Perantara di antara hitam dan putih.

>> Monday, June 23, 2008


Lihatlah kaki!

Satu tabiat yang saya rasakan agak normal apabila berdiri di dalam sof(sebelum memulakan solat)adalah melihat kaki jemaah kiri dan kanan.

Kaki saya. Sudah lurus melunjur ke arah kiblat. Alhamdulillah.
Kaki jemaah kanan. Teragak-agak untuk menghimpit. Kenalah beri isyarat merapat.
Kaki jemaah kiri. Masih tak lurus ke arah kiblat. Jikalau itu rakan, segera saya menegur. Jika bukan, masih memerlukan masa dan kebijaksanaan untuk mengingatkan.

Oh, satu lagi!
Kelmarin saya berdiri sebelah menyebelah orang yang kulit kakinya lebih putih. Terasa kulit kaki saya paling hitam.
Semalam saya berdiri sebelah menyebelah dengan orang yang kulit kakinya lebih hitam. Terasa kaki saya pula paling putih.
Akan datang, mungkin saya akan berdiri sebelah menyebelah dengan orang yang kulit kakinya putih dan hitam. Masa tu mesti rasa saya adalah orang Melayu tulen yang kulitnya adalah coklat!

Hakikatnya saya adalah orang Melayu yang kulitnya coklat sawo matang. Tidak putih dan tidaklah hitam.

Mungkin tepat jika analogi ini dapat saya gunakan untuk pergaulan kita sehari-hari.

Amatlah malang bagi diri ini, jika rakan-rakan yang kita sering bergaul dan rapat adalah terdiri daripada mereka yang fasik.
Jika kita orang yang menjaga solat, kita mungkin terasa diri masih baik. Lebih baik daripada rakan-rakan kita yang lain tu. Lalu berangan-anganlah diri. Bahawa dirinyalah yang paling baik. Boleh dijadikan contoh dan ikutan.

Cuba pula berdiri ditengah-tengah orang alim dan warak. Ya, kita akan dapat rasakan diri ini banyak sangat lagho dan jahatnya. Terlalu banyak jahil dan tak layak dijadikan ikutan.

Inilah yang dijawab oleh Ibnu Taimiyyah. Ketika mana dia berdialog dengan seorang penganut aliran al-Bataihiyah, satu gerakan pengamal Tasawuf sesat.

Orang itu bertanya kepada Ibnu Taimiyyah; "Apa yang ada padamu Ibn Taimiyyah? Jika kami pergi kepada kamu, iaitu Ahli Sunnah, wibawa kami luntur, tetapi jika kami pergi ke Tartar-Mongolia yang kafir itu wibawa kami malah muncul?"

Ibnu Taimiyyah langsung menjawab;

"Tahukah kamu perumpaan antara kami, kamu dan orang-orang Tartar itu? Kami tidak ubah seperti kuda-kuda yang berwarna putih, kamu tidak ubah seperti kuda belang, manakala orang-orang Tartar itu tidak ubah seperti kuda hitam.

Jika yang belang masuk ke dalam kelompok kuda hitam, maka akan nampak putihlah ia dikalangan kuda-kuda hitam itu.
Tetapi jika yang belang itu masuk ke dalam kelompok kuda putih, maka akan nampak hitamlah ia dikalangan kuda-kuda putih itu.

Kamu masih mempunyai sedikit cahaya.
Jika kamu masuk di celah-celah orang kafir maka nampaklah cahaya itu dan jika kamu masuk di celah-celah orang Ahl Sunnah yang mempunyai cahaya besar maka nampaklah kegelapan dan warna hitam yang ada pada kamu.

Demikianlah perbandingan antara kamu, kami dan orang-orang Tartar."

Lihatlah rakan-rakan karib sekeliling. Kuda hitam atau Putih?

Continue Reading...

Read more...

Ceramah Perdana itu membosankan!


Hatiku menyorak. Tapi berkeladak.
Keladak curiga dan mula menyampah.
Melalui susur kemelut masyarakat yang mengangkat tangan mahu mengubah.

Hari jumaat itu saya nekad. Janjinya hanya mahu dengar ceramah MB Nizar dan Tok Guru Nik Aziz. Tapi peluang itu saya jangkakan 45%. Banyak lagi perkara yang mereka hendak buat selain ceramah sahaja.

Saya menghidupkan enjin motosikal EX5 keluaran 1996. Sudah lebih 10 tahun tapi masih berkilat dan bertenaga.
Mahu menuju je Stadium Shah Alam. Iklannya ada ceramah Perdana di situ. 5 MB dijemput.

Saya sampai dalam pukul 1O.30pm. Sudah agak lewat. Hati ini berkata benar. Cuma MB Khalid sahaja. Hampalah..Apabila Anwar Ibrahim membentangkan pidatonya. Bukan itu pengubatnya. Saya bukanlah pengagum Anwar Ibrahim. Bukan Pengagum Hassan Ali. Bukan pengagum Lim Kit Siang. Kecewa!

Saya melihat rencah politik Malaysia. Benar, saya adalah orang muda yang pandangan dipandang enteng oleh mereka. Namun saya juga punya suara.

Sudah dibilang ilmu itu teras kehidupan. Diulang sedari kecil, sehinggalah melonjak masa. Diajar, diadun, dibentuk dan digarap untuk menjadi insan yang berilmu. Pandulah apa-apa bidang sekalipun, jika berdasarkan disiplin ilmu insyAllah itulah yang sebaiknya.

Namun malangnya mereka tidak. Mereka benar-benar mahu menjadi pembangkang yang benar-benar patut dilabel pembangkang. Malangnya perjuangan warisan ini dipalit oleh tangan-tangan kotor yang enggan membersihkannya sebelum mengangkat bendera. Lalu terpalitlah kotoran itu disekelilingnya.

Lihatlah ceramah umum mereka. Ianya bagaikan pesta kutuk mengutuk, gelak dan ketawa melabel dan memperli musuh politiknya. Terfikirlah saya sejenak, adakah majlis ini dalam redha Allah Taala? Apabila saya keluar darinya bukan pengubat gelisah yang saya dapat, tetapi hati yang keras. Jika ini yang saya rasa, apa cerita orang yang dah lama didalamnya. Lebih keras dan merekah agaknya.

Sedihnya, mereka kagum dengan Nik Aziz tetapi kagum dengan jenama Ulama' nya sahaja. Apabila dibukakan kuliah Nik Aziz, tidak ramai yang mahu mendengarnya. Tetapi jika ceramah politik, berkerumun orang singgah.
Mereka kenal siapa itu Harun Din. Tapi tidak tahu apa yang mahu dibawa oleh Harun Din. Begitu juga dengan ulama'-ulama' lainnya.

Disebabkan inilah sesiapa sahaja boleh bercakap pasal politik. Kerana hanya perlu ditambah tentang fakta dan juga auota. Berbanding daripada kuliah ilmiah, mereka perlu duduk dan dengar. Tiada gelak dan tawa, hilai dan kutuk. Perlu ditapis dan garap. Manakan tidak, bicara itu tentang umat. Kebergantungan jelas kepada Allah Taala.

Tarbiyyahkan diri semula, jika inilah yang sikap yang mereka bawa. Maka tidak mustahil, apabila satu keegoan kanan ditumbangkan, keegoan kiri pula yang bertandang dan menjelma.
(Apakah kamu hai orang musyrik yang lebih beruntung) ataukah orang yang beribadat di waktu-waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran. Az-Zumar, ayat 9.

-Tajdid

Continue Reading...

Read more...

Was-was bukan alasan untuk meninggalkan solat!

>> Thursday, June 19, 2008


Saya agak terkejut apabila diberitahu bahawa ada sahabat yang terpaksa mengqoda' solatnya semasa menjalani latihan praktikal ini.
Alasannya adalah kerana tempat itu kotor.
Mungkin saya menampakkan reaksi biasa apabila diberitahu sedemikian, tetapi sebenarnya ianya telah menghantui pemikiran saya sejak beberapa hari.
Akhirnya saya mengambil keputusan untuk menelefonl sahabat saya ini, bertanyakan khabar sekaligus memberikan teguran.

Sememangnya perkara ini yang saya takutkan apabila berhijrah ke dunia perkerjaan.
Kekangan masa untuk menunaikan solat!
Bagi yang mahu dan berusaha, insyaAllah dia akan dapat menjaganya. Tetapi bagaimana pula orang yang dalam keadaan selesa pun agak liat inikan pula keadaan genting dan sukar.

Umumnya saya mengetahui bahawa tiada hukum qada' solat fardhu apabila ianya dilakukan dengan sengaja. Sengaja di sini bermaksud selain daripada keuzuran atau tanpa disengajakan seperti tertidur, terlupa dan seumpamanya sehingga luput waktu. Namun apabila terbangun daripada tidur atau teringat daripada lupa, maka dia wajib melakukan sembahyang tersebut kerana kewajiban sembahyang masih lagi ditanggungnya.

Dan untuk kes ini rakan saya memberikan alasan bahawa tempat itu kotor dan berminyak.
Saya sedikit kesal, kerana kesilapan diri saya mungkin untuk berkongsi isi kandungan buku 'Talbis Iblis' karangan Ibnu Jauzi yang telah habis saya baca. Sememangnya buku ini memberikan keyakinan besar kepada saya untuk melawan penyakit was-was.
Qada' solat disebabkan tempat kotor dan berminyak? Saya rasa mungkin ini ditambah lagi faktor seorang lagi rakan saya yang punya penyakit 'was-was'. Lagilah dia tidak mahu solat di situ. Sesungguhnya mereka perlu sedar bahawa iblis telah berjaya memperdayakan mereka dengan cara was-was.
Bahaya atau tidak was-was ini, lihatlah dalam jemaah fardu. Pasti ada seorang dua yang membawanya.

Saya menyatakan kepada sahabat saya ini bahawa mereka kena juga bersolat sekalipun tempat itu kotor asalkan tidak bernajis.
Apabila dia memberikan alasan tiada tempat wuduk, saya memberikan saranan untuk mengambil wuduk menggunakan sebotol air mineral sahaja. Habis cara adalah bertayamum.

Ada sedikit panduan yang saya mahu berikan buat rakan-rakan seperjuangan. Alhamdulillah, inilah sekadar upaya saya untuk menjaga kebersihan sekaligus yakin dalam bersolat.

1. Jangan amalkan kencing berdiri. Sekalipun tandas itu tiada tandas mencangkung maka hendaklah duduk seperti mahu buang air besar. Toskan dan lawaskannya dengan mendehem minimum 3 kali. Kencing berdiri adalah penyebab kencing tidak lawas dan ada alasan untuk menyatakan seluar kotor. Ceh!

2. Sentiasa berpakaian menutup aurat. Mudah untuk melaksanakan solat. Orang yang tak menutup aurat dengan sempurna pastinya tidak yakin untuk bersolat dengan pakaian yang dipakainya itu. Terutamanya wanita.

3. Jika tiada tempat untuk berwuduk. Carilah mana-mana titisan air. Atau sebotol kecil mineral water. Tidaklah perlu guna kuantiti air yang banyak. Imam Ahmad bin Hanbal pernah menyuruh pembantunya untuk menutupnya daripada pandangan orang ramai apabila dia berwudhuk. Khuatir jika ada yang memperkatakan tentang sedikitnya air wudhuk yang digunakan. Dan apabila dia berwuduk, hampir tiada air yang menitik daripada anggota wudhuknya kerana sedikitnya pengunaan air. Kita macam mana?

4. Jikalau tidak jumpa air, bolehlah bertayamum. Sesetengah orang menganggap boleh bertayamum di atas pasir berdebu sahaja. Sebenarnya kita boleh bertayamum pada dinding batu, kaca, batu dan apa sahaja yang asalnya adalah di atas permukaan bumi. Baik ianya berdebu atau tidak.

5. Jika dah rasa tiada musolla untuk bersolat, solat sahaja di atas tanah. Lebih baik tidak berlapik biarkan sahaja dahi mencecah tanah. Baru rasa diri kita ini sebenarnya sebahagian daripada tanah dan adalah sebab untuk sapu muka selepas selesai memberi salam.

6. Apa sahaja yang mengotori seluar sama ada lumpur,makanan, ais krim, cat, air yang entah datang dari arah mana(beri'tiqad air itu suci dengan sangkaan baik kecuali telah jelas puncanya najis) selain najis adalah sah untuk dibawa bersolat. Inilah alasan yang selalu dipakai sebahagian orang. Sanggup meninggalkan solat kerana dikatakan seluarnya kotor. Walhal ianya tidaklah najis dan sah untuk dibawa bersolat.

Dr SMS pun boleh jaga solat di atas stesen ISS. Inikan kita pula di atas bumi ini. Jagalah solat. Kerana ianya adalah kewajipan yang telah ditentukan untuk orang muslim. Renung-renungkan dan selamat beramal.

Continue Reading...

Read more...

Rumah yang cantik

>> Wednesday, June 18, 2008

Gambar sekadar hiasan


Hari ini saya ke Bangi. Bukan bersiar-siar. Bukan makan angin. Tetapi atas urusan kerja. Antara kerja yang saya uruskan hari ini adalah untuk melihat pendawaian elektrik yang dilakukan di Rumah Encik Sham. Encik Sham mana? Saya pun tak bersua dengannya. Cuma berjumpa dengan supervisor kontraktor rumah itu sahaja.

Bukan kerja yang saya mahu ceritakan tetapi kecantikan rumah Encik Sham. Rumahnya besar, cantik, kemas dan menarik. Dalam hati saya memuji jurutera dan arkiteknya.

Namun dalam selang masa membuat kerja, sempat saya berfikir. Jika semua orang mahu rumah cantik dan menarik seperti ini, maka makin ramailah orang yang suka memerap di rumah. Mungkin inilah sebab semangat kejiranan makin kurang. Semangat kekitaan makin tebal dan slogan ‘peduli apa aku’ makin popular.

Jika rumah itu kaya dan cantik, ada pagar besar dan pondok pengawal. Tetapi mungkin nampak kurang apabila rumah ini juga menjadikan orang miskin malu bertandang, si pengemis segan meminta dan mana-mana peminta derma sukar menembusinya. Maka dengan itu semakin kayalah orang kaya, semakin bencilah dia kepada orang miskin yang meminta-minta sehinggakan kekayaannya itu melupakan dia. Lupa bahawa rumahnya yang luas itu akhirnya akan menghalaunya. Menghalau kekubur bersama-sama orang miskin, kaya, berpangkat dari segenap lapisan masyarakat.

Satu kemungkinan lagi, rumah ini cantik dan menarik. Tetapi tidak tahu apa pula ceritanya 10 tahun lagi. Mungkin sudah buruk dan tak terjaga. Luntur warnanya seperti kebanyakan rumah-rumah mewah di pinggir bukit. Begitu juga hakikat mencari pasangan mungkin. Cantik dan menarik akan pudar juga akhirnya. Tanyalah atuk-atuk yang masih menyayangi isterinya yang telah bergelar nenek. Adakah kecantikan membuatkan mereka masih berumah tangga.? Sudah tentu tidak. Jadi perlu diingat, kecantikan bukan syarat untuk menyayangi dan disayangi. (Statement yang menstabilkan fikiran buat diri yang tak berapa hensem ini)

Rumah yang cantik pun tak terlepas dari serangan makhluk perosak. Termasuk juga makhluk perosak ‘berkaki dua’. Lagi besar dan cantik rumah, lagi itu menjadi idaman kalbu mereka. Maka dipasanglah grill, alarm dan apa jua untuk keselamatan. Dah rasa duduk dalam penjara pula. Rumah-rumah di kampung ‘rilex’ sahaja.

Kebahagian itu bukan terletak pada nilaian harta. Tetapi kepada bagaimana kita pandai menguruskan pemberianNya. Sama ada kita kaya atau miskin. Berpangkat atau tidak.
Ya, benar ianya tidak salah. Namun diri ini sentiasa beringat, jangan sampai harta itu merosakkan iman dan jiwa.

Continue Reading...

Read more...

Arah tujuan


Dia yang selesa dengan kehidupannya. Bahkan dia merasa hidupnya bertujuan untuk dia bersenang lenang di dunia. Itulah mungkin sebab dia merungut-rungut, tidurnya tidak cukup, makannya tidak sedap dan pakainya tidak cantik.


Mungkin belum sampai khabar kepadanya. Bahawa dunia itu bukan tempat bersenang lenang dan berseronok-seronok.

Maka inilah khabarannya. Bahawa hakikat dunia itu menipu. Membuatkan engkau merasa selamat kerana rakan yang ramai, membuat engkau rasa bahagia dengan teman wanita yang cantik, membuat engkau rasa gembira dengan makanan yang lazat-lazat dan membazir dan membuat engkau terhibur dengan nyanyian ikon artis Timur dan Barat.

Lihatlah tersergam indahnya Istana Yaman. Menjadi saksi tipuan zaman.

Pendakwah yang berani bernama Muhammad Mahmud al-Zubairi membuktikan. Bahawa hidup ini tuujuannya hanya untuk mencari keredhoaan Tuhan. Buat kembali ke Syurga impian.

Jika dikatakan dunia ini tempat bersenang. Maka bodohlah Muhammad Mahmud. Hidupnya dalam buangan. Berhijrah dari negeri ke satu negeri sebagai pelarian politik. Menubuhkan sebuah Parti Islam dan menjadi menteri pada 1960-an. Akhirnya ditembak dan syahid. Tetapi tidak, inilah contoh insan yang menterbalikkan dunia. Menyanggahi dunia yang sentiasa mahu menariknya.

Itulah hakikat insan. Insan dicipta untuk memenuhi tuntutan Tuhan.
Beramal atas tuntutan. Bersusah dan senang kerana ada tujuan. Untuk melihat Islam itu ditegakkan di bumi subur mahupun yang gersang.
Continue Reading...

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP