Cerita Bahasa Inggeris dan SPM, kemana mahu pergi?

>> Friday, April 1, 2011

Saya berguling-guling di atas kusyen. Amat jauh perasaan dipendam. Kekalutan dan keresahan menerpa lubuk hati. Sesekali hati saya memujuk supaya tidak perlu risau. Kata Dr Fadzilah Kamsah 70% perkara yang dirisaukan tidak berlaku sebenarnya.

Tembok besar ego saya runtuh secara tiba-tiba. Membuncah fikiran yang mahu lepas bebas disebalik sebuah beban. Tetapi jangan terlampau leka, kerana sunnatullah tidak membenarkan semua yang diinginkan manusia. Kerana hampir sahaja dunia ini musnah dengan kadar lebih pantas jika semua yang diinginkan manusia itu tertunai dengan tangannya. Allah Taala mengajarmu ketika ini, mengajar supaya menjadi manusia dalam dukungan realiti. Bangkit daripada angan-angan tenggelam timbul tanpa wawasan yang pasti.

"Macam mana permohonan ke Matriks abang?" adik perempuan saya bertanya.

"Permohonan gagal..." saya menjawab suram.

Gagal! Perkataan yang menjadi trauma di dalam hidup saya. Saya amat tidak biasa dengan perkataan itu, malah ketakutan untuk gagal membuatkan saya menjadi orang paling pantas bangun setelah tersadung. Itulah yang saya belajar sedari kecil.


Kegagalan itu perit tetapi mengandungkan kemanisan

Saya teringatkan dialog di atas yang tersemat di fikiran kira-kira 7 tahun dahulu. Oh, untuk pengetahuan saya memperolehi 6 A1 3 A2 1 D7 ketika SPM 2003 dahulu. Banyaknya A itu tidak langsung membuatkan saya berbangga untuk bercerita atas sebab kecacatan di hujungnya. 1 D7 itu adalah subjek Bahasa Inggeris. Subjek yang paling saya ambil enteng, malah berbasi-basi sahaja ketika menjamahnya dahulu. Saya hanya mahukan cukup-cukup makan, atau lebih kurang sahaja.

Dengan Bahasa Inggeris di bawah penguasaan separa saya sudah memasang impian untuk ke Jepun. Atau mungkin jika tidak bernasib baik ke matriks dan paling akhir program Diploma UTM.

Namun perancangan Allah lebih baik daripada apa yang dijangka. Saya memperoleh keputusan SPM dengan perasaan bercampur baur. Gembira bercampur risau. Malah guru saya pun menunjukkan wajah confius-nya. Saya menyembunyikan perasaan itu dengan senyum kelat.

Akhirnya, setelah permohonan ke Jepun tidak bersambut. Matriks juga tidak menunjukkan jalan saya beralih ke satu jalan lain. Jalan yang membuatkan ramai guru-guru dan rakan-rakan terkejut. Saya ke Akademi Tentera Malaysia (sekarang dikenali sebagai Universiti Pertahanan Nasional Malaysia). Pilihan yang tidak popular langsung, malah saya hampir mengubah keputusan di malam-malam terakhir saya mahu berangkat.

"Pergi dan cubalah lontarkan jauh-jauh keselesaanmu, ketakutan akan membuatkan kamu jadi semakin pengecut..." perasaan saya mengenggam hati saya erat-erat. Satu semangat muncul dengan tolakan yang kuat.


Bersyukur di atas setiap ketentuan.


Alhamdulillah, hampir 7 tahun segalanya berlalu saya makin nampak hikmah yang banyak di sebalik 1 D7 saya itu. 1 D7 membawa saya kepada lapangan yang banyak saya belajar di dalamnya. Belajar diulit kematangan dan berdamping dengan orang yang kuat pendirian. Malah sekarang saya selalu mengatakan kepada ramai orang yang kecewa.

"Syeikh, 7 tahun dahulu saya dapat 1D7. Dan saya amat bersyukur dengan keputusan itu..."

Ketika tahun asas, saya mula belajar menyusun kembali penguasaan bahasa Inggeris. Saya tidak lagi memandang remeh pelajaran ini. Malah mungkin kerana hasil usaha kuat ini saya pernah ditawarkan belajar di United States Naval Academy ketika berada di tahun asas. Tetapi atas sebab-sebab tertentu saya menolaknya. Sehingga tahap ini saya tidak mengatakan penguasaan bahasa Inggeris saya baik. Namun bolehlah digunakan sebagai wahana berinteraksi dengan klien-klien 'Mat Salleh'. Belajar bahasa tidak perlu malu, redah dan buat tidak tahu sahaja...


SPM itu langkah barumu


Seperti biasa, keputusan SPM baru-baru ini diwarnai pelbagai cerita suka dan duka. Benar, keputusan-keputusan ini bakal mencorakkan masa hadapanmu. Jika kamu dapat banyak A itu tidak akan merubah kedudukanmu kecuali kamu lebih berusaha dan tidak leka. Tidak sedikit mereka yang menyapu bersih A di SPM tetapi terkandas di Universiti. Bagi keputusan tidak seberapa, janganlah berputus asa kerana dunia ini adalah Universiti terbuka. Belajarlah daripadanya, Allah itu sayang dan ingin menyelamatkanmu daripada kejahilan diri.

Bagi yang mendapat keputusan yang baik, dapatkan nasihat untuk memilih universiti dan kursus. Jangan memilih kursus kerana mengikut rasa atau perasaan ingin glamour. Ingat, perasaan ini akan mengurung dirimu dalam masa yang terlalu lama. Jika mahu jadi jurutera, tanyakan diri sendiri kembali kenapa mahu jadi jurutera. Jika mahu jadi doktor, peguam, arkitek atau apa-apa jua lapangan profesional perlulah memilih dengan nilaian yang baik. Wang ringgit bukan tiket kebahagian.

Satu pandangan saya. Bagi ibu bapa yang punya anak-anak yang cerdik, lorongkan mereka untuk memilih bidang agama. Tidak mengapa, jika ramai yang melihat kerjaya ustaz dan ustazah tidak bergaji besar. Pandanglah dari sudut nilai yang lebih daripada itu. Pelajar pintar yang bercita-cita menjadi ulama' benar-benar akan mengubati masyarakat yang sakit. Jauh berjaya daripada doktor yang mengubat dan peguam yang menyelesaikan banyak 'penyakit' masyarakat.

Yang penting adalah keikhlasan menuntut ilmu, tidak kira walau di mana dirimu tercampak. Manusia-manusia berlian akan tetap berkilau walau di dalam lumpur dirimu tertanam. Carilah potensi diri yang terpendam, insya-Allah sebuah impian itu hampir digenggam dengan hanya satu rasa-Rasa percaya pada diri sendiri!

-----------------------------------------------------------------------------------

Penulisan ini adalah hak cipta msrizal.blogspot.com. Sebarang penyiaran semula hendaklah menyertakan sekali alamat blog ini. Terima kasih kerana sudi membaca.

MS Rizal,

32100, Lumut,
2011/1432H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Cersapen 0.1 - Cerita Sangat Pendek

>> Friday, March 18, 2011

Saya teringat peristiwa dua hari lepas di sebuah persimpangan traffic light. Saya sedang memandu kereta berseorangan. Sedang saya berhenti untuk menunggu lampu hijau saya terpandang pemandu kereta di sebelah saya. Orangnya berjanggut lebat dan berkopiah. Kelihatan mulutnya terkumat-kamit. Saya tersentak seketika lalu bermonolog,

"Subhanallah, orang ini. Sekali pandang sahaja terus aku teringat pada Allah Taala."

Lantas saya pun menyambung pemanduan dengan disertai bacaan zikir ma'thurat.


-----------------------------------------------------------------------------------
Penulisan ini adalah hak cipta msrizal.blogspot.com. Sebarang penyiaran semula hendaklah menyertakan sekali alamat blog ini. Terima kasih kerana sudi membaca.

MS Rizal,
32100, Lumut,
2011/1432H
http://msrizal.blogspot.com/ Continue Reading...

Read more...

Tanpa bayang-bayang untuk kekal berdiri

>> Friday, March 4, 2011

Janganlah kamu berhati lemah dalam mengejar mereka (musuhmu). Jika kamu menderita kesakitan, maka sesungguhnya merekapun menderita kesakitan (pula), sebagaimana kamu menderitanya, sedang kamu mengharap dari pada Allah apa yang tidak mereka harapkan. Dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. An-Nisa' 4:104


Seiring dengan penambahan waktu, rencam manusia mencari dimanakah penghasilan hari-hari yang dituju. Bagi mereka yang tidak faham apakah ertinya kehidupan mudah sahaja berputus asa dan tewas sebelum tiba ke medan juang. Malas beramal punca hati berpenyakit. Hati berpenyakit membuatkan diri makin sakit, orang memandang jijik. Aduhai diri yang banyak melakukan kesilapan, sedarlah bahawa dunia bukan seperti apa yang diinginkan angan-angan kosong. Semuanya perlu berbayar dengan harga sebuah pengorbanan.

Jangan takut dan jangan mundur ke belakang. Kelak ujian itu pasti menimpa orang-orang yang berjanji untuk setia dalam barisan penolong-penolong Allah SWT. Benarkah ikhlas? Allah Taala menguji penolong-penolongnya dahulu. Siapa lepas, alhamdulillah semuanya terbayar tunai. Siapa sangkut, pintu taubat masih terbentang seluas-luasnya.


Terjun ke medan amal dengan seribu kekuatan

"Aku munafik, aku munafik!" sebut Hanzalah bin Ar-Rabi'.

Kehairanan Abu Bakr apabila Hanzalah berkata begitu. Lalu dia pun bertanya kepada Hanzalah apakah halnya?

"Di saat aku bersama Rasulullah SAW aku teringatkan Syurga dan Neraka. Tetapi apabila pulang kepada keluarga, aku lupa semuanya."

Abu Bakr tersentak dan tersedar bahawa dirinya juga merasakan apa yang difikirkan Hanzalah.

Lalu pergilah mereka berdua berjumpa dengan Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW bersabda: "Demi dzat yang jiwaku di tangan-Nya, andai kalian tetap seperti kalian di sisiku dan terus berzikir niscaya para malaikat akan menjabat tangan kalian, sedang kalian berada di atas tempat tidur dan di jalan raya. Akan tetapi wahai Hanzalah, ada waktumu (untuk beribadah) dan ada waktumu (untuk duniamu)"

Kisah Hanzalah ini sememangnya boleh juga dibuat pedoman pada diri. Terutamanya pada mereka yang selalu merasakan Islam itu menusuk setiap rongga jiwa saat berusrah, jaulah, daurah atau apa jua wasilah tarbiyah. Tetapi nilai-nilai ini mudah sahaja menjadi hilang saat tidak berada pada waktu dan ketika itu. Sedarlah bahawa ianya adalah sesuatu yang normal dan bukan luar biasa. Itulah medan amal.

Dengan kata lain selepas habis sahaja program pandai-pandailah bawa diri. Pandai-pandailah aplikasikan mengikut kebijaksanaan diri. Saat itu baru kamu tahu dimanakah dirimu sebenarnya, apakah sudah menghadam sebaik-baiknya sarana tarbiyah. Atau masih terapung-apung dengan angan-angan. Melakar peta kemenangan Islam di bantal atau bergerak berusaha untuk menghadapi jauh dalam nilai amal.

Saat hati sempit, gusar tiba, rasa-rasa futur mula menjelma janganlah mudah mengeluh. Bertahanlah dan serahkan urusan ini semuanya pada Allah Taala. Masya-Allah, selesai sahaja ujian ini dilepasi barulah rasa beruntung dan berharganya saat itu. Indahnya lagi ujian itu berjaya diterima. Ingatlah di saat gusar itu datang, mereka yang berlawan dan berseteru juga turut gusar. Beruntungnya gusar kerana mempertahankan kebenaran itu punya Allah sebagai sandaran, namun mereka yang berseteru dengan kebenaran tidak punya sandaran...

Ya Allah siapa saya ini?....


-----------------------------------------------------------------------------------
Penulisan ini adalah hak cipta msrizal.blogspot.com. Sebarang penyiaran semula hendaklah menyertakan sekali alamat blog ini. Terima kasih kerana sudi membaca.

MS Rizal,
32100, Lumut,
2011/1432H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Saya Layang-layang Kertas

>> Tuesday, February 15, 2011

Saya layang-layang kertas...

Mengimpikan untuk ditampar angin sekuat mungkin. Agar nanti ianya melayang jauh lebih tinggi. Melihat alam dari tempat yang jarang dilihat manusia. Untuk itu rangka buluh perlu teguh dan kuat. Jangan sampai kuatnya tamparan angin merosakkan struktur yang saling menguatkan. Layang-layang kertas tinggi dan terus meninggi.

Namun tinggi bukan alasan untuk saya meninggi diri, jauh lagi untuk bersaing dengan burung yang terbang. Apatah lagi awan yang mengandung hujan. Kerana layang-layang kertas punya kelemahan, jatuh terkulai jika dibiarkan. Tinggilah layang-layang kertas, kerana semakin meninggi semakin kenal akan siapa diri. Semakin tunduk dan patuh pada Ilahi...


------------------------------------------------------------------------------------------
Penulisan ini adalah hak cipta msrizal.blogspot.com. Sebarang penyiaran semula hendaklah menyertakan sekali alamat blog ini. Terima kasih kerana sudi membaca.

MS Rizal,
32100, Lumut,
15 Feb 2011/1432H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Antara Pengembala Kambing dan Hamba Pencuri

>> Monday, February 7, 2011

"Abang, dah lama kita tak jumpa. Esok boleh jumpa?"

Satu mesej tertera di telefon mudah alih saya. Saya melihat pengirimnya, Hafizi dari Institut Kemahiran Mara. Saya menekan punat telefon untuk membalas mesejnya.

"Insya-Allah esok boleh, maaf sudah 2 minggu tidak berjumpa. Ada halangan untuk abang berjumpa kamu semua."

Saya membalas mesej ini. Ada harapan mungkin, saya mohon doa pada Allah Taala banyak-banyak. Mohon dikuatkan saya membimbing remaja-remaja ini. Remaja-remaja tidak semudah yang disangka untuk melembutkan hati mereka. Saya sudah melepasi zaman ini. Jika berhadapan dengan remaja-remaja yang tinggi IQ itu mungkin mudah sedikit untuk dilentur. Tetapi sukar untuk berhadapan dengan mereka yang berpeleseran tanpa arah tuju. Saya terpaksa memikirkan cara terbaik sekaligus melatih diri menjadi orang yang bijak bergaul dengan mereka. Ya, remaja itu meletihkan. Tetapi itulah dia cabaran. Sukar untuk seorang lelaki menurunkan keegoannya. Percayalah tentang fakta ini!

Remaja yang dilihat tiada arah tujuan sebenarnya punya permata berharga. Punya semangat dan keberanian. Jika diacah, keberanian ini akan memuncak. Jika dilorongkan ke haluan yang benar ianya merupakan kekuatan yang lebih dahsyat daripada tenaga nukleur. Sejarah telah membuktikan tentang peranan besar yang dimainkan pemuda beriman. Kisah ashabul ukhdud, ashabul kahfi dan para sahabah Nabi SAW yang terdiri daripada pemuda-pemuda.

"Sebab itu remaja jangan dipandang remeh. Jika diadun dengan baik boleh jadi ianya akan melebihi kita!" hujah saya pada seorang pak cik di atas bas dalam perjalan ke Kuala Lumpur.



Antara Pengembala Kambing dan Hamba Pencuri

Sewaktu berlangsungnya perang Khaibar ada seorang hamba yang mengembala kambing milik yahudi bernama al-Aswad. Dia bersyahadah di saat genting peperangan dan terus mara menggempur benteng pertahanan Yahudi. Dia akhirnya syahid sedangkan belum bersolat barang 2 rakaat pun.

Jenazahnya dibawa dan diletakkan di belakang Rasulullah SAW. Rasulullah SAW berkenan melihat jasad Al-Aswad. Saat melihat jenazah Rasulullah SAW secara tiba-tiba berpaling.

Ketahuilah, palingan Baginda SAW bukan kerana jijik tetapi kerana palingan kemulian.

"Sesungguhnya, dia sekarang ditunggui dua orang isteri bidadari..." ujar Nabi SAW.

Subhanallah, ajaibnya seseorang yang kafir kemudianya Islam dan kemudiannya ke syurga dalam tempoh sehari!

Marilah meneliti satu lagi cerita di saat bergeraknya Nabi SAW setelah meninggalkan Khaibar menuju ke Wadil Qura'. Di tempat ini tinggalnya sekolompok orang yahudi.

Apabila tentera Islam tiba, mereka dihujani dengan anak panah. Mujur, tentera Islam dalam keadaan bersedia. Namun, sayang seorang hamba Rasulullah SAW tidak dapat mengelak. Hamba itu bernama Mud'im. Dia meninggal serta merta.

"Beruntunglah, dia mendapat syurga..." seru sebahagian sahabat di situ.

Apakah reaksi Nabi SAW? Hairannya baginda tidak mengiakan bahkan membantah.

"Tidak, demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya. Selimut yang di curi dari Khaibar akan menjadi api neraka yang membakarnya!"

Fahamlah sahabah bahawa hamba ini telah mengambil harta ghanimah tanpa pengetahuan sebelum ianya dibahagi-bahagikan. Ianya disabitkan sebagai tidak amanah dan mencuri. setelah diperiksa ternyata dijumpai tali selipar hasil ghanimah Khaibar.

"Itu tali selipar neraka!" ujar Rasulullah SAW.


Hikmah terlorong di antara dua kisah.


Kisah al-Aswad dan Mud'im adalah berkisar 2 orang hamba.

Seorang masuk syurga dan seorang lagi ke neraka.

Seorang baru masuk Islam bahkan tidak sempat bersolat langsung dan seorang lagi sudah lama bersama orang Islam.

Ternyata Allah tidak memandang lahiriah, rupa, senioriti, mahupun amalan-amalan secara fizikal. Allah melihat ketinggian taqwa seseorang. Kemungkinan taqwa itu terbit kepada seseorang yang baru memeluk Islam lalu berubah menjadi sumber kekuatan Islam. Taqwa itu juga mungkin tidak sampai kepada orang yang sudah lama berada di dalam Islam namun tiada sumbangan di dalamnya.

Inilah ibrah berguna di dalam komponenan dakwah. Seorang yang terlibat di dalam jamaah jangan dipandang enteng walau sedikitpun. Kemungkinan ianya merupakan sumber kekuatan dengan keikhlasan yang penuh di dalam hatinya. Boleh jadi seorang anak usrah itu ahli syurga sedangkan naqibnya seorang ahli neraka. Kerana boleh jadi naqib tadi tanpa pengetahuan orang ramai telah menyembunyikan 'selimut dan selipar ghanimah khaibar' di balik pakaiannya.

Ya Allah matikanlah kami dalam keadaan husnul khatimah, janganlah matikan kami dalam keadaan su'ul khatimah.

Ada seseorang di antara kalian mengerjakan amalan ahli syurga, sehingga tidak ada jarak antara dirinya dan syurga kecuali sehasta sahaja. Maka dahululah atasnya takdir Allah, lalu dia melakukan perbuatan ahli neraka. Ada seseorang di antara kalian mengerjakan amalan ahli neraka, sehingga tidak ada lagi jarak antara dirinya dan neraka kecuali sehasta sahaja. Maka dahululah ketentuan Allah, lalu dia melakukan perbuatan ahli syurga, diapun masuk ke dalam syurga.( Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim )


Berminatlah dengan manusia

Bergaul dan bersabar dengan manusia itu lebih baik daripada menghindar diri. Besarnya jasa seseorang yang berjaya merubah sampah menjadi barangan berharga. Mad'u adalah seperti harta yang tersorok di dalam tanah. Sesiapa yang rajin akan menemukannya dengan banyak dan mengambil manfaatnya. Sesiapa yang malas akan membiarkan tanah itu terbiar dengan semak samun dan binatang yang melata.

Nun jauh di sana angin sahara bertiup dengan nyalaan hangat revolusi kebenaran. Ajaibnya hampir pasti peranan gelojak dan keberanian ini bermula daripada pada pemudanya!



-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------- Penulisan ini adalah hak cipta msrizal.blogspot.com. Sebarang penyiaran semula hendaklah menyertakan sekali alamat blog ini. Terima kasih kerana sudi membaca.

MS Rizal,

31200, Chemor,
2011/1432H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP