Mengetuk isu lama

>> Monday, August 25, 2008

Beduk di DBP

Dahulu kita sering melihat ketung, beduk atau ketuk-ketuk di masjid-masjid atau surau-surau. Ada sesetengah pihak memanggilnya naqus. Naqus adalah pinjaman kepada bahasa Arab. Saya lebih selesa memanggilnya ketuk-ketuk. Penggunaannya pelbagai. Tetapi untuk memanggil orang kampung berkumpul. Paling popular penggunaannya adalah untuk memanggil orang ramai datang ke masjid kerana selepas itu azan akan dilaungkan. Dan selalu juga digunakan bagi menandakan adanya kematian.

Terdapat perbezaan antara ketung dan beduk. Ketung bentuknya memanjang dan dibuat daripada kayu keseluruhannya. Manakala beduk pula seperti gendang cuma saiznya besar sedikit. Beduk diperbuat daripada kayu dan kulit lembu. Saya selesa memanggilnya ketuk-ketuk juga.

Mungkin sesetengah daripada kita merasa rindu dengan zaman ketuk-ketuk ini. Namun tahukah kita? Popularitinya yang tenggelam kini mendatangkan kelegaan sesetengah pihak. Siapa? Izinkan saya mengkategorikan sebagai reformis-tradisionalis(kaum muda), atau puak tradisionalis-konservatif(kaum tua) melabelkan sebagai 'Wahabbi'. Saya tidak memakai label itu di sini. Apabila reformis menentang, maknanya mungkin ada yang tidak kena di sisi agama.
Di sebelah kanan adalah beduk, dan di sebelah kiri adalah ketung

Bermula tahun 1917, Sultan Zainal Abidin(Sultan Terengganu) mengutus surat kepada Syeikh Muhammad Azhari di Mekah mengenai masalah ketuk-ketuk. Lalu Syeikh Azhari yang merujuk kepada mazhab Syafie. Mazhab Syafie adalah mazhab yang dipraktikkan di Tanah Melayu ketika itu dan kini. Mengikut Mazhab Syafie, ketuk-ketuk adalah dilarang dan mungkar.

Berlanjutan ceritanya apabila tahun 1932, Syeikh Hassan b Sa'id al Yamani datang ke Melaka. Beliau adalah bekas mufti Mekah. Beliau telah memberi ceramah di segenap masjidmasjid mengenai haramnya naqus ini.
Akibatnya timbullah reaksi terhadap kenyataan ini. Dan satu majlis Muazakarah Ulama diadakaan pada tahun 1932 di Masjid Keling untuk mencari penyelesaian terhadapa masalah ini.

Pemuka yang muncul menentang adalah Haji Abdul Latif Tambi. Beliau merupakan tuan punya milik Malacca Latiefiah Press. Malacca Latiefiah Press menerbitkan akhbar ulung di Melaka ketika itu iaitu suara benar.

Sebenarnya kenyataan Syeikh Hassan disokong oleh mufti Melaka ketika itu Haji Khalil b Haji Hussin. Begitu juga dengan Sheikh Muhammad Ali b Hussin al Maliki. Malah Sheikh Muhammad menulis sebuah kitab bagi menyokong kenyataan Syeikh Hassan.

Haji Abdul Latif tidak berdiam diri. Beliau menyanggah dengan menulis sebuah buku bagi mempertahankan pendiriannya.

Akibatnya timbul perpecahan antara dua pihak.


Lalu mucul pemuka yang cuba meredakan. Beliau adalah Haji Ahmad b Haji Kassim. Beliau merupakan seorang ahli mesyuarat kerajaan Melaka. Dan juga penasihat hal ehwal agama Islam kepada Residen Inggeris di Melaka. Dalam hal ketuk-ketuk beliau telah merujuk kepada fatwa Syeikh Muhammad Bakhit al Muti'i. Disertakan dengan satu hadis;

Apabila masuk waktu solat pada zaman Rasulullah SAW seorang lelaki seraya berteriak; Solat! Solat! Perbuatan sedemikian itu amatlah menyukarkan manusia manusia untuk melaksanakan. Maka sahabat berkata kepada Rasulullah SAW; kalau kita gunakan naqus bagaiman? Rasulullah SAW mengatakan yang demikian itu adalah perbuatan orang Nasrani. Mereka berkata lagi, bagaimana kalau menghidupkan api di tempat tinggi? Rasulullah SAW menjawab,itu adalah perbuatan orang Majusi. Maka Rasulullah SAW memerintahkan bilal supaya azan.

Fatwa ini memberi kemenangan secara tidak langsung kepada Syeikh Hassan.

Lain pula ceritanya di sebuah Masjid di Kelang. Apabila ketuk-ketuknya hilang dicuri. Dipercayai golongan reformis yang melakukannya.
Siapa kata pergeseran pemikiran ini berlaku pada dasarwarsa ini sahaja?
--------------------------------------------------------------------------------
Fakta diambil daripada buku 'Pemikiran Islam di Malaysia' karya Dr. Abdul Rahman b. Hj Abdullah.


Continue Reading...

Read more...

Lee Chong Wei melangkah ke final Olimpik Beijing.

>> Friday, August 15, 2008


BEIJING, Aug. 15 -Saya memang sukakan sukan. Maka tidak hairanlah saya boleh turut serta menyaksikan perlawanan mendebarkan antara Lee Hyun Ill dan Lee Chong Wei. Sememangnya saya cukup berdebar dan mengharap Chong Wei menang. Apabila kedudukan terikat 11-9 pada penentuan rubber set saya makin berdebar. Akhirnya saya mengambil langkah mengundur diri sambil mengharapkan berita kemenangan yang akan tiba.

Ternyata dalam langkah untuk solat Maghrib di Masjid, berita kemenangan Lee Chong Wei telah tersebar. Menang dengan 21-18, 13-21, 21-13.
Syukur Alhamdulillah. Semoga Lee Chong Wei mendapat kejayaan di final dan juga mendapat hidayah Allah untuk kejayaan di akhirat pula.


Continue Reading...

Read more...

Hadiah daripadaNya.


Demam Pelentung yang saya alami benar-benar membawa hikmah. Wallahualam, saya tidak tahulah apa hikmah tersembunyi namun hakikatnya saya dapat praktikkan apa yang saya belajar selama ini.

Selama lebih kurang seminggu saya tidak dapat berwudhuk untuk solat kerana cacar air yang memenuhi anggota wuduk terutamanya muka. Terasa benar wudhuk itu adalah nikmat dan anugerah Allah Taala sebenarnya. Maka alternatif yang umum mengetahui adalah bertayamum. Pastinya bagi yang tidak biasa atau tidak belajar secara terperinci tentang tayamum akan kekok untuk mengamalkannya.

"Leceh pula nak cari debu pasir."

"Kalau pakai debu pasir habislah penuh muka dengan pasir."

"Tak pelah, lepas habis sakit boleh qadho' solat."

Rungutan di atas mungkin berlaku bagi yang kurang tahu. Atau mungkin dialami oleh orang yang mengamalkan solat hanya pada 'zon selesa' sahaja. Jika hanya belajar bertayamum dengan kelas PAFA maka mungkin inilah yang akan difahaminya.

Izinkan saya yang dhaif ini ingin berkongsi ilmu sedikit tentang tayamum;

1) Tayamum adalah rukhsah yang dikurniakan oleh Allah Taala kepada hambanya yang tahu meng'hargai'. Tayamum tidak akan diambil endah oleh orang tak pernah ambil endah pun pasal solat. Ini fakta!

2) Tayamum menggantikan wudhuk dan juga mandi junub.

3) Bahan yang aula untuk bertayamum adalah debu! Seperti mana firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 6,"....dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau kembali dari tempat buang air (kakus) atau menyentuh perempuan, lalu kamu tidak memperoleh air, maka bertayammumlah dengan tanah yang baik (bersih); sapulah mukamu dan tanganmu dengan tanah itu. ..."

Ulama' fiqh berbeza pendapat tentang makna 'soi'dan toyyiban' dalam ayat di atas. Jika dilihat pada terjemahan bermakna tanah yang baik. Soi'd telah diperluaskan lagi oleh Imam Abu Hanifah dan Imam Malik iaitu semua jenis tanah dan jenis-jenisnya termasuk batuan, kapur,pasir, kerikil, kaca dan lain-lain. Malah Imam Malik menambah termasuklah salji, serta bahan galian seperti timah yang tidak dialih dari tempatnya dan bukan bahan hiasan. Maksudnya emas, permata dan perak tak bolehlah.

4) Jika diambil daripada pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Malik maka kita boleh bertayamum menggunakan dinding batu atau kaca. Baik ianya berdebu atau tidak. Walaupun peratus debu di atas permukaan kaca tersebut 0%!

5) Tatacara tayamum adalah berniat. Kemudian pukul tangan ke tanah, hembus dan disapu(bukan basuh) ke muka dan tapak tangan. (Pengalaman saya hanya melakukan sekali tepukan untuk sapuan muka dan tapak tangan). Adapun menyapu tangan sampai ke siku adalah daripada Imam Shafie dan Hanafi-hadis ini lemah.

6) Jika memakai cincin hendaklah dibuka. Ini berbeza dengan wudhuk yang hanya perlu direngang-rengangkan sahaja.

7) Waktu bertayamum adalah sejurus masuknya waktu solat.

Rukshah tayamum adalah salah satu lagi hujah bahawa solat itu amat dititikberatkan. Ianya adalah hadiah daripada Allah sebagaimana solat Jamak dan Qasar. Qado' solat? Maaf saya tidak tahu pula adanya untuk orang sakit.

Continue Reading...

Read more...

Menjernihkan kesombongan

>> Wednesday, August 13, 2008


"Mereka patut belajar berkursus bagaimana nak jadi humble dulu. Baru kursus itu dan ini..." seorang pensyarah meluahkan perasaannya pada saya. Sasaran 'mereka' itu adalah pensyarah-pensyarah yang baru meningkat naik.

Saya tak anggap serius luahan ini, kerana perjumpaan saya dengannya pun atas urusan kepentingan peribadi.

Click!!

Itu bunyi 'tetikus' saya. Makin berusia, makin mahu menarik perhatian pula. Minta ditukar baru mungkin.
Umum manusia suka kan perhatian. Suka digilai dan dipuji. Sememangnya pujian mendatangkan perasaan dan hati yang mengembang. Laksana belon yang ditiup, hati-hati! Makin lama ianya akan pecah.

Isu kesombongan bukan topik baru. Mungkin orang yang mewar-warkan pun terhimpit dengan perasaan ini.(istighfar..istigfar). Macam mana nak tahu dia tu sombong? Mulalah jalan hanya pandang ke depan, sukar memaniskan senyuman, cakap hanya mahu menyakitkan hati..sebenarnya cara nak adili orang itu sombong ini subjektif, anda penilai.

Lawan sombong adalah rendah hati. Justeru sebelum merangkak naik dan rasa-rasa diri bakal naik, tanamlah diri dengan kerendahan hati. Kerana setiap sesuatu tidak akan tumbuh tanpa ditanam dahulu. Jika mahu jadi pemimpin yang disukai bukan kerana suka pendekatan 'populis' tetapi kerana peribadi yang memikat. Tak perlu disogok-sogok. Dengan saranan dan gerak hati yang diberi Maha Kuasa, orang ramai akan mulai suka.

Rasa diri hebat? Lihatlah pada Rasulullah SAW. Baginda adalah pemimpin paling agung sepanjang zaman. Pengaruh baginda adalah no. wahid. Kekasih Allah yang paling mulia. Namun tidaklah ianya mendatangkan kesombongan dalam diri baginda.

Baginda berperwatakan ceria, jernih dan selalu tersenyum menghadapi orang ramai. Baginda menunggang keldai tetapi tidak malu untuk memboncengkan orang lain di belakang . Baginda menolong isterinya di dapur, menjahit pakaiannya sendiri. Dermawan, sehinggakan sesiapa yang meminta pertolongan pasti diberinya.

Sungguh penyayang kepada sesiapa jua. Anas bin Malik meriwayatkan; Nabi saw adalah seorang yang paling baik akhlaknya. Aku mempunyai adik kecil yang baru disapih, bernama Abu Umair. Ia mempunyai seekor burung kecil yang sakit bernama Nughair. Dengan lemah lembut Rasulullah SAW membelai anak kecil itu sambil berkata: "Wahai Abu Umair, kenapa burungmu begitu?" (Shahih Bukhari dan Muslim)

Ketika fathul Makkah, Rasulullah SAW masuk sambil memimpin pasukan muslim. Di atas unta baginda menundukkan kepala sangat rendah sehingga hampir menyentuh hujung pelana, sebagai tanda merendahkan diri di hadapan Allah SWT.

Berputar-putar pada kisah ini, justeru tidaklah layak untuk kita menyombongkan diri. Siapalah kita dihadapan Allah SWT? Belum tentu lebih baik daripada orang yang di bawah kita..belum tentu...

Continue Reading...

Read more...

Jika Allah sudah menetapkan.

>> Saturday, August 2, 2008

Kebelakangan ini, terasa pening dan sakit tekak.

"Mungkin nak demam agaknya." Saya mengagak, maklumlah sehari dua ini panas terik yang agak luar biasa.

Saya melihat lengan, "Eh, apa ni?"

Nabi Ayyub AS benar-benar diuji Allah SWT. Jika ada sesiapa yang mengaku dia menderita sakit kulit yang dahsyat, maka dia perlu sedar penyakitnya itu tidak setanding dengan apa yang dideritai oleh Nabi Ayyub AS.
Masakan tidak, menurut satu riwayat(1) Nabi Ayyub AS adalah orang pertama yang mengalami penyakit cacar. Bukan cacar biasa, tetapi cacar yang sangat kronik. Sehinggakan kulitnya lepuh dan dagingnya gugur. Ketika itu dagingnya tidak banyak lagi selain dari kulit pembungkus tubuh dan tulang rangkanya.
Penyakit yang dialami Nabi Ayyub ini terjadi dalam waktu yang lama sehinggakan dia tidak mampu lagi untuk duduk. Badan Nabi Ayyub mengeluarkan satu bau yang sangat tengit dan busuk. Oleh sebab itu dia dipulaukan dan diusung menuju sebuah tempat pembuangan sampah. Disitulah tubuhnya mula mengeluarkan pelbagai jenis ulat.
Pun begitu isteri Nabi Ayyub tetap setia melayani setiap keperluan suaminya. Dia adalah perempuan yang jiwanya teramat sabar dalam menghadapi mehnah ini bersama-sama suami. Apa lagi setelah kekayaannya selama ini habis dan anak-anaknya mati satu persatu.

Setiap kali isteri Nabi Ayyub datang dia membawa bersama-sama debu yang digunakan untuk mengalas di bahagian bawah tubuh Nabi Ayyub. Sehinggalah kesabarannya teruji sedikit, beliau berkata; "Wahai Ayyub! Kiranya engkau berdoa kepada Allah, tentu engkau akan diberi jalan keluar." Lalu Nabi Ayyub menjawab dengan tegas; " Aku telah diberi kesihatan selama 70 tahun. Adalah wajar jika di hadapan Allah aku dapat bersabar selama 70 tahun juga."

"Kau kena demam campak ni!" Sukri(rakan serumah) memberitahu.

"Hang kena demam pelentung la tu...!" Mak saya seolah-olah mengiakan andaian Sukri setelah saya menelefonnya.

Hampir tidak percaya. Tetapi inilah hakikat yang terpaksa diterima. Campak atau Pelentung kedua-duanya satu spesies. Rasa pening, sakit tekak, badan panas-sejuk, conjunctivitis dan paling 'simbolik' timbul tompok-tompok merah berair di keseluruhan badan. Dan sebenarnya ia boleh membawa maut!
Lalu ada yang memberi cadangan untuk saya pulang sahaja ke kampung.
Terasa berat untuk meninggalkan bilik kuliah, nota, assignment, lab report, thesis, kuiz dan ujian 1 yang bakal menjelma dalam tempoh seminggu atau 2 minggu. Meninggalkan untuk di 'qadho' semula. Inilah yang menjadi berat sebenarnya sekembalinya saya nanti..syafakallah..

Saya berkira-kira untuk pulang ke kampung. Mendapatkan rawatan tradisional(bukan bomoh!) yang lebih menjadi pilihan. Saat ini kasih sayang keluarga benar-benar membantu. Bolehlah jadi budak kecil balik, semua benda mak akan concern..hehe..

Ya Syabab, kuatlah sedikit!

Dan (ingatlah kisah) Ayub, ketika ia menyeru Tuhannya: "(Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang." Maka Kamipun memperkenankan seruannya itu, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya dan Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan Kami lipat gandakan bilangan mereka, sebagai suatu rahmat dari sisi Kami dan untuk menjadi peringatan bagi semua yang menyembah Allah. (Surah Al-Anbiyaa', 83-84)(2)

"Demam menghilangkan dosa anak-anak Adam seperti api di pandai besi yang menghancurkan karat."(Riwayat Muslim)(3)

"Eh, gatalnya!"

-------------------------------------------------------------------------------------------------------
(1)Wahab bin Munabbih dan para ulama lainnya dari Bani Israel menceritakan dalam sebuah kisah Nabi Ayyub yang panjang. Allah jua yang maha mengetahui keshohihannya. Dipetik dari buku 'Kisah para Nabi teladan bagi orang berakal'-karya Abul Fidaa' Ismail bin Katsir Al-Quraisy-(Ibnu Kathir)

(2) Petikan AL-Quran dari AL-Quran Digital(download dari Al-Ahkam)

(3) Petikan hadis disunting dari buku 'Akhlak seorang Muslim."cetakan pertama 1985-Imam Al-Ghazali. (terjemahan Abu laila dan Mohd Tohir.)
Continue Reading...

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP