Saya mahu ke Pesta Buku, Tuan!

>> Tuesday, March 30, 2010




Senggang waktu hari Ahad, tidak bermakna jika saya biarkan ianya berlalu dengan sia-sia. Ketika rakan-rakan memilih untuk sekadar bersuka-suka, bershopping baju di sini sana, saya merancang sesuatu yang di luar dugaan mereka. Dari Lumut ke Kuala Lumpur, perjalanan ini disertakan doa dari seorang ibu. Meminta redho, anaknya bermusafir hanya kerana ilmu.

"Pergi ke Kuala Lumpur di dalam satu hari hanya untuk membeli buku?" rakan-rakan mempersoalkan.

Ya, tidak aneh rasanya bukan? Kerana tempat yang saya ingin tuju bukanlah sekadar buku. Ianya saya gelar gedung ilmu, gedung manusia alim dan ingin menjadi alim, manusia-manusia berkumpul kerana cintakan ilmu. Dan peluang untuk 'mata dirambangkan' dengan berbagai pilihan buku yang ada.


2 Jam yang tidak sia-sia

Saya diringi 3 lagi rakan-rakan; Amir Imran dan Amirul Adlil. Juga tidak lupa Akh Azraai, sudi menanti di PWTC untuk sama-sama membeli. Tepat jam 1.30 tengah hari kami sampai ke Kuala Lumpur, lantas kereta diparkir di stesyen Star Lrt Sentul Timur. Lebih mudah rasanya menaiki kenderaan awam, memandangkan saya sering dibayangi kesesakan jalan raya saban tahun jika ada program di PWTC.

Sejurus kaki melangkah keluar dari perut LRT, saya lihat ramai individu yang datang untuk tujuan yang sama. Ada yang sudah selesai membeli, melihat kepada beg-beg plastik yang dibimbit di tangan.

"Kita mulakan membeli-belah ini dengan solat Jama' Zuhur dan Asar dahulu.." cadang saya.

"Ayuh.." jawab Amir tidak bertangguh.

Membaca di mana-mana sahaja, saya melihat keadaan ini ketika sedang menunggu rakan yang lain di pintu masuk musolla PWTC.

Usai solat kami bermusyawarah. Hasil syura, kami mulakan dengan menerjah ke Hall 2 yang terletak di luar dahulu. Sepanjang langkah kami ke sana, kamiberpapasan dengan beberapa orang artis. Saya sekadar tidak menghiraukan kerana mereka bukanlah individu yang sering jaja kehebatannya di bibir.

PTS, booth pertama yang kami singgah. Sekonyong-konyong saya sudah nampak seorang daripada stafnya berbaju biru lengan panjang. Ya, saya kenal dia. Irfan Jani SangPelangi. Setelah selesai membeli di booth PTS, barulah saya gagahkan diri untuk menegurnya.

Dari kiri; MS Rizal, Irfan Jani, Amir Imran dan Amirul Adlil

"Datang dari jauh kerana ilmu, (jihad) fi sabilillah juga bukan?" ujar pemilik blog berwarna-warni ini.

Kami seraya mengangguk tanda setuju. Moga ada berkat di sebalik susah payah kami.

Hasil 2 jam saya persembahkan di sini. Alhamdulillah, tujuan saya datang untuk mendapatkan kitab tafsir tercapai. Saya berhasil membeli beberapa juz kitab tafsir al-Munir karangan Dr Wahbah Az-Zhuhaily. Juga kitab Talbis Iblis karangan Ibnu Jauzi. Lain daripada itu adalah buku-buku yang saya sempat capai mengikut gerak hati.

Buku-buku yang saya beli, terdapat juga di antaranya pemberian percuma.

Oh, tidak lupa juga! Rezeki saya dapat bertemu dengan blogger yang saya sudah lama minati; Ustaz Hasrizal Abdul Jamil (Saifulislam.com).

Kami perasan yang kulit wajah kami agak terbakar, jangan tanya mengapa..kerana berpanas itu sudah menjadi asam garam kami..

Tepat jam 4.30 petang kami pun berangkat pulang. Insya-Allah saya berazam menjadikan kunjungan ke pesta buku ini sebagai acara tahunan. Hadir ke sini demi menterjemahkan satu kenyataan, betapa besarnya erti pesta buku ini buat insan seperti saya.


Jangan jadi keldai sudah...

Keldai yang memikul kitab! Itulah yang Allah lakarkan di dalam Al-Quran, surah Al-Jumuah ayat yang ke-5;

Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepadanya Taurat, kemudian mereka tiada memikulnya adalah seperti keledai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Dan Allah tiada memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.


Malah Dr Aidh Abdullah Al-Qarni pernah bermonolog sendirian ketika berkunjung ke satu perpustakaan kongres di Amerika Syarikat. Buku-buku di situ banyak dan sistem pencarian buku canggih dan keterdepan.

Tetapi,

Dr 'Aidh tetap jua berbisik di dalam hatinya, "Sayang, buku-buku ini banyak, namun satu pun diantaranya tidak dapat memberikan petunjuk buat rakyat Amerika mengenal siapa dia sebenarnya Maha Pencipta."

Buku-buku yang banyak, perlu membawa kita kepada gelanggang ilmu. Ilmu yang banyak melenturkan kita kepada akhlakul karimah. Akhlak yang baik melorong kita kepada jalan Allah. Setingkat darjat dinaikkan tanda kita berpengetahuan dan berfikir.

Jangan hanya taksub mengumpul buku. Baca dan habiskan semuanya. Jangan menjadi seperti keldai, sangat buruk perumpamaan itu!



MS Rizal,
32100, Lumut,
2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/

5 comments:

Mas_lya March 31, 2010 at 12:18 AM  

wahhh..seronoknya dapat ke Pesta Buku..Mas xberkesempatan..ada urusan di sekolah... :( Mas br je sudahkan bacaan Rindu Bau Pohon Tin...xsabar plak rasanya nk baca Murabbi Cinta...

MS Rizal March 31, 2010 at 6:19 AM  

Kalau nak diikutkan saya pun tidak berkesempatan..Tetapi kerana nekad saya gagahkan diri juga..cuba lihat tajuk entri ini, ianya bukan saja-saja. Ianya ada cerita di sebalik cerita, menggambarkan ada mehnah yang saya perlu hadapi sebelum berjaya ke PWTC.

ibnu samaon April 2, 2010 at 11:17 PM  

sangat berminat dengan monolog dr aidh.. mudah2an hasil pembacaan kita membawa diri setapak kehadapan menuju DIA!

Bro Nasri GISB April 24, 2010 at 2:43 PM  

Terima kasih kerana sudi menjengah ke booth kami. Maaf kerana tidak sempat luangkan masa bersama. Insya-Allah, semoga ketemu lain kali.

Semoga Allah redha akan setiap derap langkah permusafiran kalian.

MS Rizal May 7, 2010 at 8:44 AM  

Syukran jazilan kepada Bro Nasri kerana sudi melayan kami...

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP