Antara Fadhilat dan Wajibat

>> Tuesday, May 22, 2012

Kuliah Maghrib pada hari Isnin itu.


Kuliah maghrib hari itu membuatkan saya terfikir sejenak. Luahan rasa pengkuliah pada malam itu menggamit citarasa saya untuk mencoret sesuatu di sini. Luahan yang sebenarnya sering benar didengari corong telinga saya.

“Alhamdulillah, saya baru pulang daripada membawa rombongan umrah.  Namun ada sesuatu yang membuatkan saya kurang senang, tentang liatnya segelintir jemaah kita untuk turun bersolat berjemaah di Masjidil Haram.” Luah pengkuliah yang wajahnya berusia dalam lingkungan umur awal 30 tahun.

“Mereka lebih senang solat di Hotel. Inilah adalah sesuatu yang rugi. Datang daripada jauh, namun tidak mahu merebut ganjaran mengerjakan solat di Masjidil Haram sebanyak 100,000 kali ganda pahala berbanding solat di tempat lain.” Tambah pengkuliah tersebut dengan nada yang serius.

Suasana masjid hening, para jemaah masing-masing menumpukan perhatian kepada pengkuliah.

“Masya-Allah, 100,000 kali ganda.  Banyaknya pahala, rugilah mereka.” Hati saya berkocak.

Langsung saya teringat kepada perbualan sebulan yang lepas bersama bapa mertua saya...


Pencerahan umat Islam Malaysia mengenai ibadah
“Umat Islam di Malaysia perlu diperbetulkan perspektif mereka mengenai ibadah.”  Bapa mertua saya, Mohd Lotphi bin Halim membuka bicara.

Ketika itu kami sedang berehat di stesen minyak Petronas, R & R PLUS Simpang Pulai. Perjalanan pulang usai menghantar isteri saya ke KLIA yang alhamdulillah sudah selamat sampai ke Mesir.

“Maksudnya bagaimana, abah?”

“Contohnya, solat berjemaah di Masjid. Orang kita hanya nampak dari sudut fadhilatnya sahaja.  Kalau kita pergi solat jemaah akan mendapat 27 kali ganda pahala, kalau kita solat seorang diri dapat 1 pahala sahaja.” Hujah bapa mertua saya.

“Walhal solat berjemaah itu hukumnya wajib.  Dan atas sebab memandang fadhilat sahaja orang ramai tidak pergi masjid. Hanya bersolat di rumah sahaja.”

Saya bersetuju dengan pandangan bapa mertua saya ini. 

Suka bagi saya menukilkan beberapa dalil mengenai kewajipan solat berjemaah di sini:

"Dirikanlah solat, tunaikan zakat dan rukuklah berserta orang-orang yang rukuk" - (Al-Baqarah, 43)

Mungkin pembaca amat biasa mendengar hadis ini:

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Ertinya: “Aku berniat memerintahkan kaum muslimin untuk mendirikan solat.  Maka aku perintahkan seseorang untuk menjadi iman dan solat bersama manusia.  Kemudian aku berangkat dengan kaum muslimin yang membawa seikat kayu bakar menuju orang-orang yang tidak mahu ikut solat berjamaah, dan aku bakar rumah-rumah mereka. (hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Hadis ini dengan jelas menunjukkan kewajipan mengenai solat berjemaah.  Kewajpan yang dituntut untuk dikerjakan oleh semua Muslim dan Mukmin yang mengaku taat dan beriman kepad Allah Taala.  Sungguh bagi yang tidak tersedar mereka akan mensia-siakan hadis di atas disebabkan ianya kontradik dengan hadis fadhilat.

Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda). (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bagi masyarakat biasa, mungkin hanya ada yang memandang hadis fahdilat ini berupa pilihan. Maknanya nak pergi jemaah dapat 27 darjat, bagi yang tidak mahu 1 darjat sahaja.  Malah kelakarnya, pernah warden asrama saya dahulu mahu mendenda pelajar asrama yang bersolat sendirian di Dorm supaya solat 27 kali bagi menyamai pahala solat di masjid.

Sungguh sinonim konsep fadhilat ini kepada masyarakat, seolah-olah apa sahaja yang dibuat perlu ada bayaran pahala. Walaupun hujah ini bukan menolak apa yang Allah Taala janjikan namun pokok persoalan ini terlalu ditunjal-tunjal ke tengah.  Malah ditanam sejak sekolah rendah lagi. Ironinya ia banyak menolak konsep kefardhuan itu ketepi, malah persepsi ibadah hanya kepada pahala tidak mampu diarahkan kepada kewajipan yang tertanggung di atas semua pundak yang mengaku muslim.

Saya memandang, persepsi hanya memandang fadhilat langsung mengundang rasa bahawa mereka punya pilihan.  Sama ada mahu sedikit atau banyak.  Mereka yang memandang dirinya sudah banyak pahala, tidak perlu merasakan bahawa dia perlu menambah pahala. Sebab itu ‘dia’ merasakan solat di Hotel itu sudah memadai berbanding solat di Masjidil Haram. Sungguh terpedaya orang seperti ini!

Konsep Keutamaan

Masalah yang terdapat di sini adalah keutamaan.  Masyarakat keliru dengan keutamaan dan pilihan mana yang terbaik.

  • Solat di rumah dengan isteri dan anak-anak berbanding solat di masjid.
  • Kewajipan berbuka puasa Ramadan berbanding kewajipan solat Maghrib.
  • Kepentingan membaiki diri berbanding membaiki sistem(termasuk parti politik).
  • Kewajipan fardu ‘ain berbanding fardu kifayah.
  • Kepentingan hak hamba berbanding hak Allah Taala (Contohnya, mempunyai duit tapi berhutang, wajib melunaskan hutang berbanding menunaikan haji.)
  • Sedekah pada masjid dan pergi umrah/haji beberapa kali lebih diutamakan berbanding sedekah pada gerakan Islam, umat Islam di Palestin/Iraq dan lain-lain.
 Dan banyak lagi contoh-contoh lain.  Kekeliruan ini bukan sahaja melanda masyarakat Islam di Malaysia, malah umat Islam di dunia. Kelesuan umat Islam juga disebabkan oleh faktor kekeliruan memilih mana satu yang lebih utama.  Oleh sebab itulah Sheikh Yusuf Al-Qaradawi menulis buku yang laris, popular dan cukup bermakna iaitu Fiqh Awlaliyyat-Fekah Keutamaan. Saya kira buku ini perlulah menjadi bacaan wajib dihadam bagi mereka yang mahu faham Islam pada monsun gerhana ini.

Bukankah kita ini hamba?



Sifat hamba adalah taat.  Ianya layak dijual, berdosa jika melarikan diri, tidak mendapat upah, dibezakan daripada orang yang merdeka, malah bagi yang jariah perempuan boleh disetubuhi oleh tuannya.  Itu adalah hakikat hamba kepada manusia.  Hamba manusia tidak lemah kepada tuannya, tetapi keadaan menjadikan dia lemah. Desakan sosial membuatkan dia tidak mampu melawan tuannya.

Itu konsep hamba di zaman Rasulullah SAW, hamba amat sinonim dengan perkataan taat dan patuh.  Itu hamba kepada manusia, apatalah lagi kita sebagai hamba kepada Allah Taala. Allah Taala berkuasa hakiki kepada manusia. Allah Taala memegang fizikal dan hati-hati hambanya. Sedangkan seorang tuan itu tidak berkuasa hakiki kepada hambanya.  Mereka memegang fizikal hamba, tetapi belum tentu memegang hati-hati hamba mereka.

Alangkah baiknya andai semua orang menanggapi konsep hamba ini.  Konsep inilah yang menjadi hadaman para Salafussoleh yang taat kepada Allah Taala. Malah sungguh tawaduknya jawapan Nabi Muhammad SAW saat A’isyah hairan melihat Nabi SAW tekun beribadah sehingga bengkak kakinya sedangkan baginda maksum dan dijamin syurga. Lantas Baginda SAW menjawab, “Bukankah patut aku menjadi hamba yang bersyukur?” (hadis Riwayat Bukhari).  

Alangkah indahnya konsep hamba, wajibat dan taat ini diperkuatkan dan dimomokkan kepada masyarakat melebihi daripada konsep fadhilat.  Malah banyak hadis-hadis fadhilat pun berstatus lemah dan palsu terlalu banyak-banyak berlegar-legar di kalangan masyarakat berserta harapan palsu. Satu contohnya adalah Fadhilat setiap malam terawih. Letaklah berapa tinggi pun fadhilatnya, hatta confirm ke syurga sekalipun ianya tetap tidak dapat mengalahkan harga durian runtuh pasaraya dan pusat membeli belah juga.

Kita boleh beribadah atas dasar terpaksa,
Kita juga boleh beribadah atas dasar melepas batuk di tangga,
Kita juga boleh beribadah atas harapan banyaknya pahala,
Kita juga boleh beribadah atas dasar ikhlas dan sedar bahawa diri ini adalah hamba.

Allah Taala memberi dua jalan, kita sendiri yang memilihnya.
“Dan Kami tunjukkan kepadanya (manusia) dua jalan.” Surah Al-Balad, ayat 10.


----------------------------------------------------------------------------------- 
Penulisan ini adalah hak cipta msrizal.blogspot.com. Sebarang penyiaran semula hendaklah menyertakan sekali alamat blog ini. Terima kasih kerana sudi membaca. 


MS Rizal, 
32100, Lumut, 
2012/1433H 
http://msrizal.blogspot.com/ Continue Reading...

Read more...

Warkah buat Mutarobbiku yang tercinta-Part 1

>> Wednesday, May 9, 2012

Usia ini berjalan meniti masa-masa yang kian tua.  Saya mencuba untuk mengenggam masa itu, cuba menahannya daripada berjalan terus.  Namun hasilnya hampa, masa tetap sepertimana Allah Taala sebutkan mengenainya.

"Demi masa, Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian.." (Surah Al-Asr.)

Seharusnya apabila kita merenung ayat ini, menginsafi perjalanan hidup ini. Hakikatnya masa itu benar-benar menghimpit.  Mendesak manusia itu terus beramal, beramal dan beramal.  Kerana amalan itulah tujuan kita hidup.  Malah amal itu juga sinergi kehidupan, ianya mengharmonikan alam.  Alam memberikanmu daya untuk amal, dan kamu menerimanya untuk memakmurkan bumi ini. 

Medium amal-Bulatan gembira

Maha suci Allah SWT yang memberikan saya hidayahnya.  Beberapa tahun lepas, dalam sentuhan hidayah Allah itu saya mencari-cari medium untuk melunaskan tanggungjawab ini.  Kesedaran anak muda yang cetek ilmunya untuk sama-sama menyumbang ke arah amal.  Lalu saya dilorongkan kepada sebuah sinar harapan.  Sebuah bulatan gembira, liqo' biasa yang diadakan selama 2 jam di Masjid Jame' setiap hujung minggu.  Dan daripada bulatan ini saya mengorak langkah untuk terus istiqomah di dalamnya.

Ada yang mengenalinya sebagai Halaqah, ada yang memanggilnya Usrah.  Biar apapun namanya ianya inti teras dalam menginjakkan daya amal ini lebih ke depan lagi.




Berdasarkan gambarajah di atas ini, lihatlah daripada bulatan kecil ini terbit wawasan mahu mencapai UA-Ustaziatul Alam.  Yakni Islam itu mencakup seluruh dunia.  Ad-Din ini dirasai rahmatnya ke seluruh alam.  Sungguh hebat bulatan ini, ianya kecil tapi penuh kuat, ianya dihiasi dengan gelak tawa tetapi isinya serius.  Penuh harapan, tinggi semangat, terbit ruh-ruh baru untuk jihad. Hebatnya...hebatnya...

Fitrah bulatan ini, di tengah-tengah persimpangan ada yang tercicir.  Ada yang menarik brek. Ada yang letih kerana katanya jalan ini terlalu panjang untuk mencapai tujuan.  Tetapi lupakah mereka bahawa jalan ini tidak semestinya kita merasai kemenangan.  Sederet barisan sahabat yang memeluk Islam di Makkah dan Madinah, tidak semua yang merasai kemenangan saat Fathul Makkah.  Juga kisah-kisah Para Anbiya' yang dihujung mereka berakhir dengan tragedi pembunuhan.

Penilaian Halaqah.


Saya mahu kongsikan perkara-perkara ini dengan sahabat-sahabat seperjuangan dahulu yang terlalu awal menarik brek.  Fikir mereka sudah banyak tahu, malah mudah sahaja menyatakan kesimpulan,

"Saya tidak dapat apapun daripada halaqah ini..."

Nanti dahulu kawan, halaqah ini adalah sarana tarbiyah.  Ianya adalah inti daripada pembentukan diri sebagai Individu Muslim. Ianya jalan panjang.  Bagaimana seseorang itu terlalu cepat menilai halaqah ini membosankan tanpa terlebih dahulu menghadiri semua sarana tarbiyyah.  Dalam tarbiyah itu intinya adalah Usrah/halaqah, Mukhayam, Katibah/Qiam, Nadwah, Muktamar, Daurah dan Rehlah. Aneh sungguh, sahabat yang hanya hadir dalam sekali dua halaqah lalu menyatakan tiada apa yang dilalui daripada halaqah ini.  Lalu mereka kembali seperti dahulu, malah amal semakin sempit dan termangu-mangu mencari medium untuk menyampaikan amal ini.

Seorang murobbi itu amat menyintai mutarabbinya. Sedarlah di saat berat hatinya seorang mutarabbi itu untuk hadir ke setiap pertemuan halaqah, murobbi itu sentiasa melontarkan dengan kebahagian dan pengharapan. Kerana murobbi sentiasa menanamkan cinta di dalam bulatan gembira ini. Berusahalah untuk menghidupkan halaqah ini, kerana murobbi tidak pernah meminta imbalan daripadamu, tidak pernah menyatakan bayaran untuk setiap masa emasnya.  Melainkan imbalan itu hanya datang daripada Allah Taala jua.

"Jika kamu berpaling (dari peringatanku), aku tidak meminta upah sedikitpun dari padamu. Upahku tidak lain hanyalah dari Allah belaka, dan aku disuruh supaya aku termasuk golongan orang-orang yang berserah diri (kepada-Nya)." (Surah Yunus, 10:72, lihat pula QS 11:29, 51. 12:104. 25:57.26:109, 127, 145, 164, 180. 38:86).

 ----------------------------------------------------------------------------------- 
Penulisan ini adalah hak cipta msrizal.blogspot.com. Sebarang penyiaran semula hendaklah menyertakan sekali alamat blog ini. Terima kasih kerana sudi membaca. 

MS Rizal
32100, Lumut
http://msrizal.blogspot.com/ Continue Reading...

Read more...

Laut yang terbentang luas itu juga petanda kebesaran Allah SWT

>> Friday, January 20, 2012

Sudah lama saya tidak mencoretkan sesuatu di sini. Saya percaya, msrizal.blogspot masih punya peminat yang kadang kala singgah ke sini menjenguk kalau-kalau ada entri baru yang saya lakarkan di sini.

Setelah berbulan-bulan tidak menulis, saya terasa amat janggal untuk memulakan ianya semula. Saya sedar bakat ini tidak harus disia-siakan, rasanya amat perlu untuk saya mengaktifkan kembali blog ini. Biar seperti kata Ustazah Engineer , menginspirasikan saya bahawa blog ini akan saya wariskan kepada anak-anak saya suatu hati nanti. Biar mereka tahu minat saya dalam berdakwah di dalam bidang penulisan adalah sesuatu yang serius.

Manusia dan perubahan

Kapal KD JEBAT yang saya tidur, berkerja, makan dan beraktiviti di dalamnya adalah dikategorikan sebagai Combatan ship Frigat Class. Sesuatu yang menarik tentang kapal perang adalah bentuknya yang tirus dan kecil walaupun hakikatnya kapal itu besar. Ini memudahkan kapal terlindung daripada pengesanan radar, dan sukar untuk menembak kapal perang daripada udara. Berbeza dengan kapal perang yang bentuknya lebar dan besar. Sasaran radar di udara amat mudah bagi mengesannya.
Belayar bersama kapal Frigat New Zealand

Suatu pengalaman yang menarik adalah apabila berlakunya penukaran anggota semasa latihan sedang dijalankan. Pengalaman yang manis, saya berpeluang untuk ditukarkan dengan krew kapal Frigat Tekaha F77. Sama seperti Malaysia, New Zealand juga hanya mempunyai 2 kapal perang Frigat. Apa yang menarik, selalunya salah satu masa daripada kapal Frigat itu akan beroperasi sementara yang satu lagi akan menjalani rutin pembaikan di Shipyard.

Pagi itu awal-awal lagi saya dan tiga lagi rakan menyeberang dengan bot laju kapal di perairan Laut China Selatan terus menuju ke kapal New Zealand ini. Kami disambut dengan mesra oleh krew kapal ini iaitu Lt Douglas, Waren Officer Smith dan lain-lain. Malah Kapten kapal ini juga cukup ramah melayan kami. Saya rasa adalah menarik untuk berkongsi sedikit gambaran mengenai krew kapal ini dan cara mereka bekerja:


Saya,Waren Officer Smith,CPO Suthessan
Ini adalah Galley tempat memasak, saya tak tahu daging apa yang mereka masak ini. Saya berubah menjadi seorang 'vegeterian' di kapal ini.

Ini adalah bilik Pegawai Jurutera Marin kapal Frigat Tekaha. Apa yang boleh dikatakan adalah ianya selesa bagi sebuah kapal perang.

Ini adalah latihan internal battle. Logiknya, ketika perang anggota yang berada di dalam perut kapal akan turut juga membantu memadamkan api dan mengawal kebanjiran jika letupan berlaku pada mana-mana sudut kapal.

Berehat sebentar di Wisma Laskar, Mr Smith yang banyak membantu kami. Terutamanya sudi meminjamkan bilik beliau untuk saya bersolat di dalamnya.

Helikopter yang dibawa bersama-sama di dalam kapal ini. Helikopter ini dinamakan Sea Sprite. Seperti nama minuman air pula.
Salah seorang pegawai yang saya tidak ingat namanya. Orang yang baik dan menghormati tetamu. Saya kira ini adalah ciri Islamik yang terdapat pada orang bukan Islam.

Bersama-sama Lt Doughlas. Saya lebih banyak berbual dan berkongsi ilmu dengan beliau berbanding krew yang lain. Mungkin kerana perjawatan beliau sebagai Pembantu Pegawai Jurutera Marin di kapal ini, lebih kurang sama jawatan dengan saya, cuma saya dibahagian Elektrikal dan Persenjataan.

Saya di berada bilik Enjin. Ini adalah salah satu Enjin MTU kapal ini. Kelajuan kapal ini maksimum adalah 28/29 Knot/Sejam.

Bilik Jentera yang dilengkapi dengan monitoring system. Saya cukup berbesar hati kerana mereka sudi berkongsi ilmu dan melayan setiap pertanyaan kami.
Sesuatu yang menarik tentang pandangan sesetengah pihak berkenaan latihan dan kerjasama diantara Tentera Kerajaan Malaysia dan Negara Lain dibawah FPDA. Biarpun ada sisi pandangan yang menampakkan cengkaman British semenjak kemerdekaan Malaya yang masih belum selesai dan wujud hidden agenda disebalik perjanjian ini. Saya tidak dapat menafikan sedikit sebanyak keuntungan yang diperolehi kerajaan Malaysia hasil kerjasama ini terutamanya dalam ehwal transfer technology.

Sabda Nabi SAW:

الحكمة ضالة المؤمن فحيث وجدها فهو أحق بها (رواه الترمذي)

Al-Hikmah(ilmu pengetahuan yang baik) adalah barang hilang daripada orang mukmin, maka di mana saja ia dapati, dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya. (Riwayat Tirmizi)

.


Sekian sahaja untuk perkongsian. Saya cuma membentangkan gambar-gambar umum. Gambar-gambar lain, saya kira perlu dirahsiakan bagi menghormati kedua-dua negara.
-----------------------------------------------------------------------------------
Penulisan ini adalah hak cipta msrizal.blogspot.com. Sebarang penyiaran semula hendaklah menyertakan sekali alamat blog ini. Terima kasih kerana sudi membaca.

MS Rizal,
32100, Lumut,
2012/1433H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Kerana Baitulmuslim itu perkongsian bukan pemilikan

>> Sunday, September 18, 2011

Saya teringat beberapa analogi penting yang diberikan dalam buku 'Men are From Mars, Women are From Venus'. Bagi pelajar IPT yang dahulu menggemari blog Saifulislam.com pasti mengenali buku ini.

Kisahnya adalah psikologi. Antara dua makhluk yang berlainan, tinggal dalam satu perjanjian teguh yang dinamakan pernikahan. Buku ini banyak mengajar akibat apabila komunikasi yang tidak berkesan berlaku. Juga kegagalan suami atau isteri memahami gerak tingkah laku pasangannya. Semuanya boleh jadi satu kelebihan andai masing-masing pandai mengendalikan.


Saya ambil contoh, dalam salah satu bab yang diceritakan dalam buku ini adalah bagaimana lelaki perlu memahami cara sudut wanita menafsir hadiah yang telah diberikan pada mereka.

Penulis buku tersebut mengatakan, apabila seorang suami membawa isteri dan anak-anaknya melancong dan telah berhabis banyak duit itu semua satu kecukupan. Tidak perlu memberi lagi hadiah lain dalam satu tempoh tertentu. Tetapi pandangan ini silap, andai kata suaminya memberikan sejambak bunga ros pada selang seminggu selepas tarikh bercuti ianya adaah sama nilainya di sisi seorang isteri.

Begitu juga sifatnya apabila seorang suami membayar wang ansuran bulanan. Jangan fikir isteri akan segera memahami dan tidak meminta apa-apa lagi, lalu memang apa-apapun suami tidak beli atau hadiahkan. Paling kurang hadiah sesuatu, atau belikan sesuatu walaupun perkara itu seremah sejambak bunga. Percayalah dengan komunikasi berkesan, maka kedua-dua akan faham dan saling bersama-sama untuk membaiki diri sendiri.


Berkahwinlah untuk banyak memberi berbanding menerima

Apabila ini telah ditetapkan dalam minda, insya-Allah kedua-duanya akan diberikan keberkatan oleh Allah Taala. Ingatlah perkahwinan yang dinilai dalam Islam jauh daripada tujuan perkahwinan yang digilai oleh pengikut nafsu. Ianya direntang oleh perjanjian teguh yang Allah sebutkan dalam Al-Quran sebagai 'Mitsaqan Ghaliza'. Apa itu 'Mitsaqan ghaliza'?

Itulah perjanjian teguh yang disebut Allah di dalam kalam sucinya hanya pada 3 tempat. Dalam surah An-Nisa' ayat 154 ketika Allah mengangkat bukit Tsur di atas kepala Bani Israel dan menyuruh mereka bersumpah setia dengan Allah Taala. Kedua, dalam surah Al-Ahzab ketika Allah Taala mengambil perjanjian teguh ke atas Nabi Muhammad SAW dan Rasul Ulul Azmi dan ketiga pada surah An-Nisa' ayat 21 tentang hubungan pernikahan.

Bagi seorang suami, apa-apa yang diinfakkan untuk isteri dan keluarganya adalah satu sedekah yang tinggi nilainya di sisi Allah Taala. Jika isteri adalah seorang yang suka meminta yang tidak patut, seorang suami seharusnya memahamkan melalui sikap dan tingkah laku mereka. Seseorang pernah menasihatkan saya, teguhkanlah perjanjianmu dengan isteri pada malam pertama perkahwinan. Tetapkan halatuju perkahwinan yang didambakan dan anak-anak yang bakal membesar dalam lingkungan didikan perkahwinan ini. Terangkan pada isteri, nantinya walau Allah Taala memberi rezeki yang banyak, tetapi itulah bukan tujuan pernikahan ini. Kerana cita-cita tertinggi itu adalah syurga Allah Taala, yang perlu sama-sama suami isteri cita-citakan. Dan demi cita-cita ini tidak mustahil Allah Taala berikan sedikit ujiannya.

Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah ayat 155)


Bagi seorang isteri, jangan memungkiri perjanjian yang teguh ini. Kerana apabila seorang suami berbesar hati untuk memberikan mahar, bermakna mereka menghargai dirimu sendiri. Eratnya tangan suami mengenggam saat nikah begitulah teguhnya hati untuk menerima tanggungjawab ini. Berazamlah untuk banyak memberi juga, kerana perjanjian ini juga membantu kamu untuk meraih syurga.

Salah satu hak seorang suami terhadap isterinya adalah mensyukuri akan kebaikan yang dilakukan oleh suami dan tidak melupakannya. Namun, sayangnya ramai wanita yang tidak menghargai hak ini dan sewenang-wenangnya mengumpat dan mengeji suami di belakang. Ramai isteri yang dilayan dengan baik oleh suaminya, namun amat menyedihkan apabila si isteri menjumpai satu perkara yang kurang disenangi oleh suaminya atau suami membuat kesilapan sekali maka dengan mudahnya seorang isteri itu berkata, " Aku sama sekali belum pernah melihat kebaikan daripadamu."


Apa yang diperlukan adalah sekeping hati

Dalam diri seorang lelaki yang bakal menempuh hari-hari perkahwinannya, tiada lain yang pemberian seorang isteri, atau perkara yang paling menggembirakannya selain sekeping hati seorang isteri. Hati tulus yang sanggup dan bersedia berada di sisi mereka saat senang, dan tentunya hati itu bakal menguatkan di kala kesusahan. Hati yang berbunga saat sama-sama ketawa dan hati yang sama-sama bersimpati saat mengalami muram durja. Link

Inilah kemulian seorang isteri yang paling menggembirakan. Sehinggakan kebaikan ini tergambar dalam kata-kata Nabi SAW saat memuji Saiditina Khadijah,

"Dia adalah seorang wanita yang terbaik,kerana dia telah percaya dan beriman kepadaku di saat orang lain masih dalam bimbang keingkaran, dia telah mengorbankan semua harta bendanya ketika orang lain mencegah kemurahannya terhdapku, dan dia telah melahirkan bagiku beberapa putera-puteri yang tidak ku dapatkan dari isteri-isteri yang lain"

Kerana Baitulmuslim itu menguatkan, maka suami isteri yang kuat dan sentiasa mencari redho Allah SWT akan menjadi permata berharga buat masyarakat dan meneguhkan ummat.


-----------------------------------------------------------------------------------
Penulisan ini adalah hak cipta msrizal.blogspot.com. Sebarang penyiaran semula hendaklah menyertakan sekali alamat blog ini. Terima kasih kerana sudi membaca.

MS Rizal,
32100, Lumut,
18 Sep 2011/1432H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Cintaku Setinggi 1000 KiloVolt (KV)

>> Tuesday, September 6, 2011

Saya amat jarang menulis puisi, tetapi apabila saya mula menulis ianya mungkin cukup menarik untuk dihias di blog ini. Saya juga amat sinis untuk menulis sesuatu tentang cinta dan perasaan. Mungkin kerana saya lelaki, sering mengelak untuk dibuai perasaan. Sekadar puisi biasa yang saya coretkan apabila idea itu terilham. Jujur, ianya sebuah perkongsian tidak perlu disangka yang bukan-bukan pada saya. Sekian, selamat mendeklamasikannya dalam hati:


Cintaku setinggi 1000KV,
Adakah patut aku menyimpan kuasanya di dalam komponen bernama capacitor,
atau mungkin kuhalang sebahagiannya menggunakan perintang punya Ohm berganda-ganda,
Mungkin pantas dikecilkan menggunakan pengubah kuasa,
mahupun converter yang bisa menguatkan frekuensinya?

Cintaku setinggi 1000KV,
Tidak perlu aku gunakan kompenan fizikal segala,
Kerana cintaku tak mampu diukur oleh multimeter atau selainnya,
Mahupun getarannya tak mampu dirasai oleh sesiapa kecuali dia,
Kerana cintaku bukan robot yang tiada ruh mengalir di dalamnya.

Cintaku setinggi 1000KV,
Ianya tidak melemahkanku malah semakin kuat,
Kerana kucuba sedaya upaya selarikan ia dengan syariat
Mahu memetik cinta teratai larangan dari taman azimat,
Agar debunganya nanti kutabur menjadi perwira-pertiwi buat umat,

Cintaku setinggi 1000KV,
Allah ada bersama-sama,
Allah jua memberikan sinarnya,
Kepada sebuah ikatan kejujuran,
Dengan doaku dan doa kalian sebagai iringan,
Demi menguatkan sebuah amanah... yang kupanggil ia sebagai sebuah kePERCAYAan...


-----------------------------------------------------------------------------------
Penulisan ini adalah hak cipta msrizal.blogspot.com. Sebarang penyiaran semula hendaklah menyertakan sekali alamat blog ini. Terima kasih kerana sudi membaca.

MS Rizal,
31200, Chemor,
5 Sep 2011/1432H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP