Nasi Kuning Ayam Kurma...

>> Saturday, August 21, 2010

Taqwa dalam untaian rahmat Allah SWT. Ianya memang sungguh mengasyikkan dan sukar untuk dilukis warna keindahan. Taqwa seperti benih baja yang menyuburkan banyak pohon-pohon kebaikan di dalamnya.

Taqwa melahirkan zuhud pada dunia. Taqwa berkompromi dengan ketaatan dalam pengibadahan. Taqwa menoreh darah-darah jihad keluar dari urat-urat kegusaran para pencinta syuhada. Taqwa menyubur jiwa-jiwa segar pencinta ilmu. Taqwa itu pemandu kasih-sayang sesama manusia.


Ukhuwah itu lahir dari sifat Taqwa.

"Aku dengan kamu saudara!" ujar buah durian kepada buah betik.

"Saudara? Mana mungkin kita bersaudara. Fizikal sahaja sudah berbeza. Kamu dengan duri-duri tajam. Sekali kamu mendekat, habis nanti kulitku kau lumat!" nafi buah betik dengan hujah fizikalnya.

Huluran ukhuwah di dalam Islam bersifat pelik lagi aneh. Ianya timbul di tengah-tengah masyarakat yang berasobiyah dan bersuku-suku sekali pun warna kulit serupa. Tetapi Islam datang sekaligus mengiklan sebuah talian yang lebih tulus. Ianya merentas perbezaan warna kulit, bahasa, budaya dan apa jua latar belakang.

Sekali lagi taqwa memandu daripada fanatik buta hanya dengan nilaian lahiriah fizikal sahaja. Taqwa memandu lebih daripada itu. Taqwa meletakkan dalam rencam pengabdian diri kepada Allah Taala. Maka dengan sebab itu, Allah Taala mencampakkan satu cinta yang indah yang tidak terdapat pada hal lain.

Inilah asas persahabatan sebenarnya. Iaitu bersahabat atas sifat taqwa. Ianya jauh lebih mulia daripada persahabatan atas kerana satu tempat kerja, mempunyai minat atau hobi yang sama, atas kerana sama-sama ahli jawatankuasa atau selain daripada itu.

Kerana persahabatan atas asas taqwa melahirkan elemen-elemen yang amat indah. Kata-kata yang mengasyikkan. Tidak percaya? Pernahkah sahabatmu mengatakan sebegini pada dirimu;

1) Aku cintakan kamu sahabat kerana Allah SWT.

2) Aku benar-benar sangat cintakan kamu sahabat. Kalau kamu tidak cintakan aku tidak mengapalah. Tetapi cukuplah untuk aku mengetahui yang kamu mencintai diri sendiri.

3) Aku ingin sangat masuk syurga dengan kamu. Oleh sebab itu aku sering menasihatkan kamu, dan aku berharap juga sebaliknya. Sebelum kita berpisah, izinkan aku berwasiat kepadamu untuk bertaqwa kepada Allah SWT.

Macam mana? Ada berani berkata begini pada sahabat karib?
Kalau tidak berani, maknanya persahabatan tidak sampai ke tahap para sahabat r.a. :

Anas r.a. mengatakan bahwa seseorang berada di sisi Rasulullah saw., lalu salah seorang sahabat melewatinya. Orang yang berada di sisi Rasulullah tersebut mengatakan, “Aku mencintai dia, ya Rasulullah.” Lalu Nabi bersabda, “Apakah kamu sudah memberitahu dia?” Orang itu menjawab, “Belum.” Kemudian Rasulullah saw. bersabda, “Beritahukan kepadanya.” Lalu orang tersebut memberitahukannya dan berkata, “Sesungguhnya aku mencintaimu karena Allah.” Kemudian orang yang dicintai itu menjawab, “Semoga Allah mencintaimu karena engkau mencintaiku kerana-Nya.” (Abu Dawud, dengan sanad shahih)



Ukhuwah itu juga melahirkan kembali sifat Taqwa

"Norman keseorangan di Sandakan itu. Dia nak belajar tajwid, tapi segan nak berguru!" adu seorang ikhwah pada saya.

"Tak bolehlah macam itu syeikh. Dia kena cepat-cepat mencari rakan yang soleh. Katakan kembali pada dia, ini amanat ana..." ujar saya melahirkan kegusaran.

Jika keseorang dalam memelihara iman, hendaklah segera mencari rakan karib yang soleh. Kerana rakan yang soleh itu juga merupakan satu rezeki dari Allah Taala. Apabila kita lupa dia akan memperingatkan. Apabila diperingat, kita akan terhutang budi dan ingin membalas kebaikannya.

Umar Al-Khattab sendiri pernah membayangkan perihal ini di dalam satu daripada ucapannya, "Engkau mesti mencari saudara-saudara yang jujur. Hiduplah dalam lingkungan mereka, kerana mereka merupakan perhiasan di waktu senang dan bekalan di waktu susah."

Inilah bukti ukhuwah juga melahirkan sifat taqwa. Malah ianya menghias indah nilaian peribadi kita dan sahabat. Semua orang akan senang untuk berkawan dan masuk di dalam kelompok kebaikan. Akhirnya kekuatan akan semakin nampak. Masyarakat meletakkan jemaah sebagai andalan. Amat rugilah mereka yang menyendiri, kerana barangsiapa menyendiri bermakna ianya sengaja mengasingkan diri di dalam neraka Allah Taala.

;

Beruntunglah orang-orang yang sering menjaga hubungan sesama manusia. Disebalik tujuan manusia-manusia itu berkawan dan bersahabat, dia tidak lain melakukan itu semua hanya kerana sifat taqwa. Kerana tekadnya sering membisikkan kembali padanya. Bahawa solatnya, ibadahnya, hidupnya dan matinya kerana Allah Taala jua.



MS Rizal,
32100, Lumut,
2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Ramadhan Kareem~Entri versi mee segera

>> Wednesday, August 18, 2010

Assalamualaikum.
Sudah lama saya tidak menulis di ruangan ini. Sehinggakan sesekali terasa dunia blog itu begitu asing bagi diri saya. Itulah perjalanan hidup manusia. Siapa pun tidak dapat menyangka apa yang bakal berlaku di hadapan, masa hadapannya dan bagaimana pengakhiran diri sendiri.

Tamam Syaaban, sudah pastinya saat yang paling dinanti-nanti adalah bulan Ramadhan yang mulia ini. Salam Ramadhan ditujukan buat rakan pembaca yang setia berdamping dengan blog saya yang kerdil ini.

Ramadhan tahun ini pastinya berlainan daripada tahun-tahun sebelumnya. Saya sudah bertukar status daripada seorang pelajar kepada seorang pegawai jurutera (pelatih) di kapal. Suasananya amat berbeza. Hari kedua Ramadhan, kapal saya sudah ditugaskan untuk melakukan rondaan dari Pulau Jarak ke Pulau Perak. Hampir seminggu di laut, saya beserta anak-anak kapal lain betah berpuasa di tengah-tengah olekan gelombang yang bergelora tanpa amaran.

Mabuk laut usah dicerita, sudah menjadi asam garam seorang tentera laut. Cuma kali ini saya sedikit tersentuh melihat nelayan-nelayan terutamanya dari Indonesia yang gigih mencari rezeki. Rondaan kami bolehlah disimpulkan antara tujuan utamanya adalah untuk menghalau nelayan-nelayan negara jiran ini daripada memasuki perairan negara. Gigih mencari rezeki walaupun hanya dengan tongkang sebagai wahana pekerjaan. Ramai orang boleh menikmati dengan enak masakan ikan kembung yang dibeli di pasar. Tetapi tidak ramai yang boleh membayangkan kesusahan mendaratkan ikan kembung berkenaan.

Sampai di sini sahaja...Doakan saya untuk rajin-rajin menyampaikan isi cerita dan memutar belit bahasa di laman blog ini lagi. Assalamualaikum. Illlaliqo'. Continue Reading...

Read more...

Engkaulah yang memberi sinar!

>> Sunday, July 25, 2010


'Buatlah minuman manis dari limau yang masam'

Mungkin bagi peminat buku La Tahzan, bab ini bukanlah asing lagi bagi mereka. Satu pernyataan yang cukup mengujakan saya di sebalik definisi masam yang selalu dibayangkan. Saya suka menggantikan pernyataan ini dengan perkataan yang lebih tersusun dan indah sebutannya. Itulah dia namanya 'hikmah'.

Hikmah terkandung makna tersembunyi buat guna manusia itu sedar bahawa dirinya sedang diuji.


Siapa tahu makna hikmah tersembunyi?

1) Jauh dari logikal akal manusia biasa, tingkah seorang suami membawa isteri dan bayinya yang masih kecil berkelana jauh mengundang seirbu pertanyaan. Ditambah lagi dengan hanya meninggalkan mereka begitu sahaja di tengah-tengah padang pasir kontang. Atas alasan apakah Nabi Ibrahim as menurunkan Siti Hajar dan Nabi Ismail as dari kenderaan lalu berlalu pergi?

Sukar mungkin membayangkan peristiwa ini. Geografi padang pasir kontang tidak berpenghuni. Tidak juga atas laluan pedagang. Tidak punya mata air untuk di minum. Tiada bekal makanan untuk dimakan. Tiada langsung tumbuh-tumbuhan yang mahu hidup. Hanya yang ada bunyi desiran angin dan rengekan anak kecil sebagai peneman sunyi.

Tawakkal yang amat kuat diserah bulat-bulat kepada Allah Taala. Bukankah ini petanda Nabi Ibrahim as sering diuji dengan ujian-ujian tidak masuk akal? Meninggalkan anak dan isteri yang disayangi. Malah kalau terus bercerita ke hadapan lagi, Nabi Ismail anaknya disuruh disembelih hidup-hidup.

Tahukah Nabi Ibrahim as ketika itu, peristiwa ini adalah titik mula menyiapkan satu daerah suci. Dimana nantinya akan lahir manusia hebat penyelamat umat ini. Nabi Muhammad SAW kekasih Allah SWT yang menjadi azimat zikir setiap tumbuh-tumbuhan, binatang-binatang, langit dan bumi.

Tahukah Nabi Ibrahim atas alasan ini? Bukankah hikmah itu terkandung makna tersembunyi?

2) Jauh dalam kepanasan matahari yang terik membakar, sekumpulan rombongan berjalan merentas keluasan padang pasir dari selatan menuju ke arah utara. Mereka adalah sekelompok manusia dari sejumlah 70 orang Islam seperti mana yang diriwayatkan Ibnu Sa’d di dalam kitabnya ath-Thabaqat, berhijrah keluar dari Kota Makkah. Persis orang yang dihalau dari kampung halaman, apakah lagi yang diharapkan jika pemergian ini tujuannya tidak lain hanyalah untuk menyelamatkan mahkota akidah mereka.

Tetapi adakah disebalik jejak-jejak langkah mereka ini, mereka berfikir ini adalah perjalanan yang paling dirahmati? Perjalanan yang bakal menjadi sebutan dari bibir ke bibir dari setiap generasi. Perjalanan yang merintis noktah pena di atas kalam-kalam berbau sukma keasyikan bagi orang yang rindu pada sirah kekasih Allah ini.

Tidak, tidak sama sekali. Namun disebalik perjalanan ini, terakamlah sejarah sebuah negara Islam yang pertama bakal wujud. Sebuah negara Islam yang kecil, tetapi menjadi titik panas dunia. Hembusan angin dari atap-atap rumah penduduknya sudah cukup menggusarkan golongan arab jahiliah di bawah sana. Juga memanaskan punggung kerusi kaisar Rom dan Parsi dari atas dan tepi. Apatah lagi inilah negara yang menjadi igauan buruk bagi kerajaan kuffar yang bernaung di atas langit Allah SWT sehingga ke hari ini.

Bukankah hikmah itu terkandung makna tersembunyi?

Gambar sekadar hiasan

3) Pernahkah mendengar kisah seorang anak kecil yang dari suku kurdish yang biasa-biasa sahaja? Pendidikan yang biasa seperti kanak-kanak lain. Apabila tiba waktu belajar dia pergi belajar, apabila tiba waktu main dia pergi bermain. Tidak siapa pernah menyangka bahawa kanak-kanak ini bakal menjadi cukup istimewa sehingga menjadi sebutan kerajaan kristian di Barat.

Dialah Sallehuddin Al-Ayyubi. Dia panglima perang yang memiliki akhlak yang amat terpuji. Panglima perang yang sibuk memikirkan tentang umat. Tingkahnya ketika berperang seperti singa betina lapar yang kerasukan kerana kehilangan anak. Tetapi waktu malamnya berubah menjadi seorang abid yang seolah-olah meletakkan dunia hanya di sisi.

Semua ini bukan bermula secara magikal. Sallehuddin juga manusia biasa yang teruji saat melangkah mula dalam misi membebaskan tanah palestin. Tanah suci yang terpenjara di tangan orang kristian selama hampir 90 tahun.

Saat dia diarah oleh sultan Aleppo untuk pergi ke Mesir. Tidaklah seringkas bahasa periwayat cerita-cerita sekunder. Arahan ini sebenarnya cukup berat untuk dituruti. Mesir bukanlah negara pilihan yang baik untuk dijadikan tempat bermaustatin. Malah kerajaan Syiah Fatimiah yang berada di sana menggambarkan tidak kesenangan Sallehuddin al-Ayyubi untuk ke sana. Akhirnya dia pergi juga, tetapi bukan lagak seorang yang ceria dan gembira. Langkahnya berat. Sehingga Bahauddin bin Shaddad menceritakan pemergian seperti memaksakan diri untuk pergi ke tempat pembunuhan.

Sedar akan perencanaan Allah Azzawajjala, Sallehuddin mulai yakin kedatangannya ke Mesir adalah untuk satu misi besar. Keyakinannya bertambah apabila melihat perencanaanya merubah ke arah kebaikan seperti dipermudahkan Allah Taala. Saat itu dia tidak menoleh kebelakang lagi, dia yakin bahawa apabila Allah menganugerahkan Mesir kepadanya bermaksud Allah juga meletakkan Palestin di atas tangannya.

Bukankah hikmah itu terkandung makna tersembunyi?


Syahdu dan sendu dalam desiran doamu.

Benarlah firman Allah Taala di dalam surah Al-Baqarah ayat 216;

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu."

Sabarlah saat engkau diuji. Bacalah Al-Quran yang mengandungi kisah-kisah insan hebat yang pernah hidup yang tidak lekang diuji. Bukankah mereka itu sumber inspirasi? Inspirasi diri untuk menjadi insan kuat lagi disayangi.

Buatlah minuman manis dari limau masam. Maha suci engkau Ya Allah yang Maha Mengetahui dan menguasai langit dan segala isi.




MS Rizal,
32100, Lumut,
2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Merajuk atau sekadar mahu dipujuk?

>> Friday, July 9, 2010


Qasidah bingung. Buntu jadinya diri. Berpusing ke sana dan kemari. Di ambilnya secubit roti. Digiris sedikit demi sedikit di dalam mulut. Perubahan rakan baiknya Aminah cukup menggusarkan. Terngiang-ngiang di dalam ingatannya lewat waktu rehat sesi persekolahan tadi.

"Aminah, jom ke kantin sekolah!" ajak Qasidah

Aminah hanya diam membatu. Malah tidak sekadar itu, dia memalingkan wajahnya ke arah lain. Ya, dia sedar. Aminah merajuk dengannya. Tetapi dia tidak tahu puncanya apa? Aminah juga tidak betah untuk memberitahunya. Adakah dia perlu terus memujuk rakan baiknya itu?


Merajuklah, jika dunia ini terasa luas buat anda

Kisah Qasidah mungkin pernah dialami oleh sebilang orang. Malah, kisah ini bukan hanya terjadi terhadap wanita tetapi untuk tetapi kelompok lelaki juga. Lazimnya merajuk seperti ini membuahkan permusuhan. Sangat buruk tabiat ini. Merugikan waktu dan keberhasilan potensi diri.


Merajuk itu perlu jika...

Sekadar boikot sementara waktu jika seseorang yang amat rapat tidak mahu mendengar nasihat untuk memperbaikinya dirinya. Tetapi rajuk itu bukan seperti yang dibayangkan. Ianya perlu ada kata dua, dan orang yang kita tuju itu tahu mengapa kita melakukannya. Rajuk seperti ini tujuannya adalah kebaikan. Tempohnya juga adalah amat terhad.

"Aku menghadirkan diri di hadapan Rasulullah SAW lalu mengucapkan kalimah syahadah. Namun Nabi SAW memaling diri dari memandang wajahku." Cerita Abu Sufyan bin Harith saat dia hadir bersama-sama anaknya Ja'far untuk menyatakan ke-Islamannya.

Tindakan Rasulullah itu bukan menggambarkan kebencian, tetapi bagi menunjukkan petanda apa yang dinyatakan oleh sepupunya itu memerlukan tempoh. Permusuhan Abu Sufyan selama lebih kurang 20 tahun lamanya, ianya bukan satu tempoh yang pendek. Namun begitu Rasulullah SAW tetap menerima Abu Sufyan bin Harith.

"Siapa ini?" Soal Rasulullah SAW kepada Abbas tika perang Hunain yang berkecamuk menghadirkan seorang yang berlawan dengan berani di sisi Rasulullah SAW.

"Ini adalah saudara dan sepupumu, Abu Sufyan al-Harith. Maafkanlah dia wahai Rasulullah." jawab Abbas.

"Ya, aku telah maafkannya. Dan Allah juga telah mengampuninya..."

Berbungalah hati Abu Sufyan selepas itu, dan dia bertekad untuk menjadi muslim yang sejati dan dicintai Allah dan Rasul.


Merajuk itu bathil jika...

Tanpa alasan yang kukuh. Tanpa sebab yang diiring dengan syariat. Merajuklah seorang anak Adam dengan sebab yang tidak perlu. Apakah ukhwah itu sesuatu yang mudah dicari ganti? Apakah permusuhan itu mendatangkan keuntungan di kemudian hari? Adakah seorang isteri yang merajuk dengan suaminya berjaya mendatang simpati? Atau juga suami yang merajuk hanya untuk menyakitkan hati?

Merajuk seperti ini mendatangkan celaan. Merajuk seperti membuahkan kebahagian syaitan. Apakah senjata perundingan itu tidak setajam merajuk tanpa alasan? Kerana berunding itu banyak mendatang kebaikan dan boleh mengendurkan ketegangan. Jauh lebih baik daripada memilih untuk bermusuhan.

Mengungkap satu hadis dari Shahih Bukhari no 1175. 'Aisyah r.a. meriwayatkan Nabi Salallahu alaihiwassalam bersabda;

"Orang yang paling dibenci Allah adalah orang yang paling suka bermusuhan."


Sifat merajuk ini sebenarnya menonjolkan keegoan diri. Ingat sombong, ego dan takabbur itu mendatangkan kemurkaan Allah Taala. Kebiasaannya orang yang merasakan dirinya bagus akan mudah terasa hati apabila dia dipencilkan atau di sisihkan. Inilah bahaya meninggi diri sebenarnya. Bila dia merasakan dirinya bukan lagi menjadi perhatian, maka merajuk itulah jalan mudah buatnya.

Seharusnya jalan keluar dari sifat merajuk ini adalah sentiasa merendahkan diri ini. Sentiasa merasakan diri ini lebih hina dari orang lain dari segi amalan, dalam masa yang sama merasakan diri banyak berbuat kesilapan. Maafkanlah kesalahan orang lain. Sifat pemaaf itu dipuji. Kerana sedarlah jika diri sendiri pun terkadang melakukan sesuatu perkara yang tidak boleh diterima, apatah lagi untuk menerima kesilapan orang yang berada di sekeliling kita.

Pahit bisa jadi manis akhirnya...
--------------------------------------------------------------------------------------------------
*Abu Sufyan ibn al-Harith adalah anak al-Harith bin Abdul Mutallib. Beliau adalah sepupu Nabi SAW dan lebih kurang sebaya dengan Nabi SAW. Beliau bukan Abu Sufyan al-Harb, ayah Muawiyah bin Abu Sufyan.



MS Rizal,
32100, Lumut,
2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Sama ada menang atau mati di jalan Allah

>> Thursday, June 24, 2010

Peristiwa Israk Mikraj mungkin tidak membawa banyak erti kepada sesetengah orang. Kalau ada pun, lebih kepada perayaan sederhana dan ceramah agama versi lama yang diputar kembali berkali-kali.Cerita tentang kembara Nabi SAW bertemu begitu dan begini. Ganjaran dan bahana sekian dan sekian.

Namun, tentunya saya memandang dari perpspektif yang berbeza. Bahawa Israk Mikraj adalah hadiah Rabbuljalill kepada Nabi SAW untuk meneruskan survival dakwah baginda. Bertemu dengan Nabi-nabi as terdahulu telah membawa Nabi SAW kepada pengalaman baru. Bahawa dakwah ini, walau apa jua yang berlaku tetap perlu diteruskan. Nabi-nabi as dahulu telah membuktikannya. Dan begitu juga Nabi Muhammad SAW.


Bertemu dan berpisah kerana Allah SWT.

Majlis pelancaran pertubuhan IKRAM pada Ahad lalu, benar-benar mengesankan roh dan semangat juang saya. Sesegar pertemuan Nabi SAW dan saudara-saudaranya ketika Israk Mikraj. Ikhwah-ikhwah se-Malaysia hadir dengan kekuatan tersendiri. Menguatkan segala sendi untuk meneruskan survival dakwah di Malaysia. Kehadiran orang lama dan baru bersama-sama bangun bertakbir sungguh menghadirkan semangat. Walaupun saya masih hijau sangat-sangat di dalam arena tarbiyah namun ianya amat bererti untuk dirasai.

Saya menghadam setiap lirik lagu IKRAM ; "Puluhan tahun telah kian berlalu,
Jamaah dibina tanpa jemu..."

Puluhan tahun yang bukannya biasa-biasa. Puluhan tahun di atas jalan juang dan sunnah yang diatur oleh Nabi SAW. Tentunya banyak mehnah yang hampir-hampir menggugat keteguhan jiwa. Ada yang gugur sebagai syuhada, ada yang masih bertahan dan tidak kurang juga yang berjatuhan di atas jalan ini. Namun Allah Taala tetap menakdirkan. Bahawa muslim sesama muslim itu ibarat sebuah bangunan, saling kuat dan menguatkan sesama yang lain. Kemenangan telah dijanjikan kepada mereka yang yakin dan berpegang teguh dengan janji kalam Allah SWT.

Barisan kepimpinan pertubuhan IKRAM


Lebih 5000 hadirin yang hadir, walau tidak pernah berjumpa namun terasa hangat ukhwah yang mengalir saat pertemuan bersejarah ini.


Berbanyak terima kasih kepada ikhwah-ikhwah mahupun akhowat yang telah memberi peluang kepada saya untuk merasai kemanisan tarbiyah, kehebatan ukhwah, kelazatan ibadah dan kesabaran jalan juang tanpa kenal lelah. Sesungguhnya Allah Taala sahaja yang dapat membalas budi antum sekalian.

Anak-anak muda pewaris generasi baru yang bangkit bersemangat menyahut seruan takbir Ustaz Alias.


Allahu ghayatuna
Ar-Rasul qudwatuna
Al-Qur’an dusturuna
Al-jihad sabiluna
Al-mautu fi sabilillah asma amanina

Allah adalah tujuan kami
Rasulullah teladan kami
Al-Quran pedoman hidup kami
Jihad adalah jalan juang kami
Mati di jalan Allah adalah cita-cita kami tertinggi!



MS Rizal,
32100, Lumut,
2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP