Engkaulah yang memberi sinar!

>> Sunday, July 25, 2010


'Buatlah minuman manis dari limau yang masam'

Mungkin bagi peminat buku La Tahzan, bab ini bukanlah asing lagi bagi mereka. Satu pernyataan yang cukup mengujakan saya di sebalik definisi masam yang selalu dibayangkan. Saya suka menggantikan pernyataan ini dengan perkataan yang lebih tersusun dan indah sebutannya. Itulah dia namanya 'hikmah'.

Hikmah terkandung makna tersembunyi buat guna manusia itu sedar bahawa dirinya sedang diuji.


Siapa tahu makna hikmah tersembunyi?

1) Jauh dari logikal akal manusia biasa, tingkah seorang suami membawa isteri dan bayinya yang masih kecil berkelana jauh mengundang seirbu pertanyaan. Ditambah lagi dengan hanya meninggalkan mereka begitu sahaja di tengah-tengah padang pasir kontang. Atas alasan apakah Nabi Ibrahim as menurunkan Siti Hajar dan Nabi Ismail as dari kenderaan lalu berlalu pergi?

Sukar mungkin membayangkan peristiwa ini. Geografi padang pasir kontang tidak berpenghuni. Tidak juga atas laluan pedagang. Tidak punya mata air untuk di minum. Tiada bekal makanan untuk dimakan. Tiada langsung tumbuh-tumbuhan yang mahu hidup. Hanya yang ada bunyi desiran angin dan rengekan anak kecil sebagai peneman sunyi.

Tawakkal yang amat kuat diserah bulat-bulat kepada Allah Taala. Bukankah ini petanda Nabi Ibrahim as sering diuji dengan ujian-ujian tidak masuk akal? Meninggalkan anak dan isteri yang disayangi. Malah kalau terus bercerita ke hadapan lagi, Nabi Ismail anaknya disuruh disembelih hidup-hidup.

Tahukah Nabi Ibrahim as ketika itu, peristiwa ini adalah titik mula menyiapkan satu daerah suci. Dimana nantinya akan lahir manusia hebat penyelamat umat ini. Nabi Muhammad SAW kekasih Allah SWT yang menjadi azimat zikir setiap tumbuh-tumbuhan, binatang-binatang, langit dan bumi.

Tahukah Nabi Ibrahim atas alasan ini? Bukankah hikmah itu terkandung makna tersembunyi?

2) Jauh dalam kepanasan matahari yang terik membakar, sekumpulan rombongan berjalan merentas keluasan padang pasir dari selatan menuju ke arah utara. Mereka adalah sekelompok manusia dari sejumlah 70 orang Islam seperti mana yang diriwayatkan Ibnu Sa’d di dalam kitabnya ath-Thabaqat, berhijrah keluar dari Kota Makkah. Persis orang yang dihalau dari kampung halaman, apakah lagi yang diharapkan jika pemergian ini tujuannya tidak lain hanyalah untuk menyelamatkan mahkota akidah mereka.

Tetapi adakah disebalik jejak-jejak langkah mereka ini, mereka berfikir ini adalah perjalanan yang paling dirahmati? Perjalanan yang bakal menjadi sebutan dari bibir ke bibir dari setiap generasi. Perjalanan yang merintis noktah pena di atas kalam-kalam berbau sukma keasyikan bagi orang yang rindu pada sirah kekasih Allah ini.

Tidak, tidak sama sekali. Namun disebalik perjalanan ini, terakamlah sejarah sebuah negara Islam yang pertama bakal wujud. Sebuah negara Islam yang kecil, tetapi menjadi titik panas dunia. Hembusan angin dari atap-atap rumah penduduknya sudah cukup menggusarkan golongan arab jahiliah di bawah sana. Juga memanaskan punggung kerusi kaisar Rom dan Parsi dari atas dan tepi. Apatah lagi inilah negara yang menjadi igauan buruk bagi kerajaan kuffar yang bernaung di atas langit Allah SWT sehingga ke hari ini.

Bukankah hikmah itu terkandung makna tersembunyi?

Gambar sekadar hiasan

3) Pernahkah mendengar kisah seorang anak kecil yang dari suku kurdish yang biasa-biasa sahaja? Pendidikan yang biasa seperti kanak-kanak lain. Apabila tiba waktu belajar dia pergi belajar, apabila tiba waktu main dia pergi bermain. Tidak siapa pernah menyangka bahawa kanak-kanak ini bakal menjadi cukup istimewa sehingga menjadi sebutan kerajaan kristian di Barat.

Dialah Sallehuddin Al-Ayyubi. Dia panglima perang yang memiliki akhlak yang amat terpuji. Panglima perang yang sibuk memikirkan tentang umat. Tingkahnya ketika berperang seperti singa betina lapar yang kerasukan kerana kehilangan anak. Tetapi waktu malamnya berubah menjadi seorang abid yang seolah-olah meletakkan dunia hanya di sisi.

Semua ini bukan bermula secara magikal. Sallehuddin juga manusia biasa yang teruji saat melangkah mula dalam misi membebaskan tanah palestin. Tanah suci yang terpenjara di tangan orang kristian selama hampir 90 tahun.

Saat dia diarah oleh sultan Aleppo untuk pergi ke Mesir. Tidaklah seringkas bahasa periwayat cerita-cerita sekunder. Arahan ini sebenarnya cukup berat untuk dituruti. Mesir bukanlah negara pilihan yang baik untuk dijadikan tempat bermaustatin. Malah kerajaan Syiah Fatimiah yang berada di sana menggambarkan tidak kesenangan Sallehuddin al-Ayyubi untuk ke sana. Akhirnya dia pergi juga, tetapi bukan lagak seorang yang ceria dan gembira. Langkahnya berat. Sehingga Bahauddin bin Shaddad menceritakan pemergian seperti memaksakan diri untuk pergi ke tempat pembunuhan.

Sedar akan perencanaan Allah Azzawajjala, Sallehuddin mulai yakin kedatangannya ke Mesir adalah untuk satu misi besar. Keyakinannya bertambah apabila melihat perencanaanya merubah ke arah kebaikan seperti dipermudahkan Allah Taala. Saat itu dia tidak menoleh kebelakang lagi, dia yakin bahawa apabila Allah menganugerahkan Mesir kepadanya bermaksud Allah juga meletakkan Palestin di atas tangannya.

Bukankah hikmah itu terkandung makna tersembunyi?


Syahdu dan sendu dalam desiran doamu.

Benarlah firman Allah Taala di dalam surah Al-Baqarah ayat 216;

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu."

Sabarlah saat engkau diuji. Bacalah Al-Quran yang mengandungi kisah-kisah insan hebat yang pernah hidup yang tidak lekang diuji. Bukankah mereka itu sumber inspirasi? Inspirasi diri untuk menjadi insan kuat lagi disayangi.

Buatlah minuman manis dari limau masam. Maha suci engkau Ya Allah yang Maha Mengetahui dan menguasai langit dan segala isi.




MS Rizal,
32100, Lumut,
2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Merajuk atau sekadar mahu dipujuk?

>> Friday, July 9, 2010


Qasidah bingung. Buntu jadinya diri. Berpusing ke sana dan kemari. Di ambilnya secubit roti. Digiris sedikit demi sedikit di dalam mulut. Perubahan rakan baiknya Aminah cukup menggusarkan. Terngiang-ngiang di dalam ingatannya lewat waktu rehat sesi persekolahan tadi.

"Aminah, jom ke kantin sekolah!" ajak Qasidah

Aminah hanya diam membatu. Malah tidak sekadar itu, dia memalingkan wajahnya ke arah lain. Ya, dia sedar. Aminah merajuk dengannya. Tetapi dia tidak tahu puncanya apa? Aminah juga tidak betah untuk memberitahunya. Adakah dia perlu terus memujuk rakan baiknya itu?


Merajuklah, jika dunia ini terasa luas buat anda

Kisah Qasidah mungkin pernah dialami oleh sebilang orang. Malah, kisah ini bukan hanya terjadi terhadap wanita tetapi untuk tetapi kelompok lelaki juga. Lazimnya merajuk seperti ini membuahkan permusuhan. Sangat buruk tabiat ini. Merugikan waktu dan keberhasilan potensi diri.


Merajuk itu perlu jika...

Sekadar boikot sementara waktu jika seseorang yang amat rapat tidak mahu mendengar nasihat untuk memperbaikinya dirinya. Tetapi rajuk itu bukan seperti yang dibayangkan. Ianya perlu ada kata dua, dan orang yang kita tuju itu tahu mengapa kita melakukannya. Rajuk seperti ini tujuannya adalah kebaikan. Tempohnya juga adalah amat terhad.

"Aku menghadirkan diri di hadapan Rasulullah SAW lalu mengucapkan kalimah syahadah. Namun Nabi SAW memaling diri dari memandang wajahku." Cerita Abu Sufyan bin Harith saat dia hadir bersama-sama anaknya Ja'far untuk menyatakan ke-Islamannya.

Tindakan Rasulullah itu bukan menggambarkan kebencian, tetapi bagi menunjukkan petanda apa yang dinyatakan oleh sepupunya itu memerlukan tempoh. Permusuhan Abu Sufyan selama lebih kurang 20 tahun lamanya, ianya bukan satu tempoh yang pendek. Namun begitu Rasulullah SAW tetap menerima Abu Sufyan bin Harith.

"Siapa ini?" Soal Rasulullah SAW kepada Abbas tika perang Hunain yang berkecamuk menghadirkan seorang yang berlawan dengan berani di sisi Rasulullah SAW.

"Ini adalah saudara dan sepupumu, Abu Sufyan al-Harith. Maafkanlah dia wahai Rasulullah." jawab Abbas.

"Ya, aku telah maafkannya. Dan Allah juga telah mengampuninya..."

Berbungalah hati Abu Sufyan selepas itu, dan dia bertekad untuk menjadi muslim yang sejati dan dicintai Allah dan Rasul.


Merajuk itu bathil jika...

Tanpa alasan yang kukuh. Tanpa sebab yang diiring dengan syariat. Merajuklah seorang anak Adam dengan sebab yang tidak perlu. Apakah ukhwah itu sesuatu yang mudah dicari ganti? Apakah permusuhan itu mendatangkan keuntungan di kemudian hari? Adakah seorang isteri yang merajuk dengan suaminya berjaya mendatang simpati? Atau juga suami yang merajuk hanya untuk menyakitkan hati?

Merajuk seperti ini mendatangkan celaan. Merajuk seperti membuahkan kebahagian syaitan. Apakah senjata perundingan itu tidak setajam merajuk tanpa alasan? Kerana berunding itu banyak mendatang kebaikan dan boleh mengendurkan ketegangan. Jauh lebih baik daripada memilih untuk bermusuhan.

Mengungkap satu hadis dari Shahih Bukhari no 1175. 'Aisyah r.a. meriwayatkan Nabi Salallahu alaihiwassalam bersabda;

"Orang yang paling dibenci Allah adalah orang yang paling suka bermusuhan."


Sifat merajuk ini sebenarnya menonjolkan keegoan diri. Ingat sombong, ego dan takabbur itu mendatangkan kemurkaan Allah Taala. Kebiasaannya orang yang merasakan dirinya bagus akan mudah terasa hati apabila dia dipencilkan atau di sisihkan. Inilah bahaya meninggi diri sebenarnya. Bila dia merasakan dirinya bukan lagi menjadi perhatian, maka merajuk itulah jalan mudah buatnya.

Seharusnya jalan keluar dari sifat merajuk ini adalah sentiasa merendahkan diri ini. Sentiasa merasakan diri ini lebih hina dari orang lain dari segi amalan, dalam masa yang sama merasakan diri banyak berbuat kesilapan. Maafkanlah kesalahan orang lain. Sifat pemaaf itu dipuji. Kerana sedarlah jika diri sendiri pun terkadang melakukan sesuatu perkara yang tidak boleh diterima, apatah lagi untuk menerima kesilapan orang yang berada di sekeliling kita.

Pahit bisa jadi manis akhirnya...
--------------------------------------------------------------------------------------------------
*Abu Sufyan ibn al-Harith adalah anak al-Harith bin Abdul Mutallib. Beliau adalah sepupu Nabi SAW dan lebih kurang sebaya dengan Nabi SAW. Beliau bukan Abu Sufyan al-Harb, ayah Muawiyah bin Abu Sufyan.



MS Rizal,
32100, Lumut,
2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Sama ada menang atau mati di jalan Allah

>> Thursday, June 24, 2010

Peristiwa Israk Mikraj mungkin tidak membawa banyak erti kepada sesetengah orang. Kalau ada pun, lebih kepada perayaan sederhana dan ceramah agama versi lama yang diputar kembali berkali-kali.Cerita tentang kembara Nabi SAW bertemu begitu dan begini. Ganjaran dan bahana sekian dan sekian.

Namun, tentunya saya memandang dari perpspektif yang berbeza. Bahawa Israk Mikraj adalah hadiah Rabbuljalill kepada Nabi SAW untuk meneruskan survival dakwah baginda. Bertemu dengan Nabi-nabi as terdahulu telah membawa Nabi SAW kepada pengalaman baru. Bahawa dakwah ini, walau apa jua yang berlaku tetap perlu diteruskan. Nabi-nabi as dahulu telah membuktikannya. Dan begitu juga Nabi Muhammad SAW.


Bertemu dan berpisah kerana Allah SWT.

Majlis pelancaran pertubuhan IKRAM pada Ahad lalu, benar-benar mengesankan roh dan semangat juang saya. Sesegar pertemuan Nabi SAW dan saudara-saudaranya ketika Israk Mikraj. Ikhwah-ikhwah se-Malaysia hadir dengan kekuatan tersendiri. Menguatkan segala sendi untuk meneruskan survival dakwah di Malaysia. Kehadiran orang lama dan baru bersama-sama bangun bertakbir sungguh menghadirkan semangat. Walaupun saya masih hijau sangat-sangat di dalam arena tarbiyah namun ianya amat bererti untuk dirasai.

Saya menghadam setiap lirik lagu IKRAM ; "Puluhan tahun telah kian berlalu,
Jamaah dibina tanpa jemu..."

Puluhan tahun yang bukannya biasa-biasa. Puluhan tahun di atas jalan juang dan sunnah yang diatur oleh Nabi SAW. Tentunya banyak mehnah yang hampir-hampir menggugat keteguhan jiwa. Ada yang gugur sebagai syuhada, ada yang masih bertahan dan tidak kurang juga yang berjatuhan di atas jalan ini. Namun Allah Taala tetap menakdirkan. Bahawa muslim sesama muslim itu ibarat sebuah bangunan, saling kuat dan menguatkan sesama yang lain. Kemenangan telah dijanjikan kepada mereka yang yakin dan berpegang teguh dengan janji kalam Allah SWT.

Barisan kepimpinan pertubuhan IKRAM


Lebih 5000 hadirin yang hadir, walau tidak pernah berjumpa namun terasa hangat ukhwah yang mengalir saat pertemuan bersejarah ini.


Berbanyak terima kasih kepada ikhwah-ikhwah mahupun akhowat yang telah memberi peluang kepada saya untuk merasai kemanisan tarbiyah, kehebatan ukhwah, kelazatan ibadah dan kesabaran jalan juang tanpa kenal lelah. Sesungguhnya Allah Taala sahaja yang dapat membalas budi antum sekalian.

Anak-anak muda pewaris generasi baru yang bangkit bersemangat menyahut seruan takbir Ustaz Alias.


Allahu ghayatuna
Ar-Rasul qudwatuna
Al-Qur’an dusturuna
Al-jihad sabiluna
Al-mautu fi sabilillah asma amanina

Allah adalah tujuan kami
Rasulullah teladan kami
Al-Quran pedoman hidup kami
Jihad adalah jalan juang kami
Mati di jalan Allah adalah cita-cita kami tertinggi!



MS Rizal,
32100, Lumut,
2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Jangan biarkan layang-layang kertas putus tali

>> Friday, June 18, 2010

"Ayah Ibu tidak datang?" saya membisik perlahan kepada seorang peserta motivasi Keindahan Bersamamu (KBM) anjuran Kelab Remaja JIM.

"Tidak, mereka pergi bercuti..." bisik adik remaja ini sambil menangis teresak-esak.

Saya merangkulnya perlahan. Ada ketenangan mengalir daripada pelukan ini, remaja ini merangkul saya erat-erat, langsung dia berteriak bersungguh-sungguh di bahu. Sesi terakhir program ini yang menemukan antara peserta dan ibu bapa sememangnya banyak menghamburkan tangisan. Saya sendiri tidak betah menahan genangan air mata yang mengalir.

Namun, saya sedikit merasa kecewa sebenarnya. Apabila sesi terakhir yang memerlukan kerjasama ibu bapa untuk menghadirkan diri kurang mendapat sambutan. Apatah lagi jika program ini dibuat dikalangan pelajar-pelajar yang bermasalah disiplin. Tetapi ianya berlaku sebaliknya apabila program di jalankan di sekolah rendah. Kedatangan ibu bapa amat menggalakkan. Lalu timbul satu pertanyaan di benak hati. Adakah status 'anak ku sayang' itu hanya terhad sehingga darjah 6 sahaja?



Ibu dan Ayah didiklah anak-anakmu menghadapi zaman mereka

Majalah i merupakan majalah rutin bulanan saya untuk membacanya. Malah, mungkin daripada majalah ini juga saya mengenal ramai ustaz-ustaz yang mengemudi bahtera perubahan minda. Antara ustaz yang mula saya kenali melalui majalah ini adalah Dr Mohd Asri, Ustaz Hasrizal, Ustaz Maszlee Malik, Ustaz Zaharuddin dan Kapten Hafiz Firdaus.

Ruangan kegemaran saya adalah pendidikan anak-anak. Tips-tips yang dilontar di dalam ruangan ini banyak menyedarkan saya bahawa mendidik anak-anak juga perlukan seni. Bukan main hentam keromo atau membuta tuli sahaja. Malah jika dilihat kepada masalah sosial yang berlaku di kalangan remaja sekarang juga, kemungkinan berpunca daripada kesilapan ibu bapa yang tidak berseni di dalam mendidik anak-anak mereka.

Sibuk, mungkin satu alasan yang kukuh bagi ibu bapa beralasan apabila mendapat aduan kesalahan disiplin anak-anak mereka. Namun tidak adil meletakkan sibuk sebagai punca masalah. Sesibuk mana pun kita dengan kerjaya, kita tidak akan sesibuk Nabi SAW. Baginda jauh lebih sibuk. Namun kesibukan bukan alasan untuk tidak memastikan anak-anak terjaga dengan baik. Mendapat pendidikan dengan baik. Emosi terjaga dengan baik. Anak-anak adalah makhluk Tuhan yang luar biasa. Menghargai mereka seumpama menghargai masa depan Islam. Besar ertinya bagi mereka yang memahami sunnah alam.

"Ambik itu! Letak di situ!...Ish, bukan situ!"

Saya pernah melihat seorang ibu yang mengarah anaknya seperti lagak seorang boss kepada orang gajinya. Anaknya hanya menurut tanpa bicara, mungkin risau melihat ibunya yang 'cengei' semacam. Saya memerhatikan sahaja, teori pendidikan anak-anak yang saya baca menyanggahi apa yang dilakukan oleh wanita itu. Jangan terlalu banyak mengarah anak-anak. Tetapi lakukan dengan santun seperti lagaknya meminta pertolongan. Kesilapan seperti ini boleh membuatkan anak ini memberontak dari dalam, atau mungkin suatu hari nanti tidak akan mendengar lagi arahan ibu bapanya bila sudah merasa kebebasan berada di tangannya.


Jagalah keluargamu dari api neraka

"Budak-budak sekarang ini sudah makin teruk. Berzina, mencuri, bergaduh, pening cikgu-cikgu di buatnya."

Sembang santai saya dengan seorang cikgu sekolah menengah petang ini dapat mencungkil masalah lazim dihadapi para guru di sekolah. Ada guru yang mengadu ibu bapa amat tidak ambil pusing hal anak-anak mereka. Sering mereka dipanggil ke sekolah melalui wadah PIBG. Tujuannya untuk berbincang cara memajukan anak-anak sendiri. Namun sambutannya kurang memberangsangkan. Apabila anak-anak membuat masalah, sekolah akan disalahkan kembali. Ini semua merupakan situasi tidak adil yang sering dihadapi guru-guru di sekolah. Saya hanya mampu menunjukkan wajah simpati.

Masalah remaja zaman sekarang telah bernanah dan sukar untuk diubati. Ianya berpunca dari kerosakan muda-mudi dahuluu yang kini sudah pun bertukar menjadi ibu ayah malah datuk nenek mungkin. Seseorang remaja mungkin sukar untuk menerima bahawa keluar berdua-duaan antara muda-mudi tanpa nikah adalah haram apabila melihat zaman pak cik-mak cik dahulu pun sudah ada. Perkiraannya mudah, orang dahulu boleh buat, kenapa sekarang tidak boleh? Jangan sampai kita termasuk segolongan kaum yang berkata, "Kami mendapati nenek moyang kami menganut suatu agama (lalu kami pun menurutinya)."

Sememangnya Al-Quran memperincikan kepentingan memelihara keluarga dengan baik. Firman Allah di dalam surah At-Tahrim ayat 6;



Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.


Qatadah pernah berkata; " Kamu mestilah menyuruh meraka agar mentaati Allah SWT dan menegah mereka menderhakai-Nya. Kamu hendaklah sentiasa mengawasi dan membimbing mereka melaksanakan perintah Allah SWT. Sekiranya kamu melihat sesuatu maksiat berlaku, kamu mestilah menyergah dan mencegahnya."

Jika mahukan anak-anak menjadi baik, berbudi dan beradab ianya tidak mudah dengan hanya melengkapkan makanan dan pakaian sahaja. Ianya memerlukan ilmu dan pengorbanan dari ibu bapa.

Saya melahirkan simpati kepada pasangan yang telah lama berkahwin tetapi tidak mempunyai anak. Berbanding mereka yang mudah mendapat anak-anak tetapi menyia-nyiakan peluang mendidik anak.

Mari hiburkan diri dengan membaca tulisan hubungan antara anak-anak dengan ibu dan bapa. Sangat menarik untuk dihayati bersama: Klik di sini.




MS Rizal,
32100, Lumut,
2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Walimatul-Urus Kapt Ahmad Muadz

>> Sunday, May 30, 2010

Kesiapan adalah perpaduan harmonis antara pekerjaan akal, hati, dan anggota tubuh. Tidaklah seseorang dikatakan siap melakukan sesuatu sebelum akal, hati dan anggota tubuhnya menyatakan kesanggupan.-Di Jalan Dakwah Aku Menikah, Cahyadi Takariawan


"Sebenarnya aku dah bertunang semasa Hari Raya hari itu!" Muadz membisik perlahan, kala berkongsi mencubit ayam goreng KFC di dalam bilik kami.

"Uit!!" saya sedikit melatah. Kening saya terangkat sedikit tanda terkejut.

Muadz senyum sahaja, mempamer wajah tenang.

"Dengan siapa?" saya menimbulkan teka-teki.

"Dengan Wan Faridah..." Muadz membalas.

Saya mengendurkan sedikit wajah. "Oh, baguslah. Wan itu pun aku tengok baik orangnya."

dingin,

Dingin air-cond kereta Mohd Faisal sedikit meresap ke segenap kulit. Saya mengusap-usap lengan dengan tujuan memanaskan badan. Saya merenung jauh ke hadapan. Perjalanan kami ke walimatul urus Ahmad Muadz dan zaujahnya di Gemenceh ditemani banyak kereta mengisi lebuh raya. Almaklumlah cuti sekolah, kenduri kahwin berlangsung merata-rata. Sempat juga berpapasan dengan satu-dua kemalangan. Ternyata peringatan tentang kematian itu tetap ada di mana-mana.

Dialog di atas menggamit nostalgia saya beberapa bulan yang lepas. Kala itu saya dan Muadz masih lagi bertitle-kan Pegawai Kadet. Ternyata pertunangan ini amat dirahsia, hanya mereka yang terdekat sahaja mengetahui. Itulah yang lebih baik sebenarnya. Langsung, apabila Ahmad Muadz mengumumkan walimahnya ramai yang melahirkan rasa tidak percaya.

"Nak kahwin? Awalnya? Dengan siapa? Bertunang tidak diberitahu pun?"

Saya dihinggapi persoalan ini kala mengedarkan jemputan walimatulurus beliau. Maaf, jika ada yang terasa hati. Saya menjaga amanah sebenarnya. Sesuai dengan fikrah yang saya pernah nyatakan sebelum ini. Tidaklah digalakkan menghebahkan pertunangan seperti mana perkahwinan. Kerana setiap sesuatu nikmat manusia itu, ada yang mendengkikan. Namun, ianya terletak pada budi bicara keluarga masing-masing sekiranya ada kehendak yang memerlukan.


Hari bersejarah buat teman.

Alhamdulillah, majlis berlangsung sempurna. Majlis ringkas dan sederhana. Dihadiri juga ramai teman-teman. Saya tidak berniat untuk menulis panjang, kerana di sini saya hanya mahu berkongsi gambar. Saya pasti, bagi yang tidak berkesempatan untuk hadir. Gambar-gambar ini bisa menyenangkan kalian.

Selesai majlis akad nikah, cincin disarungkan ke jari. Tanda sedianya zauj memikul amanah membimbing zaujahnya ke arah Redho Allah Taala.


Syurga itu di bawah telapak kaki suami. Senyum dan steadylah Muadz!


Sempat berposing, mahu membenarkan kata syariat bahawa bercinta selepas kahwin itu lebih indah dan manis sebenarnya.


Keluarga Ahmad Muadz. Bro Fadzil(dua dari kanan) buat-buat muka tidak bersalah. "Sori bro, lambat sangat menunggu, adik langkah bendul dululah ye!"-Jangan Marah Akh Fadzil(",)


Kawan-kawan seperjuangan yang sempat hadir menyaksikan berlangsungnya pernikahan.


Sempat membuat rehearseal upacara sword bearer sementara menunggu masuk waktu zuhur.

Pengapit yang Macho!....erk. Kipas laju sikit bro, pengantin dah berpeluh-peluh itu!


Selamat berbahagia Muadz dan Wan!


Antara teman-teman yang hadir memberikan penghormatan kepada x-Best Cadet Army ini.


Sayonara zaman bujang!


Thank You Skuad!


Seri pengantin...

Mini gathering ATMA intake 10.


Kapten Ahmad Muadz bin Ahmad Shuhaili RAMD dan zaujahnya Kapten Wan Faridah binti Omar KJLJ

Diucapkan selamat berbahagia kepada kalian. Ingatlah perkahwinan adalah kontrak sosial yang terkandung ibadah dan harapan umat di dalamnya. Bahawa visi membentuk masyarakat yang mawaddah wa rahmah lahir dari ibadah mulia ini. Semoga kamu dikurniakan zuriat soleh dan solehah yang dilahirkan zaman bagi menyelesaikan masalah umat pada zaman tersebut.


بَارَكَ اللهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْكَمُاَ فِيْ خَيْرٍ

“Semoga Allah memberi berkah kepadamu dan memberkahi (pernikahan)mu, serta mengumpulkan kalian berdua dalam kebaikan.”




MS Rizal,
32100, Lumut,
30 Mei 2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP