Namun kupunya angan-angan

>> Tuesday, November 25, 2008

Amaran: Entri di bawah ini bersifat 'poyo'. Ditulis atas kepentingan peribadi. Dan agak panjang berbanding yang biasa-biasa. Ianya akan memotong banyak masa anda. Jika anda rasa ianya memualkan, maka saya rasa anda tahu apa itu kombinasi kekunci Alt+F4.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


MS Rizal selesai menghadam sebuah buku. Dia merenung jauh ke arah dinding berwarna putih di hadapannya. Tiba-tiba dia tersenyum bersendirian, apa yang membuatkannya tersenyum seorang diri? Berangan barangkali. Mari kita lihat angan-angannya;

;

"Aku mengimpikan seorang permaisuri buat peneman diri suatu hari nanti. Cuba kucari namanya, kulihat wajahnya, kusebut namanya, kuelus rambutnya dan kucium dahinya. Tetapi semua itu kabur dan tidak jelas, barangkali belum sampai masanya lagi.

Di malam dini hari, dia mengejutkan aku yang sedang nyenyak tidur. Barangkali waktu itu aku sedang mimpikan umat yang sedang segar membangun, menuju kearah matlamat jelas. Menegakkan syariat, gagah sekali umat ketika itu. Tetapi tiba-tiba aku merasakan ada percikan air di muka. Kubukakan mata, kulihat permaisuriku tersenyum kearahku seraya berkata, "Maaf abang, abang yang minta kejutkan begini. Mari kita solat tahajud." Aku mengucapkan hamdallah.

Keesokan malamnya, dia pula kuperlakukan begitu. Kukejut secara perlahan bahunya, sambil aku memanggil namanya perlahan. Kami pun bersama-sama mendirikan solat di malam yang hening itu diwaktu kejiranan mungkin sedap tidur mengiring.

Dia ladang yang baik, yang kupinta petani-petani yang baik mencarinya. Dia kutabur dengan benih yang baik, yang kujaga ia dengan jalan mujahadahku ketika aku masih pemuda. Aku mahu memetik hasil yang baik juga dari ladang yang baik ini.

;

"Abi! Abi! Bacakan Asim suatu cerita," anak sulungku meminta.

Waktu itu aku sedang berusaha untuk mengajak mereka supaya lekas tidur. Agar, esok-esok pagi, kita berjemaah subuh sama-sama di Masjid.

"Yelah, Abi ceritakanlah kami suatu cerita," adik perempuannya pula meminta.

"Baiklah, tetapi nak cerita pasal apa ya?" aku menurut, sambil membelai ubun-ubun mereka lantas mencium mereka satu-persatu.

"Harimau!! Harimau!! Abi ceritalah pasal harimau!" anak sulungku meminta.

"Tak nak, harimau tak best! Abi ceritalah pasal kambing biri-biri. Kambing biri-biri itu cantik." anak keduaku meminta pula.

"Hah, baiklah. Abi ambil kedua-duanya jadi suatu cerita. Nak dengar tak?"

"Nak!!!"

Ada seekor anak harimau, dia tersesat. Lantas dia berjumpa sekawan kambing biri-biri liar. Dia pun masuk ke dalam kumpulan kambing biri-biri itu dan dijadikan anak oleh seekor ibu biri-biri. Walhal ibu biri-biri itupun sudah punya anak-anaknya. Lalu anak harimau itu berkongsi susu yang sama, bermain-main dan tinggal bersama. Sehingga dia membesar menjadi watak seekor kambing biri-biri. Mengembek dan makan makanan yang sama dengan kambing biri-biri yang lain.

Suatu hari datang seekor serigala mahu menerkam kambing biri-biri liar. Kambing biri-biri liar itu cepat-cepat lari ketakutan. Begitu juga anak harimau yang telah dewasa itu. Dia pun turut sama mengembek dan ketakutan. Serigala itu akhirnya berjaya menerkam seekor kambing anak kepada ibu angkat harimau itu. Ibu biri-biri itu menyuruh harimau itu menolong. Tetapi anak harimau itu takut. Ibu biri-biri itu menolak juga anak harimau yang telah dewasa itu ke depan.

"Kau harimau gagah, kau lawan serigala itu. Tolong adikmu itu." ujar ibu biri-biri itu.

Anak harimau itu pun melangkah ke depan. Dia mengembek, dan berlari menuju kearah serigala tersebut sambil kepalanya bersedia untuk meranduk serigala.

"Abi, geli abi!" anak perempuanku mengekek apabila ku sondol-sondol perutnya lembut.

Serigala sempat mengelak dan menyerang kembali harimau tersebut. Digigitnya anggota badan harimau itu. Anak harimau mengembek kesakitan. Habis calar-balar badannya. Anak harimau itu tidak berdaya lagi. Serigala itu telah menang dan mula memakan kambing biri-biri yang diserang tadi.

Ibu kambing biri-biri itu cukup kecewa. Dia tidak mahu, bercakap dengan anak harimau tersebut. Anak harimau berasa hampa yang amat sangat. Dia terasa diasingkan, lalu dia pun berjalan, dan mula berjalan. Dia penat dan berehat di bawah pokok yang teduh.

Suatu hari dia dijumpai seekor harimau lain. Harimau itu meyapanya. Tetapi hairan anak harimau tidak faham bahasanya. Dia hanya mengembek. Harimau itu lagi kehairan melihat tingkah laku anak harimau tersebut seperti seekor biri-biri. Lalu dibawanya anak harimau itu kepada kawanan mereka. Disedarkan anak harimau itu bahawa dia adalah seekor harimau. Harimau itu raja rimba yang mengaum bukannya mengembek. Diajar caranya bagaimana harimau mengigit dan menyerang serta mempertahankan diri. Akhirnya anak harimau itu menjadi harimau yang gagah. Dan dia akhirnya mengambil keputusan itu tinggal semula dengan kawanan kambing biri-birinya.

Anak harimau pulang kepangkuan ibu angkatnya. Dia berjanji akan melindungi kawanan kambing biri-biri tersebut. Suatu hari serigala datang menyerang. Serigala yang sama yang menyerang tempoh hari. Harimau ke depan untuk mempertahankan kawanan kambing biri-biri tersebut. Serigala memandang rendah sahaja, kerana sangkaannya anak harimau itu tetap anak harimau yang sama. Dia pun mula menyerang. Dia cuba mengigit tetapi harimau menepis pantas. Anak harimau itu mengaum garang. Serigala jadi kecut perut. Dia mahu membuka langkah untuk cabut lari, tetapi terlebih dahulu menyerangnya. Serigala itu pun mati. Dan selepas itu mereka hidup aman dan damai.

"Ketahuilah anakku, ramai umat Islam tidak sedar mereka sebenarnya adalah seekor harimau yang gagah. Cuma mereka sering merasa mereka adalah seekor kambing yang pengecut. Mereka ada kemampuan yang luar biasa. Bayangkan jika 1.9 bilion umat Islam di dunia ini sedar seorang satunya adalah harimau, maka kalimah Allahuakhbar itu lebih mudah ditinggikan di menara dunia. Dan orang kafir harbi itu akan gerun mendengar ngaumannya sahaja. Jadilah harimau itu anakku. Jika tidak menjumpainya, mengembara dan berhijrahlah untuk mencari nilai harimau itu pada dirimu." Aku mengkhatamkan cerita.

Anak-anak sudah mahu tidur. Kuajarkan mereka doa sebelum tidur, Al-fatihah, 3-Qul dan ayatul kursi. Kubacakan mereka surah As-Sajadah dan Al-Mulk. Pohon yang baik itu datangnya dari benih dan ladang yang baik.

;

Oh, panjangnya angan-angan MS Rizal ini. Mungkin ini salah satu motivasi buatnya. InsyaAllah.. All the bestlah, akhi!!!




MS Rizal,
Kuala Lumpur,
25 November 2008,
http://msrizal.blogspot.com/

0 comments:

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP