Travelog Mesir Bumi Ambiya'-Part 2
>> Tuesday, August 21, 2012
Hikmah bermusafir telah disebut di dalam Al-Quran yang menyuruh umat Islam mengembara.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Tidaklah mereka menjelajah di muka bumi, supaya mereka mempunyai hati yang dapat memikirkan atau telinga dapat digunakan untuk mendengar? Kerana sebenarnya bukan mata yang buta, tetapi yang buta ialah hati dalam dada.” (Surah al-Hajj, ayat 46)
“Katakanlah: mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan); kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik.” (Surah ar-Rum, ayat 42)
Tentunya orang yang duduk sahaja di suatu tempat tidak akan sama dengan orang yang telah bergerak di banyak tempat. Inilah impian ramai orang sebenarnya, untuk mengembara dan merasai pengalaman berada di negara orang. Tidak terkecuali saya. Namun sempadan perlu diletakkan supaya tujuan bermusafir itu biarlah ibadah, bukan untuk berbangga-bangga apatah lagi bermaksiat. Tetapkanlah matlamat dihujungnya untuk meraih taqwa. Bukalah minda dan banyakkan berdoa. Basahkanlah lidah dengan tasbih dan memuji Allah SWT saat melihat keindahan alam yang tentunya berbeza dengan tempat yang kita selalu berpijak sejak dilahirkan.
Secara ringkas, inilah hikmah kita bermusafir:
1. Menghilangkan kesedihan yang menimpa diri.
2. Membina kehidupan dan impian baru.
3. Memperolehi ilmu baru.
4. Menguatkan jiwa.
5. Membina keputusan malah mengubah pandangan daripada statik kepada lebih dinamik.
6. Bergaul dan berkenalan dengan pelbagai rencam dan budaya manusia dan bangsa.
Insya-Allah, saya akan mengupas tentang pemusafiran pada entri pengulungan siri Travelog ini nanti.
Perjalanan 8 Jam yang menarik
Lebih kurang pukul 11.20 tengah hari bas ditunggu-tunggu yang akan membawa kami dari Kaherah ke Semenanjung Sinai pun telah tiba. Saya meletakkan beg di ruang bagasi di bawah bas dan terus mengiringi isteri untuk mencari tempat duduk. Ruang dalam bas tidaklah seperti bas ekspress kerusi VIP yang amat banyak di Malaysia, namun ini sudah cukup baik sebenarnya. Kelihatan ramai orang arab di dalamnya. Ada yang berpakaian biasa, berjubah dan tidak kurang juga yang beruniform tentera. Isteri mengatakan tentera ini berpangkat prebet dan dibayar gaji lebih kurang 300 Pound Egpypt (RM 150) sebulan. Bagaimana mungkin, gaji yang terlalu sedikit...
Alhamdulillah, saya dan isteri mengambil tempat duduk yang agak belakang. 'Jiran-jiran' seat saya kesemuanya lelaki. Saya meminta isteri duduk di bahagian dalam, di tepi tingkap. Mengambil tempat duduk seselesa mungkin dan bas pun bergerak memulakan perjalanan.
Bas menyusuri jalan-jalan berdebu di Kaherah Mesir, perjalanan kami adalah ke Semenanjung Sinai. Saya tidak melepaskan peluang untuk melepaskan pandangan jauh-jauh ke luar tingkap bas.
"Abang, masih tak percaya datang ke Mesir dan dapat jumpa Sayang di sini."
Saya mengulangi perkataan ini berkali-kali, isteri saya melemparkan senyuman manis kepada saya yang amat membungakan hati.
Jalan menyelusuri Laut Merah
Mesir dan sejarahnya yang terlalu banyak untuk diungkapkan
Mesir. Ummu Dunya - Ibu Dunia. Bumi yang amat menarik. Bumi ini menyimpan khazanah tamadun berabad-abad lamanya. Sebab itu kita dapat melihat, bangunan-bangunan lama di sini. Kawasan arab berpasir ini termasuk Palestin, Jordan, Arab Saudi, Iraq dan lain-lain lagi merupakan tempat bersejarah yang dihuni manusia sejak awal seerah kenabian.
Inilah yang menjadi dasar amanat Nabi Muhammad SAW kepada umat Islam berkisar Mesir:
“Sepeninggalanku nanti, Mesir adalah menjadi kewajipan kalian untuk membebaskannya, maka perlakukanlah penduduknya dengan baik, kerana mereka masih mempunyai ikatan dan hubungan kekeluargaan dengan kita!”
Mengapa tidak,
Sedangkan keturunan arab itu adalah daripada keturunan Nabi Ismail as dan keturunan Qibti Mesir itu adalah daripada keturunan Nabi Ishak as. Kedua-duanya adalah anak Nabi Ibrahim as.
Disebabkan itulah Amru al-As dihantar oleh Saidina Umar as untuk 'membebaskan' Mesir. Perkataan 'bebas' adalah lebih sesuai digunakan berbanding 'menakhluk', kerana Islam datang untuk membebaskan seorang manusia daripada kehambaan dunia kepada kehambaan kepada Allah SWT. Sebelum Mesir dibebaskan oleh Amru al-As, negeri barakah ini telah ditakhluk oleh Kerajaan Rom selama 700 tahun lamanya. Saya akan mengungkap sejarah bagaimana kisah-kisah Amru al-As membebaskan Mesir, penuh tragis dan semangat keIslaman yang tinggi pada entri-entri kedepan Insya-Allah.
Debu pasir Mesir
Pemandangan di sekitar kiri dan kanan adalah kawasan berpasir, tentunya ini amat berbeza dengan lebuh raya di Malaysia yang dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan menghijau. Sebab itu mungkin saya pernah mendengar, orang Arab yang pertama kali datang ke Malaysia, melihat dari tingkap kapal terbang sahaja sudah menjerit, "Jannah..Jannah..Jannah fi Dunya..-Syurga..syurga..syurga di dunia." melihat kehijauan bumi Malaysia.
Pemandangan berpasir bukanlah menjadi sesuatu yang asing bagi saya, terima kasih kepada siri Jejak Rasul yang mendekatkan masyarakat Malaysia dengan bumi Anbiya' ini. Disepanjang jalan saya banyak menghabiskan masa berbual dengan isteri sambil sesekali menjengah pemandangan luar. Televisyen yang terdapat di dalam bas memaparkan cerita-cerita arab yang tidak enak dilihat. Paparan kehidupan berdisko dan berseronok dengan perempuan cukup membuatkan sesiapa yang sahaja boleh beranggapan awal ini suasana masyarakat arab sekarang.
"Pelik benar cerita ini Sayang, malam heronya pergi disko, siangnya pula di pergi Masjid?" Saya menyoal isteri saya.
"Cerita sebegini memang kerap ditayang terutamanya zaman Husni Mubarak, seolah-olah menggambarkan inilah kehidupan negara Mesir." Jawab Isteri saya.
Saya mengangguk, tidak ubah seperti di Malaysia. Media tidak dikawal, malah sibuk benar filem-filem mahu mempertontonkan aksi Mat Rempit, Pelacuran dan sebagainya. Seolah-olah majoriti pemuda di Malaysia adalah Mat Rempit. Itulah yang lebih difokuskan dan dipopularkan. Kalau kehidupan di kampus, aksi cintan-cintun, kuliyah cinta yang dipertontonkan. Walhal ramai sahaja Mahasisiwa yang sibuk berusrah malah menjadi aktivis masyarakat sepenuh masa. Media yang sakit benar-benar menyakitkan lagi masyarakat.
Saya melihat jam di tangan, baru pukul 12.30 tengah hari, saya tidak pasti pukul berapa akan tiba di Semenanjung Sinai. Penat menaiki kapal terbang tidak habis lagi, sambung pula penat menaiki bas. Mujurlah pemandangan Mesir menjadi peneman, berbanding di dalam kapal terbang yang hanya ada pemandangan biru awan sahaja.
"Abang tidur dahulu ya.." Saya meminta izin pada isteri, harap-harap lekas sampai.
Kejadian yang kelakar.
"Eh...eh...kenapa tak boleh tekan brek ini!" Saya menjerit secara tiba-tiba.
Saya merasakan diri sedang memandu kereta, lalu terlelap seketika dan apabila tersedar diri tak mampu nak menekan brek daripada membiarkan kenderaan terus berjalan.
"Abang...abang.." Isteri saya menepuk bahu saya.
Ketika itu saya baru sedar, saya sedang bermimpi rupanya. Mimpi seperti ini berulang kali terjadi pada saya terutamanya ketika saya menumpang tempat duduk belakang.
"Diorang semua tengah tengok abang ke?"
"Haah..."
Aduh, baik sahaja pura-pura menyambung tidur, kalau dibukakan mata malu sahaja saya.
Lama selepas itu saya bertanya kembali kepada Isteri, "Diorang tengok lagi ke sayang?"
"Tak dah, orang arab tengok sekali sahaja, lepas itu buat tak tahu balik.."
Saya kembali berani membuka mata. Dan menceritakan situasi tadi yang sering terjadi pada saya. Pernah sekali balik daripada mukhayam saya yang kepenatan tidur di belakang, saya menjerit tiba-tiba. Situasi yang sama juga terjadi.
Isteri saya menghela nafas bimbang kerisauan. Saya cuma tersenyum sahaja sambil melihat bas yang berhenti untuk menurun dan mengambil penumpang. Orang-orang di sekeliling saya pun sudah bertukar wajah, ada yang turun dan bertukar dengan penumpang lain pula.
Kelihatan pos-pos tentera di sekitar perjalanan kami. Sempadan masuk ke Semenanjung Sinai, bas diberhentikan dan seorang tentera masuk ke dalam bas untuk memeriksa kad pengenalan penumpang. Saya menunjukkan passport milik saya dan isteri. Tentera itu berpuas hati dan menyerahkan kembali kepada kami. Perjalanan diteruskan...
Tiba di Saint Catherine
Sekitar jam 6 petang isteri mengejutkan saya yang beberapa kali terjaga dan tertidur semula. Mungkin kesan Jet Lag membuatkan saya kelihatan letih. Bas sudah tiba di kawasan Saint Catherine. Isteri memberitahu tempat yang kami tuju iaitu Fox Camp yang terletak berhampiran dengan kaki Jabal Musa/Bukit Tursina - Gunung Sinai.
Kawasan ini terkenal dengan Gereja-gereja Kristian Ortodoks. Ada 2 versi cerita asal nama Catherine ini, ada yang mengatakan nama ini diambil bersempena nama Catherine iaitu pengikut Nabi Musa as yang meninggal dunia ketika bermunajat kepada Allah SWT dan dikebumikan oleh pengikutnya di kaki bukit Tursina. Versi lain adalah nama bagi anak kepada Alexendria yang telah mengikut agama Nasrani sehingga dia disiksa. WallahuTaala A'lam. Menariknya terdapat surat daripada Nabi Muhammad SAW yang memberikan jaminan keselamatan kepada pengikut Kristian di St Catherine. Salinan surat ini masih tersimpan di Biara St Catherine.
Akhirnya jam 6.30 petang, kami telah sampai ke destinasi yang dituju, alhamdulillah. Kedatangan kami disambut oleh 2 orang arab berjubah putih kekusaman yang sibuk bertanya mahu ke mana dan mengajak untuk menginap dahulu Fox Camp. Saya meminta Isteri saya menelefon dahulu, pemandu pelancong yang menjadi rujukan kami di Kaherah. Setelah dia memaklumkan yang kami benar-benar telah sampai barulah kami berani untuk menerima tawaran 2 orang arab itu.
Di sini, orang yang lebih tua senang sahaja dipanggil 'Ammu-Pak Cik dan 'Ammah-Mak Cik. Salah seorang 'Ammu fasih berbahasa Inggeris. Saya lantas bertanya berapakah harga penginapan di Fox Camp tersebut.
"100 Euro" kata 'Ammu itu setelah berfikir sejenak. Mukanya seperti menyembunyikan sesuatu kebenaran.
"100 Euro? Mana boleh, saya pelajar Al-Azhar!" Lantas Isteri saya terus mencelah dalam bahasa arab.
"Oh, kamu boleh berbahasa arab?" Soal 'Ammu itu kembali.
"Baiklah, saya memberi harga 50 Junaih (Pound Egypt, kira-kiran RM 25)." Balas 'Ammu tersebut kembali.'
Setelah beberapa kali tawar menawar, kami berjaya mendapat harga sekadar 40 Junaih (RM 20) sahaja untuk penginapan semalaman. Murah bukan? Saya dan isteri berpuas hati, kami dibawa menyusuri penginapan itu yang seperti Kem motivasi di tengah-tengah padang pasir. Bilik-bilik dibina menggunakan batu-batu kasar, dan dibentuk berkotak-kotak. Bilik air terdapat di luar bilik. Kelihatan banyak pokok kurma dan pohon zaitun rendang di tanam memagari bilik-bilik penginapan. Sana-sini pemandangan adalah bukit berbatu yang tersergam kukuh berabad-abad lamanya. Satu pengalaman baru bagi saya untuk menginap di tempat seperti ini. Terasa benar, seperti seorang pengembara padang pasir.
Saya dan isteri berpuas hati alhamdulillah. Kami perlu melepaskan lelah sementara menunggu rombongan bas yang akan mengambil kami tengah malam nanti...
Alhamdulillah, lebih kurang 8 jam perjalanan dari Kaherah ke Saint Catherine telah kami berdua berjaya tempuhi.
-----------------------------------------------------------------------------------
Penulisan ini adalah hak cipta msrizal.blogspot.com. Sebarang penyiaran semula hendaklah menyertakan sekali alamat blog ini. Terima kasih kerana sudi membaca.
MS Rizal,
2012/1433H
http://msrizal.blogspot.com/ Continue Reading... Read more...