Aku dan kamu sama-sama mencorak pelangi

>> Sunday, July 19, 2009

"Hah, 'bergayut' !" sergah Fairul secara tiba-tiba dari pintu bilik.

Ketika itu saya sedang asyik berbual melalui telefon bimbit. Saya hanya menunjukkan reaksi selamba, sambil meneruskan perbualan.

"Mak aku la!" saya separuh menjerit.

Begitulah lazimnya jika saya berbual panjang melalui telefon. Saya lebih senang untuk berbual dengan ibu berbanding ayah saya. Ini mungkin disebabkan komunikasi saya dengan ayah lebih banyak bersifat verbal. Lazimnya ibu saya akan mengetahui dahulu apa sahaja yang berkaitan dengan anak-anaknya. Ayah hanya perlu mencungkil segalanya dari ibu sahaja.

Topik yang paling saya gemar bualkan dengan ibu adalah perihal adik beradik. Saya lebih gemar bertanya khabar mereka melalui ibu. Beruntung sungguh rasanya dikurniakan adik-beradik yang ramai. Tidaklah seramai mana, cuma 6 orang semuanya.

Saya anak kedua daripada 6 beradik yang terdiri daripada 2 Lelaki 4 Perempuan. Kakak saya lulusan diploma Kej. Awam Politeknik Ungku Omar. Sekarang dia sudah berkerja. Adik perempuan saya sedang berjuang di dalam pengajian ijazah Kej. Awam di Uitm Shah Alam. Adik ke-4 berada di tingkatan 3, adik ke-5 berada di darjah 6 dan adik lelaki bongsu sedang berada di darjah 4.

Saya sebenarnya lebih menumpukan hal adik-adik saya yang sedang bersekolah. Ini mungkin disebabkan jarak perbezaan umur saya dengan mereka yang besar. Saya menjadi saksi ketika mereka masih di dalam perut ibu lagi. Merekalah motivasi dan inspirasi segar saya. Kejayaan mereka walaupun sedikit sudah cukup membuatkan saya gembira.





Apa yang saya tekankan kepada adik-adik saya ini?

Satu konsep yang saya pegang berkisar dakwah. Jika mahu memulakannya, mulakanlah dengan keluarga dahulu. Dan jika sudah mula berdakwah, mad'u perlu diambil berat sepenuhnya. Rutinnya jika saya pulang bercuti di rumah, saya akan memantau prestasi mereka. Nasihat dan motivasi akan saya berikan untuk memberikan hasil yang terbaik. Justeru, ketegasan itu penting di dalam beberapa perkara. Antaranya:


Pertama, ketegasan mendirikan solat.

Selalunya adik-adik perempuan saya ringan dalam menunaikan solat. Ianya tiada masalah. Cuma adik bongsu saya sedikit bermasalah pada awalnya. Oleh itu di awal darjah persekolahnya saya sering memaksanya untuk membiasakan diri dengan surau. Berjemaah Maghrib dan Isyak itu wajib di surau. Bangun awal untuk solat subuh dan perlu solat pada awal waktu.

Ketika awal permulaan untuk mengajarnya bangun subuh, ianya benar-benar menguji kesabaran saya. Lalu saya mengambil langkah paksaan. Lalu, adalah makhluk yang tersedu-sedu menangis di dalam solat akibat ditarik ke tikar solat pada pagi itu.

Tetapi langkah paksaan boleh mendatangkan impak yang negatif, solatnya nanti tidak ikhlas dan hanya berlakon di hadapan sahaja. Oleh sebab itu saya perlu memberi nasihat kenapa kita perlu bersolat dan kenikmatan dalam mengerjakannya. Lama-kelamaan ianya sudah menjadi rutin biasa baginya. Malah kadang-kadang dia yang mengejutkan saya untuk bersolat subuh di surau.

"Abang..abang..bangun dah azan!" adik saya mencuit-cuit badan saya.

Berbunga sungguh hati ketika itu...


Kedua, usrah keluarga.

Saya bertekad untuk mendedahkan adik-adik saya dengan usrah atau halaqah. Di awal pembawakan halaqah, saya banyak bermain logik dan perbincangan tahap pengukuhan akidah. Diwaktu ini juga saya akan memperbetulkan bacaan Al-Quran masing-masing dan menerangkan terjemahannya. Setelah membuatnya untuk beberapa sesi saya rasa ianya menyumbang sedikit sebanyak kekeliruan mereka dengan agama ini. Di waktu ini juga saya jadikan medan untuk melatih mereka bertazkirah. Saya akan meminta setiap seorang cuba bertazkirah. Memang pada awalnya semua menarik muka malu, tetapi lama kelamaan ianya boleh menjadi perkara yang enteng dan seronok pula.

"Ela nak cerita tentang kisah Nabi Muhammad macam ustazah cerita di sekolah.." bicara adik saya yang sedang berada di darjah 6.

Saya tersenyum tanda meraikan...alhamdulillah.


Ketiga, aurat.

Aurat adalah perkara yang dianggap ringan tetapi besar kesan dan akibatnya. Saya percaya, masalah sosial yang serius di kalangan masyarakat banyak di dorong oleh aspek ini. Tanggungjawab untuk memastikan hal ini dijaga haruslah dipikul sepenuhnya oleh kaum lelaki. Kerana pendedahan aurat wanita lebih besar mudaratnya berbanding lelaki. Para suami hendaklah memastikan isterinya menutup aurat dengan sempurna. Anak lelaki hendaklah memastikan ibu dan adik-beradik perempuannya menutup aurat dengan sempurna.

Jika ditanya sesetengah wanita, adakah dia sudah menutup aurat dengan sempurna atau tidak? Pasti ramai yang mengaku, "ya!". Tetapi jika disuruh bersolat dengan pakaian sedemikian ada, kenapa berasa was-was pula alasannya? Bukankah itu menandakan aurat masih lagi tidak ditutup sempurna?

Cara saya menilai seseorang wanita yang menitik beratkan penjagaan auratnya adalah hanya melihat kepada kakinya sahaja. Lazimnya kebanyakan wanita tidak gemar berstoking jika memakai kasut atau selipar casual. Apa salahnya jika memakai stoking? Inilah yang saya titik beratkan kepada adik perempuan. Malah adakalanya saya tidak segan untuk bertanya perkara yang lebih detail daripada itu.

"Acu pergi sekolah, Acu pakai kain dalam tak?"

Jangan beri peluang untuk bentuk badan wanita dapat diterjemah. Kerana pandangan lelaki miang selalunya menembusi pakaian wanita yang diperhatikannya. Saya tidak rela adik saya menjadi salah seorang mangsanya.

----------------

Benarlah kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Untuk membentuk anak-anak hendaklah sedari mereka kecil lagi. Keluarga saya tidaklah sesempurna mana dan banyak kelemahannya. Namun usaha untuk menjadikanya keluarga sakinah adalah perlu walaupun usaha yang dilakukan amat sedikit dan terhad. Sekurang-kurangnya ianya adalah pendedahan yang berguna sebelum saya menerima tanggungjawab isteri dan anak-anak nanti.

"Seorang yang mendidik anaknya (dengan baik) adalah lebih baik dari bersedekah dengan secupak". (Diriwayatkan oleh Al-Tirmizi).




MS Rizal,
57000, Kuala Lumpur,
18 Julai 2009/26 Rejab 1430H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP