Kita adalah pengulang sejarah

>> Tuesday, June 10, 2008


Apabila membaca kisah dakwah para anbiya' saya termanggu terutama mengenang kisah rasul-rasul ulu azmi.
Bagi yang membacanya sebagai kisah rakyat atau peneman waktu tidur pastinya hanya menganggap itu cerita sahaja.
Namun tidakkah pernah kita meletakkan diri kita di dalam situasi ketika itu. Umat-umat Rasul terdahulu amat sedikit, mereka bukanlah golongan majoriti, ditindas, tidak kaya dan terdiri daripada para hamba dan fakir.

Kebanyakan kisah-kisah Anbiya' ini meniti di tempat-tempat yang permai lagi nikmat. Ekonomi yang baik, kemahiran yang tinggi, harta melimpah ruah dan kegilaan pangkat dan kedudukan.
Namun apabila datang seruan kebenaran, amatlah sedikit orang mahu menerimanya kerana merasakan apa yang dimiliki selama ini akan hilang. Lalu tinggallah orang-orang yang tersepit untuk mengikutnya. Orang yang ditindas dan ikhlas dalam agamanya.

Bagi yang membacanya pasti menggeleng kepala. Kaum-kaum yang zalim kalah dan kena bala. Dan digantikan dengan kaum lain pula.
Tetapi adakah kita sedar, bahawa kemungkinan kita sedang membaca perjalanan hidup kita sendiri di dalam kisah itu?
Kita juga mungkin sedang mengulang sejarah yang menjadi mimpi ngeri dunia. Membandingkan kaum terlaknat dan situasi sekarang tidak susah. Usah intai kebobrokan dunia luar, tetapi lihatlah bumi yang dipijak ini. Hidup ditengah-tengah materialistik cukup memeritkan bagi pendokong kebenaran. Seperti mana jeleknya pandangan raja Parsi pada surat utusan Nabi dari tanah Arab mungkin seperti itu juga kita memandang enteng pada ustaz-ustaz yang memberi nasihat walhal dia hanya membawa motor buruk atau basikal tua sebagai sandaran.

Kita akhirnya mengulangi apa yang terkandung di dalam Al-Quran. Berhala itu dimusnah oleh Nabi Ibrahim kerana menyelewangkan akidah. Apa bezanya dengan orang yang menyembah kelelahan dunia, mengejar pakaian mahal dan berjenama, mulut tidak henti berkata-kata tentang duit, harta dan kereta. Sehinggakan sanggup melakukan apa sahaja demi duit dan kesenangan yang menipu.
Fikirlah kembali, mungkinkah kita Abu Lahab moden dikala datang Nabi Muhamamad yang buta huruf untuk mengajaknya kepada kebenaran. Mungkin ianya sama dengan kita yang memandang enteng nasihat si rakan yang tidak tahu mengaji berbanding kita yang mahir tajwid tahu bertaranum lagi.
Mungkinkah kita orangnya si bani Israel yang menyuruh Musa as berperang bersama-sama tuhannya sambil mereka menunggu di luar kota dan ianya sama dengan melihat para Mujahideen Palestin mempertahankan kota suci itu.

Benarlah dunia itu berputar seperti roda. Kaum yang derhaka dan durjana diganti. Mereka dilenyap atas banyak sebab dan berbagai kaedah. Tidak mustahil Malaysia ditimpa nasib yang sama.


1 comments:

Anonymous June 11, 2008 at 10:01 AM  

Nyata sejarah itu sering diulang-ulang manusia. Manusia yang sering lupa tidak pernah kesal apa yang pernah dilakukan dek kealpaan. Lalu cerita yang sama berulang, wataknya sama namun pelakonnya berbeza.

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP