LURUSKAN SAFFMU

>> Wednesday, August 8, 2007


KALIMAT yang sering kita dengar dari mulut imam sebelum memulakan solat adalah "Luruskan saf dan rapatkan saf". Namun berapa ramai yang benar-benar mengikuti arahan imam tersebut? Berapa ramai yang mengetahui apa maknanya meluruskan saf mengikut sunah Rasulullah s.a.w. yang sahih?

Para ulama sepakat bahawa saf pertama adalah saf terbaik dan besar keutamaannya bagi jemaah lelaki dalam bersolat. Manakala bagi saf jemaah perempuan, saf paling utama adalah saf paling akhir sekali. Ia sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah :

Sebaik-baik saf barisan lelaki yang paling depan, dan yang terburuk ialah yang paling belakang, dan sebaik-baik barisan perempuan yang terakhir, dan yang terburuk ialah yang paling depan. (Riwayat Muslim)

Sebaliknya ada pula yang datang awal ke masjid tetapi setia untuk memenuhi saf belakang, sama ada untuk berborak atau mudah untuk keluar awal dari masjid apabila telah selesai solat.

Alangkah ruginya mereka ini. Sesungguhnya Rasulullah menyatakan bahawa sesiapa yang secara sengaja memenuhi saf belakang, maka Allah akan membelakangkan mereka.

Daripada Abu Sa'id al-Khudri bahawa Rasulullah melihat ada sebahagian sahabatnya yang tidak mahu maju ke saf pertama, maka baginda bersabda: Majulah dan ikutilah saya, sedangkan orang-orang di belakang harus mengikutimu pula! Sesuatu kaum yang selalu suka di belakang, tentu akan dibelakangkan pula oleh Allah. (Riwayat Muslim).

Adakah kerugian yang lebih besar daripada kerugian dibelakangkan oleh Allah?

Rasulullah SAW sebelum memulakan solat, akan memastikan makmum di belakangnya meluruskan saf terlebih dahulu. Anas bin Malik berkata, ketika telah iqamah untuk solat, Rasulullah menghadap kepada kami dengan wajahnya seraya bersabda: Luruskan saf dan rapatkanlah kerana sesungguhnya aku melihat kalian dari belakangku. (Riwayat Bukhari)

Kebiasaan yang kita lihat di masjid-masjid, para imam hanya melaungkan "luruskan saf", "luruskan saf" tanpa melihat jemaah di belakang sama ada mereka mematuhi perintahnya atau tidak.

Mereka seperti hanya melepaskan batuk di tangga. Sedangkan Rasulullah akan menghadap para makmum dan memastikan arahan meluruskan saf benar-benar dilaksanakan oleh para sahabat. Malah ada riwayat yang menyatakan Baginda pergi ke setiap barisan untuk melihat sama ada saf benar-benar telah lurus sebelum memulakan solat.

Daripada Albara' bin 'Aazib berkata: Adalah Rasulullah memasuki celah-celah barisan (saf) sambil mengusap dada dan bahu kami. (Riwayat Abu Daud).

Pada zaman Umar al-Khattab pula, beliau mewakilkan tugas meluruskan saf kepada seseorang. Beliau tidak akan bertakbir (memulakan solat) sehingga orang yang membantunya dalam meluruskan saf itu memberitahu bahawa saf telah benar-benar lurus. Begitu juga dengan Uthman al-Affan dan Ali bin Abu Talib, mereka berdua bersepakat melakukan apa yang telah dilakukan oleh Umar. Dulu, Ali selalu mengatakan: "Maju wahai si fulan! Mundur sedikit wahai si fulan!"

Meluruskan saf dalam solat berjemaah merupakan sunah Nabi s.a.w. Malah ada ulama yang memandang penyempurnaan saf dalam solat adalah wajib.

Namun, terlalu sedikit di kalangan masyarakat kita yang mengamalkannya. Pada tanggapan mereka kesempurnaan saf hanyalah dengan mempastikan barisan solat itu lurus. Sebenarnya ada beberapa perkara lain yang juga telah diperintahkan oleh Rasulullah berkaitan kesempurnaan saf:

1. Merapatkan bahu dengan bahu orang yang solat bersebelahan dengannya.

2. Merapatkan lutut dengan lutut orang yang solat bersebelahan dengannya.

3. Merapatkan buku lali dengan buku lali orang yang solat bersebelahan dengannya.

Hanya dengan mempraktikkan perkara-perkara di atas barulah tercapai kesempurnaan saf dalam solat berjemaah dalam erti kata sebenar. Hadis-hadis berkaitan dengan perkara di atas adalah seperti berikut:

* Daripada Nu'man bin Bashir berkata: "Aku melihat seseorang merapatkan bahunya dengan bahu saudaranya, merapatkan (melekatkan) lututnya dengan lutut saudaranya dan melekatkan mata kakinya (buku lali) dengan mata kaki saudaranya." (Riwayat Abu Daud).

* Daripada Anas bin Malik daripada Nabi s.a.w. bersabda:

(Pada waktu solat) setiap kami meratakan bahunya dengan bahu saudaranya dan telapak kakinya (buku lali) dengan telapak kaki saudaranya. (Riwayat Bukhari).

Ramai dari kalangan jemaah akan menjauhkan buku lali dan lutut masing-masing ketika ada yang cuba merapatkan saf tersebut.

Mereka seolah-olah tidak selesa merapatkan dan meluruskan saf dengan cara begini. Sedangkan ianya menuju kearah kesempurnaan solat.

Mungkin ada yang beralasan sukar untuk bergerak atau duduk tahiyyat akhir. Sepatutnya kita sbg umat, tidak sepatutnya mencari-cari alasan yang tidak relevan dalam untuk mengamalkan sunnah Nabi saw.

Jadi mulakanlah merapat dan meluruskan saf saudaraku. Jika orang lain malu untuk berbuat demikian, mengapa tidak anda yang memulakan.

0 comments:

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP