Merendahlah Dalam Ketinggian Iman

>> Saturday, June 11, 2011

Andai setiap hari manusia memulakan waktu pagi dengan azam dan mengakhiri waktu tidurnya dengan muhasabah, maka mungkin hidup ini lebih indah, lebih manis dan lebih barakah. Tetapi sayang, kesibukan menyebabkan ramai manusia tidak ada masa untuk mengenal diri sendiri. Kerana itu apabila seseorang itu telah menjelang ajal, dia selalu berperasaan seribu penyesalan,

"Oh, Tuhan kenapa dulu aku tidak melakukan begini dan begini. Kenapa aku tidak mengakhirinya dengan begitu dan begitu."

Seringkali manusia itu merasa lebih dari kenyataannya yang sebenar, atau barangkali dia merasa kurang daripada apa yang Allah Taala kurniakan. Wahai kawan, tanamlah dirimu dalam tanah kerendahan, semailah ia dengan baja taqwa. Kerana sebatang pokok yang tidak ditanam dan dijaga, pasti akan tumbuh meliar tanpa tarikannya.



Membajai Sifat Rendah Diri

"Tahniah, cikgu bangga lihat kamu berjaya?" seorang cikgu saya menegur di laman sosial Facebook.

"Terima kasih cikgu, saya pun bangga dapat guru yang pandai mengajar macam cikgu ini." saya memulangkan kembali pujian.

Pujian adalah hak Allah, saya menjadi wakilnya. Bangga juga milik-Nya. Malah kesombongan juga berhak menjadi milik Dia. Bukankah seringkali hadis Qudsi ini diulang-ulang kepada kita, "“Kesombongan adalah selendang-Ku, siapa yang menandingi Aku, akan Aku masukkan ke neraka.” Naudzubillahi min zalik.

Namun kesombongan cukup payah untuk diatasi, kadang-kadang ianya datang tanpa kita sedar. Ianya menyelinap sedikit demi sedikit di hujung hati. Langsung ianya menjadi sesuatu yang terbiasa, malah tidak sedikit pun rasa bersalah untuk mempamerkannya. Kesombongan juga boleh datang dalam pelbagai cara dan perbuatan. Malah mungkin cukup senang dikesan dengan kedekutnya melemparkan senyuman. Atau mungkin juga terkandung dalam sifat suka sangat mempamer-pamerkan. Tambah lagi buat mereka yang panas baran dan suka mengarah-arahkan.

"Adakah aku telah berlaku sombong hari ini?" tanyalah perkataan ini selalu kepada diri.

"Adakah ada manusia yang telah kuzalimi?" soalan kedua ini menyusul selepas soalan pertama tadi.

"Adakah mereka-mereka ini berkecil hati dan menaruh benci atas akhlak burukku?" soalan ketiga sebagai penutup.


Pesan buat mereka yang sombong


Orang sombong seringkali merasakan dirinya cukup sempurna. Sebab itulah dia mudah untuk melemparkan cacian, serta mudah untuk merendah-rendahkan orang lain. Bayangkanlah apabila manusia itu yang tugasnya menjadi khalifah dan disuruh untuk kenal-mengenal, tetapi pada masa yang sama ada orang meletakkan dirinya setaraf dengan Tuhan. Adakah tugas ini tercapai? Malah ianya menjadikan masyarakat pincang, organisasi berpecah belah, rumah tangga berantakan dan kawan dengan mudah menjadi lawan.


Nikmat Allah yang manakah kamu dustakan?


Adakah kerana kecantikan membuatkan mereka sombong?
Mungkin mereka tidak melihat bahwa kecantikan itu juga boleh membawa porak poranda, malah ada ungkapan mengatakan, 'Apabila seseorang itu merasakan dirinya cantik dan bangga dengan kecantikannya maka disitu fitnah ke atas dirinya telah bermula.' Lambat laun kecantikan itu akan pudar, yang tinggal adalah kedutan dan rambut yang beruban.

Adakah kerana senioriti membuatkan mereka sombong? Seorang yang senior dalam organisasi dengan mudah menunjukkan sifat sombong mereka. Saya melihatnya dengan ketara dalam budaya tentera, malah budaya ini tercerna di asrama-asrama pelajar sekolah.

Tiada lain inilah budaya yang diwarisi daripada Barat khususnya dalam dalam institusi tentera. Walhal tentera Islam tidak pernah meletakkan seseorang itu tinggi dan tidak pernah meletakkan seseorang itu rendah mengikut darjat pangkatnya. Inilah yang menjadi kekuatan Khalid al-Walid saat mana dia dilucutkan jawatan Panglima kepada tentera biasa. Berperang kerana Allah, bukan kerana jawatannya. Seorang yang cukup senior sepatutnya lebih tinggi taqwa dan tawakkalnya kepada Allah Azzawajjala. Dan seorang yang tinggi tawakalnya merupakan seorang yang cukup senang untuk merendahkan hatinya baik kepada Allah mahupun manusia.

Adakah kerana ilmu membuatkan mereka sombong? Siapakah lebih tinggi ilmunya berbanding Salafussoleh? Mahupun cendiakawan Islam yang dikenal sebagai lelaki ajaib pada zaman mereka. Malah mereka punya 2 kelebihan yang tiada pada cendiakawan barat. Tinggi ilmu dan tinggi akhlak. Jangan sombong apabila punya ilmu tinggi. Sebab itu barangkali saya murah dengan nasihat kepada mereka yang berwajah gembira saat menggenggam segulung Ijazah,

"Alhamdulillah sudah berjaya, gunakan ilmu ini untuk memandaikan masyarakat pula."

Adakah kerana keturunan dan 'bau-bau bacang' membuatkan mereka sombong? Terdapat satu kisah di mana Nabi SAW menegur dua orang yang sedang bertikaian lantaran kehormatan keluarga dan keturunannya. Lalu Nabi SAW mengingatkan seraya bersabda, "Ada dua orang yang saling berbangga dengan keturunannya di hadapan Nabi Musa a.s. Salah seorang mereka berkata; “Aku adalah anak keturunan si Fulan bin Fulan," ia sebutkan sampai sembilan keturunan. Kemudian Allah mewahyukan kepada Nabi Musa, “ Katakanlah wahai Musa kepada orang yang berbangga tersebut, sembilan keturunanmu itu adalah ahli neraka dan engkau yang kesepuluhnya.” (Riwayat Abdullah bin Ahmad dalam Zawaid al-Musnad dengan sanad yang sahih, dan Imam meriwayatkannya mauquf pada Muadz dengan kisah Musa saja).

Allah Taala tidak menyukai seseorang yang berbangga dengan keturunannya. Malah sifat ini lebih menyerupai perangai Iblis. Iblis itu sombong dengan dirinya dan mengaku lebih mulia kerana dijadikan daripada api dan Nabi Adam as dijadikan daripada tanah. Ingat dalam hal ini Allah Taala tidak langsung memperakui yang api itu kejadiannya lebih mulia daripada tanah. Itu semua sangkaan Iblis, begitu juga dengan manusia yang menyangka dia dimuliakan Allah Taala dengan berasal dari keturunan-keturunan yang tinggi darjatnya.

Pepatah melayu mahsyur menyebut, 'Ular yang menyusup bawah akar tiada akan hilang bisanya.'

Begitu juga Allahyarham KH Rahmat Abdulllah pernah menyebut, "Merendahlah, engkau kan seperti bintang gemintang, Berkilau di pandang orang, di atas riak air dan sang bintang nun jauh tinggi. Janganlah seperti asap, yang mengangkat diri tinggi di langit, padahal dirinya rendah hina."

Ingatlah setinggi manapun kita dijulang, kita hanya berasal dari saluran 2 lubang kencing. Berasal dari mani dan akan kembali sama-sama ke tanah jua. Semoga Allah memuliakan Izzudin Ibnu Salam, apabila dia melihat Sultan berjalan dengan megah di hadapan rakyat dia hanya menyeru Sultan dengan namanya sahaja. Malah dia amat ringan mulut untuk menegur sultan supaya menutup gedung-gedung arak.

Pernah anak muridnya bertanya, "Adakah engkau tidak takut pada Sultan?"

Izzudin Ibnu Salam menjawab "Aku melihat dirinya begitu merasa agung. Maka aku ingin merendahkannya supaya dia tidak bersifat takabur dan menyombongkan diri sehingga dia turut menjadi celaka. Sungguh aku merasakan kebesaran Allah saat menceramahnya lalu aku merasakan Sultan berada di bawah tapak kakiku tidak ubah seperti seekor kucing."

Disudahi entri ini dengan taujih Rabbani;


“Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, karena sesungguhnya kamu sekalikali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung. Semua itu kejahatannya amat dibenci di sisi Tuhanmu ( Al-Isra': 37-38)




-----------------------------------------------------------------------------------
Penulisan ini adalah hak cipta msrizal.blogspot.com. Sebarang penyiaran semula hendaklah menyertakan sekali alamat blog ini. Terima kasih kerana sudi membaca.

MS Rizal,
32100, Lumut,
2011/1432H
http://msrizal.blogspot.com/

2 comments:

Khaulah~ June 14, 2011 at 4:35 PM  

Moga bermanfaat untuk yang lain.
Moga Allah redha..

Anonymous June 30, 2011 at 11:02 PM  

Semoga kita bukan tergolong orang yang menyombongkan diri.

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP