti, anak-anak membesar dengan saingan adat mahu meneruskan atau tidak. Siapa mahu menjunjung si musuh?

Adat tuan adat berserah,
Mari datang membawa puan,
Adat bersirih adat sejarah,
Untuk tuan kami sembahkan.

Dahulu, ada gerangan yang meminta saya untuk menulis pergeseran antara adat dan agama Islam. Saya menyatakan kesanggupan. Terimalah buah tangan ini! Mungkin di dalam entri ini hajat yang berkenaan saya tunaikan.



Adat atau nama lainnya 'al-urf' sebagai meminjam bahasa arab bukanlah sesuatu yang janggal dalam budaya perkembangan Islam. Malahan Islam itu cukup bersedia mengharungi adat. Perkembangannya fleksibel dan mesra adat dan budaya. Islam datang sebagai mengangkat dan memurnikan adat. Mana yang bagus diteruskan. Mana yang tidak elok dibuang dan diganti. Mana yang lapok? Simpan biar sampai berhabuk...

Jika perang itu dikira sebagai adat. Maka Islam tidak datang menentang adanya adat. Perang itu tetap ada, tidak logiklah suatu agama datang mahu memberhentikan perang. Mata pedang itu bukannya mata syaitan. Bahkan ianya adalah kunci syurga buat hati yang sudah berbunga dengan Maha Pencipta. Islam meraikan kepelbagaian, warna-warninya pelbagai latar belakang budaya dan adat ibarat warna pelangi buat penyinar kehidupan.

Orang kita begitu kuat memegang adatnya. Sehinggakan sering benar berlakunya kekeliruan, adakah sesuatu perkara itu adat atau ibadat? Mungkin ini disebabkan oleh faktor berkembangnya Islam di Tanah Melayu hanya tertumpu pada bidang ibadah ritual sahaja. Aspek lain bukan tidak diambil berat, cuma masih tidak dianggap sepenting ibadah ritual. Akibatnya Islam tidak dipraktikkan secara menyeluruh. Dan apabila tidak menyeluruh, terdapatnya lopak-lopak yang sedia diisi oleh budaya dan adat lama kembali.


Bukan semua yang bernama adat itu baik.

Bagaimana persepsi Islam terhadap ini? Terdapat pendapat di dalam Mazhab Hanbali menolak penggunaan adat di dalam pengamalan Islam. Tetapi tidak bagi Mazhab Maliki dan Hanafi, adat dihormati sebagai suatu tambahan bernilai di dalam Islam.

Sebagai contoh; penentuan had baligh, haidh dan kadang-kadang jua dalam hal muamalat.

Tetapi yang jelas, fleksibiliti ini terkadang sengaja dilanggar di sesetengah tempat di Tanah Melayu. Adat pepatih misalnya;

"Eh, kalau nak meminang anak dara Negeri Sembilan fikir baliklah!" seorang rakan melontarkan pandangan.

"Kenapa pula?"

"Negeri Sembilan masih kuat pegangan adat pepatihnya, silap besarlah kalau jadi suaminya!" dia menambah.

Pastinya tidak adil untuk saya memukul rata, tetapi sudah resmi peribahasa; disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga.

Adalah sesuatu yang melampau apabila adat telah diletakkan melebihi batas-batas yang dibenarkan. Dan bagaimana perkara ini masih bertahan di sana? Jawapannya, semenjak zaman kolonial lagi telah diluluskan 'The Custom Tenure Encament (FMS) cap 215' di Negeri Sembilan. Akta yang tidak langsung rasional ditengah-tengah wujudnya pengamal Islam dengan meletakkan undang-undang Pepatih lebih tinggi daripada undang-undang lainnya. Sehinggakan Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan(JAINS) pun tidak dapat berbuat apa-apa.

Mungkin ini kepincangan yang membuatkan mata-mata pena mencatat rentetan sejarah kejumudan yang berlaku terhadap orang-orang Melayu. Parahnya adat sehingga boleh bawa barah. Iakah Salmah?

Lidah dan pena yang benar sering menginjak-injak nilai keselesaan pihak yang buta pada kebenaran. Maka apa kaitan Islam dan adat? Islam turun melengkapkan adat, meninggikan martabat dan membawa manusia beradat ke jalan selamat.

Adat bersendikan hukum,
Hukum bersendikan kitab Allah,
Kuat adat tak gaduh hukum,
Kuat hukum tak gaduh adat'

Menanam kelapa di Pulau Bukum
Tinggi sedepa sudah berbuah
Adat bermula dengan hukum
Hukum bersandar di Kitab Allah.




MS Rizal,
57000, Kuala Lumpur,
04 April 20098 Rabiulakhir 1430
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Iklan!!!

>> Wednesday, April 1, 2009

Suatu penantian......

Pesta Buku Antarabangsa kembali lagi!!! Mari serang!!!

(klik pada banner untuk paparan lebih jelas)




MS Rizal,
Kuala Lumpur,
01 April 2009/5 Rabiulawal 1430
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP