Berlari ke kaki langit yang indah

>> Saturday, February 20, 2010

Jari mulus kanak-kanak itu ditujukan ke arah sebuah karya indah ciptaan Ilahi. Warnanya yang menarik melorek latar langit menjadi jambatan penghubung hati. Inilah karya impian kebahagian si anak kecil. Inilah bunga langit yang tumbuh mekar di balik kelopak awan selepas hujan. Hasratnya menggunung, mahu dewasa dengan cita-cita yang melangit tinggi.

"Wah!..Pelangi!"

Anak kecil itu separuh menjerit dengan wajah kagumnya jelas kelihatan.



Mahu ditaksir apakah corak warna itu?


Mari baca kisah pendek ini;

1) Seorang pemandu kereta yang kepanasan kerana penghawa dinginnya sudah kehabisan gas. Dia tidak selesa memandu sampai ke destinasi. Yang ada di dalam dirinya adalah sabar.

2) Seorang anak perempuan yang kehilangan kucing kesayangan. Hidup tidak bererti tanpa kehadiran kucingnya yang bernama 'Cici' di sisi. Selama berapa minggu dia sudah punya pengganti, seekor kucing siam yang diberi nama 'Cucu'.

3) Seorang ibu tunggal yang tertekan dengan bebanan anak yang ramai. Hari-hari yang dilalui anak-anak adalah kemarahan ibu. Kadang rajuknya ibu membuatkan hati anak terharu.

4) Sebuah keluarga bahagia yang menetap di sebuah perkampungan di Janda Baik. Suami yang ceria, isteri yang setia, anak-anak yang menghiburkan. Teratak damai bersebelahan sungai.

5) Seorang makhluk Allah yang berjalan di muka bumi mencari erti hidup. Setelah lama terumbang-ambing dalam ombak masyarakat yang semakin menggunung gila. Masyarakat yang dianggapnya parah yang menusuk ke akar umbi.

Tuntas;

Pasti ada yang tertanya-tanya apa kaitan kisah pendek ini dengan isi akhiran. Lihatlah pada isi cerita, kesemuanya berbeza antara satu sama lain. Watak berbeza, latar belakang juga mungkin berbeza. Mungkin ada di antara cerita ini terkena batang hidung kita sendiri.

Apa yang saya ingin bawakan di sini adalah variasi perjalanan hidup kita di muka bumi. Tetapi anehnya dengan variasi pengalaman dan latar belakang yang berbeza ini manusia dituntut untuk memenuhi satu fitrah masyarakat. Itulah dia namanya 'bersatu'.

Seperti bersatunya warna-warna pelangi membentuk jambatan tinggi ke langit dunia. Ramai orang dari dahulu bercita-cita untuk merentasinya. Ada yang berusaha untuk mencari titik mulanya. Akhirnya, barulah diketahui semua itu sia-sia. Semua itu fatamorgana. Tetapi, bersatunya kita bukanlah seperti fatamorgananya pelangi. Ianya tidak sekadar indah dilihat melalui pancaindera mata sahaja. Ianya bisa dirasai dengan kesemua deria yang ada. Mata, sentuhan, pendengaran, rasa, bau dan sebagainya.


Allahlah yang berkuasa menyatukan hati-hati manusia.

'Sahabatku, aku cintakanmu kerana Allah!'


"Anta pernah sebutkan ucapan ini pada ikhwah lain?" Soal Akh Raswan pada saya.

Saya menggelengkan kepala.

"Mungkin rasa segan bukan? Tetapi percayalah jika kita telah mencapai tahapan ukhwah yang tinggi, inilah yang kita sebutkan pada sahabat-sahabat kita." Tambahnya lagi.

Benar, inilah yang sering diucap sahabat-sahabat Nabi SAW kepada baginda. Malahan ini yang diungkapkan dan dizahirkan sesama mereka. Inilah ucapan yang tidak digambarkan dan disebut melalui kata-kata. Apakah kepercayaan lain yang tinggal apabila bertemunya dua makhluk Allah yang bertemu dan berpisah atas dasar cinta mencintai kerana Allah.

Tetapi zahiran ucapan ini tidak akan tercapai jika ada kepentingan lain di atasnya. Atau sebab lain yang menyebabkan kita bersatu. Mungkin kita bersahabat dengan dia atas dasar sama tempat tinggal. Mungkin juga atas minat yang sama pada motor besar. Atau mungkin juga sama-sama tidak suka bersabar. Lebih teruk lagi sampai mencari pasangan hidup pun atas sebab suka pada yang mungkar.

Tiada yang ikatan yang kekal kecuali ikatan kasih mengasihi atas dasar Islam dan kerana Allah. Hakikat inilah yang tersemat indah di dada Al-Quran. Semua sebab bersatunya kita atas kepentingan dunia akan lenyap. Bahkan mungkin masing-masing akan saling salah menyalahkan di hari yang dijanjikan.

Yang tinggal adalah ukhwah atau bersatunya atas mawaddah untuk mencari keredhoan Allah Azawajjalla.

Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk. Ali Imran (3:103)
Sahabatku yang pernah kukenali, dulu kini dan selamanya. Saya cintakan kamu kerana Allah Taala!

MS Rizal,
32100, Lumut,
Feb 2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Ku toreh tangan yang masih berdarah

>> Tuesday, February 9, 2010

Perjalanan menaiki feri berseorangan dari jeti di Langkawi ke Kuala Perlis amat kosong bagi saya. Saya melemparkan pandangan jauh-jauh ke tengah laut. Saya tidaklah berapa teruja kerana mungkin sudah biasa menaiki kapal belayar di lautan yang tiada sempadan. Sekali-sekala saya memerhatikan gelagat sekumpulan anak muda berasal dari Balik Pulau yang gembira menikmati detik-detik percutian bersama rakan-rakan mereka.

Biarlah, nikmat hidup ini bermakna jika kita menghargai setiap masa yang ada.


Mendambakan Rahmat Sang Pencipta

Perlahan-lahan saya mengeluarkan diari dari dalam beg. Saya membaca setiap catatan-catatan dahulu yang pernah saya tulis. Satu daripada nota yang amat menarik perhatian saya, adalah sekeping wasiat dan doa yang saya pernah tulis dahulu. Menariknya, nota ini saya tulis ketika saya berseorangan dan bergelut menahan kesakitan sewaktu diserang demam cacar air.

Ikhlasnya, saya terasa seperti ajal sudah dekat ketika itu. Sempat saya titipkan sms mohon ampun kepada keluarga. Kakak saya menelefon kembali dalam keadaan menangis, dan minta saya jangan tulis sesuatu yang merisaukan keluarga. Sempat juga berpesan agar saya segera pulang.

Perlahan-lahan saya membaca Al-Quran dan membaca suatu surah yang tidak berapa ingat. Tetapi surah itu banyak bercerita tentang neraka. Ikhlas, itulah saat paling menggerunkan. Jika ajal saya datang, saya tidak mampu berpatah balik untuk meminta keampunan Allah SWT.


Wasiat dan Doa

Saya berniat untuk menyalin sedikit, ada di antaranya saya tidak tulis kerana amat bersifat peribadi;

"Ya Allah, bantulah aku! Ampunkan dosaku yang aku lakukan sesama manusia. Kiranya dosaku denganMu, janganlah engkau biarkan ianya berulang dan tutuplah aibku (di hadapan manusia).
Redho!
Duhai Rizal, janganlah engkau mencari redho Ustaz, redho Naqib dan redho sesiapa sahaja melebihi redho Allah SWT.
Duhai Tuhanku, aku tahu engkau membaca tulisan dan isi hatiku. Jadikanlah aku insan yang sabar. Janganlah engkau jadikan redho manusia melebihi redhomu , Ya Allah!
Aku meminta redhomu, jadikanlah aku kekasihMu. Matikanlah aku dalam keadaan puasa, dalam kebaikan dan dalam sujud menghadapmu Ya Allah!
......................
Jadikanlah penyakit ini kifarah dalam aku memandu hidup seterusnya (jika ditakdirkan masih bernyawa, alhamdulillah masih bernafas sehingga saat ini).
Jika engkau mentakdirkan aku mati, maka matikanlah aku dalam redhoMu.
Jauhkanlah aku dari azab kubur dan azab akhirat.
Aku memohon kepadaMu yang Tuhan!
...............................
Juga rakan-rakanku kalian sentiasa di dalam doaku. Aku berharap Lai, Nantha, Edward dan Pricillia akan masuk Islam suatu hari nanti. Mereka berpontensi menjadi Muslim yang baik dan prolifik!"


Selepas menulis wasiat dan doa, saya teruskan dengan bersolat Isyak di rumah sahaja. Solat Isyak yang amat syahdu dengan hamburan air mata. Seperti lagaknya tiada hari esok lagi untuk saya. Surah An-Naba' yang saya baca benar-benar menusuk hati saya. Aduhai, saat seperti ini terasa beruntungnya menjadi tanah yang diratakan.

"Kuala Perlis! Kuala Perlis!" jerit petugas feri.

Lamunan saya terhenti. Saya mencari titik pasti di dalam perjalanan hidup ini. Sesungguhnya saya tidak mampu menentukan nasib diri saya walau sekadar sekelip mata atau lebih pendek daripada itu. Semuanya ada dalam ketentuan Maha Pencipta. Hargailah setiap detik saat dan nafas yang diberi.




MS Rizal,
31200, Chemor,
2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Seteguk air penghilang dahaga

>> Sunday, December 13, 2009

..."Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku.".. Al-Qashah, ayat 76


Dia adalah Qarun, pemilik hebat kekayaan. Dia sezaman dengan Nabi Musa as. Dia bukanlah Tsalaabah, sahabat yang teraniaya dengan cerita fitnah tentang zakatnya. Qarun sangat kaya. Tetapi malang kekayaannya itu membawanya jauh daripada hidayah Allah SWT.

Qarun itu kaya.
Kayanya sehingga jadi perbandingan di dalam Al-Quran.

Qarun itu sombong.
Sombongnya dia dengan mengenakan pakaian cantik yang meleret sehingga menyapu tanah.

Qarun menjadi bualan masyarakat.
Orang-orang bodoh di sekelilingnya berkhayal ingin menjadi Qarun dan ingin memiliki apa yang dimiliki oleh Qarun.

Qarun itu buta hatinya.
Buta hati kerana beranggapan hartanya datang daripada kepandaiannya sendiri.

Qarun mendapat bala'.
Bala' yang menjadi pengajaran untuk umat seterusnya. Dirinya dan hartanya telah ditenggelami bumi.

Jangan menjadi Qarun!

Periksalah segumpal darah bernama hati. Nanti! Tidak perlulah kamu membedahnya, warnanya sama seperti yang dibayangkan-Merah. Hati itu mungkin sama merah dari segi zahirnya, tetapi mungkin tidak dari segi lahiriahnya. Bahayanya hati jika titik hitam sudah lama menutup ruang untuk dimasuki cahaya, langsung tiada ruang.

Suatu perkara yang boleh membuatkan hati itu bengkak, lalu melahirkan perasaan bongkak adalah apabila mendapat nikmat dan rezeki melimpah. Dan ditambah lagi kemurahan dan penyayangnya Allah tidak menegur dan menurunkan bala' atas kealpaan umat zaman ini secara serta merta.

Saat itu dugaan datang dari kanan dan kiri, belakang dan depan, atas dan bawah, halus dan besar. Iblis membisikkan perasaan aneh. Terasa diri lebih bagus, lebih unggul dan lebih hebat daripada orang lain. Iblis menyuruh bermuhasabah dan berfikir bagaimana ini semua bisa terjadi. Iblis membisikkan halus-halus fikiran yang dangkal ini,

"Oh, ini semua datang dari usaha dan kepandaian aku sendiri!"

Lalu tersesatlah seorang lagi umat manusia. Seorang lagi watak Qarun zaman ini menjelma.


Hidup tidak selamanya menongkat langit.

Bayangkan anda sedang berada di tengah-tengah stadium bola sepak. Anda adalah penyerang terhebat sebuah kelab bola sepak pujaan ramai. Penyokong fanatik dari ceruk utara dan selatan hadir semata-mata untuk menjerit, memanggil dan memuja nama anda. Rasa seronok dan popular. Anda yakin anda akan menjaring gol pada hari ini.

Saat sepak mula, anda berlari-lari mengejar bola. Anda memintas, menggelecek, menghantar, merembat, berpusing seperti gasing, berlakon seolah-olah dikasari (kes-kes terdesak) dan sebagainya lagi untuk mendapatkan kemenangan.

Akhirnya kesempatan menjelma, bola hantaran lintang pemain sayap kiri tepat singgah di dahi. Dengan sedikit tenaga dan kepandaian, kuisan mengenai sasaran.

Gol!!!!!!!!

Anda berlari, berlari, kegembiraan...
Seronok bukan? Tetapi kegembiraan itu bukan milik anda seorang. Ianya perlu dikongsi bersama di dalam satu pasukan. Satu gol itu terkandung hasil usaha semua posisi di dalam pasukan. Satu gol itu terkandung sinergi semua pihak sama ada langsung atau tidak langsung.

Itulah hakikat kejayaan, harta, kemahsyuran atau apa jua perkataan yang boleh menggambarkan diri ini hebat. Ianya bukan datang daripada diri sendiri seorang sahaja. Ianya hadir daripada bantuan dan kerjasama daripada pelbagai pihak.

Saya memberikan contoh piramid yang utuh. Untuk kita sampai di puncaknya, kita mesti berdiri di atas batuan-batuan teguh yang menampung berat kita. Serta mengukuhkan pasak tempat berdirinya kita. Pasak-pasak inilah sebenarnya adalah ibu bapa, saudara mara, sahabat handai, guru-guru dan manusia lainnya. Jika peranan manusia sekeliling dalam membantu untuk kejayaan tidak terkira banyaknya. Apatah lagi perkiraan daripada bantuan Allah Taala.

Cukuplah diambil kira nikmat pernafasan yang digunakan untuk mencari rezeki dan menuntut ilmu. Ianya hasil kombinasi seluruh alam semesta. Alangkah indahnya jika nikmat seperti ini digunakan untuk beribadah kepada Allah Taala jua. Kesimpulannya jangan sombong dan berhati-hati supaya tidak dikatakan sombong. Jangan terpadaya dengan pujian dan reaksi orang, walaupun ianya sekadar bangun untuk menghormati. Contoh amaran ini ada berbunyi;

Sabda Rasulullah SAW, "Sesiapa yang suka orang lain bangun kerana menghormatinya, maka hendaklah dia menempah tempat duduknya di dalam neraka." -Sumber Tafsir Al-Munir


Walaupun ada perbahasan tentang hadis ini, seperti mana Al-Qurtubi mengatakan ianya bergantung kepada niat dan keadaan seseorang. Tetapi jika sekiranya dia ternanti-nanti dan percaya bahawa itu satu hak bagi dirinya, maka itulah yang dilarang.

Janganlah kiranya diri hanyut dalam keangkuhan. Ular yang menyusup di bawah akar tidak akan hilang bisanya. Tanamlah dirimu dalam tanah kerendahan, kerana setiap sesuatu yang tumbuh jika tidak ditanam akan mati begitu sahaja.

Lihatlah alam yang indah ini memberikan senyuman manisnya kepadamu. Awan, angin, bulan, matahari dan langit tetap terus berkhidmat. Supaya engkau mendapatkan nafkah untuk menyusuri hidupmu. Janganlah kiranya memakan dalam kealpaan. Segala makhluk bertugas untukmu dengan penuh kepatuhan. Tidak adil bagimu jikalau engkau gagal mematuhi perintah Tuhan.




MS Rizal,
57000, Kuala Lumpur,
13 Disember 2009/1430H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Apabila rohmu dijemput dari arasy yang mulia

>> Saturday, December 12, 2009

Ada beberapa kisah sirah yang kadang-kadang apabila saya baca sukar untuk dihadam atau dirasai gentarnya. Contohnya seperti kisah Hanzalah, sahabat Nabi SAW yang menemui syahidnya di medan qital dalam keadaan masih berjunub di malam pertama.

Sehinggalah kisah ini seakan terjelma difikiran saat saya membaca berita di Utusan online seawal 5 pagi.

'Pengantin maut selepas 4 jam nikah.'



Saat gembira bertukar duka

Saya sebenarnya kurang pasti, mengapa berita ini menarik perhatian saya. Mungkin disebabkan umur yang sebaya. Atau kerana arwah berlatar belakangkan golongan terpelajar. Ternyata, ada rakan-rakan saya di sini yang pernah bersekolah dengan arwah mengenalinya.

Kronologi kemalangan yang dikatakan akibat kegagalan ayah pengantin mengawal keretanya akibat tayar pecah. Apapun kesilapan teknikal atau punca kemalangan ini berlaku, tiada siapa yang perlu dipersalahkan. Kepada Allah kita bermohon petunjuk. Saat ajal itu tiba, ia tetap tiba.

Sungguh berat ujian ini ditanggung oleh isteri yang baru dikahwininya. Namun satu yang pasti, orang beriman itu gembira apabila dijemput kembali kepada Allah. Sedangkan tidak bagi orang kafir. Tidak pernahkah kita mendengar hadis yang tersebut:

Telah berkata Rasulullah: Sesiapa menyukai menemui Allah, Allah menyukai menemuinya. Dan sesiapa membenci menemui Allah, Allah membenci menemuinya. Hadis Riwayat Muslim.


Saya yakin, arwah adalah orang baik yang bercita-cita islami. Semoga Allah memberikan kesabaran, kebaikan, rahmat dan pahala yang sebanyak-banyaknya kepada isterinya, keluarga dan sahabat handainya.

----------------------------
Lampiran..

PADANG BESAR 11 Dis. – Ajal maut dan jodoh pertemuan di tangan tuhan. Itu hakikat yang berlaku kepada seorang pengantin lelaki, Mohd. Ariff Ab. Kadir, 23, yang maut dalam kemalangan jalan raya selepas empat jam bernikah.

Dalam kejadian di Kilometer 7, Jalan Kangar-Padang Besar itu, turut terbunuh ialah bapanya Ab. Kadir Awang, 55, dan ibunya, Apsah Othman, 59, serta jurugambar, Mohd. Farhan Musa, 18, yang juga rakan Mohd. Ariff.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 1 petang ketika Ab. Kadir yang memandu kereta Proton Iswara Aeroback dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Melati Indah, Kangar, selepas majlis akad nikah di rumah pengantin perempuan di Anak Bukit, Kedah.

Bagaimanapun semasa melalui jalan tersebut, tayar kereta berkenaan dipercayai tiba-tiba meletup mengakibatkan kenderaan itu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

Kereta itu lalu bertembung dengan sebuah bas pelancong membawa 27 penumpang sehingga terperosok ke bahagian bawah bas.

Akibat kejadian itu, Apsah yang duduk di sebelah Ab. Kadir, manakala, Mohd. Farhan serta Mohd. Ariff di tempat duduk belakang maut di tempat kejadian.

Berikutan itu, polis terpaksa menggunakan khidmat pasukan bomba dan penyelamat untuk mengeluarkan keempat-empat mayat yang tersepit.

Setelah mengetahui kecelakaan itu, pengantin perempuan, Teh Afifah Syahirah, 23, bersama keluarganya bergegas ke bilik Mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.

Mereka bagaimanapun enggan bertemu pemberita.

Difahamkan, kenduri perkahwinan di rumah Ab. Kadir yang bertugas sebagai pembantu makmal di Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra di sini, bagi menyambut menantu akan diadakan di Taman Melati Indah, pada Ahad ini.

Mohd. Ariff, jurutera muda yang baru pulang belajar dari luar negara akan melaporkan diri sebagai pensyarah pengajian kejuruteraan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, di sini, pada 16 Disember ini.

Mohd. Farhan pula adalah anak kepada seorang anggota polis, Koperal Musa Awang yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar.

Musa ketika ditemui di HTF menyatakan, urusan pengebumian anaknya itu akan dibuat malam ini di Tanah Perkuburan Islam Tanjung, Beseri di sini.

Dalam pada itu, suasana pilu menyelubungi rumah mayat hospital itu apabila dibanjiri sanak saudara, manakala di rumah mangsa di Taman Melati Indah turut dipenuhi orang ramai.

Kerja-kerja gotong-royong untuk mendirikan khemah kenduri untuk majlis perkahwinan Mohd Ariff dan pasangannya, Teh Hafifah, 23, turut dibatalkan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Perlis, Asisten Komisioner Zull Aznam Harun berkata, pihaknya masih menyiasat punca kejadian dan bagaimana kereta yang dipandu oleh Ab. Kadir boleh memasuki lorong bertentangan.





MS Rizal,
57000, Kuala Lumpur,
2009/1430H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Saya, saya, saya,..bercerita tentang apa yang berada di luar kepala

>> Wednesday, December 2, 2009


1) Saya terperangkap di dalam situasi yang tohor.

Antara kepimpinan dan menguruskan. Saya bukan pengurus yang baik, itu pasti! Tetapi saya mungkin seseorang yang sedang belajar untuk mengurus serba sedikit.

Pengurus dan Pemimpin adalah situasi yang berbeza. Kita lihat reaksi pengurus dan pemimpin pada kejadian bernama tangga. Pengurus adalah menaiki tangga untuk mencapai target. Pemimpin bertanggungjawab menentukan tangga itu perlu disandarkan di tembok mana.

Pemimpin adalah orang yang memimpin satu kelompok kumpulannya di dalam sebuah hutan yang tebal. Pemimpin bertanggungjawab untuk memanjat pokok dan menjerit ke bawah, "Hei,berhenti! Kita dah salah jalan!"


2) Saya dibius kekeliruan

Terkadang saya amat takut untuk menghadapi dunia luar. Dunia pekerjaan yang saya maksudkan. Jaraknya amat dekat, sepurnama lagi jika dibilang masa. Mungkin juga dekat. Hanya sepelaung jaraknya..Saya menyedari satu hakikat yang menjadi virus kehidupan saya sehari-hari yang perlu saya tangani. 'Survive'..

Survive yang saya maksudkan adalah di dunia luar. Survive bukan dalam kerangka maksud survival (mencari makanan untuk mengalas perut) seperti latihan ketenteraan yang saya jalani. Tetapi survive di dalam putaran peradaban, sosial dan tingkat keilmuan di luar. Ada sesuatu yang kurang dalam diri pelajar-pelajar Universiti Pertahanan. Kecenderungan untuk lari dari kepompong pihak pentadbiran. Jika AUKU dan HEPA itu menyekat segala kebebasan pelajar di kampus-kampus luar. Di sini ianya lebih dahsyat mungkin, kongkongan pihak pentadbiran ketenteraan. Tetapi konkongan itu lebih bersifat aktiviti dan sekatan outing. Itu harga yang perlu dibayar dengan gaji yang diterima setiap bulan.

Namun, itu bukan alasan konkrit untuk pelajar-pelajar tidak berastisipasi. Ruang itu ada jika dicari. Soal masa, bukan kita menciptanya, kita mengurus..Urus dan cipta mana yang lebih sukar?


3) Saya mahu jadi orang hebat

Saya ingin jadi orang hebat. Orang hebat berfikiran positif. Orang hebat sentiasa mencari ruang dan peluang untuk berjaya. Orang hebat memandang malang itu sebagai ruang dan peluang. Orang hebat memandang sekelilingnya sebagai guru kehidupan.

Jika dia berjumpa dengan orang yang suka mengkritiknya. Itulah dia guru yang mengajarkan kesabaran. Jika dia berjumpa orang yang selalu menipunya. Itu guru yang mengajarkan sifat berhati-hati. Jika dia berjumpa orang yang berdengki dengannya. Itu guru yang mengajarkan supaya lebih rajin berusaha dan bertawakal.

"Hari pentauliahan ditangguhkan!" suatu khabar angin bertiup kencang.

"Alamak, tangguh lagi!" ada yang menepuk dahi.

Hari konvokesyen sudah pun berlalu. Hari pentauliahan diRaja yang masih belum.

Saya mahu jadi hebat. Lantas saya berfikir, "Tidak mengapalah, mungkin ada hikmah di sebalik semua ini."

Fikir-fikir kembali, banyak sungguh impian dan kerja-kerja saya yang tertangguh belum diselesaikan lagi.

Kerja dakwah, saya masih membiarkan adik-adik junior terkontang-kanting.
Kerja ilmu dan pengalaman, bengkel blog yang saya angan-angankan belum dibuat lagi.

Saya sudah lama tidak menulis blog. Tersilap percaturan kerana senjata dalam lapangan tulisan ini telah saya hantar pulang. Senjata yang dimaksudkan adalah buku-buku rujukan. Saya dihidangkan dengan satu lagi peluang. Saya nak guna sebaik-baiknya.


MS Rizal,
57000, Kuala Lumpur,
2009/1430H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP