Walimatul-Urus Kapt Ahmad Muadz

>> Sunday, May 30, 2010

Kesiapan adalah perpaduan harmonis antara pekerjaan akal, hati, dan anggota tubuh. Tidaklah seseorang dikatakan siap melakukan sesuatu sebelum akal, hati dan anggota tubuhnya menyatakan kesanggupan.-Di Jalan Dakwah Aku Menikah, Cahyadi Takariawan


"Sebenarnya aku dah bertunang semasa Hari Raya hari itu!" Muadz membisik perlahan, kala berkongsi mencubit ayam goreng KFC di dalam bilik kami.

"Uit!!" saya sedikit melatah. Kening saya terangkat sedikit tanda terkejut.

Muadz senyum sahaja, mempamer wajah tenang.

"Dengan siapa?" saya menimbulkan teka-teki.

"Dengan Wan Faridah..." Muadz membalas.

Saya mengendurkan sedikit wajah. "Oh, baguslah. Wan itu pun aku tengok baik orangnya."

dingin,

Dingin air-cond kereta Mohd Faisal sedikit meresap ke segenap kulit. Saya mengusap-usap lengan dengan tujuan memanaskan badan. Saya merenung jauh ke hadapan. Perjalanan kami ke walimatul urus Ahmad Muadz dan zaujahnya di Gemenceh ditemani banyak kereta mengisi lebuh raya. Almaklumlah cuti sekolah, kenduri kahwin berlangsung merata-rata. Sempat juga berpapasan dengan satu-dua kemalangan. Ternyata peringatan tentang kematian itu tetap ada di mana-mana.

Dialog di atas menggamit nostalgia saya beberapa bulan yang lepas. Kala itu saya dan Muadz masih lagi bertitle-kan Pegawai Kadet. Ternyata pertunangan ini amat dirahsia, hanya mereka yang terdekat sahaja mengetahui. Itulah yang lebih baik sebenarnya. Langsung, apabila Ahmad Muadz mengumumkan walimahnya ramai yang melahirkan rasa tidak percaya.

"Nak kahwin? Awalnya? Dengan siapa? Bertunang tidak diberitahu pun?"

Saya dihinggapi persoalan ini kala mengedarkan jemputan walimatulurus beliau. Maaf, jika ada yang terasa hati. Saya menjaga amanah sebenarnya. Sesuai dengan fikrah yang saya pernah nyatakan sebelum ini. Tidaklah digalakkan menghebahkan pertunangan seperti mana perkahwinan. Kerana setiap sesuatu nikmat manusia itu, ada yang mendengkikan. Namun, ianya terletak pada budi bicara keluarga masing-masing sekiranya ada kehendak yang memerlukan.


Hari bersejarah buat teman.

Alhamdulillah, majlis berlangsung sempurna. Majlis ringkas dan sederhana. Dihadiri juga ramai teman-teman. Saya tidak berniat untuk menulis panjang, kerana di sini saya hanya mahu berkongsi gambar. Saya pasti, bagi yang tidak berkesempatan untuk hadir. Gambar-gambar ini bisa menyenangkan kalian.

Selesai majlis akad nikah, cincin disarungkan ke jari. Tanda sedianya zauj memikul amanah membimbing zaujahnya ke arah Redho Allah Taala.


Syurga itu di bawah telapak kaki suami. Senyum dan steadylah Muadz!


Sempat berposing, mahu membenarkan kata syariat bahawa bercinta selepas kahwin itu lebih indah dan manis sebenarnya.


Keluarga Ahmad Muadz. Bro Fadzil(dua dari kanan) buat-buat muka tidak bersalah. "Sori bro, lambat sangat menunggu, adik langkah bendul dululah ye!"-Jangan Marah Akh Fadzil(",)


Kawan-kawan seperjuangan yang sempat hadir menyaksikan berlangsungnya pernikahan.


Sempat membuat rehearseal upacara sword bearer sementara menunggu masuk waktu zuhur.

Pengapit yang Macho!....erk. Kipas laju sikit bro, pengantin dah berpeluh-peluh itu!


Selamat berbahagia Muadz dan Wan!


Antara teman-teman yang hadir memberikan penghormatan kepada x-Best Cadet Army ini.


Sayonara zaman bujang!


Thank You Skuad!


Seri pengantin...

Mini gathering ATMA intake 10.


Kapten Ahmad Muadz bin Ahmad Shuhaili RAMD dan zaujahnya Kapten Wan Faridah binti Omar KJLJ

Diucapkan selamat berbahagia kepada kalian. Ingatlah perkahwinan adalah kontrak sosial yang terkandung ibadah dan harapan umat di dalamnya. Bahawa visi membentuk masyarakat yang mawaddah wa rahmah lahir dari ibadah mulia ini. Semoga kamu dikurniakan zuriat soleh dan solehah yang dilahirkan zaman bagi menyelesaikan masalah umat pada zaman tersebut.


بَارَكَ اللهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْكَمُاَ فِيْ خَيْرٍ

“Semoga Allah memberi berkah kepadamu dan memberkahi (pernikahan)mu, serta mengumpulkan kalian berdua dalam kebaikan.”




MS Rizal,
32100, Lumut,
30 Mei 2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Sentiasalah Memperbaharui Taubat!

>> Saturday, May 22, 2010


Saya memulakan coretan dengan lafaz Bismillahirahman nirrahim...

Usrah berjalan seperti biasa malam itu. Selayaknya berkumpul dan saling bertanya khabar. Bertaaruf lebih dekat dan memulakan sesi-sesi diskusi ilmiah dengan perantara Al-Quran. Usrah mengajar kami matang di dalam beragama. Usrah mencungkil segala potensi yang ada pada diri dan sedia ada. Usrah berlangsung dan hampir berakhir dengan beberapa soalan atau kemusykilan. Sesekali naqib minta disoal untuk diuji, dan sesekali naqib(ketua usrah) bertanya untuk menguji.

"Ada orientalis menyatakan Islam itu tidak patut namanya agama Islam, tetapi agama Muhamaddun. Sama seperti agama Buddist, Christian, Conficius dan lain-lain. Kalau ada orang tanya sebegini pada kamu, apa yang kamu hendak jawab?" tanya Pak Cik Zain kepada kami malam itu.

Diam. Berfikir secara pantas, nafas saya mencucuk-cucuk kotak fikiran supaya mengeluarkan jawapan terbaik. Soalan spontan sebegini memang tujuannya mahu menguji setakat mana pemahaman kami tentang butir-butir usrah pada malam itu.

"Hah, orang yang tak bersuara lagi ini. Jawab!" Pak Cik Zain menghalakan soalan kepada Umar dengan gaya separuh menyergah.

Umar sedikit ralat.

"Soalan ini macam berat sahaja!" ujar Umar meminta simpati untuk dia terus berfikir.

Pak Cik Zain tersenyum, lantas menghalakan soalan kepada saya, Amir dan Fazkhurazi.

"Islam menyuruh kita menyembah Allah, bukan menyembah Nabi Muhammad SAW. Sebab itu agama ini bukan agama Muhamaddun." Amir menjawab tuntas.

Pak Cik Zain mengangguk setuju.


Mencari pintu menuju cahaya

Pintu masuk di dalam Islam adalah melalui kalimah Tauhid 'Laillahaillah, wa Muhammadan Rasulullah'. Ilah bererti menolak segala pengabdian dan sembahan selain Allah. Ilah tidak sekadar bererti menolak untuk menyembah patung berhala, busut, kubur, bintang-bintang, matahari, api atau lain-lain lagi. Ilah juga menolak untuk mengabadikan diri pada manusia, pada harta, pada pangkat. Ilah juga menolak sebarang fahaman yang bertentangan dengan fahaman kebenaran seperti Maximism, Komunism, Sosialis, Nasionalis dan fahaman sekular lainnya.

Tolaklah semua itu, dan gantikan dengan pengabdian diri pada Allah SWT. Kemudian kalimah ini berserta dengan pengakuan bahawa Nabi Muhammad SAW hanyalah pesuruh Allah SWT. Bukan anak tuhan dan bukan juga malaikat. Baginda adalah manusia biasa yang berjalan, menjahit, makan dan minum, pergi ke pasar. Baginda dikurniakan wahyu untuk disampaikan kepada manusia sejagat. Pemandu ke arah kebenaran. Baginda wafat seperti layaknya seorang manusia biasa.

Saya sebenarnya sedikit terbius dengan berita kematian Asaari Muhammad, pelopor gerakan dakwah tradisional Al-Arqam. Kemudian Rufaqa', kemudiannya Global Ikhwan. Kematiannya menepati pihak yang cintakan kebenaran bahawa apa yang diramalkan tentang dirinya sebelum ini adalah suatu kepalsuan. Saya tidak mahu berbincang lebih lanjut tentang perihal arwah. Semoga Allah mengampuni segala dosa-dosanya dan mengasihinya. Saya ucapkan takziah buat keluarganya, semoga Allah Taala memberikan banyak-banyak pahala kepada waris keluarganya atas pemergian beliau.

Bagi yang belum mengetahui lebih lanjut tentang gerakan dakwah yang menjadi fanomena sejak beberapa darsawasa lepas ini, saya cadangkan bacalah tentangnya. Sekurang-kurangnya kita punya sedikit ilmu untuk membalas hujah golongan yang menyimpang. Buku yang paling mengesankan saya adalah hasil tulisan Tuan Zabidi Mohamed bertajuk , 'Al-Arqam, Tersungkur di Pintu Syurga'. Tetapi nasihat saya, jangan baca satu buku sahaja. Itu bias namanya, baca dan terus membaca lain-lain kajian ilmiah oleh yang diterbitkan dari universiti-universiti tempatan.


Cuma, apa yang mencuit hati saya untuk mengulas adalah berkenaan pengikutnya. Beberapa tahun yang lepas, saya pernah berdebat dengan seorang bekas senior saya. Debat kami berlangsung melalui berbalas-balas mesej di dalam laman sosial Friendster. Saya amat sayangkannya kerana dia banyak menasihati saya ketika bersekolah dahulu. Selepas masuk ke dalam universiti, saya lihat dia amat terpengaruh dengan Rufaqa'. Malah album Friendster-nya ketika itu penuh dengan gambar-gambar Asaari. Kami saling berbalas-balas hujah menerusi email, dia tidak mengalah begitu juga saya. Namun apa yang saya amati, hujahnya banyak dipengaruhi sangkaan dan hujah-hujah telahan bukannya fakta. Sehinggalah akhirnya Rufaqa' diumumkan pengharamannya. Namun itu tidaklah membuatkan dia mengalah, malah mempertahankan Asaari Muhammad. Tidak lama selepas itu akaun Friendster-nya ditutup. Semoga Allah Taala menunjukan kita pada jalan yang benar.

Apa yang saya mahu gambarkan di sini adalah betapa kuatnya pengaruh Asaari Muhammad kepada pengikutnya. Peribadi Asyaari sendiri belum tentu dapat dicontohi oleh saya dan rakan-rakan dakwah lain di luar sana. Bagaimana zuhudnya, dan rendah dirinya cukup menawan. Siapa yang tidak terpesona? Dikatakan jika Asaari makan bertalam, dia lebih gemar mengutamakan orang lain. Malah dia akan makan sisa-sia nasi yang tertumpah. Kita pun sendiri tidak tahu di mana terletaknya bahagian keberkatan makananan yang dimakan. Cara Asaari mengumpulkan pengikut-pengkut kuatnya pula, adalah dengan merakam video sesi ceramahnya, bayan atau tazkirah. Kemudian rakaman ini akan ditonton semula. Mana-mana individu yang hadir dan menampakkan kecenderungan dipengaruhi, individu ini akan dicari dan diajak menyertai. Saya fikir-fikir langkah-langkah ini baik untuk dicontohi mana-mana jemaah untuk mencari mad'u(orang yang hendak didakwahkan).

Semalam muncul satu berita, bahawa ada pengikut-pengikutnya yang percaya bahawa Asaari sebenarnya tidak mati. Beliau cuma ghaib! Rohnya akan kembali sebagai pemuda Bani Tamim yang dijanjikan. Seperti bagaimana mereka mempercayai Syeikh Suhaimi yang akan kembali sebagai Imam Mahdi.

Di sini saya kembali meletakkan, jika benar-benar pengikut Asaari mahukan Islam yang sebenar mereka perlu bertanya bagaimanakah mereka masuk ke dalam agama ini? Terlampau taksub pada Ashaari seolah-seolah meletakkan Asaari itu sebahagian daripada kalimah tauhid. Sedangkan agama ini namanya Islam. Bukan Asyaariyun.

Sifat melampau ini benar-benar dibimbangi Nabi Muhammad SAW. Dek kerana itu ketika dalam keadaan nazak sekalipun Baginda sempat berpesan, "Laknat Allah ke atas Yahudi dan Nasrani, mereka menjadikan kubur-kubur Nabi mereka sebagai masjid!"



Agama ini berdiri bukan sebab seorang individu sahaja

Benar, Islam tidak berdiri disebabkan seorang individu sahaja. Kerana itu pentingnya gesaan Jemaah di dalam memandu kebenaran. Sesebuah jemaah yang tulus, tidak hanya mengharapkan seorang sahaja individu untuk meneruskan survivalnya. Lihatlah bagaimana Ikhwanul Muslimin yang bergerak hampir seratus tahun lamanya. Syahidnya Imam Hassan Al-Banna tidak membuatkan jemaah ini berakhir, malah tumbuh lebih ramai perwira-perwira sejati. Malah zaman juga sering menyaksikan. Setiap kali pemimpin tertingginya ditangkap dan dibunuh muncul figure lainnya untuk meneruskan survival kebenaran.

Tepat, jika dikatakan Al-Arqam banyak membawa kebaikan. Jika dilihat secara literal pembangunan secara efektif dari aspek ekonomi, pendidikan, kesihatan dan sebagainya amat-amat positif untuk umat Islam se-Malaysia. Namun ini semua tidak cukup untuk menutup kebobrokan lainnya. Lebih-lebih lagi hal yang bersangkutan akidah. Ianya isu yang cukup serius.

Masih segar lagi dalam buah fikiran kita kisah bagaimana Saidina Abu Bakar menempelak golongan yang tidak dapat menerima kenyataan. Ketika itu hampir tersebarnya cerita bahawa Nabi Muhammad SAW cuma sekadar menghilangkan diri seperti bagaimana kisahnya Nabi Musa as menemui Allah Azzawajjalla di Tur Sina. Umar sendiri mempercayai bahawa Rasulullah SAW tidak akan pergi selagi tidak musnahnya orang-orang munafik.

"Sesiapa yang menyembah Muhammad (SAW) ketahuilah Muhammad telah wafat. Tetapi barangsiapa menyembah Allah maka sesungguhnya Allah Maha Hidup dan tidak mati." Bicara Saidina Abu Bakar sekaligus mengendurkan suasana yang tegang.

Beliau langsung membaca petikan surah Ali-Imran ayat 144.

Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah Jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.


Selepas mendegar ayat ini, langsung Umar terduduk dan tersedarlah dia bahawa Baginda sudah tiada lagi.

Saya amat risau jika ada pihak yang mengambil kesempatan mengatakan Asaari Muhammad tidak meninggal semata-mata demi menjaga kepentingan perniagaan mereka. Keluarga Asaari Muhammad besar, dan mereka makan hasil perusahaan perniagaan jemaah ini. Jika pengikutnya lari, ini boleh menggugah tiang seri pendapatan ekonomi mereka.

Jika ini benar-benar berlaku, maka tidak lain yang saya ingat katakan di sini tertipulah mereka dengan Iblis. Di mana Iblis itu sentiasa menyesatkan manusia melalui berbagai-bagai cara. Sesungguhnya Iblis mempunyai dua cara untuk menyesatkan manusia. Pertama Iblis akan menjadikan maksiat itu terasa indah di mata manusia, sehingga ia jauh dari ketaatan. Kedua, adalah mengajak manusia yang kuat beribadah untuk melakukan ghuluw atau melampau di dalam berbuat ketaatan sehingga rosak agamanya. Lebih dahsyat, akhirnya ghuluw ini berjangkit ke atas sifat buruk lainnya. Ia akan menjadi visa untuk dosa lain menumpang sama.

Tertipu hanya demi menyelamatkan empayar kekayaan. Rasullullah SAW pernah bersabda di dalam satu hadis;

Umatku akan menempuh satu zaman dimana para suami akan dirosakkan oleh isteri dan anaknya. Mereka (kerap) mengejinya kerana kemiskinan. Lalu mereka (para suami) melakukan kerja-kerja jahat sehingga memusnahkan (diri) mereka. -Sumber Tafsir Al-Munir, Juz 28 m/s 289.


Pengikut Asaari yang taksub. Marilah bersama-sama kita bertaubat kepada Allah Azzawajjalla. Jika kamu menyembah Asyaari maka ketahuilah Asyaari telah mati. Tetapi jika kamu menyembah Allah maka ketahuilah Allah Maha Hidup dan tidak mati. Dia sentiasa memerhatikan kita dan melihat segala amal perbuatan kita. Saya berlindung diri kepada Allah SWT atas kejahatan diri saya dan kejahatan amal perbuatan saya.

Wazzakir, Fainna Zikra tanFau'ul Mu'minin...


MS Rizal,
32100, Lumut,
22 Mei 2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

>> Sunday, May 16, 2010

Jika dahulu seorang budak kecil berwajah suci tidak berdosa...

Seorang budak darjah satu yang terpinga-pinga di arah duduk oleh bapanya. Dia langsung duduk mengisar punggung di atas sebuah kerusi kayu yang kurang kukuh. Kerusi yang mengeluarkan bunyi gesekan engsel yang ketara. Jika ditolak kehadapan ianya menurut, jika ditolak kebelakang nescaya boleh terlurut. Ada sebuah meja sebagai pasangan. Ditengah-tengah meja ada alur seperti longkang. Namun itu bukanlah suatu yang menarik perhatiannya. Kerana rasa tidak selesa menyelinap ke segenap pembuluh darahnya, melihat ramai manusia-manusia sebaya yang terkinja-kinja melompat gembira.



Dia agak kaget dengan suasana baru. Dia pernah mendengar tentang sekolah, tetapi tidak pernah membayangkan keadaannya. Dia tidak bertadika, kerana bapanya merasakan itu bukan keutamaan.

"Abah balik dahulu, nanti tengah hari abah datang ambil!" bapanya berpesan sayup-sayup.

Dia hanya memerhatikan bapanya yang berlalu.

Lantas bait-bait lirik indah menusuk sukma fikiran, "Tika berjauhan, masih kurasa hangat kasihmu ayah. Betapa kurindukan redup wajahmu hadir menemani diriku.."

Tanpa disedari butir-butir mutiara hampir keluar dari kelopak matanya. Dia ketakutan sebenarnya.

Tiba-tiba dia disapa oleh seorang wanita. Dia tidak kenal siapa wanita itu, yang pasti wanita itu bukan ibunya. Kerana itu wanita itu tidak berpelat banjar.

"Siapa nama?"

"Shah Rizal.."

"Oh, Shah Rizal. Jangan takut, sini ramai kawan-kawan."

Dia berasa sedikit tenteram selepas merasakan sebuah payung besar sudah turun untuk memberi perlindungan. Sedikit-sedikit rasa gelisah pudar. Dia baru sedar wanita yang pertama kali menegurnya itu mencatat seribu makna dalam hidupnya. Cikgu Khadijah namanya. Seorang guru biasa, yang dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca.

Sewaktu darjah 4, lihat kelas di belakang yang berdinding papan.

Guru-guru sewaktu sekolah rendah, dari kiri; Cikgu Ainon, Cikgu Zubaidah, Cikgu Khushaini, Cikgu Yusuf, Cikgu Aziz, Ustaz Hilmi (Arwah).

Jika dahulu seorang pengawas sekolah yang selalu kalah pertandingan bercerita...

"Shah Rizal, kalau rasa takut-takut. Tengok bawah sahaja, jangan tengok penonton." begitu pesan Ustazah Wan Maziyah kepada dia.

Dia mengangguk-ngangguk faham. Bukan kali pertama dia bercerita di hadapan khalayak ramai. Tahun lepas, sewaktu darjah 5 dirasakan buat pertama kalinya dia mewakili sekolah. Ketika itu baru mengenal makna 'luruh jantung'. Tahun ini dia akan lakukan sebaik mungkin.

Usai pertandingan, pemenang-pemenang diumumkan. Dia hanya mendapat hadiah saguhati.

"Sayangnya Shah Rizal. Awak sudah buat yang terbaik. Tetapi ada yang lagi baik lagi. Tidak mengapa, tiada rezekikan..." Ustazah Wan memberi perangsang.

Dia tersenyum. Bukan kemenangan itu yang menjadi sasarannya. Tetapi sebuah kepercayaan dan galakan. Buat suatu hari nanti dia akan terus fasih bercerita di hadapan khalayak ramai.

Ustazah Wan Maziyah (berjubah hitam) bersama 2 orang guru pelatih.

Hari perpisahan Cikgu Aziah, saya duduk ditengah-tengah (tidak bertali leher)

Jika dahulu seorang pelajar yang nakal dan keras kepala...


"Kenapa ramai-ramai dalam bilik sakit ini?" warden bernama cikgu Isa menyergah tanpa salam pendahuluan seperti lagaknya Karam Singh Walia.

Ada lebih kurang 7 orang pelajar Tingkatan 5 di dalam bilik sakit itu. Semuanya kaget. Habislah... Yang pastinya itu bukan waktu terbaik untuk mereka berkongsi cerita kisah suka dan duka. Kerana waktu itu semua pelajar-pelajar sudah berlepas ke kelas sana untuk memulakan sesi prep petang.

"Kenapa?"

Semua diam membisu. Tiada alasan terbaik untuk menipu. Sudah terang lagi bersuluh cikgu. Kami bukannya gemar menambah dosa dengan menipu.

Wajah cikgu Isa merenung kami membuatkan semua serba salah. Ternyata dia punya aura psikologi yang tinggi. Tidak tahu dari mana dia belajar semua itu. Cikgu Isa diam sebentar tanda berfikir. Hukuman yang setimpal untuk budak-budak degil.

"Kamu berbaris di luar sini, semuanya mencangkung..." arah warden yang bermisai nipis itu.

Kami menurut tanpa banyak soal. Ini bukan tanda kalah perang. Tetapi tanda Panglima garang memanggil askar-askarnya pulang.

"Semua berjalan itik dari sini sampai ke kelas kamu!"

"Ha?!!!" wajah kami kaget penuh kekesalan.

Tingkatan 5 (perangai degil dan nakal masih tidak hilang), Guru kelas; Teacher Haslinda

Semuanya dirintis oleh Guru yang sayangkan anak muridnya...

Andai ada insan selain dari ibu bapaku yang sering bertakhta dalam hati, itulah guru. Tidak kira ianya berketurunan apa atau beragama apa. Dia tetap guru yang tercinta. Adab menghormati guru ini adalah salah satu yang diajar di dalam Islam. Ianya adab yang diwarisi dari para Nabi-Nabi. Bahawa seseorang yang mengajar ilmu itu harus dimuliakan.

Lihatlah pada mahsyurnya kisah Imam Abu Hanifah. Dia bangun menghormati seorang bukan Islam yang berpapasan. Hanyasanya kerana orang itu mengajarnya bagaimana untuk mengenali seekor anjing sudah akil baligh. Imam Abu Hanifah tidak tahu tentang itu. Lalu si bukan Islam itu mengatakan anjing yang kencing berdiri itu menandakan sudah baligh.

Hanya sedikit ilmu seperti itu Imam Abu Hanifah telah mengiktiraf orang itu sebagai gurunya. Apatah lagi guru-guru yang banyak berjasa. Penuh harapan dan impian melihat anak muridnya berjaya. Saya sentiasa melunturkan perasaan dendam jika didenda dengan kalimah dan bisikan kejayaan. Bahawa siapa yang yang berdiri hari ini adalah hasil rencah guru-guru yang mendidik. Cuma pendekatan dan masanya yang sahaja berbeza-beza.

Guruku...
Tak terbalaslah jasamu yang berkorban jiwa raga untuk mendidik anak bangsa.
Guruku...
Engkaulah pelita menerangi hidup ini, semoga dirimu dirahmati Allah selalu.

Hampir tidak terluah isi hati. Mengenang betapa banyak berjasanya impian ini. Setiap detik dan saat, jika saya berpeluang untuk berjumpa mereka dan bertanyakan khabar saya akan lakukan. Baru sahaja tadi saya mengucapkan ungkapan selamat hari guru kepada Cikgu Hairuddin usai solat Isyak di surau. Dia antara guru yang tinggal sekampung dengan saya dan rajin bertanyakan khabar.

Terima kasih guruku.
Saya tinggalkan puisi Dato' Dr Usman Awang sebagai pengakhir kalam.

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
USMAN AWANG 1979




MS Rizal,
32100, Lumut,
2010/1431
Hhttp://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Mutiara berharga pada diri

>> Friday, May 7, 2010

"Nama-nama yang disebutkan ini, sila keluar untuk membuat rawatan gigi!" umum seorang jururawat dari luar bilik darjah Tingkatan 5 ES.

"Alamak, nama aku mesti kena ini!" saya merungut sendirian sambil menyiku rakan di sebelah bagi meraih perhatian.

Situasi yang saya tidak berapa gemar semenjak di bangku sekolah rendah lagi.

"...Mohd Shah Rizal!!!"

Memang sah kali ini nama saya dipanggil. Sekelompok individu yang dipanggil, pasti ada nama saya terselit di dalamnya. Saya individu yang takutkan kerusi bersandar yang dilengkapi bunyi-bunyi yang pelik itu. Juga saya tidak sukakan peralatan besi yang pelbagai milik doktor gigi. Bagi saya semuanya menyakitkan. Jika boleh bersembunyi di bawah meja, saya akan melakukannya. Mujur bukan di sekolah rendah lagi. Untuk itu saya akur dan menurut permintaan...



Mesra-mesrakan diri dengan doktor gigi

Sempitnya pengetahuan saya tentang rawatan gigi membuatkan perkataan dental itu seolah-olah fobia bagi saya. Saya hanya akan 'menyerah diri' jika keadaan benar-benar genting dan terpaksa seperti sakit gigi yang tidak dapat ditahan. Perkara ini berlanjutan sehingga awal-awal pengajian di Universiti. Hal ini sebenarnya tidak dialami oleh saya seorang sahaja. Malah turut dikongsi oleh rakan-rakan sekeliling. Umur sudah boleh diperah menghasilkan minyak kelapa, tetapi masih takut untuk berjumpa dengan doktor. Kesilapan besar apabila memusuhi perkara yang tidak disukai. Perangai masih ditakuk mentaliti kanak-kanak.

Tahap kesedaran rawatan pergigian bagi rakyat Malaysia amat rendah. Kajian mendapati, sembilan daripada 10 rakyat negara ini mengalami masalah gigi berlubang — menandakan tahap kesedaran masyarakat terhadap penjagaan gigi masih rendah. Disamping takut untuk berjumpa doktor gigi, ramai dikalangan rakyat ambil enteng soal kebersihan gigi. Purata rakyat Malaysia menukar berus giginya adalah 1.3 kali setahun. Sedangkan jumlah minimum adalah 4 kali setahun. Iaitu kira-kira 2 hingga 3 bulan sekali. Terdapat 4 perkara penting dalam penjagaan gigi.

Empat perkara penting tersebut ialah menggosok gigi dua kali sehari, pembersihan antara gigi dengan flos atau pembersihan antara pergigian setiap hari. Juga makan makanan seimbang dan mengehadkan makanan ringan. Dan terakhir sekali sentiasa berjumpa doktor gigi untuk pemeriksaan penjagaan kesihatan mulut.

Pentingnya penjagaan gigi ini sebenarnya selari dengan ajaran Islam yang sukakan kebersihan. Malah ada hadis Nabi SAW yang menggesa umatnya untuk bersugi sebelum menunaikan solat.

Dari Abu Hurairah r.a.: “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Kalaulah tidak kerana menyusahkan umatku nescaya aku akan memerintah mereka untuk bersugi ketika mahu mengerjakan solat”. Pada riwayat Imam Bukhari: “sewaktu hendak melakukan solat”.


Bayangkan seorang yang bersolat minimum 5 kali sehari, akan sentiasa membersihkan giginya 5 kali sehari. Ini sudah melebihi dari nasihat saya di atas. Hasilnya pasti bersih bukan?


Kesedaran itu timbul apabila mula menginjak dewasa

Saya sebenarnya baru selesai membuang 3 gigi geraham bongsu yang tumbuh tidak sempurna. Itupun selepas sedar dan membuat sedikit kajian di internet barulah saya menyerah diri kepada doktor.

Di dalam bahasa Inggeris gigi geraham bongsu ini juga dikenali sebagai wisdom tooth atau third molar. Geraham yang terakhir tumbuh ditempat yang tidak disediakan untuknya. Akibatnya, gigi ini akan bersesak-sesak dengan gigi geraham kedua. Ada yang tumbuh elok, alhamdulillah. Tetapi ramai individu yang geraham bongsunya tumbuh dengan tidak sempurna. Kebiasaan untuk gigi ini tumbuh adalah dalam sekitar umur 17-25 tahun.

Gigi geraham bongsu di sebelah kanan saya tumbuh menyerong. Gigi ini tiada pasangan di atas. Tumbuh secara horizontol.

Gigi geraham bongsu di sebelah kiri, tumbuh keluar. Begitu juga dengan pasangannya di atas. Ianya tumbuh secara Partial Eruption. Ianya nampak normal tetapi mendatangkan masalah juga. Saya membuat keputusan untuk mencabutnya. Gambarajah seperti di bawah:


Bagi mengetahui dengan lebih lanjut, bolehlah menggunakan enjin carian google. Antara sebab saya menulisnya di sini, adalah kerana ramai yang tidak tahu apa itu gigi bongsu dan masalah yang akan dihadapinya. Ini semua disebabkan kesedaran gigi yang kurang. Ada di antara rakan-rakan saya yang baru sedar akan masalah ini selepas saya bercerita. Ada yang 4 tahun menanggung derita kerana takut untuk berjumpa doktor. Ingat, mencabut gigi ini setelah berlakunya impaction lebih mendatangkan kesakitan! Justeru dinasihatkan mesra-mesrakan diri berjumpa doktor gigi. Jangan risau peralatan kini sudah moden dan tidak akan berasa sakit lagi. Setiap insan punya mutiara di dalam mulutnya. Jagalah ia dengan sebaik mungkin.

p/s: Seronok rasanya melihat secara live pisau dimasukkan di dalam mulut. Ditambah cubaan beberapa kali doktor gigi menjahit gusi saya. Gagal dan cuba lagi. Malah saya dibius hampir 5 pusingan. Setiap pusingan 3 kali bius. Kesemuanya itu tidak menyakitkan, percayalah! Insya-Allah.



MS Rizal,
32100, Lumut,
2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Jahiliah purba yang diputar di alam moden

>> Thursday, May 6, 2010

Ada tiga topik 'sengal' yang rata-rata rakyat Malaysia suka membaca, membangkitkan dan membicarakan tentangnya.

Seks(Lucah), Politik(selak menyelak) dan Mistik!

Ini bukan tembakan kosong. Ini fakta.
Contohnya, cuba kita perhatikan bacaan tertinggi yang terdapat di dalam rating Utusan Online. Seringkali bicara yang berkisar soal seks itu mendapat kedudukan yang tertinggi. Jika ada pun ianya akan diselang-seli dengan soal politik selak menyelak keaiban individu dan berita-berita terpencil lainnya.

Saya tolak isu seks yang dilucahkan dan politik(carca merba). Di dalam siri ini saya mahu membicarakan tentang mistik dan hantu.

Isu yang diam-diam ubi, tetapi masih utuh dan bertahan sehingga kini. Buktinya, drama dan filem yang memaparkan bahan ini sering mendapat tempat di hati peminat. Malahan majalah seperti Mastika terpaksa melakukan penjenamaan semula untuk mengelak daripada majalah ini berkubur seperti rakan-rakan majalah lainnya. Cuba baca majalah Mastika zaman 80'an dahulu berbanding zaman sekarang. Berbeza sama sekali...




Perspektif kamu tentang hantu?

Percaya atau tidak tentang hantu, ianya dinilai secara berbeza-beza mengikut latar belakang seseorang. Bagi seseorang yang tinggal di bandar, soal hantu bukanlah sesuatu yang boleh mengancam ketenteraman hidupnya. Hantu dan kutu jalanan. Kutu jalanan lebih merbahaya.

Tetapi, keadaan ini mungkin berbeza sama sekali dengan masyarakat luar bandar. Rumah yang sepelaung jauh, ditambah pula dengan pagar semak samun dan sebagainya mengundang berbagai persepsi di hati.

Mungkin pembaca budiman selalu melihat drama melayu tentang budak-budak balik mengaji yang sering diganggu hantu. Dugaan paling besar adalah untuk melalui jalan-jalan yang punya pokok besar. Disitulah kebiasaan sering diganggu.

Saya mungkin sudah lali dengan keadaan seperti ini semasa proses membesar dahulu. Rumah kampung yang disewa berada di hujung jalan. Keadaan gelap tanpa limpahan cahaya. Ditambah dengan basikal yang tidak berlampu. Sukar menggambarkan keadaan sewaku itu. Saya dilatih dalam keadaan terpaksa bahawa mempercayai dan takutkan hantu hanya menyusahkan diri. Kelak hendak melakukan sesuatu pun semuanya tidak jadi. Tepis dan buang perasaan takut, begitulah mungkin cara menguji keberanian diri.


Setiap orang jahil percaya kepada hantunya masing-masing.

"Eh, kenapa mereka berkumpul beramai-ramai itu?" saya bertanya kepada seorang kawan.

"Oh, mereka tengah bercerita hantu." jawab kawan tersebut.

Saya merapat, mendengar bait-bait bicara si tukang penglipur lara. Aduh, malang sungguh orang ini. Berdusta untuk meraih simpati. Cukuplahh saya mendengar sedikit, penuh tokok tambah dan perasaan yang keliru. Saya tidak mengatakan bahawa saya tidak percayakan hal-hal ghaib. Malahan jin itu adalah sesuatu yang pasti yang disebut di dalam Al-Quran. Tetapi meyakini jin itu bukan sesuatu yang termasuk di dalam rukun iman.

Kelakar mungkin bagi manusia untuk takut kepada jin(baca hantu). Ada yang menyebut sebagai roh. Bukan roh, tetapi jin. Kerana roh tidak dapat kembali ke bumi setelah mati. Ada dinding yang menahan mereka untuk berinteraksi dengan alam dunia.

(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata: "Ya Tuhanku kembalikanlah aku (ke dunia) agar aku berbuat amal yang saleh terhadap yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya saja. Dan di hadapan mereka ada 'dinding' sampal hari mereka dibangkitkan. Al Mu'minuun, ayat 99-100
Dinding yang dimaksudkan di sini adalah keterbatasan dan penghadang untuk roh-roh berinteraksi dengan makhluk di bumi. Kerana setelah matinya seseorang anak Adam itu dia sudah menempuh alam baru di kubur. Saya juga biasa mendengar, kata-kata orang tua bahawa setiap malam jumaat dan malam hari raya roh-roh akan kembali ke rumah masing-masing untuk melihat anak-anak cucunya. Kepercayaan seperti ini karut dan tidak berasas sama sekali.

Jika difikir logik, orang Melayu takutkan hantu bungkus, hantu raya, pelesit, penanggal dan sebagainya. Tetapi jika ditanya, adakah mereka takut pada hantu cina, alah hantu-hantu yang lompat-lompat itu. Sudah tentu tidak. Cuba pula bertanyakan orang cina, mereka tidak takutkan hantu raya, hantu bungkus dan sebagainya sebab hantu itu bukan hantu cina. Lihat, ini semua persepsi dan perasaan yang keliru.


Kamu makhluk Allah yang power!


"Manusia dan jin mana lebih power?" saya bertanya pada adik-adik saya.

"Jin!"

"Manusia!"

Pelbagai jawapan yang kurang pasti.

"Manusia lagi power. Kerana manusia ini dilantik sebagai khalifah di muka bumi." Jawab saya.

Lihatlah apabila Nabi Sulaiman as memberikan tawaran kepada jin dan manusia bagi memindahkan istana permaisuri Balqis. Lalu muncullah jin ifrit yang cerdik menawarkan diri.

"Aku akan datang kepadamu dengan membawa singgsana itu kepadamu sebelum kamu berdiri dari tempat dudukmu; sesungguhnya aku benar-benar kuat untuk membawanya lagi dapat dipercaya." kata Ifrit.

Tetapi muncul pula seorang manusia menawarkan diri.

"Aku akan membawa singgasana itu kepadamu sebelum matamu berkedip."

Lihat kehebatan manusia? Lebih hebat berbanding jin.

Malah jika perasaan takut masih lagi menjelma. Cuba fikirkan tentang makhluk hebat lain yang bergerak sepantas cahaya; itulah malaikat. Dalam salah satu kuliah Ustaz Ismail Kamus ada menyebut bahawa nisbah bilangan malaikat, manusia dan jin boleh dibahagikan kepada 90: 9: 1. Lihat berapa ramai malaikat berbanding jin dan manusia? Setiap kali ada syaitan yang menghasut, ada juga malaikat yang menasihat dan mendoakan kebaikan manusia.


Bersederhana itu lebih baik

Bukankah semua ini mudah sahaja ditidakkan dengan banyaknya kita mengingati mati? Inilah mungkin akibat terlalu banyak memenuhi masa dengan perkara-perkara yang lagho.

Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:
Sebahagian daripada keelokan seorang mukmin ialah meninggalkan apa yang tidak berfaedah baginya.
(Hadis ke-12 dipetik dari hadis 40 Imam Nawawi. Hadis ini Hadis Hasan, diriwayatkan oleh al-Tarmizi dan lain-lain sedemikian.)


Hujah-hujah di atas saya pakai hanya untuk mereka yang tidak faham konsep islam, iman dan ihsan. Jika seseorang yang sudah faham makna sebenar ihsan, tiada perasaan lain yang ditakutinya melainkan Allah Azzawajjala. Rugilah orang yang telah disesatkan syaitan kerana kejahilan dirinya sendiri. Ada orang yang mengaku diberi ilmu tetapi keliru dan tersasar dalam benteng-benteng jahiliah. Malah kepercayaan terlebih pada kuasa selain dari Allah boleh membawa maksud kurafat dan syirik.

Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan (sesuatu) dengan Dia, dan dia mengampuni dosa yang selain syirik bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya. An Nisaa' ayat 116.



MS Rizal,
32100, Lumut,
2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Bingkisan bernama hati


Dahulu ibuku pernah bertanya, "Sudah besar nanti mahu jadi apa ya, Abang?"

Saya menggeleng tidak tahu, "Aku mahu jadi askar, mahu jadi pelukis, kartunis, mahu jadi pemain bola atau paling kurang Pak Guard yang berjaga di sebuah kilang besar."

Saya merenung ufuk langit yang cerah tanpa awan. Awan hitam yang tadinya melingkar memberi amaran hilang begitu sahaja. Beginilah keadaan tempat berhampiran laut mungkin. Angin laut selalu sahaja menidakkan suasana mahu hujan. Dan suasana kembali hangat dengan selembar ingatan di minda.

"Ibu, andai dapat aku kembali ke zaman itu. Aku akan katakan padamu, bahawa aku tidak mahu jadi semua itu. Bahkan mungkin lebih daripada itu seperti yang cikgu aku pernah impikan dahulu. Tetapi aku mahu menjadi menjadi air mutlak. Ianya suci lagi menyucikan. Aku mahu jadi baik dan membaiki manusia menjadi baik. Aku mahu jadi ejen syurga Allah. Merayu dan mempromosikan kepada manusia-manusia bahawa carilah apa yang ditetapkan Allah SWT. Tiada lain yang aku harapkan melain keampunan Dia. Tiada lain yang aku harapkan dalam penitian hidup ini melainkan redho-Nya."


Meniti hari esok yang mendatang.

Malang sungguh sifatnya insan. Mudah sahaja dia melupakan diri yang sebenar. Malah, sudah diberi waktu selama 24 jam, tiada masa walau sedetik pun mungkin untuk mengenali diri sendiri. Lupa tentang dosa dan noda yang meniti bibirnya sehari-hari. Lupa tentang berapa ramai mereka yang disakiti hati. Lupa tentang, amal yang tidak padan dengan umur yang diberi. Lupa dan keliru dengan apa yang patut dilakukannya sekarang dan akan datang.

Diri yang lelah dengan mabuk arus dunia terus melupakan apa yang sudah dicoret dengan jalan-jalan indah bertuhan. Jalan-jalan inilah yang diikuti bersama mereka yag di sebut di dalam penhujung surah Al-Fatihah. Iaitu orang-orang yang mereka ini Allah Taala telah beri nikmat. Nikmat itu bukanlah sesuatu yang kita sangka berupa kesenangan dan kemewahan dunia. Tetapi itulah nikmat berbuat ketaatan. Ya, ketaatan itulah sebenarnya kemulian dan kenikmatan yang Allah Taala beri. Bukan selain daripada apa yang kita fikirkan. Tetapi jika Allah Taala mahu menghinakan seseorang manusia itu, maka seseorang itu akan berbuat kemaksiatan.

Inilah yang dirakam di dalam sebuah hadis Qudsi, dimana Allah Taala berfirman;

"Sesungguhnya Aku tidak memuliakan manusia dengan banyaknya harta dunia dan Aku tidak menghina orang yang aku hinakan itu dengan sedikit hartanya. Tetapi Aku memuliakan seseorang dengan ketaatan dia pada-Ku. Dan Aku hinakan seseorang itu dengan dia berbuat maksiat kepada-Ku." sumber Tafsir al-munir.


Sukar mungkin untuk menterjemah apa yang dinamakan hasil di dalam beribadah. Fikir-fikir jika banyak beribadah malah dengan kekerapan bersolat dhuha, ianya mampu membuatkan diri lebih kaya. Bagaimana pula jika bersolat dhuha tetapi semakin miskin pula?

Semuanya tidak dapat dijawab dengan logik jika dipandang dari kaca mata material. Kerana iman itu adalah sesuatu yang tersemat di qalbu, terungkap di bibir dan terzahir melalui perbuatan. Jika Allah Taala menakdirkan kesukaran, maka iman akan menjawab itulah suatu nikmat bagi menguji kekuatan. Bahkan dengan jika berjaya lepas dari ujian ini, diri akan semakin kuat dan iman akan makin mapan.


Berhiburlah sementara usia masih muda

Sementara usia masih muda, berhiburlah. Kelak jika tua menjengah tiada larat lagi untuk berhibur. Sementara usia masih muda, bergembiralah. Nanti ketika tua, semakin banyak beban di pundak untuk dibela.

Tetapi jangan salah anggap apa yang saya katakan berhibur di sini. Berhibur dalam definasi iman. Berhibur untuk mencari kerehatan fikiran. Seperti mana terhiburnya Nabi SAW dengan solat, lalu menggesa Bilal untuk melaungkan azan dan iqamat.

""Ya Bilal! Akim as-salah wa arihna biha-Wahai Bilal, rehatkanlah kami dengan solat!"

Pengertian sebegini sukar dimengerti bagi sesiapa yang tidak cuba memahami. Solat itu tidak berat, tetapi amat ringan. Malah ianya seolah-olah gandar yang meringakan beban. Buang segala keraguan dan cangkuk-cangkuk yang menghalang untuk keringanan ini direalisasikan. Biarpun ianya berupa kawan karib, ajak mereka. Jika tidak mahu tangkis sebelum kita tertarik sama.

Jangan menangkis untuk terus bergembira tanpa ada sedikit pun rasa bersalah di dalam jiwa. Kerana sia-sialah manusia yang panjang umur tetapi buruk amalannya.



MS Rizal,
32100, Lumut,
2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP