Ramai itu bukan jaminan kebenaran...

>> Tuesday, April 26, 2011

'Jangan risaukan berat badan ianya hanyalah sejumlah angka...'

Sinis pernyataan di atas menghias kelas ekonomi saya saat berkuliah di Universiti dahulu. Kami tersenyum 'kambing'. Tahu pernyataan itu sekadar humor selingan.

Kerana berat badan diukur dalam angkalah seseorang itu perlu risau. Kerana angka punya pengaruh yang banyak di dalam kehidupan manusia.

Wang di dalam angka,

Panjang dan pendek di dalam angka,

Sedikit dan banyak di dalam angka,

Malah sistem komputer saat anda tengah membaca entri ini juga dibina dengan berasaskan angka...


Kebenaran
itu menongkah angka

Sedikit atau banyak ianya tidak mempengaruhi kebenaran dalam berpihak. Malah amat pelik, kerana banyak kisah-kisah Nabi-nabi as terdahulu yang berperang dalam kalangan mereka yang sedikit tetapi boleh menang di dalam peperangan. Lebih pelik, jika melihat teknologi peperangan tertinggal.

Rupanya pakaian taqwa itulah menjadi senjata utama. Lihatlah kebenaran itu disambut daripada iman yang luhur kepada Allah SWT. Sebab itu jangan sesekali terpengaruh dengan ramainya orang tanpa menilai dahulu dengan ilmu dan akal yang lurus.

"Syeikh, kenapa tidak mahu ikut kami. Lihatlah kelompok kami yang ramai ini..."

"Seronok datang majlis tadi, meriah sungguh!"

"Sikitnya orang datang, tak seronoklah. Tangguhkan sahajalah majlis ilmu..."

Begitulah pengaruh ramai itu. Tidak dinafikan ramai adalah senjata psikologi yang ampuh. Ramai juga bermakna sumber manusia juga mencukupi. Namun ingatlah bahawa jangan menilai kebenaran hanya dengan ramai.

Jangan berniat masuk jemaah atas sebab ramai. Nanti bila satu persatu meninggalkan jemaah tersebut, kita pun turut sama goyang.

Jangan buat wirid kuat-kuat selepas solat dalam masjid semata-mata niat untuk meriah. Kasihankan mereka yang masbuk dan yang sedang menyempurnakan solat di belakang. Nanti ada saat kita juga terlambat, apakah perasaan saat solat diganggu?

Jangan tangguhkan sesuatu majlis atas sebab sedikit, teruskan walau satu daurah/seminar itu hanya punya ahli 6 dan 7 orang sahaja.


Jangan sedih jika sedikit yang menyambut seruan...

Dalam hadis ke 74 dalam bab Yakin dan Tawakkal, satu hadis riwayat bukhari dan muslim:

Dari Ibnu Abbas radhiallahu 'anhuma, katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Dipertontonkanlah padaku berbagai ummat, maka saya melihat ada seorang Nabi dan besertanya adalah sekelompok manusia kecil - antara tiga orang sampai sepuluh, ada pula Nabi dan besertanya adalah seorang lelaki atau dua orang saja, bahkan ada pula seorang Nabi yang tidak disertai seseorangpun. -(hadis ini bersambung)


Lihatlah berdasarkan hadis ini, ada Nabi-nabi as dahulu yang sedikit sekali umatnya. Ada yang ramai. Andai kebenaran itu dan imbalan yang Allah Taala beri berdasarkan bilangan, maka sudah tentu Nabi-nabi as ini menjadi rugi. Tetapi tidak, kebenaran tidak mengira jumlah bilangan. Maka jangan sedih andai tidak ramai orang mengikut. Barangkali sesetengah pendakwah itu sudah mencuba dengan pelbagai cara tetapi tidak berhasil caranya.

Begitu juga kisah yang boleh petik daripada 'Adi bin Hatim,

"Barangkali anda hai 'Adi enggan masuk agama ini karena kaum muslimin sedikit jumlahnya sedangkan musuh-musuh mereka banyak. Demi Allah! Tidak lama lagi Anda akan mendengar berita seorang wanita dari Qadisiyah mengendarai unta ke Baitullah tanpa takut kepada siapa pun selain kepada Allah."


Pesan Rasulullah SAW begitu pada 'Adi bin Hatim. Ternyata benar apa yang dijanjikan, sedikitnya umat Islam bertukar menjadi ramai lebih daripada apa yang pernah orang-orang kafir Quraisy sangkal selama ini. Kekuatan akhirnya digembling sehingga Islam mencapai kegemilangan menguasai 2/3 dunia.

Ya, benar. Ada masanya seseorang Daei itu akan dapat merasa saat kejayaan dakwah. Tetapi ada juga masanya seorang Daei itu mati sebelum sempat melihat kejayaan dakwah. Imbalan Allah Taala tidak berdasarkan kejayaan, tetapi setakat mana seseorang Du'at mengusahakan.

Masa depan Islam itu ada, dan ianya akan tiba jua seperti dijanjikan...


-----------------------------------------------------------------------------------
Penulisan ini adalah hak cipta msrizal.blogspot.com. Sebarang penyiaran semula hendaklah menyertakan sekali alamat blog ini. Terima kasih kerana sudi membaca.


MS Rizal,

32100, Lumut,
2011/1432H
http://msrizal.blogspot.com/

0 comments:

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP