Erti mehnah di dalam kehidupan

>> Thursday, December 4, 2008


Datang seorang sahabat kepada saya mengadukan mehnah(ujian) besar yang bakal ditempuhinya.
Mehnah ini bukanlah mehnah calang-calang, mehnah berupa iman dan harga diri sebagai seorang mukmin muttaqqin.
Saya agak tergamam mendengarkan ceritanya. Dari butir-butir katanya terjelma keikhlasan untuk tetap setia memegang tali Allah ini.

Saya bermonolog di dalam hati, "Ketahuilah sahabat, saya juga bakal menemui mehnah sebegitu rupa. Malah mungkin lebih sukar lagi..."

Marilah... Saya mahu mendendangkan suatu cerita wahai sahabat. Cerita berlaku di awal kedatangan Islam.

Kenalkah kamu dengan Khabbab bin al-Arit?

Beliau pernah mendatangi Rasulullah SAW pada suatu hari dalam keadaan lemah akibat penderitaan. Ketika itu Rasulullah SAW sedang sayup-sayup berteduh di bawah naungan Kaabah. Khabab bin al-Arit mengadu kepada Rasulullah SAW, "Wahai Rasulullah SAW, apakah anda tidak memohon perlindungan bagi kami? Apakah anda tidak berdoa bagi kami?"

Ketika itu telah berlaku bermacam-macam siksaan yang menimpa umat Islam. Tidak terkecuali juga Khabab. Khabab adalah seorang tukang besi. Dia juga turut disiksa. Orang kafir datang kepadanya lalu mencucuk besi panas ke pahanya sehingga masak pahanya dek kepanasan besi.

Namun, Nabi SAW bukanlah tidak pernah memikirkan tentang kesengsaraan orang Islam.

Nabi SAW lantas menjawab,

"Di antara orang-orang sebelum kamu dahulu ada yang disiksa dengan ditanam hidup-hidup, ada yang dibelah kepalanya menjadi dua, dan ada pula yang disisir rambutnya dengan sisir besi hingga kulit kepalanya tergelupas! Tetapi ini semua tidaklah menggoyahkan tekad mereka untuk tetap mempertahankan agama ini.

Demi Allah, Allah pasti mengakhiri semua persoalan ini! Sehingga orang ramai akan berani berjalan dari Shan'a ke Hadramaut tanpa rasa takut kepada sesiapun kecuali Allah. Jika takut pun hanyalah risaukan kambingnya diserang serigala.

Tetapi kamu, nampak seperti terburu-buru!"

Renungkanlah, jika orang yang seperti Khabab itu dikatakan terburu-buru. Apatah lagi kita ini?

Wahai sahabat, keimanan itu bukanlah slogan yang boleh diungkap semata-semata. Ianya tidak dapat dibuktikan hanya dengan kepetahan lidah mengungkap ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis. Ianya bukan dilihat pada pakaian kopiah berserban serta janggut yang panjang. Ketahuilah sahabat, ianya telah dinyatakan oleh Allah di dalam ayat yang popular ini, Al-Ankabut(1-3):

Alif laam miim, Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.


Inilah sunnatullah yang ditetapkan. Sesiapa mengaku beriman mestilah diuji. Ujian inilah yang membezakan sama ada seseorang itu benar-benar beriman atau sekadar berpura-pura. Ketahuilah sahabat, sunnatullah ini tidak akan pernah berubah sama-sekali. Malah ianya juga yang telah dilalui para anbiya' terdahulu. Demikian juga diwariskan kepada sahabat-sahabat, para ulama' dan mujahidden, kemudian akhirnya kepada kita yang mengaku mahu beriman kepada Allah dan RasulNya. Inilah harga yang perlu dibayar untuk syurga sahabat. Harga itu bukan murah. Ianya telah dibayar dengan siksa dan pengorbanan nyawa oleh orang-orang terdahulu.

Sahabatku, prinsip dan keimananmu itu sentiasa akan direbut dan didengkikan orang yang jahat. Mereka akan datang untuk menendangmu dari setiap sudut supaya ianya akan tercampak keluar. Ikatlah ianya baik-baik sahabatku. Kerana sekali ianya terkeluar maka ketika itu engkau sudah boleh diibaratkan seperti bangkai anjing. Tahukah kamu nilaian bangkai anjing itu? Orang tidak akan lagi menendang bangkai anjing lagi, malah mereka sendiri jijik melihatnya.

Ingatlah sahabatku, walau bagaimana pun ujian menimpamu. Pertolongan Allah itu amat dekat...amat dekat sahabatku..amat dekat..InsyaAllah.

Benih iman yang kau tanam hari ini,
janganlah engkau harap ianya tumbuh segera,
ianya memerlukan air, cahaya dan udara.
Ianya juga tidak lepas dari ribut dan gangguan serangga.

Jagailah ianya dengan baik,
kita akan sama-sama menunggu hasilnya sahabat,
kita akan melihat ianya tumbuh menjadi pohon yang segar,
kita akan terpesona melihat dahan, ranting dan daun-daunnya yang cantik,
kita akan memetik buah-buahnya yang lazat.
Doakan kesejahteraan kita bersama.






MS Rizal,
Kuala Lumpur,
4 Disember 2008,
http://msrizal.blogspot.com/

0 comments:

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP