Antara Fadhilat dan Wajibat

>> Tuesday, May 22, 2012

Kuliah Maghrib pada hari Isnin itu.


Kuliah maghrib hari itu membuatkan saya terfikir sejenak. Luahan rasa pengkuliah pada malam itu menggamit citarasa saya untuk mencoret sesuatu di sini. Luahan yang sebenarnya sering benar didengari corong telinga saya.

“Alhamdulillah, saya baru pulang daripada membawa rombongan umrah.  Namun ada sesuatu yang membuatkan saya kurang senang, tentang liatnya segelintir jemaah kita untuk turun bersolat berjemaah di Masjidil Haram.” Luah pengkuliah yang wajahnya berusia dalam lingkungan umur awal 30 tahun.

“Mereka lebih senang solat di Hotel. Inilah adalah sesuatu yang rugi. Datang daripada jauh, namun tidak mahu merebut ganjaran mengerjakan solat di Masjidil Haram sebanyak 100,000 kali ganda pahala berbanding solat di tempat lain.” Tambah pengkuliah tersebut dengan nada yang serius.

Suasana masjid hening, para jemaah masing-masing menumpukan perhatian kepada pengkuliah.

“Masya-Allah, 100,000 kali ganda.  Banyaknya pahala, rugilah mereka.” Hati saya berkocak.

Langsung saya teringat kepada perbualan sebulan yang lepas bersama bapa mertua saya...


Pencerahan umat Islam Malaysia mengenai ibadah
“Umat Islam di Malaysia perlu diperbetulkan perspektif mereka mengenai ibadah.”  Bapa mertua saya, Mohd Lotphi bin Halim membuka bicara.

Ketika itu kami sedang berehat di stesen minyak Petronas, R & R PLUS Simpang Pulai. Perjalanan pulang usai menghantar isteri saya ke KLIA yang alhamdulillah sudah selamat sampai ke Mesir.

“Maksudnya bagaimana, abah?”

“Contohnya, solat berjemaah di Masjid. Orang kita hanya nampak dari sudut fadhilatnya sahaja.  Kalau kita pergi solat jemaah akan mendapat 27 kali ganda pahala, kalau kita solat seorang diri dapat 1 pahala sahaja.” Hujah bapa mertua saya.

“Walhal solat berjemaah itu hukumnya wajib.  Dan atas sebab memandang fadhilat sahaja orang ramai tidak pergi masjid. Hanya bersolat di rumah sahaja.”

Saya bersetuju dengan pandangan bapa mertua saya ini. 

Suka bagi saya menukilkan beberapa dalil mengenai kewajipan solat berjemaah di sini:

"Dirikanlah solat, tunaikan zakat dan rukuklah berserta orang-orang yang rukuk" - (Al-Baqarah, 43)

Mungkin pembaca amat biasa mendengar hadis ini:

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Ertinya: “Aku berniat memerintahkan kaum muslimin untuk mendirikan solat.  Maka aku perintahkan seseorang untuk menjadi iman dan solat bersama manusia.  Kemudian aku berangkat dengan kaum muslimin yang membawa seikat kayu bakar menuju orang-orang yang tidak mahu ikut solat berjamaah, dan aku bakar rumah-rumah mereka. (hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Hadis ini dengan jelas menunjukkan kewajipan mengenai solat berjemaah.  Kewajpan yang dituntut untuk dikerjakan oleh semua Muslim dan Mukmin yang mengaku taat dan beriman kepad Allah Taala.  Sungguh bagi yang tidak tersedar mereka akan mensia-siakan hadis di atas disebabkan ianya kontradik dengan hadis fadhilat.

Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda). (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bagi masyarakat biasa, mungkin hanya ada yang memandang hadis fahdilat ini berupa pilihan. Maknanya nak pergi jemaah dapat 27 darjat, bagi yang tidak mahu 1 darjat sahaja.  Malah kelakarnya, pernah warden asrama saya dahulu mahu mendenda pelajar asrama yang bersolat sendirian di Dorm supaya solat 27 kali bagi menyamai pahala solat di masjid.

Sungguh sinonim konsep fadhilat ini kepada masyarakat, seolah-olah apa sahaja yang dibuat perlu ada bayaran pahala. Walaupun hujah ini bukan menolak apa yang Allah Taala janjikan namun pokok persoalan ini terlalu ditunjal-tunjal ke tengah.  Malah ditanam sejak sekolah rendah lagi. Ironinya ia banyak menolak konsep kefardhuan itu ketepi, malah persepsi ibadah hanya kepada pahala tidak mampu diarahkan kepada kewajipan yang tertanggung di atas semua pundak yang mengaku muslim.

Saya memandang, persepsi hanya memandang fadhilat langsung mengundang rasa bahawa mereka punya pilihan.  Sama ada mahu sedikit atau banyak.  Mereka yang memandang dirinya sudah banyak pahala, tidak perlu merasakan bahawa dia perlu menambah pahala. Sebab itu ‘dia’ merasakan solat di Hotel itu sudah memadai berbanding solat di Masjidil Haram. Sungguh terpedaya orang seperti ini!

Konsep Keutamaan

Masalah yang terdapat di sini adalah keutamaan.  Masyarakat keliru dengan keutamaan dan pilihan mana yang terbaik.

  • Solat di rumah dengan isteri dan anak-anak berbanding solat di masjid.
  • Kewajipan berbuka puasa Ramadan berbanding kewajipan solat Maghrib.
  • Kepentingan membaiki diri berbanding membaiki sistem(termasuk parti politik).
  • Kewajipan fardu ‘ain berbanding fardu kifayah.
  • Kepentingan hak hamba berbanding hak Allah Taala (Contohnya, mempunyai duit tapi berhutang, wajib melunaskan hutang berbanding menunaikan haji.)
  • Sedekah pada masjid dan pergi umrah/haji beberapa kali lebih diutamakan berbanding sedekah pada gerakan Islam, umat Islam di Palestin/Iraq dan lain-lain.
 Dan banyak lagi contoh-contoh lain.  Kekeliruan ini bukan sahaja melanda masyarakat Islam di Malaysia, malah umat Islam di dunia. Kelesuan umat Islam juga disebabkan oleh faktor kekeliruan memilih mana satu yang lebih utama.  Oleh sebab itulah Sheikh Yusuf Al-Qaradawi menulis buku yang laris, popular dan cukup bermakna iaitu Fiqh Awlaliyyat-Fekah Keutamaan. Saya kira buku ini perlulah menjadi bacaan wajib dihadam bagi mereka yang mahu faham Islam pada monsun gerhana ini.

Bukankah kita ini hamba?



Sifat hamba adalah taat.  Ianya layak dijual, berdosa jika melarikan diri, tidak mendapat upah, dibezakan daripada orang yang merdeka, malah bagi yang jariah perempuan boleh disetubuhi oleh tuannya.  Itu adalah hakikat hamba kepada manusia.  Hamba manusia tidak lemah kepada tuannya, tetapi keadaan menjadikan dia lemah. Desakan sosial membuatkan dia tidak mampu melawan tuannya.

Itu konsep hamba di zaman Rasulullah SAW, hamba amat sinonim dengan perkataan taat dan patuh.  Itu hamba kepada manusia, apatalah lagi kita sebagai hamba kepada Allah Taala. Allah Taala berkuasa hakiki kepada manusia. Allah Taala memegang fizikal dan hati-hati hambanya. Sedangkan seorang tuan itu tidak berkuasa hakiki kepada hambanya.  Mereka memegang fizikal hamba, tetapi belum tentu memegang hati-hati hamba mereka.

Alangkah baiknya andai semua orang menanggapi konsep hamba ini.  Konsep inilah yang menjadi hadaman para Salafussoleh yang taat kepada Allah Taala. Malah sungguh tawaduknya jawapan Nabi Muhammad SAW saat A’isyah hairan melihat Nabi SAW tekun beribadah sehingga bengkak kakinya sedangkan baginda maksum dan dijamin syurga. Lantas Baginda SAW menjawab, “Bukankah patut aku menjadi hamba yang bersyukur?” (hadis Riwayat Bukhari).  

Alangkah indahnya konsep hamba, wajibat dan taat ini diperkuatkan dan dimomokkan kepada masyarakat melebihi daripada konsep fadhilat.  Malah banyak hadis-hadis fadhilat pun berstatus lemah dan palsu terlalu banyak-banyak berlegar-legar di kalangan masyarakat berserta harapan palsu. Satu contohnya adalah Fadhilat setiap malam terawih. Letaklah berapa tinggi pun fadhilatnya, hatta confirm ke syurga sekalipun ianya tetap tidak dapat mengalahkan harga durian runtuh pasaraya dan pusat membeli belah juga.

Kita boleh beribadah atas dasar terpaksa,
Kita juga boleh beribadah atas dasar melepas batuk di tangga,
Kita juga boleh beribadah atas harapan banyaknya pahala,
Kita juga boleh beribadah atas dasar ikhlas dan sedar bahawa diri ini adalah hamba.

Allah Taala memberi dua jalan, kita sendiri yang memilihnya.
“Dan Kami tunjukkan kepadanya (manusia) dua jalan.” Surah Al-Balad, ayat 10.


----------------------------------------------------------------------------------- 
Penulisan ini adalah hak cipta msrizal.blogspot.com. Sebarang penyiaran semula hendaklah menyertakan sekali alamat blog ini. Terima kasih kerana sudi membaca. 


MS Rizal, 
32100, Lumut, 
2012/1433H 
http://msrizal.blogspot.com/ Continue Reading...

Read more...

Warkah buat Mutarobbiku yang tercinta-Part 1

>> Wednesday, May 9, 2012

Usia ini berjalan meniti masa-masa yang kian tua.  Saya mencuba untuk mengenggam masa itu, cuba menahannya daripada berjalan terus.  Namun hasilnya hampa, masa tetap sepertimana Allah Taala sebutkan mengenainya.

"Demi masa, Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian.." (Surah Al-Asr.)

Seharusnya apabila kita merenung ayat ini, menginsafi perjalanan hidup ini. Hakikatnya masa itu benar-benar menghimpit.  Mendesak manusia itu terus beramal, beramal dan beramal.  Kerana amalan itulah tujuan kita hidup.  Malah amal itu juga sinergi kehidupan, ianya mengharmonikan alam.  Alam memberikanmu daya untuk amal, dan kamu menerimanya untuk memakmurkan bumi ini. 

Medium amal-Bulatan gembira

Maha suci Allah SWT yang memberikan saya hidayahnya.  Beberapa tahun lepas, dalam sentuhan hidayah Allah itu saya mencari-cari medium untuk melunaskan tanggungjawab ini.  Kesedaran anak muda yang cetek ilmunya untuk sama-sama menyumbang ke arah amal.  Lalu saya dilorongkan kepada sebuah sinar harapan.  Sebuah bulatan gembira, liqo' biasa yang diadakan selama 2 jam di Masjid Jame' setiap hujung minggu.  Dan daripada bulatan ini saya mengorak langkah untuk terus istiqomah di dalamnya.

Ada yang mengenalinya sebagai Halaqah, ada yang memanggilnya Usrah.  Biar apapun namanya ianya inti teras dalam menginjakkan daya amal ini lebih ke depan lagi.




Berdasarkan gambarajah di atas ini, lihatlah daripada bulatan kecil ini terbit wawasan mahu mencapai UA-Ustaziatul Alam.  Yakni Islam itu mencakup seluruh dunia.  Ad-Din ini dirasai rahmatnya ke seluruh alam.  Sungguh hebat bulatan ini, ianya kecil tapi penuh kuat, ianya dihiasi dengan gelak tawa tetapi isinya serius.  Penuh harapan, tinggi semangat, terbit ruh-ruh baru untuk jihad. Hebatnya...hebatnya...

Fitrah bulatan ini, di tengah-tengah persimpangan ada yang tercicir.  Ada yang menarik brek. Ada yang letih kerana katanya jalan ini terlalu panjang untuk mencapai tujuan.  Tetapi lupakah mereka bahawa jalan ini tidak semestinya kita merasai kemenangan.  Sederet barisan sahabat yang memeluk Islam di Makkah dan Madinah, tidak semua yang merasai kemenangan saat Fathul Makkah.  Juga kisah-kisah Para Anbiya' yang dihujung mereka berakhir dengan tragedi pembunuhan.

Penilaian Halaqah.


Saya mahu kongsikan perkara-perkara ini dengan sahabat-sahabat seperjuangan dahulu yang terlalu awal menarik brek.  Fikir mereka sudah banyak tahu, malah mudah sahaja menyatakan kesimpulan,

"Saya tidak dapat apapun daripada halaqah ini..."

Nanti dahulu kawan, halaqah ini adalah sarana tarbiyah.  Ianya adalah inti daripada pembentukan diri sebagai Individu Muslim. Ianya jalan panjang.  Bagaimana seseorang itu terlalu cepat menilai halaqah ini membosankan tanpa terlebih dahulu menghadiri semua sarana tarbiyyah.  Dalam tarbiyah itu intinya adalah Usrah/halaqah, Mukhayam, Katibah/Qiam, Nadwah, Muktamar, Daurah dan Rehlah. Aneh sungguh, sahabat yang hanya hadir dalam sekali dua halaqah lalu menyatakan tiada apa yang dilalui daripada halaqah ini.  Lalu mereka kembali seperti dahulu, malah amal semakin sempit dan termangu-mangu mencari medium untuk menyampaikan amal ini.

Seorang murobbi itu amat menyintai mutarabbinya. Sedarlah di saat berat hatinya seorang mutarabbi itu untuk hadir ke setiap pertemuan halaqah, murobbi itu sentiasa melontarkan dengan kebahagian dan pengharapan. Kerana murobbi sentiasa menanamkan cinta di dalam bulatan gembira ini. Berusahalah untuk menghidupkan halaqah ini, kerana murobbi tidak pernah meminta imbalan daripadamu, tidak pernah menyatakan bayaran untuk setiap masa emasnya.  Melainkan imbalan itu hanya datang daripada Allah Taala jua.

"Jika kamu berpaling (dari peringatanku), aku tidak meminta upah sedikitpun dari padamu. Upahku tidak lain hanyalah dari Allah belaka, dan aku disuruh supaya aku termasuk golongan orang-orang yang berserah diri (kepada-Nya)." (Surah Yunus, 10:72, lihat pula QS 11:29, 51. 12:104. 25:57.26:109, 127, 145, 164, 180. 38:86).

 ----------------------------------------------------------------------------------- 
Penulisan ini adalah hak cipta msrizal.blogspot.com. Sebarang penyiaran semula hendaklah menyertakan sekali alamat blog ini. Terima kasih kerana sudi membaca. 

MS Rizal
32100, Lumut
http://msrizal.blogspot.com/ Continue Reading...

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP