Talian Aqidah dengan Saudara Seagama

>> Wednesday, July 4, 2012


Suatu saat penulis pernah membayangkan, apa yang akan terjadi kepada dunia ini jika bangsa manusia itu satu sahaja.  Bertutur dalam satu bahasa dan mempunyai wajah yang hampir serupa.  Malah mungkin segala-galanya sama.  Cara jalan, cara pakai, cara minum, perangai dan sifat.  Bagaimanakah anehnya nanti dunia seperti itu?

Bosan!

Ini sahaja jawapan yang tepat untuk diberikan gambaran.  Kerana dunia ini bersifat fana, maka mudahlah sesuatu yang menarik itu menjadi bosan.  Kerana itulah Allah Taala dengan segala sifat kemuliannya menjadikan manusia ini pelbagai bangsa, pertuturan, rupa dan cara.  Tujuannya adalah untuk saling mengenali dan dikenali.  Bunganya adalah untuk mudah menambah seramai mungkin orang perseorangan untuk dikenali dan mudah diingati.

Inilah yang disebut dalam firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13:

“Wahai manusia, sungguh Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal.  Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa.  Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti.”

Disinilah Allah SWT meletakkan kayu ukur tertinggi dalam penilaian seorang hamba di sisi-Nya iaitu, bukanlah kerana keturunan, kekayaan, darjat tetapi nilainya adalah ketaqwaan.

 
Kenali Dirimu dan Kenalilah Tuhanmu

Jika ditanya bagaimanakah caranya mengenali diri, tidak lain tidak bukan adalah dengan berinteraksi dengan pencipta dan juga sesama manusia. Li Taarafu. Seseorang boleh sahaja merasakan dirinya baik dan mempunyai hubungan yang kukuh dengan Allah SWT, tetapi apabila berhubung dengan manusia, dirinya pincang dan sukar untuk diuruskan.  Kerana itu telah tersesat sesiapa yang beranggapan cara menjaga diri adalah mengasingkan diri daripada orang lain dan bertapa di gua-gua mahupun tempat-tempat lain kerana baginya masyarakat itu kotor dan dia harus lari daripada masyarakat.  Lalu dimanakah datangnya dakwah, ujian dan cubaan sedangkan itulah sunnah Rasul yang terbesar?

Hadis Ibn Umar R.A, "Seorang mukmin yang bergaul dengan orang ramai
dan besabar di atas kesakitan yang timbul akibat pergaulan itu, adalah lebih baik daripada mukmin yang tidak bercampur dengan orang ramai dantidak sabar di atas kesakitan akibat pergaulan itu" (Al-tirmizi 2507, Ibn Majah 4032)

Di antara sifat buruk yang menimpa umat ini adalah sifat ananiyah iaitu sifat keakuan hasil perasaan diri mereka lebih mulia, lebih berhak dan lebih bagus daripada orang lain.  Sifat inilah yang memenjarakan Bani Israel dalam keegoan sehingga ke hari ini dan hanya memandang manusia lain sebagi bukan manusia yang berhak mewarisi bumi ini.  Mereka merasakan Allah Taala memuliakan mereka, walhal Allah Taala menghinakan mereka.  Mereka merasakan bumi ini berhak bagi mereka untuk diwarisi, walhal tiada sejengkel pun tanah di muka bumi ini menjadi tanah asal mereka.  

Sifat ini terlalu busuk dan berjaya dimanipulasi dengan baik oleh Barat dalam membangkitkan semangat Nasionalisme dan akhirnya mewujudkan Negara-negara bangsa.  Anehnya, atas nama kemanusian sejagat ini rakyat Palestin, Kahsmir, Selatan Thai, Sri Lanka, Ronghiya Kurdish dan Selatan Mindanao dinafikan hak mereka.  Mereka ini dibunuh sewenang-wenangnya, perempuan di rogol, anak-anak menjadi yatim dan umat Islam itu dihina sedangkan kemulian itu milik mereka.  

Malah atas semangat negara bangsa, mudah sahaja penafian ke atas bangsa lain walaupun seakidah dinafikan.  Lihatlah dahulu, isu Palestin yang dipandang sebagai hanya isu bangsa, lalu pemimpin arab tidak ambil endah malah malah takut dengan juak-juak Barat.  Sungguh ini bukanlah sifat yang dididik oleh Islam.  Islam itu menyuruh umatnya berkasih saying dan saling menjaga keperluan lain. Inilah lawan kepada sifat ananiyah iaitu ithariyyah.

Mahsyur menyebut dalam berkecamuknya perang Yarmuk suatu sifat mulia ditunjukkan oleh Tentera Islam yang berjumlah 40,000 melawan tentera Rom yang berjumlah 240,000.  Ikramah bin Abu Jahal yang sedang dalam keadaan nazak meminta air kerana haus, namun dia tidak jadi meminumnya  dan menyerahkan air itu kepada Suhail bin Amar kerana melihatkan Suhail yang ketika itu juga sedang nazak kehausan.  Suhail juga tidak jadi meminumnya dan menyerahkan kepada Haris bin Hashim.  Akhirnya ketiga-tiga mereka syahid tanpa sempat meminum air tersebut. Subhanallah!

Sungguh inilah sifat mulia hasil didikan Nabi Muhammad SAW.  Mengutamakan orang lain berbanding dirinya dalam hal kepentingan. Namun berlumba-lumba dalam pengibadahan.  Inilah bukti didikan Nabi Muhammad SAW yang unggul.  Membentuk manusia-manusia super yang menjadi sejarah zaman.

Disinilah Bukti Akidah Yang Sejahtera

 
Tuntas, umat Islam itu saling bantu membantu dalam berbuat taqwa.  Mereka tidaklah membantu dalam membuat permusuhan dan perpecahan.  Kerana asas umat Islam itu bersatu melangkaui kepentingan peribadi mahupun habuan duniawi.  Tetapi umat Islam itu bersatu di atas nama Tali Allah, Agama Allah.  Inilah talian yang menghubungkan diri kita dengan muslim lain.  Kerana umat Islam itu seperti satu tubuh, kesemuanya saling membina, jika salah satu anggota sakit maka yang lainnya akan turut sakit juga.

  Seperti mana firman Allah Taala dalam surah Ali-Imraan, ayat 103:

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya."

Penulis mengajak untuk sama-sama bermuhasabah sempena Ramadhan yang bakal menjelang tiba ini.  Sudah cukupkah keprihatinan dan kepekaan diri kepada umat Islam lain.  Ketika jalan-jalan sudah terbentang luas untuk diri saling menderma bagi membantu kesengsaraan umat Islam di negara lain, adakah diri telah berlumba-lumba dalam membuat amal kebajikan?  Umat Islam negara ini yang dilimpahkan dengan kekayaan perlu untuk menolong umat islam di negara lain.

Prihatinlah kepada nasib umat Islam sebagai umat Islam negara lain,
Inilah bukti seorang Negarawan, Agamawan dan Kekitaan tulen dan sejati.

Kerana sesiapa yang menjaga dirinya akan menjaga hal jiran-jirannya, sesiapa yang menjaga negaranya dia akan menjaga hal negara lain dan sesiapa yang menjaga agamanya maka dia akan menjaga agama lain. 
-----------------------------------------------------------------------------------
 Penulisan ini adalah hak cipta msrizal.blogspot.com. Sebarang penyiaran semula hendaklah menyertakan sekali alamat blog ini. Terima kasih kerana sudi membaca. 

MS Rizal, 
32100, Lumut, 
2012/1433H 
http://msrizal.blogspot.com/

0 comments:

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP