Mukmin musleh, menghadapi transformasi diri...

>> Friday, April 17, 2009

Menuju bulan-bulan terakhir sebagai seorang pelajar graduan pastinya membuatkan ramai antara kita yang bercampur baur perasaannya. Tentunya, kepuasaan akan terjelma selepas hampir 4-5 tahun berjuang untuk mendapatkan segulung ijazah.
Memikirkan detik-detik sebagai seorang yang berkerjaya pastinya mengundang seribu macam gundah dan pertanyaan di dalam benak diri ini. Apakah daku akan sentiasa istiqamah dan tsabat di jalan ini? Insyaallah, dengan ketentuannya...

Kemana mahu pergi?

InsyaAllah, saya bakal memegang segulung ijazah sarjana muda kej. elektrik dan elektronik(tidaklah cemerlang manapun). Saya tidak berapa pasti apa yang akan berlaku di kemudian hari, cuma sedikit gambaran yang saya perolehi daripada abang-abang yang sudah berkerjaya boleh dijadikan panduan.

Menjadi biasa atau luar biasa?

Tentunya alam kerjaya adalah pentas sebenar untuk saya menguji diri. Tidak sedikit yang hanyut dilambung kesibukan, ditarik keseronokan akibat sudah berduit dan berpangkat. Saat ini komitmen begitu banyak, setiap pihak menagihnya. Jika tersilap langkah pasti saya akan tersungkur. Dan bila saya sudah tersungkur bertambahlah lagi satu titik hitam di dalam masyarakat. Justeru saya perlu ada matlamat jelas, dan proses-proses untuk membina matlamat itu.

Sudah terbentang jalan sama ada menjadi biasa atau luar biasa. Hidup seperti manusia biasa sudah tersedia highwaynya. Aturannya mudah, kerja-kahwin-beli kereta/motor besar-beli rumah-dapat anak-naik pangkat-pencen-mati! Ramai orang yang mahukan jalan hidup seperti ini. Tetapi, ini sebenarnya cara hidup yang tidak jelas, rugilah hikmah yang terbentang di dalam warna Islam jika satu pun tidak digarap dan diambil madunya.

Jalan hidup sahabat Rasul itu yang perlu dicontohi. Daripada cara hidup yang biasa-biasa, mereka berubah menjadi luar biasa dengan kehendak Allah. Malanglah, jika saya tidak mengambil ibrah daripadanya. Anehnya, saya mahu dikenali zaman, tetapi kita tidak pernah ambil tahu manusia hebat yang dirakamkan oleh zaman. Jangan persiakan hidup wahai diri. Hidup hanya sekali, tetapi peluang untuk berubah itu ada banyak kali.

Apakah kesudahanmu?

Manusia tidak tahu bila dia mati, dan bagaimanakah dia akan mati? Namun tidak salah untuk kita menetapkan mengapa kita mahu mati dan harapan bagaimanakah untuk kita mati. Bagi saya saat menuju kematian yang paling indah adalah saat kematian Saad bin Ar-Rabie' sewaktu perang Uhud. Di mana waktu-waktu menjelangnya ajal ditubuhnya terdapat 70 liang bekas tikaman, pedang, tombak dan panah. Tetapi tidak dipedulikan itu semua lantas dikhabarkan kepada Zaid bin Thabit,

"Sesungguhnya aku telah tercium bau syurga."

Juga saya fikir.
Tiada mimpi yang paling membuahkan harapan selain mimpi Syed Qutb pada malam sebelum dia diheret ke tali gantung,

" Aku bermimpi bertemu Rasulullah, baginda menunggang kuda putih dan bersalam denganku lantas berkata, "Bertenanglah wahai Sayyid, sesungguhnya kamu telah berjaya mendapat kematian sebagai seorang syahid di jalan Allah.""

Adakah kesudahan begitu layaknya untuk orang yang setiap hari fikirannya kepada hiburan, kemewahan, pangkat dan harta. Kerana ini bukan perilakunya watak yang layak memberi syafaat kepada 70 orang ahli keluarganya di akhirat kelak.

Ketahuilah diri.

Malam dan siang itu silih berganti. Itulah malam yang kelam dan inilah siang yang cerah. Seperti ini jugalah keadaan malam dan siang diwaktu hidupnya Nabi Nuh dan Nabi Hud. Inilah juga malam dan siang yang dijalani watak Qarun dan Firaun. Berjalanlah seseorang yang amat baik dan seorang yang amat jahat di bawahnya. Namun ternyata tiada siapa pun yang pernah menggugatnya. Bahkan entah berapa ramai yang telah terlipat dibawah kebahagian dan kesengsaraannya.

Jika luar biasa itulah pilihanmu...

Maka ketahulah, jalan ini bukan jalan untuk orang yang takutkan miskin dan kelaparan. Bukan untuk orang yang suka bersenang-senang memuaskan hawa nafsunya. Jalan ini adalah jalan pembersihan dan mengajar untuk memenjarakan diri di dalam dunia yang menipu. Jalan ini melimpahkan sejuta rahmat dan keberkatan tetapi amat memerlukan kejujuran dan ketahanan. Demi Allah yang diriku berada di dalam genggamannya, tiada siapa yang mampu meneranginya kecuali mukmin yang bergantung sepenuhnya pengharapan kepada Allah Azzawajalla.

Cukup hanya di sini, selamat menjalani peperiksaan semester terakhir buat diri.



MS Rizal,
57000, Kuala Lumpur,
17 April 2009/ 21 Rabiulakhir 1430H
Kembali ke laman utama..

2 comments:

lelucon April 17, 2009 at 3:41 PM  

Setiap graduan sebaiknya perlu meneruskan tanggungjawab menjadi ejen pembangunan masyarakat. Gunakan ilmu yang dipelajari untuk meningkatkan taraf hidup diri dan masyarakat. Jangan hanya mementingkan 'perut' sendiri, sebab hakikatnya manusia perlu hidup bermasyarakat. Maka jika masyarakat tidak dibangun dan dimajukan, kesannya akan ditanggung juga oleh diri kita.

Ilmu perlu dipraktikkan. Paling tidak pun diajarkan pd orang lain (dgn cara mengajar,menulis dsb.). Kalau ada penyelidikan lagi baik. Barulah ilmu itu dapat dikembangkan.

MS Rizal April 18, 2009 at 9:15 PM  

Sebaiknya itulah yang perlu dilakukan Encik Lelucon,,,

Bukan sepatutnya kita balik ke kampung hanya untuk meninggi hidung dan berbangga dengan profession tetapi perlu memikirkan apakah buah tangan terbaik yang perlu diberikan kepada masyarakat...

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP