Mengetuk isu lama

>> Monday, August 25, 2008

Beduk di DBP

Dahulu kita sering melihat ketung, beduk atau ketuk-ketuk di masjid-masjid atau surau-surau. Ada sesetengah pihak memanggilnya naqus. Naqus adalah pinjaman kepada bahasa Arab. Saya lebih selesa memanggilnya ketuk-ketuk. Penggunaannya pelbagai. Tetapi untuk memanggil orang kampung berkumpul. Paling popular penggunaannya adalah untuk memanggil orang ramai datang ke masjid kerana selepas itu azan akan dilaungkan. Dan selalu juga digunakan bagi menandakan adanya kematian.

Terdapat perbezaan antara ketung dan beduk. Ketung bentuknya memanjang dan dibuat daripada kayu keseluruhannya. Manakala beduk pula seperti gendang cuma saiznya besar sedikit. Beduk diperbuat daripada kayu dan kulit lembu. Saya selesa memanggilnya ketuk-ketuk juga.

Mungkin sesetengah daripada kita merasa rindu dengan zaman ketuk-ketuk ini. Namun tahukah kita? Popularitinya yang tenggelam kini mendatangkan kelegaan sesetengah pihak. Siapa? Izinkan saya mengkategorikan sebagai reformis-tradisionalis(kaum muda), atau puak tradisionalis-konservatif(kaum tua) melabelkan sebagai 'Wahabbi'. Saya tidak memakai label itu di sini. Apabila reformis menentang, maknanya mungkin ada yang tidak kena di sisi agama.
Di sebelah kanan adalah beduk, dan di sebelah kiri adalah ketung

Bermula tahun 1917, Sultan Zainal Abidin(Sultan Terengganu) mengutus surat kepada Syeikh Muhammad Azhari di Mekah mengenai masalah ketuk-ketuk. Lalu Syeikh Azhari yang merujuk kepada mazhab Syafie. Mazhab Syafie adalah mazhab yang dipraktikkan di Tanah Melayu ketika itu dan kini. Mengikut Mazhab Syafie, ketuk-ketuk adalah dilarang dan mungkar.

Berlanjutan ceritanya apabila tahun 1932, Syeikh Hassan b Sa'id al Yamani datang ke Melaka. Beliau adalah bekas mufti Mekah. Beliau telah memberi ceramah di segenap masjidmasjid mengenai haramnya naqus ini.
Akibatnya timbullah reaksi terhadap kenyataan ini. Dan satu majlis Muazakarah Ulama diadakaan pada tahun 1932 di Masjid Keling untuk mencari penyelesaian terhadapa masalah ini.

Pemuka yang muncul menentang adalah Haji Abdul Latif Tambi. Beliau merupakan tuan punya milik Malacca Latiefiah Press. Malacca Latiefiah Press menerbitkan akhbar ulung di Melaka ketika itu iaitu suara benar.

Sebenarnya kenyataan Syeikh Hassan disokong oleh mufti Melaka ketika itu Haji Khalil b Haji Hussin. Begitu juga dengan Sheikh Muhammad Ali b Hussin al Maliki. Malah Sheikh Muhammad menulis sebuah kitab bagi menyokong kenyataan Syeikh Hassan.

Haji Abdul Latif tidak berdiam diri. Beliau menyanggah dengan menulis sebuah buku bagi mempertahankan pendiriannya.

Akibatnya timbul perpecahan antara dua pihak.


Lalu mucul pemuka yang cuba meredakan. Beliau adalah Haji Ahmad b Haji Kassim. Beliau merupakan seorang ahli mesyuarat kerajaan Melaka. Dan juga penasihat hal ehwal agama Islam kepada Residen Inggeris di Melaka. Dalam hal ketuk-ketuk beliau telah merujuk kepada fatwa Syeikh Muhammad Bakhit al Muti'i. Disertakan dengan satu hadis;

Apabila masuk waktu solat pada zaman Rasulullah SAW seorang lelaki seraya berteriak; Solat! Solat! Perbuatan sedemikian itu amatlah menyukarkan manusia manusia untuk melaksanakan. Maka sahabat berkata kepada Rasulullah SAW; kalau kita gunakan naqus bagaiman? Rasulullah SAW mengatakan yang demikian itu adalah perbuatan orang Nasrani. Mereka berkata lagi, bagaimana kalau menghidupkan api di tempat tinggi? Rasulullah SAW menjawab,itu adalah perbuatan orang Majusi. Maka Rasulullah SAW memerintahkan bilal supaya azan.

Fatwa ini memberi kemenangan secara tidak langsung kepada Syeikh Hassan.

Lain pula ceritanya di sebuah Masjid di Kelang. Apabila ketuk-ketuknya hilang dicuri. Dipercayai golongan reformis yang melakukannya.
Siapa kata pergeseran pemikiran ini berlaku pada dasarwarsa ini sahaja?
--------------------------------------------------------------------------------
Fakta diambil daripada buku 'Pemikiran Islam di Malaysia' karya Dr. Abdul Rahman b. Hj Abdullah.


0 comments:

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP