Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air

>> Monday, May 30, 2011

Hakikat lelaki itu sukar untuk mengalirkan air mata adalah sesuatu kenyataan yang tidak pelik. Lelaki selalu dilazimkan dengan sifat egois, pemimpin yang berani, bijak mengawal situasi dan tenang dalam situasi ribut. Hakikatnya lelaki juga mudah tersentuh tetapi amat bijak menyembunyikan emosinya. Ah, siapa saya untuk membicarakan perihal seorang lelaki? Apatah lagi mahu memberikan contoh tentang diri, jauhnya beribu batu. Tetapi kias bahasanya menunjukkan rasa perlu.

Bara yang digenggam biar sampai jadi arang. Azam yang telah lama ditanam perlu disempurnakan agar ianya berjaya. Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air. Peluang sudah datang, tetapi menunggu diri untuk mengusahakan.



Wahai diri kenanglah apa yang telah pergi

"Andai saya dapat berputar kembali pada 3 tahun akan datang, maka banyak perkara yang saya akan perbetulkan."

Saya cungkil ayat ini daripada akhbar Sinar Harian. Wawancara bersama Nabil Raja Lawak. Saya bukanlah peminatnya, dan saya bukanlah hakikatnya orang yang meminati rancangan lawak ini. Banyak ketawa itu mematikan hati kamu tahu?!

Kembali kepada bicara Nabil, angan-angan itu bukanlah suatu yang jarang didengar. Ingin kembali pada masa lalu, memperbetulkan apa yang diri sendiri tidak sedar dilakukan.

Namun hakikatnya masa lalu adalah sejarah yang telah pergi. Hari ini adalah saat memperbetulkan diri. Kerana tidak sedikit orang yang tahun-tahun ke hadapannya sama sahaja dengan tahun sebelumnya. Basi, lesu dan tiada perubahan. Hairan candu apakah yang telah diberikan orientalis pada umat ini? Pemuda-pemudanya hilang, dan yang tinggal hanyalah anak-anak perempuan.

Ingatlah masa yang berputar tidak pernah mengasihi sesiapa. Saya sering mengibaratkan mereka yang membuang masa ibarat membuang air kosong di dalam gelas. Dia tidak menghargai air itu dan mudah sahaja dibuang. Tetapi bagaimana jika dia sedar air di dalam gelas itu adalah air yang mahal harganya dan amat sedap rasanya? Adakah dia sanggup membuang air tersebut. Begitulah ibaratnya masa, mereka yang bijak sahaja pandai itu mengisinya.


Muda hanya sekalikah?


"Muda hanya sekali, jadi kita enjoy!!!"

Ya, mudamu hanya sekali bagi mereka yang menganggap akhirat itu mitos. Muda itu mungkin sekali jika penyakit hubbunduniya, cintakan dunia itu cukup tepu bersarang dalam dirinya. Tetapi tidak bagi mereka yang beriman dengan adanya syurga Allah SWT. Mereka akan kekal muda selama-lamanya. Itu muda yang berkali-kali, itulah saat betul untuk enjoy. Alangkah malangnya enjoy di saat muda lalu terlepas peluang berharga untuk meraih syurga Allah SWT. Kenikmatan muda di dunia hanya sebentar, malah langsung tidak membawa kebahagiaan. Penipu dan fana.


Oleh itu langkahmu di mana?


Sebetulnya saya agak letih berkerja. Letih dengan perkara remeh dan letih dengan situasi tidak menang tangan. Mungkin itu adalah satu kelemahan saya yang tidak pandai mengurus. Atau ilmu yang sekadar tertera pada sijil lalu disimpan di dalam almari. Saya harap tidak begitu. Kerana jauh di sudut hati, ada harapan yang menggunung pada umat ini. Pada lelakinya, pemudanya, remaja, kanak-kanak, wanita, gadis-gadis dan apa sahaja kata nama yang sesuai yang berada di dalam masyarakat.

Kadang-kadang saya mengeluh atas keletihan diri. Segera saya mengadu pada Allah Taala. Kamu tahu apa maknanya nikmat dalam berdoa? Ketika situasi dan keadaan bukanlah doa itu lahir dari hafalan, tetapi saat doa itu datang tulus dari hati. Kamu tahu pengajaran apa yang selalu menggoncang diri dan memerah air mata? Pengajaran kisah pejuang-pejuang dakwah ini, saat diri mereka digoncang dengan seribu macam dugaan. Kamu tahu ketika mana diri ini rasa jauh daripada Allah Taala? Saat hanya berjaya membaca 2 helai lembaran Al-Quran sahaja dalam sehari itu...

Oh, apakah kelalaian itu sesuatu yang baik. Atau ternyata sia-sia? Ternyata seorang lelaki itu murah dengan air mata saat dirinya terasa hina di hadapan Allah Taala. Murah saat bersendirian tanpa teman yang sukar memahami bahasa hati. Hanya Allah Taala sahaja tempat diluahkan segalanya-galanya.

Ingin menulis dalam keadaan teratur tetapi idea datang mencurah-curah tanpa sempat mengatur. Doakan saya wahai pembaca yang budiman. Doakan saya thabat dalam jalan ini.

-----------------------------------------------------------------------------------
Penulisan ini adalah hak cipta msrizal.blogspot.com. Sebarang penyiaran semula hendaklah menyertakan sekali alamat blog ini. Terima kasih kerana sudi membaca.

MS Rizal,
32100, Lumut,
2011/1432H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Hidayah milik Allah Taala

>> Thursday, May 26, 2011


Hidayah Allah SWT adalah sesuatu yang misteri untuk dinilai dan diterokai. Sesiapa jua mungkin akan beroleh hidayah daripada Allah SWT dan sesiapa juga mungkin tergelincir dalam kesesatan.

Sebab itu kita sering mendengar doa yang bersumber daripada hadis riwayat Muslim dan sering dibacakan di atas mimbar Jumaat.

"Sesungguhnya segala puji adalah milik Allah. Kita memuji, memohon pertolongan dan meminta ampunanNya. Kita berlindung kepada Allah dari kejahatan dan keburukan amal perbuatan kita. Siapa yang ditunjuki Allah maka tidak ada yang dapat menyesatkannya. Siapa yang disesatkan Allah maka tidak ada yang dapat menunjukinya."

Subhanallah, bagaimana mungkin seorang insan itu boleh selesa dengan apa yang ada pada dirinya sedangkan tidak ada jaminan bahawa pengakhiran seperti itu. Renunglah al-fatihah yang sering dibaca dalam solat fardu, bukankah tidak jemu kita meminta supaya Allah SWT menunjukkan jalannya yang lurus. Bukankah jalan-jalan orang yang Allah Taala berikan nikmat itu jalan kita. Jalan-jalan mereka yang sesat itu bukan jalan pilihan.

Ramai orang sering menyangka dirinya betul. Hanya muhasabah diri sahaja dapat menembusi keegoaan ini. Sedangkan Firaun sendiri menyangka dirinya benar. Konon Nabi Musa as dan saudaranya Nabi Harun as yang membawa kepada kerosakan.


Dan berkata Fir'aun (kepada pembesar-pembesarnya): "Biarkanlah aku membunuh Musa dan hendaklah ia memohon kepada Tuhannya, karena sesungguhnya aku khawatir dia akan menukar agamamu atau menimbulkan kerusakan di muka bumi." Al-Mukmin,40:26.


Kita berlindung daripada Allah iman yang sering berbolak-balik, diri yang tak terurus, urusan yang sia-sia dan segala macam ujian yang tidak sanggup untuk dipikul.

Insan itu, disaat dirinya terasa jauh daripada cahaya hatinya akan sering menimbulkan gelojak perasaan. "Tenangkanlah daku walau sebentar, kerana jasadmu terlalu letih untuk mencari ketenangan hakiki."

Malang buat mereka yang menyangka maksiat itu menenangkan hati, tetapi sebenarnya menyenangkan nafsu dan menutup kebenaran hati.

Maha suci Allah yang telah memberikan hidayah...






-----------------------------------------------------------------------------------
Penulisan ini adalah hak cipta msrizal.blogspot.com. Sebarang penyiaran semula hendaklah menyertakan sekali alamat blog ini. Terima kasih kerana sudi membaca.

MS Rizal,
32100, Lumut,
2011/1432H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP