Kunci Syurga; harga yang perlu dibayar

>> Wednesday, December 5, 2007


"Aku rasa tak wajar hukuman penjara dijatuhkan kepada pesalah-pesalah jenayah pada zaman sekarang." Syukri memulakan perbincangan.

Kami dalam keadaaan bersiap-siap untuk tidur.
Katilnya bersebelahan dengan katil aku.
Waktu itu kami berada dalam dalam Tingkatan 5, Sekolah Menengah Teknik Ipoh, Persiaran Brash.
Dorm F-13 sudah sunyi, semua penghuninya sudah tidur.

"Kenapa pulak?" Soalku kembali.

"Yelah, kau lihat ulama-ulama dahulu! Kebanyakan daripada mereka menjadi penghuni penjara. Jika hukuman penjara dikenakan kepada orang baik, maka yang bersalah patut dijatuhkan hukuman yang lebih lagi."

"Hmm..betul juga, lihat Imam Hanafi, dipenjara dan disiksa hanya kerana menolak jawatan kadi di Baghdad." Aku menambah.

Perbincangan kami berlarutan sehingga masing-masing tertidur...

Penjara, penyiksaan, pemulauan, penindasan malah dibunuh adalah amat sinonim dengan kisah hidup pejuang-pejuang dakwah.
Bermacam-macam dugaan diterima, namun inilah hakikat yang perlu ditelan dalam perjuangan menyebarkan perkara yang haq.
Para pejuang dakwah tidak pernah berputus asa, malah ada yang sampai mengatakan;
"Setiap kali kami dicambuk dan mengalir darah di kepala kami, maka disitulah kami rasakan saat kemanisan dakwah."

Apakah rahsia besar kejayaan mereka dalam memperteguhkan prinsip memperjuangkan dakwah?
Mereka sama sekali bukan mengimpikan kemenangan, tetapi merasakan diri bertanggungjawab di atas amanah Iman dan Islam.
Inilah harga yang mereka bayar, untuk membeli kunci syurga.
Dunia bukanlah tempat berenak-enak bagi mereka.
Tak malulah kita, apabila merasakan diri boleh masuk syurga jika mahu dibanding dengan kisah-kisah perjuangan mereka?

Aku baca kisah-kisah pejuang agama.
Kebanyakan daripada mereka ketika hidup, adalah orang buruan,
dipenjara, disiksa dan bermacam-macam lagi dugaan dikenakan.

Imam Abu Hanifah mati di dalam penjara.
Tetapi selepas kematiannya ilmunya diguna pakai, malah dikenang sehingga sekarang sebagai salah seorang Imam Besar.

Imam Malik disiksa kerana mempertahankan prinsip fatwanya sewaktu menjadi Mufti Madinah. Pendapatnya bercanggah dengan gabenor.
Kemudian Imam Malik dihukum dengan dera dan diikat dengan tali dan dinaikkan ke atas punggung unta, lalu diarak keliling Kota Madinah.
Ia tidak pernah takut menerima hukuman asalkan ia berada pada jalan kebenaran. Kerana memang setiap perjuangan itu memerlukan pengorbanan.
Imam Al-Laits, seorang alim menjadi mufti Mesir ketika itu, saat mendengar bahawa Imam Malik dihukum lantaran fatwanya ia berkata: “Aku mengharap semoga Allah mengangkat darjat Imam Malik atas setiap pukulan yang dijatuhkan kepadanya, menjadikan satu tingkat baginya masuk ke syurga.”

Imam Syafei difitnah sebagai seorang Syiah, sehingga beliau diikat dan dirantai. Tetapi perjuangannya menyebabkan kemudian dia digelar sebagai 'NasirunSunnah'.

Perjuangan Imam Ahmad bin Hambal yang dicambuk kerana menetapkan pendirian bahawa Al-Quran itu bukan makhluk juga pendirian yang sama dipegang oleh ulama Ahmad bin Naser Al-Khuza’i yang dipancung dan digantung kepalanya.

Syed Qutb dipenjara dan dibawa ke tali gantung. Imam Hassan Al-Banna dibunuh.
Dan ramai lagi kisah-kisah pejuang Islam ini.

Melihat dugaan mereka, amat kerdillah rasanya diri.
Tak malu kerana mengharapkan syurga tetapi hidup hanya bersenang-senang sahaja.

Surah Al-Baqarah, ayat 286.

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma'aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."


0 comments:

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP