Anak burung ingin terbang tinggi

>> Sunday, October 25, 2009

Padang di sebelah tadika itu menggamit nostalgia saya.

Nostalgia sakti memoir zaman kanak-kanak namanya.

Masih tidak banyak berubah fizikal padang ini, cuma yang lainnya ianya tidak semeriah dulu. Tiada lagi kanak-kanak yang sudi bermain, hairan kemana agaknya generasi selepas itu pergi. Sudah pupuskah generasi kanak-kanak di kampung ini?

Saya mengira-ngira pohon kelapa yang hidup subur di lapangan datar ini. Tanahnya walaupun sedikit beralun-alun, tetapi masih bisa dijadikan gelanggang 'budak-budak jin' bertendang. Di sinilah medan saksi bakat-bakat kami terserlah. Jika bermain layang-layang, layang-layang siapakah yang paling tinggi bergayutan.

"Kalau mahu, sehingga ke bulan ku bisa menerbangkannya," angan-anganku bersuara.

Jika bermain gasing, jangan bawa gasing yang baru dibeli di kedai to'ki dengan harga 50 sen bersama-sama. Nanti risau ada yang menangis melihat gasingnya terbelah dua tidak bernyawa.
Antara beramai-ramai mungkin Nasri yang paling handal, gasingnya berdengung nyaring. Tanda sepenuh kudrat dialihkan ke atas gasing itu kala melontar. Awas, sesiapa yang mengorbankan gasing putih melepak, pasti kotor dan berlubang hasil ketajaman paku yang menidak.

"P&@%@#!...." Terkumat-kamit mulut Ehsan berjampi serapah. Risau mungkin gasingnya menjadi mangsa kala itu.

Lalu beralih gantilah musim permainan, jika mahu bermain hoki...pelepah kelapa dibuat kayunya, bola getah menjadi bahan rebutannya.
Jika mahu bermain bola sepak, mungkin jurulatih paling handal di daerah Kinta buntu dibuatnya. Kerana masing-masing gemar menggelecek dan tidak pandai untuk menghantar bola.
Disebabkan 'kebebalan' inilah pasukan bola kampung kami sering kalah berlawan dengan kampung padang pasir. Kampung jiran yang kanak-kanaknya punya basikal berhandle virago.


Curi Ayam

Maka untuk melanjutkan kejahilan kami bahawa kerjasama tidak penting dalam pasukan bola, kami tidak langusng membahagikan pasukan. Kesemuanya mewakili diri masing-masing. Pohon-pohon subur kelapa itulah menjadi tiang golnya. Cuma tiang...tanpa palang!! Sesiapa yang menjaringkan gol melambung tinggi, ala-ala sukan rugbi pun masih boleh dikira.

Penjaga gawang bukan calang-calang. Sesiapa yang menjaringkan gol dialah yang layak menyandang posisi. Tiada garisan keluar, geleceklah sesuka hati..ke jalan raya..dalam semak-samun..kami tidak peduli. Kami menamakan permainan ini sebagai SGDK-'Siapa Gol Dia Keeper'...

Namun setiap rencana pasti ada pengkhianatnya. Penat-penat Salleh si penggelecek paling pintar berhempas pulas, Jefri hanya menunggu di hadapan gawang. Cuma perlukan sedikit tipu helah, dia merampas bola dengan mudah. Lantas menendang ala-ala Pele yang menghabiskan baki usia senja, dan gol pun tercipta. Inilah 'curi ayam' namanya. Tidak puas hati?...Tiada siapa mempertikai, kerana masing-masing bergilir-gilir mencuri ayam juga. Lembu punya susu, sapi dapat nama.

Saya termenung sebentar...Melontar pandangan di sebalik pelepah-pelepah pohon kelapa yang meliuk lintuk ditiup angin. Curi ayam begini mungkin tidak seburuk yang termaktub di dalam sejarah. Penat-penat ulama'-ulama' bangun memperjuangkan kemerdekaan negara..akhirnya golongan feudal dan pro-British dapat nama. Hasilnya, generasi sekarang tidak tahu apa erti merdeka. Tidak tahu bagaimana mahu menyambut dan beristiqomah dalam mengekalkannya...

Zaman menyaksikan berbolak-baliknya pendirian manusia...

MS Rizal,
57000, Kuala Lumpur,
25 Oktober 2009/6 Zulkaedah 1430H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP