Meletakkan Israk dan Mikraj pada tempatnya

>> Thursday, July 31, 2008


Adakah ustaz yang canggih bermaksud ustaz yang menggunakan laptop di dalam khutbahnya? Menerangkan hukum hakam agama dari sudut sains?

Mata merenung, otak menterjemah, akal berputar dan mulut mahu memperkatakannya.
27 Rejab sana sini masjid dan surau bergendang mengalunkan irama Israk wal Mikraj.Dan di dalam itu jualah kisah-kisah Nabi SAW berjumpa dengan situasi-situasi masa hadapan yang dilihat secara ghaibah di perjelaskan.
Skrip lama diulang semula. Ye lah manusia kan sering lupa!

Nampak hebat ustaz ini, menerangkan sudut cerita ini dari pengamatan sains. Sains itu bukan agama. Tetapi mahu diagamakan sains itu. Dalam keghairahanmengamalkan sains itu sebenarnya satu penolakan logik akal dimasukkan. Ah, apa yang tak kena dengan logik akal?

Sebenarnya, tidak ada yang tidak kena. Cuma Sains bukanlah faktor penentu hukum. Seseorang yang sedaya upaya menerangkan bahawa asbab Anjing itu diharamkan dagingnya kerana mempunyai cacing pita. Namun jika sains dapat memisahkan cacing pita tersebut, adakah hukum ini tertolak?
Begitu juga dengan daging Babi yang dikatakan punya kuman-kuman khusus dan bahaya seperti Porcine Torovirus, Porcine Rotavirus (Variant 4F), PRRS(Porcine Reproductive and Respiratory Syndrome Virus) dan H3N2 Swine Flu Virus. Jika berjaya dimusnahkan kuman-kuman ini, adakah hukumnya tertolak?

Tidak!
Pokoknya...Sebenarnya..Saya sukakan penceritaan sirah.
Bagaimana mahu menghubungkan antara agama dan dunia semasa. Biar pelajar sahaja yang mengolah. Ceritakan pengajaran untuk kepentingan jiwa dan pembawakan dakwah.

Tolonglah ustaz..
Tolonglah ceritakan saya kisah sebelum Israk Mikraj berlaku. Ceritakan bagaimana kisah ini cukup mempengaruhi jiwa Rasulullah untuk medan dakwah seterusnya.*Berjalan keluarlah Nabi SAW bersama-sama Zaid bin Harithah ke Thoif. Suku Thoqif di Thaif yang subur dan iklim sederhana itu. Medan luar yang mahu diuji kestrategikan dakwah Nabi SAW.
Tetapi bukan sambutan yang diperolehi, balingan batu dan pukulan. Seluruh negeri Thoif tidak menerima. Itulah sebenarnya risiko berdakwah di negeri yang kaya namun meminta perlindungan daripada kabilah Hawazir dan Quraisy.

Nabi SAW berdoa menunjukkan kesedihan....
Terdengarlah doa itu ditelinga Syaibah dan Utbah (kedua-duanya anak Rabiah) pemilik kebun anggur. Merasa kasihan lalu mengutus pembantu bernama 'Addas membawakan anggur kepada Nabi SAW. Ucapan Bismillah terucap di bibir Baginda sebelum menjamah.
Addas terkejut dan mengatakan perkataan itu ganjil dan tidak disebut kaum berdekatan. Nabi bertanya dan 'Addas menjawab. Rupanya 'Addas berasal dari perkampungan Yunus Bin Matta(Nabi Yunus).

Tolonglah ustaz, ceritakan lagi...
Pulangnya Nabi SAW dari Thoif, Allah SWT menghadiahkan hadiah. Jin beriman dengan Nabi! Kemudian Mut'in melindungi Nabi SAW memasuki Makkah, walhal Mut'in tidaklah beriman.
Penindasan orang Makkah, kewafatan Khadijah dan Abu Tholib, penghambatan orang Thoif mengundang kesedihan kepada diri Nabi SAW. Lalu kuasa Allah SWT menghadiahkan Nabi SAW Israk Mikraj. Hadiah yang besar ertinya bagi seorang Daei agung. Dibawa dan melihat, berjumpa dengan para Rasul dan pengalaman Nabi-Nabi terdahulu yang telah melalui dakwah ini dengan keperitan.
Melihat keagungan dan kebesaran ayat-ayat Allah.
Semangat inilah yang membawa kepada wawasan baru sebuah negara Islam sejurus selepas peristiwa Israk Mikraj. Tidak ditabalkan sejurus selepas perlantikan sebagai Nabi dan Rasul, tetapi selepas tempoh 13 tahun.

Apa yang jadi selepas itu?
Ummu Hanni meminta tidak diceritakan, bimbang keselamatan Nabi SAW. Namun Nabi menceritakan dengan ceramah tajaan Abu Jahal. Lucu! Tak masuk akal! Mengambil pasir diletakkan di atas kepala! Bayangkan satu malam ke Masjidil Aqsa dan naik ke Siddratul Muntaha. Seluruh media-media Makkah menghentam.
Muncullah Abu Bakr membenarkan! Aneh, tetapi itulah Abu Bakr! Jika kita berada di situasi demikian? Belum tentu lagi! WallahuTaala'alam.

Seorang yang menegakkan kebenaran. Sesungguhnya ujian, tohmahan dan fitnah sudah tertimpa kepada Nabi SAW dahulu! Tidak peliklah jika berlaku pada yang menegakkan kebenaran. Fitnah, aniaya, dituduh liwat! Ops! Mainan propaganda media bukan pematah kebenaran!

Jika tidak mahu ceritakan ini ustaz, boleh sahaja ceritakan hubungan Israk Wal Mikraj ini dengan PALESTIN!!!

-------------------------------------------------------------------------

*Kisah ini di salin dari ceramah Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin beberapa tahun dahulu mengenai Israk dan Mikraj.

Continue Reading...

Read more...

Melabur untuk dilebur?

>> Monday, July 28, 2008


"Assalamualaikum Bema. Aku nak berhenti ASB la. Kau ada suggestion untuk aku melabur tempat lain tak!"

Saya menekan pepunat 'send'. Mesej ini tertuju ke nombor Ahmad Bema(disebut Bima). Siapa dia? Rakan sekelas saya.

Pandangan saya dilontar ke tepi tingkap kereta. Ketika itu saya dalam perjalanan menuju ke Hulu Kelang.

"Aku mesti berhenti juga!" Benak hati saya memberi keyakinan.

Selang beberapa minit kemudian Ahmad Bema menelefon. Memberi salam dan memberi jalan. Ada harapan dijelmakan dihujung talian.

"Nanti aku cerita lebih lanjut!" Ahmad Bema membina janji.


"Ok, borang dah siap isi. Hang tandatangan sini, slip nanti minggu depan aku beri kat hang." Ahmad Bima menunjukkan borang. Jari telunjuknya di tujukan ke ruangan tandatangan.
Oh, Ahmad Bema rupa-rupanya sudah menjadi Unit Trust Consultant secara sambilan!

Selesai!
Saya telah memindahkan sejumlah besar simpanan saya ke dalam CIMB Wealth Advisor. Not yang tertinggal di dalam buku akaun adalah dividen sahaja. Nantilah saya fikir di mana mahu dilupuskan duit berkenaan sebelum akuan ini akan tutup terus. Eh, nanti kejap! Akan tutup terus selagi ASB tidak melantik panel syariah di dalamnya!

Sebenarnya artikel Al-Fadhil Ustaz Zaharuddin berkaitan ASB amat memberi kesan kepada diri saya. Saya tidak pernah menjangka, di sebalik galakan untuk melabur di ASB terdapat juga tegahan untuk membiarkan wang saya menari-nari di dalamnya.

Walaupun majlis fatwa baru-baru ini telah mengeluarkan fatwa bahawa pelaburan ASB adalah harus, namun saya masih tidak dapat menerima alasannya. Siapalah saya untuk menolak pendapat ulama-ulama tanah air tercinta ini. Namun saya juga punya pendirian. Pelaburan ini tetap saya anggap syubhah. Ya, seperti kata mereka! Mereka kata kalau mahu jadi warak hindarkanlah yang syubhah. Warak itukan mengukuhkan yang syarak!

Hasil pelaburan yang tidak jelas perlu dititikberatkan sebenarnya. Tetapi hal ini sering sahaja dipandang enteng sesetengah pihak. Mereka ingat soal agama itu hanya solah, mengaji, puasa dan naik haji sahaja. Tetapi pengamalan seharian itu yang penting, apakah ianya selari dengan ruh islam?

Bukankah hasil pelaburan yang tidak jelas itu bisa membuatkan kita makan hasil wang riba?
Dan bukankah ada ingatan yang menggerunkan di dalam surah Al-Baqarah ayat 278-279;

Allah SWT berfirman;

Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman.
Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.

Ya, bukan main-main lagi. Allah Taala mengisytiharkan perang dengan sesiapa yang tidak mahu meninggalkan saki-baki riba. Apatah lagi sebesar-besar riba?

Ibnu Abbas r.a. menafsirkan ayat ini;

"Akan dikatakan kepada pemakan riba di hari kiamat, "Ambillah senjata kamu untuk berperang dengan Allah SWT" "(Jami al-Bayan 'An Takwil Ayyi Al-Quran, At-Tabari, 3/68)

Imam Abu Hanifah pula mengatakan: "Inilah ayat di dalam Al-Quran yang paling menakutkan."(Ibid, At-Tabari, 3/72)

Sebenarnya ada pelbagai lagi alternatif untuk para mukmin-mukminat untuk melabur berlandaskan syariah. Cuma perlu rajin mencari sedikit. Tetapi perlulah sedar bahawa pelaburan secara unit amanah Islamik tidaklah dijamin sebagaimana ASB kerana secara mudharabah rugi dan untung dikongsi bersama. Apabila harga jatuh nilai pelaburan turut juga jatuh. Tetapi tidaklah perlu khuatir kerana unit akan sentiasa bertambah. Kalau jatuh pun sekadar sekejap sahaja disebabkan faktor perubahan iklim ekonomi dan politik.

Saya bukan Unit Trust Consultant.
Tetapi kalau mahu tahu lebih, apa kata cuba berurusan dengan Akh Ahmad Bema Bin Abdul Rahim (H/P: 019-268 3867). Mungkin beliau boleh membantu.

Melabur itu bijak tetapi jangan sampai ada yang terlebur...

Continue Reading...

Read more...

Hajat yang tidak kesampaian

>> Friday, July 25, 2008


Sinar dhuha memercik ke dahi. Kalis mata dan keningnya diangkat sedikit, reaksi silau. Dibujurkan dirinya tepat dihadapan rakan-rakan sekelas. Mereka rancak berbual di kantin sekolah, dikala waktu rehat. Sesi persekolahan baru beberapa minggu bermula sebenarnya. Kini Rizal sudah berada di tingkatan 4. Setelah berhempas pulas menghadapi peperiksaan PMR, alhamdulillah ianya membuahkan hasil. Beberapa hari lagi dia akan mengangkat tangan sayonara buat sekolah berjasa ini.

"Rizal..err..Suzalisa(bukan nama sebenar) kirim salam.." Nurul menyapa Rizal dari belakang. Rakan sekolah Rizal sedari kecil lagi.

Ketika itu Nurul sudah duduk tepat di kerusi panjang meja belakang. Menghadap ke arah Rizal yang membelakanginya. Disebelahnya Sharifah yang lagaknya seperti wakil menawarkan pinangan.Menunggu masa untuk berpantun. Dan disudut sebelah seberang meja mereka adalah pihak yang berhajat. Tertunduk malu, menantikan jawapan.

Apa semua ni?..ceh!
Dia tahu. Si berhajat, sudah menunjukkan reaksi beberapa kali sebelum ini. Menjeling, mengerling dengan harapan. Entahlah, dirasakan dirinya tidaklah hebat sangat. Tidaklah hensem, dan semacho mana. Mungkin keputusan PMRnya yang jadi faktor tarikan. Ah, tidaklah sehebat mana!

Akhirnya, di saat genting dia mahu berhijrah ini, Si berhajat memutuskan jua. Berbekalkan ingin dan teringin Si berhajat menzahirkan melalui 2 rakan perempuan Rizal yang sememangnya sudah rapat sedari sekolah rendah lagi.

Apa respons mu?

Terima sahaja?

Ah, peduli!!!

Akhirnya, dia buat tak endah. Rizal berpaling, reaksinya beku. Tanda menolak tanpa rayuan. Maka mereka faham. 2 rakan karib Rizal itu faham. Lelaki diam bukan tanda setuju seperti lazimnya perempuan, tetapi memendam amarah yang sukar diterjemah. Maka hampalah si berhajat. Impiannya itu mati di situ sahaja.

"Aduhai remaja..
Waktu ini, adalah waktu mencari ilmu sebanyak-banyaknya. Mencari ilmu bukan untuk diwarta dan dibangga-bangga. Tetapi mencari untuk diamalkan sebanyak-banyaknya.

Aduhai remaja..
Mengapa disibukkan dengan cinta. Bukankah kala ini amat bernilai ertinya? Diwaktu ni engkau sedang mencari arah tujuan. Harapan mendukung sinar impian. Kau cuba untuk terbang tinggi, kala sayapmu masih lagi tidak gagah. Engkau akan tersungkur.

Aduhai remaja..
Bukankah sinar kebahagiaan itu akan tiba jua. Tiba untuk menguatkan perjuanganmu ke medan jaya. Tetapi perjuanganmu itu apa? Bukankah waktu ini kau sudah bisa terjemahkannya?"

Kala ini Rizal tersenyum. Cerita silam buat kenangan. Mujurlah dia tidak pernah bermain-main dengan cinta remaja ini. Sememangnya dia sedar siapa dia dan dari mana asalnya. Namun dia mencoretkan sesuatu di sini. Delima Fahri(karakter novel ayat-ayat cinta) sebelum datangnya tawaran Syeikh Ahmad menempias atma dirinya. Dia mula mencongak siapakah Syeikh Ahmad dengan tawaran itu di dunia realitinya kini. Mudah-mudahan Allah Taala mudahkan jalan....

Apa cerita Suzalisa?
Risik-risik, sudah berkahwin dan beranak dua..Moga Allah memberkati hidupnya...

“Ya Allah, kurniakan kepada kami isteri-isteri dan zuriat kami sebagai penyejuk mata. Dan jadikan kami pemimpin bagi orang-orang bertaqwa”

Continue Reading...

Read more...

Tawaduk dalam memandu hidup

>> Tuesday, July 22, 2008


Andai kita dapat meletakkan diri dalam situasi redho, maka mungkin hidup ini lebih indah, lebih manis dan lebih barakah.
Sayang, kita tidak punya masa untuk mengenal diri. Sering kita merasa lebih dari kenyataan, atau merasa rendah daripada Allah yang kurniakan.
Tanamlah dirimu dalam tanah kerendahan, kerana setiap sesuatu yang tumbuh tetapi tidak ditanam maka tidak akan sempurna buahnya.

Ada sebatang pokok, akarnya tidak nampak.
Kata mereka, akarnya jauh terbenam ke dalam tanah. Tidak tertonjol.
Patutlah... digoncang, ditendang, ditiup taufan.. batangnya masih kukuh berdiri.

Ada sebatang pokok lagi, akarnya nampak tertonjol tertanah.
Kata mereka, akarnya tidak dalam, hanya beberapa kaki sahaja terbenam di dalam tanah.
Ditolak dan ditiup taufan, lantas tumbang ia.

Begitulah halnya amalan. Alangkah ruginya, amalan yang sepatutnya disembunyikan dan menjadi rahsia kita dengan Allah dijadikan hebahan kepada orang ramai. Hilang sudah keunikan dan kekuatan amalannya itu. Jika dia qiam di malam hari, dia senang untuk menceritakan. Jika dia puasa, sengaja mahu diberitahu kepada orang ramai. Jika dia bersedekah mahu sahaja diberitahu.
Ikhlas adalah nilaian tinggi yang sukar digapai sebenarnya. Tetapi ianya membuatkan kita istimewa disisi Allah. Dengan ikhlas datangnya tawaduk dan rendah hati. Dengannya terbit rasa rendah diri datangnya kemanisan ibadah. Dengan kemanisan ibadah lahirnya akhlak yang mulia dan disegani.

Sedarlah amalan kita itu datangnya daripada Allah. Amalan kita datangnya daripada taufik dan rahmat Allah.
Ingatlah qiam kita. Kalau kita gagah berdiri di malam hari, ingatlah siapa yang beri kekuatan? Siapa yang mengejutkan kita dari tidur?
Ingatlah puasa kita. Siapa yang memberi kita rezeki sahur dan berbuka? Siapa yang memberi kita kekuatan?
Ingatlah pada sedekah. Siapa yang memberi kita wang? Bukankah wang itu pun datang daripada Allah?
Banyak beramal tidak bererti kita selamat. Sebelum beramal cubaannya malas beramal. Selepas beramal cubaanya adalah ujub.
Lantas layakkah ini membuatkan kita megah dan bangga?

Siapa mahu senang hatinya...Jangan dikenang amalan dan pencapaian dahulu.
Jika kita ini seorang pelajar ijazah dan sarjana, ingatlah bukan itu yang dipandang Allah. Tetapi ikhlas kita.
Jika kita seorang ustaz. Jangan dikenang dan mahu dipanggil ustaz. Walhal mungkin title ustaz itu menjadi fitnah buat diri.
Kenallah diri sendiri. Kerana dengan mengenal diri sahaja kita bisa berhadapan dengan cakap-cakap orang.
Ingatlah pujian orang tidak pantas menjadikan kita bahagia. Dan kejian orang tidak pantas buat kita terhina, malahan mungkin hinaan itu lebih bagus sedikit daripada kehinaan kita yang terselindung.

Tolaklah semua itu, tolaklah dengan keinsafan tentang aib dan dosa kita. Bayangkanlah selalu bahawa dosa kita sering melebihi amalan kita. Jika dipuji, katakanlah pujian itu tidak layak untuk diri yang selalu berbuat dosa.
Pandanglah orang lain lebih istimewa daripada kita, cari kemuliaan mereka bukannya kesalahan.
Palinglah diri kepada anak kecil comot itu, dosanya lebih sedikit daripada kita.
Palinglah kepada orang tua bangka itu, hidupnya lama amalan kebaikannya lebih banyak daripada kita.
Palinglah kepada penjaja di jalan itu, mana tahu dia lebih jujur dalam menguruskan perniagaannya.
Palinglah kepada orang yang merangkak-rangkak membaca Al-Quran. Mana tahu setiap rangkakan itu membuatkan dirinya takut kepada Allah.
Palinglah kepada orang yang rendah CGPA nya, tetapi mana tahu itulah hasil ikhlas dan jujurnya dalam peperiksaan. Dan mana tahu CGPAnya paling rendah tetapi kedudukannya paling tinggi di sisi Allah.

Mungkin ini caranya mencapai tawaduk. Marilah bersama-sama menanamkan ia di dalam diri. Itulah nilaian yang berharga di sisi tuhan. Mudah-mudahan kerendahan hati kita memacu amalan kita untuk lebih sempurna.

Al-Hafizh Ibnu Rajab Al-Hambali rahimahullah berkata, "Orang yang sombong adalah orang yang memandang dirinya sempurna segala-galanya, dia memandang orang lain rendah, meremehkannya dan menganggap orang lain itu tidak layak mengerjakan suatu urusan, dia juga sombong dari menerima kebenaran dari orang lain". (Jami'ul Ulum Wal Hikam)

“LAA ILA HA ILLA ANTA SUBHANAKA INNI KUNTU MINAZ DZALIMIIN”
"Tidak ada Tuhan yang sebenarnya disembah melainkan engkau, ya Allah.
Maha Suci engkau, sesungguhnya aku adalah dari orang yang membuat zalim."
SURAH AL-ANBIYAK(21):87

Continue Reading...

Read more...

Biar seragam pada pakaian bukan pada kepercayaan!

>> Monday, July 21, 2008

Salah seorang Lt. Komander Muslim didalam Tentera Laut US.

Meniti hari-harinya sebagai seorang muslim pastinya berdepan cabaran. Manakan tidak mereka berada di tengah-tengah kelompok yang kita gelar tentera kuffar millenium.Itulah halnya yang dihadapi warga tentera US yang beragama Islam.

Salah seorang daripada mereka adalah Midshipmen(pegawai kadet kanan) Maksudal Ali. Pembabitannya dalam United States Naval Academy(USNA), Annapolis adalah di dorong cita-citanya untuk menjadi seorang fighter pilot.

Ali yang berasal dari Clarksburg, W Virginia asalnya berasa ragu-ragu untuk menyertai USNA akhirnya membuat keputusan yang dianggapnya benar biarpun terpaksa menghadapi tanggapan buruknya sendiri tentang tentera US. Dia adalah salah seorang daripada 10 orang Islam Midshipmen dimana jumlah keseluruhan Midshipmen adalah 4200 orang. Komuniti yang hanya beranggaran 1 % sahaja.
Lt. Abuhena M. Saiful-Islam, bertugas sebagai Muslim Chaplain di USNA

Walaupun dia melalui hari-harinya di USNA dengan positif, terdapat juga tekanan yang dihadapi sebagai seorang muslim di Akademi. Mereka seperti menjalani latihan untuk menyahut seruan negaranya menangani pengganas dan pelampau agama yang berjuang untuk Islam. Maksudnya mereka dilatih untuk memerangi sesama muslim juga.
Cabaran lain pula adalah kesukaran untuk berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan kewajipan solat lima waktu ditengah-tengah jadual yang padat sebagai seorang Midshipmen. Mereka juga terpaksa hadir ke majlis atau keraian dimana etika Islam tidak langsung diendahkan.

Ali yang juga presiden Kelab Midshipmen Muslim juga menambah yang dia tidak berdepan sebarang diskriminisi di sini, tetapi kadang-kala dia tidak berupaya untuk mengurus waktu solatnya dengan baik kerana jadual yang padat. Walaupun begitu Akademi ini tetap menghormati hari Jumaat untuk mereka menunaikan ibadah sebagai seorang muslim.

"Saya amat menghargai cara Akademi ini melayan kami sebagai seorang muslim. Saya tidak pasti adakah keadaan ini akan berterusan. Kepercayaan adalah sesuatu yang bernilai dalam diri ini."


Sewaktu berlangsungnya perang di Afghanistan, Mejar Abdul Rasheed, seorang Muslim Chaplain yang paling senior di dalam tentera meminta fatwa daripada Fiqh Council of North America sama ada mereka boleh terlibat atau tidak di dalam peperangan di Afghanistan.
Dan Majlis Fiqh ini membenarkan dengan alasan, "Sesiapa jua dibenarkan untuk berjuang demi negara melawan pengganas yang membunuh mereka yang tidak berdosa dan membenarkan membunuh orang awam tanpa pengadilan yang sewajarnya."

Walaupun begitu, fatwa ini tidak dipersetujui oleh sesetengah muslim. Seorang Sarjan Udara terpaksa menghabiskan beberapa tahunnya dalam tahanan tentera akibat ingkar arahan untuk turut sama menyertai misi peperangan di Iraq. Sepanjang perbicaraannya berlangsung, Muslim Air Force Chaplain membelanya dengan mengatakan bahawa dia telah berjumpa beberapa orang Ulama' di Jerman dan mereka mengatakan lebih baik mati daripada turut sama menentang sesama muslim.

Anggaran orang Islam yang berkhidmat di dalam tentera US adalah seramai 15,000 orang daripada 1.4 juta, kira-kira 1 % sahaja.
Ternyata cabaran dihadapi oleh mereka ini amat besar.
Saya terfikir ditengah-tengah mereka berjuang untuk mendapat hak muslim, ramai pula dikalangan kita yang tidak menghargai peluang dan nikmat dihadapan mata. Jangan sampai kita digantikan dengan kaum lain dimana mereka jika disuruh nescaya mereka akan mengerjakan solat, menunaikan zakat dan mengerjakan amar maaruf nahi mungkar.

Continue Reading...

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP