Dimana bumi yang terpijak..

>> Sunday, June 28, 2009

Dalam perjalanan ini,
menuju ke destinasi,
pelbagai lebuhraya dilalui..

Saya kunci lirik lagu yang dinyanyikan penyanyi bersuara serak-serak basah, Rahmat. Definisi perjalanan hidup ini bukanlah lurus seperti yang disangka. Tidak terlalu mudah dan tidak juga terlalu susah. Allah memberikan ujian yang setimpal dengan kehendak dan keadaan iman kita. Baik dan buruk keadaan terpulang pada diri untuk menukarkannya menjadi kebaikan.

Sepuluh jari kususun buat rakan-rakan yang bertanya khabar berita. Terutamanya message offline di Yahoo Massenger yang tidak berjawab. Saya bukan menyepi, tetapi saya di dalam proses transformasi. Setelah selesai semester terakhir saya sekarang berada di dalam fasa latihan ketenteraan akhir. Dimana ianya juga punya jam kredit untuk memenuhi kelayakan menyandang jawatan Pegawai Tentera.


Menjadi orang bersyukur

Alhamdulillah, saya tidaklah mendefinasikan diri sebagai orang yang sangat beruntung kerana terus mempunyai pekerjaan apabila telah selesai belajar. Pelajar ijazah tetap pelajar ijazah. Sememangnya keperluan yang diperlukan amat tinggi. Jangkaannya mungkin melebihi apa yang ada pada kemampuan diri. Proses belajar itu tidak berhenti setakat di sini. Selagi mana nafas terus dikerah selagi itulah proses ini terus berjalan dan mengarah.

Mungkin ada sesetengah rakan saya menganggap saya amat mewah di sini. Segala segi dibiayai. Dari yuran pelajaran yang percuma, rumah, elektrik, air dan diberi gaji tidak lebih RM 1500.00 sebulan membuatkan hidup saya mewah sebagai status seorang pelajar. Tetapi tidak, wahai kawan harganya yang dibayar untuk itu juga setimpal. Saya tidak sebebas anda di luar sana. Hidup saya berjadual. Sifirnya dari bangkit tidur hinggalah kembali semula ke tempat tidur. Tidak bebas untuk keluar masuk, ada baik dan buruknya...

"Kamu ini macam kena peram tinggal di dalam sini!" ujar Ustaz Maszlee Malik dalam nada bergurau kepada kami suatu ketika dahulu.

Saya rimas dengan semua ini? Tidak sama sekali. Allah itu Maha Adil, saya diberi susah dari segi yang lain dan kesenangan dari segi yang lain.


Gambar dengan rakan sekelas, selepas habis exam terakhir.


Tahniah buat adik-adik yang berjaya

Semalam adalah hari penutup Latihan Fasa Induksi buat adik-adik pengambilan baru lepasan SPM 2008. Latihan ini berjalan selama 6 minggu sebagai orientasi bagi mengubah budaya hidup awam kepada budaya hidup tentera di dalam diri setiap pelajar baru. Tahniah saya ucapkan buat mereka yang berkenaan.

Pengambilan tahun ini amat terhad. Jumlahnya hanya 247 orang. Ada yang mengundur diri diseparuh jalan kerana tidak tahan dengan tekanan dan tidak biasa dengan keadaan. Mungkin juga ramai yang kembali menimbang tawaran lumayan lain seperti program tajaan luar negara, Univ. teknologi petronas dan sebagainya. Tetapi itu lumrah setiap tahun pelajar yang datang ke sini. Tekadkan azam. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.

Bagi saya, sesiapa yang masuk di sini kerana tertarik dengan imbuhan gaji. Baik lupakan sahaja, kerana ini bukan tempat yang sesuai untuk bermewah-mewah dengannya. Saya katakan seperti ini kerana tertarik dengan beberapa pandangan yang cuba menilai UPNM daripada luar.

Ingat, saya datang kesini dahulu dengan tidak ada tarikan langsung pada ganjaran wang. Malah saya tidak tahu langsung ianya selumayan ini. Minat yang mendalam mungkin membuatkan saya bertahan. Insyaallah, dihujungnya nanti pasti kita nampak hikmah dan kebaikan. Di mana ianya bersebab, mengapa Allah Taala memilih kita untuk menjadi sebahagian aset tulang belakang negara ini.




MS Rizal,
57000, Kuala Lumpur,
28 Jun 2009/1430H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Dr. Fathi Yakan di dalam kenangan...

>> Sunday, June 14, 2009

'Islam, apabila ia menekankan supaya para pemuda melaksanakan matlamatnya yang menginginkan perubahan. Ianya bukanlah bererti menyerahkan tugas itu kepada mana-mana generasi tanpa punya ciri-ciri khas. Tetapi hendaklah dipastikan bahkan dituntut supaya generasi itu mempunyai ciri-ciri Islam, berpegang teguh dengan prinsip-prinsip Islam dan berkehendakkan generasi Islam yang tulen.

Pemuda ialah suatu tenaga yang digunakan oleh Islam untuk membangunkan dan memakmurkan alam. Tetapi malangnya mereka dipergunakan untuk meruntuhkan umat manusia.

Sesungguhnya masyarakat manusia hari ini penuh sesak dengan pemuda-pemuda. Tetapi pemuda ini hanyalah kosong, hanyut dan terbiar. Pemuda yang tiada peribadi bersifat seperti kera. Pemuda yang tidak mempunyai akhlak lebih dekat dengan binatang. Pemuda yang dijadikan tentera oleh kuasa-kuasa jahat dan zalim, disusun oleh parti-parti kufur dan syaitan. Pemuda pondan yang tiada kebaikan di dalam diri mereka. Tetapi ternyata keberkatan itu datang bersama pemuda yang tinggi cita-citanya.'

Tulisan ini amat memberi kesan buat diri saya. Inilah buat tangan ulama' terkenal Ikhwanul Muslimin Lubnan; Dr. Fathi Yakan.



Ulama' yang dikenang.

Ulama' apabila ia mati, bukan jasadnya sahaja yang ditanam. Tetapi ilmunya juga turut ditanam bersama-sama.


Saya diberitakan bahawa Dr. Fathi Yakan telah meninggal dunia semalam. Beliau meninggal pada usia 76 tahun lantaran sakit. Lantas saya menggesa jemaah untuk sama-sama solat jenazah ghaib untuknya. Sunnah Nabi SAW di dalam menghormati orang yang berjasa.

Semoga Allah mencucuri rahmat buatnya dan menjadikannya sebagai syuhada' di dalam perjuangan agama Islam ini. Sesungguhnya pemergiannya mendatangkan kesan yang mendalam buat para pendakwah, harakah islamiah, penulis dakwah dan buat umat Islam yang cintakan ad-Dinnul Haq ini.


Sedikit latar belakang Al-marhum.

Dr. Fathi Yakan telah dilahirkan pada 9 Februari 1933 di Tripoli, Lubnan. Isterinya bernama Dr. Mona Haddad Yakan. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan 4 orang puteri dan seorang putera.

PhD yang diperolehi beliau adalah di dalam bidang pengajian Islam dan bahasa Arab. Apa yang menariknya B.A dan M.A nya adalah di dalam bidang kejuruteraan. Allah telah mengurniakannya akal yang cerdas dan tangan emas kepada beliau. Hasilnya beliau telah menulis banyak karya-karya Islami yang menggegarkan pemikiran dunia Islam.

Ziarah awalnya bertemu Dr. Mustafa As-Siba'ie Rahimallah di Syria telah menjana azam yang bergermelapan buat dirinya bersama lebih kurang 50 orang yang turut serta. Lantas mereka mempelopori gerakan pembaharuan Islam di Lubnan.

Antara bukunya yang terkenal dan dijadikan asas oleh ramai jemaah ikhwan di seluruh dunia adalah 'Maza Yakni Intima il-Islam' yang bermaksud 'Apakah ertinya saya menganut Islam?' Buku ini mengupas erti Islam buat ummah dalam keadaan yang ringkas dan mudah difahami.

Golongan sasaran beliau adalah pemuda dan pemudi. Beliau sedar golongan ini adalah aset yang amat bernilai bagi menyambung tugas yang pernah disandang oleh para sahabat Rasulullah SAW yang majoritinya terdiri daripada golongan pemuda. Ini disebabkan tenaga dan kesungguhan yang mereka miliki adalah melebihi golongan tua.

Tahun-tahun akhirnya beliau bergiat sebagai ahli politik kerana melihat pentingnya daei hadir ditengah-tengah masyarakat. Harakahnya juga pernah ditentang, malah beliau pernah dipenjarakan. Tubuhnya pernah diseterika sehingga seluruh badannya menjadi remuk. Ada berpendapat umurnya lebih muda daripada tubuh badannya akibat seksaan yang menimpa beliau.


Buat Dr. Fathi Yakan...
Bersemadilah dengan tenang di alam sana, sesungguhnya umurmu banyak dihabiskan kerana memikirkan masalah umat ini. Semoga Allah memberikan balasan yang syurga yang tiada tolok banding nikmatnya kepadamu dan juga kepada kita semua.

Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama'ah hamba-hamba-Ku, masuklah ke dalam syurga-Ku. (Surah al-Fajr, 27-30)


*Rujukan: Tokoh-tokoh gerakan Islam abad moden, karya Zainuddin Hashim dan Riduan Mohammad Nor.



MS Rizal,
57000, Kuala Lumpur,
14 Jun 2009/20 J'Akhir 1430H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Sayang anak tangan-tangankan...

>> Friday, June 12, 2009

'Pang!!!'

Muka saya menjadi merah padam. Bunyi dengung yang nyaring mula tersebar dari dalam cuping telinga. Panas dan sejuk menyelubungi badan. Saya menggosok-gosok pipi yang sudah tebal dek kerana kebas akibat ditampar.

Malu sungguh rasanya diperlakukan sebegitu di hadapan rakan-rakan sekelas. Pengajaran buat saya yang berada di tingkatan 1 ketika itu. Jangan cuba-cuba untuk bersembang di belakang saat cikgu sedang bercakap di hadapan. Nanti diri dilabel 'kurang ajar'.

Hampir 10 tahun kejadian ini berlalu. Hari ini saya berterima kasih kepada cikgu, penampar itu amat bermakna buat diri.


Garang dan sayang

Dewasa ini, amat jarang saya mendengar pelajar-pelajar yang takutkan gurunya. Malah hasil sembang santai saya bersama mantan cikgu di suatu petang hari raya banyak berlegar-legar tentang perkara ini. Pelajar-pelajar makin biadap. Bagaimana biadapnya mereka saya tidak berapa pasti. Mengimbau zaman saya bersekolah, guru-guru sudah dijadikan sasaran serangan di luar pagar sekolah, saya percaya situasi sekarang lebih parah daripada itu lagi.


Haruskah guru-guru diberi kuasa yang autoriti seperti dahulu?


Saya percaya ramai ibu bapa yang tidak setuju. Malah guru-guru yang lemah lembut lebih diperlukan untuk mengajar anak mereka berbanding yang garang dan berotan. Sentimen sayang menyayangi lebih dipercayai memberi kesan berbanding garang dan memaksa. Tetapi silapnya, bukan semua yang menghargai kasih sayang yang diberi. Akibatnya, guru-guru hilang upaya mengawal keadaan. Disiplin sekolah sudah tidak berupaya lagi dibendung secara dalaman. Justeru, penyelesaian apakah yang terbaik? Al-Quran memberikan jawapannya.

Apabila Allah SWT memberi peringatan kepada manusia, ianya tidak sekadar menceritakan tentang syurga. Atau sekadar menceritakan kasih sayang dan rahmat yang Allah Taala limpahkan buat hambanya. Kerana bukan semuanya pandai bersyukur dan faham erti syukur, maka Allah Taala juga memberikan ancaman. Penceritaan neraka yang amat menggetarkan jiwa dijadikan ancaman dan pengajaran. Hadis-hadis Nabi SAW juga banyak mengajar tentang sifat kasih dan juga ancaman ini.

Disamping itu juga Allah Taala memberikan kita sifat untuk mengharap. Harapan untuk kita termasuk di dalam golongan muqarrabin dan solihin. Mengharap balasan baik seperti pintanya Asiah isteri firaun untuk diadakan istana di syurga. Maha Adil Allah Taala yang lebih mengetahui bagaimana mahu mengendalikan ciptaanNya.

Bukankah ini cara terbaik? Sifat kasih dan garang. Garang tidak bermaksud membuang sifat sayang secara total, tetapi berkadar dengan situasi dan keadaan. Garang bukan untuk membenci, tetapi melahirkan perasaan sayang.


Para sahabat yang mulia dan faqih pada agama


Untuk mengukur sejauhmana ketegasan itu perlu di dalam Islam. Lebih baik kita mencontohi gerak-kerja para salafussoleh. Ada sahabat yang lemah lembut dan ada sahabat yang tegas. Tetapi rata-ratanya apabila mereka menjawat jawatan mereka akan tegas pada tempatnya. Saidina Abu Bakr tegas pada golongan enggan membayar zakat, Umar pada tegas hal kebajikan rakyat, Uthman dalam hal pentadbiran, Ali bertegas dengan golongan pemberontak, Muawiyah dalam meneruskan kembali jihad qital, dan lain-lain sahabat yang mulia lagi.

Malah Umar yang terkenal dengan kefaqihannya dalam agama, tidaklah seperti kewarakan yang sering kita bayangkan. Apabila dia berjalan, jalannya laju. Apabila dia menumbuk maka akan terasa sakit, apabila dia bercakap suaranya lantang. Jika diimbal pula sifat lembutnya, umum mengetahui mahsyurnya cerita Umar berjalan di waktu malam dan membantu seorang balu yang berusaha menidurkan anaknya yang enggan tidur akibat kelaparan.


* Saya cuba belajar untuk menjadi garang. Kalau selepas ini saya simpan misai panjang melentik, agak-agak ok tak? (: p)




MS Rizal,
57000, Kuala Lumpur,
12 Jun 2009/18 J'Akhir 1430H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Perlumbaan kehidupan, beranilah untuk gagal!

>> Friday, June 5, 2009


Ada banyak perkara di dalam sisi kehidupan manusia ini yang berlaku dan sukar untuk diterangkan oleh akal. Segala macam keburukan dan kecelakaan boleh sahaja menjadi positif jika diri sendiri mahu mempositifkannya.

Lihatlah berapa ramai orang yang membenci kematian. Walhal kematian adalah suatu anugerah dari Allah untuk menutup kesakitan dan keaiban. Lalu jasad pun dikuburkan untuk mengelakkan dari membusuk dan dimakan binatang buas. Ada asbab tersendiri kehidupan manusia dicatur seperti itu dan ini.


Keputusan semester akhir

Alhamdulillah, keputusan peperiksaan semester akhir yang diumumkan 1 hb Jun ini membungakan cita-cita saya sejak sekian lama. Insyaallah, terlaksanalah hasrat di hati untuk naik ke pentas pada majlis konvokesyen pada akhir tahun ini. Tetapi ianya sedikit tawar bagi saya mungkin mengenangkan keputusan PNGK muktamad adalah, '2.80'.

"Kenapa teruk sangat?" soal ibu saya pada suatu petang.

Ketika itu saya sedang bersembang santai dengannya di ruang tamu. 'Teruk' yang dinilai oleh ibu saya mungkin kerana membandingkan dengan apa yang diperoleh kakak dan adik saya di dalam diploma masing-masing. Mereka masing-masing memperoleh 3.5 dan keatas.

"Entahlah, ini sahaja rezeki Allah nak beri agaknya!" jawab saya.

Saya punya alasan kukuh untuk keputusan ini, disamping keyakinan saya sejak beberapa tahun ini tentang subjektifnya keputusan PNGK yang diperolehi seseorang graduan.

Namun jauh di sudut hati saya perasaan kecewa itu tetap ada. Ditambah sedikit perasaan malu apabila bersua muka dengan guru-guru dan rakan-rakan lama. Mereka sentiasa memberi penilaian yang tinggi kepada saya. Maaf, kali ini tidak...


Nasihat yang baik itu tidak semestinya datang daripada orang beriman sahaja.

"Oklah itu!" ujar sahabat saya berbangsa cina yang mesra dipanggil Lai.

"Hidup ini mana boleh perfect sangat. Kalau perfect sangat mesti ada yang tidak kena!" nasihat ikhlas dia kepada saya.

Saya menelan kebenaran katanya. Perlahan-lahan saya mengimbas kembali perjalanan pendidikan saya. Zaman persekolahan saya yang walaupun ada turun naik tetapi akhirnya berkeputusan baik. Ini membuatkan saya asyik dilambung pujian. Sehingga kadang-kadang ianya mendatangkan megah dan keegoan.

Walaupun seronok dengan manisnya kehidupan, saya perlu juga menerima saat masinnya menghadapi kehidupan. Juga saya perlu berenang di sebalik perasaan peritnya kegagalan yang di alami ramai rakan-rakan sekolah dahulu.

Saya tidak perlu malu dan mengaku untuk gagal. Saya tahu yang saya sudah seikhlas mungkin mencuba yang terbaik. Dan balasan untuk usaha yang gigih tidak semestinya tersemat di dewan peperiksaan sahaja. Ianya lebih daripada itu.

Kegagalan adalah guru terbaik di dalam kehidupan. Sekurang-kurangnya supervisor saya juga pernah memberitahu PNGK ijazahnya dahulu tidaklah mencecah 3 pointer. Tetapi saya merasakan beliau adalah hebat dan menjadi pensyarah yang amat saya gemari apabila mengajar. Ajaibnya lagi di antara subjek yang diajar adalah subjek yang dia pernah gagal dahulu.

"Alaa..Profesor yang mengajar saya subjek ini dulu pun pernah gagal juga dahulu."

Cerianya kehidupan dengan positifnya cara kita memandang kekurangan.




MS Rizal,
57000, Kuala Lumpur,
2009/1430H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP