Kapatalisme cemarkan disiplin ilmu

>> Thursday, February 19, 2009

Tanah gersang semenanjung arab....

Kemungkinan tanahnya gersang disebabkan air dibawahnya mengalir ke semenanjung Malaysia. Lihatlah tanah kita yang subur!
Sehinggakan jika dipacakkan tongkat sekalipun di tanah yang subur ini, ianya mampu menghasilkan daun dan juga buah.

Kita punya gunung-ganang yang menyedut awan. Lalu membentuk sebuah tadahan. Mengalirkan sungai buat mengairi tanam-tanaman. Kita punya hasil galian yang mampu mengilaukan mata buat khazanah kebendaan. Namun sayang, semuanya itu dikikis oleh rasa tamak manusia. Baik lanun yang menjajah kita, mahupun sebahagian pemimpin dan rakyatnya.



Sesuatu yang sukar diubah...

Seorang sahabat saya berkongsi masalah dengan seisi kelas. Dia menyuarakan kekesalan kepada sikap seorang pelajar inovasi(salah sebuah unversiti di ibu kota) yang tidak cermat menyusun kata. Ketika itu berlangsungnya pameran rekacipta. Pelajar inovasi ini memberitahu bahawa dia tidak sudi berkongsi hasil buah tangannya dengan rakan-rakan sepasukannya yang lain. Ini kerana memikirkan ianya merupakan aset inteleknya. Berkongsi bermakna hilang keistimewaanya. Iakah Salmah? Siapa lagi yang dapat membantumu mengembangkan lagi ciptaanmu jika bukan rakan sepasukan? Sahabat saya cukup anti dengan sikap menyembunyikan idea baru semata-mata demi keuntungan.

Apabila sahabat saya mengemukakan pandangan ini saya dengan sendirinya berfikir. Oh, zaman sekarang sukar untuk mencari ahli ilmu yang benar-benar berkhidmat untuk kebaikan manusia. Mungkin ini yang menjadi suatu polemik oksidentalis kebaratan yang dipersoalkan Jalal Al-e-Ahmad seorang pemikir intelektual Iran. Dari sisi pandangan beliau ternyata benar, pelajar-pelajar tidak lagi berniat memiliki diploma atau ijazah melainkan sebagai wahana mendapatkan pekerjaan. Ilmu dituntut semata-mata material kebendaan. Saya juga mungkin berfikiran begitu dahulu dan terkesan juga untuk sekarang.

Ulama' dan kemiskinan

Ahli fikir budiman dan ilmuwan sifatnya amat zuhud dalam menuntut ilmu. Mungkin kerana itu keilmuwan mereka datang dengan cahaya hidayah Allah yang bisa mengegarkan dunia. Lihatlah, alangkah indahnya perilaku mereka dan betapa perit perjalanan hidup mereka. Semuanya demi memartabatkan ilmu di puncaknya. Tanyakan dimanakah kemiskinan itu di zaman mereka. Nescaya ada yang menunjukkan,

"Oh, kemiskinan itu terselit di celah-celah serban mereka!"

Mahu tahu betapa hebat pengaruh mereka? Lihatlah peristiwa sungai Tigris yang menjadi hitam dek kerana tinta kitab-kitab yang disepahkan oleh penakhluk Mongolia semasa kejatuhan Baghdad. Manifestasi kemuncak kelimuwan Islam pada zaman mereka.

Kita bukan guru silat yang kedekut mengajarkan anak buahnya(Mungkin sebab ini generasi sekarang hanya mewarisi buah bunga sahaja). Kita adalah guru mukhlis dan muhsin yang mahu anak murid lebih jujur dan bijak daripada kita. Disinilah asal tamadun Islam terbina.

Salim r.a. mendengar Abu Hurairah mengatakan bahawa Nabi SAW bersabda, "Nanti akan dilenyapkan ilmu pengetahuan, akan bermaharajalela penzinaan dan kejahatan, serta banyaknya haraj."
Seseorang bertanya, "Apakah haraj itu ya Rasulullah?"
Jawab baginda," Begini!" (Nabi SAW memberi isyarat dengan tangan seolah-olah terjadinya suatu pembunuhan)-Hadis Riwayat Bukhari.

MS Rizal,
Kuala Lumpur,
20 Februari 2009/24 Safar 1430H
Home
Continue Reading...

Read more...

Biar dunia tahu betapa jengkelnya pendapatku!

>> Tuesday, February 17, 2009

Entri ini ditulis sebagai nasihat kepada rakan-rakan yang bimbang ekonominya bakal terjejas jika mempunyai isteri yang tidak berkerjaya....
---------------------------------------------------------------------------------------------

Suasana di cafe pada malam itu agak lengang, mungkin kerana pelajar masing-masing sibuk untuk persiapan aktiviti pada pagi esoknya. Saya duduk berempat dengan rakan-rakan. Masing-masing sedang asyik menikmati menu yang sama, nasi goreng ayam dan telur separuh masak.

Tiba-tiba kami disapa dari belakang oleh Mejar Radzwan. Kami tahu kedatangannya bukan untuk menjamu selera tetapi mencari teman berbual. Kami menjemput Mejar Radzwan duduk.

Mencedok air teladan dari perigi orang yang berjasa.

Mejar Radzwan gemar menceritakan kisah hidupnya sebagai nasihat kepada kami yang masih muda. Tentunya pengalamannya yang pelbagai, menjadi cabaran kepada kami sebagai panduan masa hadapan.

Saya paling gemar mendengar pengalamannya menjalani latihan PASKAU(Pasukan Khas Tentera Udara) atau lebih dikenali sebagai KOMANDO. Tentang corak latihan yang menyiksakan dan memang tak masuk akal. Tetapi secara realistiknya saya melihat ada kepentingannya juga corak latihan sebegini. Saya juga suka mendengar celotehnya tentang latihan terjun bebas dari udara. Sesuatu yang menyeronokkan untuk terjun bebas, tetapi percayalah jauh di lubuk hati saya perasaan takut itu tetap ada.

Tetapi bukan itu sahaja yang saya suka cungkil daripadanya, tetapi juga tentang hal cara pengurusan rumah tangga.

"Isteri tuan bekerja?" saya mengajukan soalan.

"Dahulu dia bekerja, tetapi tidak lagi sekarang. Saya lebih suka anak saya dijaga dan dibesarkan oleh ibunya sendiri." Mejar Radzwan menjawab.

Ya, kita sependapat!

"Macam mana tuan mengurus ekonomi rumah tangga?"

"Caranya mudah, berbelanja ikut kemampuan. Bukan ikut kemahuan."

Dia menambah, tidak sepatutnya bagi seorang fresh graduate(ordinary) untuk betah bergaya dengan kereta baru. Simpanlah duit dahulu. Dia masih ingat, dahulunya dia hanya mempunyai sebuah motorsikal. Dengan motorsikal itulah dia meletakkan anaknya di bakul hadapan, isteri yang mengandung ketika itu beserta anak kedua di belakang. Jika polis membuat road block pun tidak sampai hati untuk menyaman. Jika hujan terpaksa berteduh di bawah lindungan, menitis air mata melihat anak-anak kesejukan. Tetapi itulah kehidupan.

Ya, ini juga yang saya alami sewaktu kecil!
Bezanya bapa saya bukan askar, dia tidak berani untuk melepasi road block polis. Maka terpaksalah dia berpatah balik. Masakan tidak, dengan menunggang motorsikal honda c70 nya dia mengendong saya dengan adik beradik lain(3 beradik ketika itu) berserta ibu saya. Sesuatu yang sukar dilupakan.

Ku pinang-pinang tidak dapat, ku pujuk-pujuk kubawa lari.

Saya amat bersetuju dengan apa yang ditulis oleh saudara Hamdy di dalam bukunya 'Rancang Hidup Rancang Wang'. Suatu nasihat yang baik dan cukup berguna di dalam menguruskan hal-hal sampingan bagi membentuk perjalanan hidup yang baik. Seharusnya soalan pertama yang perlu dijawab kepada diri sendiri, apakah tujuan kita untuk melakukan ini dan juga ini? Tolak ketepi jika tujuannya untuk bermegah, kerana tiada untungnya dengan bermegah.

Rakan-rakan sekalian,

Saya bukanlah anti di dalam hal pembangunan wanita. Malah dari banyak segi saya memandang perlunya wanita di dalam berkerjaya. Terutamanya sektor perkhidmatan yang pelanggannya melibatkan wanita juga. Namun ini bukan syarat yang perlu di kejar dan dijadikan keutamaan. Hakikatnya wanita itu perlu sedar tujuan dilahirkan di dunia, dan tugas-tugas yang sudah sebati dengan mereka. Wanita bekerjaya mungkin dianggap taboo oleh orang terdahulu, tetapi tidak lagi sekarang. Namun sebenarnya nilai inilah yang digariskan oleh kebanyakan philosopi Islam sebagai faktor yang mendorong kepada kelesuan sosial masyarakat Barat.

Al-Kisah, tiga faktor tersebut:

1) Persamaan Hak antara Lelaki dan Wanita

2) Kebebasan wanita di dalam bidang ekonomi

3) Kebebasan sosial antara lelaki dan wanita.

Ya, tuntutan persamaan hak mewujudkan golongan feminin. Penguasaan ekonomi,menyebabkan sesetangah wanita tidak mahu lagi bergantung kepada lelaki dan tidak rasa bersalah jika penceraian rumah tangga terjadi. Kebebasan sosial yang menyebabkan remaja menjadi bodoh dan kaku, juga masalah hubungan songsang yang membawa kepada bakal runtuhnya tamadun Barat.

Ironinya, saya berpendapat wanita itu lebih cenderung untuk menjadi suri rumah, mendidik anak, memasak dan mengemas, menyiapkan makan pakai dan melayan suaminya secara baik. Wanita bukan ejen pencari nafkah. Pencari nafkah adalah suami, kerana sebagaimana mudahnya naluri wanita itu menguruskan hal rumah tangganya, begitulah juga mudahnya naluri lelaki itu untuk mencari nafkah.



Perjuangan wanita menyiapkan dirinya sebagai suri di dalam rumah tangga jangan dipandang lekeh. Masyarakat seharusnya memandang tinggi wanita yang memilih untuk tinggal di dalam bidang ini. Ianya memerlukan kesabaran yang tinggi. Sebagai contoh, jika seorang isteri itu membersihkan lantai rumahnya, dia tetap akan melakukan sedemikian rupa berulang-ulang kali selama bertahun-tahun walaupun dia tahu suaminya akan mengotorkan lantai tersebut. Itulah perjuangannya, melakukan sesuatu perkara itu berulang kali.

C. Rajagopalachari, seorang tokoh india ternama pernah berkata;

Perkahwinan adalah perkara yang wajib bagi wanita. Segala perkhidmatan di dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan politik sememangnya dipandang mulia, tetapi menjaga rumah dan mendidik anak tidak kurang mulianya. Bekerja di dalam bengkel tentera dan pejabat mungkin penting tetapi menghiasi dan membaiki keadaan rumah lebih penting. Apa yang saya telah alami selama 66 tahun ialah melihat kesempurnaan akhlak seorang wanita dengan hanya menjadi ibu.


Adalah menjadi sesuatu yang silap, demi mengejar kebendaan, sesetengah daripada kita lebih suka isteri bekerja lalu membiarkan anak-anak di asuh oleh orang gaji. Mungkin inilah yang dinamakan, 'Kera di hutan di susukan,anak di rumah mati kelaparan'. Alangkah baiknya anak-anak ini di didik oleh isteri yang tadinya dibanggakan kerana berpelajaran tinggi. Bayangkan hasilnya anak terbaik di asuh oleh wanita terbaik.

Mungkin ada yang tidak bersetuju, terpulanglah ini sekadar wacana bebas!


MS Rizal,
Kuala Lumpur,
17 Februari 2008/21 Safar 1430H
http://msrizal.blogspot.com/ Continue Reading...

Read more...

Hidangkan aku secangkir tazkirah...

>> Saturday, February 14, 2009

Andai kita dapat meletakkan diri dalam situasi redho, maka mungkin hidup ini lebih indah, lebih manis dan lebih barakah.
Sayang, kita tidak punya masa untuk mengenal diri. Sering kita merasa lebih dari kenyataan, atau merasa rendah daripada Allah yang kurniakan.
Tanamlah dirimu dalam tanah kerendahan, kerana setiap sesuatu yang tumbuh tetapi tidak ditanam maka tidak akan sempurna buahnya.


Lihatlah pada sebatang pokok yang terbenam akarnya,
Akarnya jauh terbenam di dalam tanah. .
Lihatlah betapa kukuhnya pokok itu... digoncang, ditendang, ditiup taufan.. batangnya masih kukuh berdiri.

Lihatlah pula pada sebatang pokok lain yang tertonjol akarnya.
Akarnya tidak terbenam di dalam tanah, hanya berada di permukaan sahaja.
Lihatlah betapa rapuhnya pokok ini...ditolak dan ditiup taufan, mudah sahaja ia menumbangkan diri.

Begitulah halnya amalan. Alangkah ruginya, amalan yang sepatutnya disembunyikan dan menjadi rahsia kita dengan Allah dijadikan hebahan kepada orang ramai. Hilang sudah keunikan dan kekuatan amalannya itu. Jika dia qiam di malam hari, dia senang untuk menceritakan. Jika dia puasa, sengaja mahu diberitahu kepada orang ramai. Jika dia bersedekah, pun juga begitu.
Ikhlas adalah nilaian tinggi yang sukar digapai sebenarnya. Tetapi ianya membuatkan kita istimewa disisi Allah. Dengan ikhlas datangnya tawaduk dan rendah hati. Dengannya terbit rasa rendah diri datangnya kemanisan ibadah. Dengan kemanisan ibadah lahirnya akhlak yang mulia dan disegani.

Sedarlah amalan kita itu datangnya daripada Allah. Amalan kita datangnya daripada taufik dan rahmat Allah.
Ingatlah qiam kita. Kalau kita gagah berdiri di malam hari, ingatlah siapa yang beri kekuatan? Siapa yang mengejutkan kita dari tidur?
Ingatlah puasa kita. Siapa yang memberi kita rezeki sahur dan berbuka? Siapa yang memberi kita kekuatan?
Ingatlah pada sedekah. Siapa yang memberi kita wang? Bukankah wang itu pun datang daripada Allah?
Banyak beramal tidak bererti kita selamat. Sebelum beramal cubaannya malas beramal. Selepas beramal cubaanya adalah ujub.
Lantas layakkah ini membuatkan kita megah dan bangga?

Siapa mahu senang hatinya...Jangan dikenang amalan dan pencapaian dahulu.
Jika kita ini seorang pelajar ijazah dan sarjana, ingatlah bukan itu yang dipandang Allah. Tetapi ikhlas kita.
Jika kita seorang ustaz. Jangan dikenang dan mahu dipanggil ustaz. Walhal mungkin title ustaz itu menjadi fitnah buat diri.
Kenallah diri sendiri. Kerana dengan mengenal diri sahaja kita bisa berhadapan dengan cakap-cakap orang.
Ingatlah pujian orang tidak pantas menjadikan kita bahagia. Dan kejian orang tidak pantas buat kita terhina, malahan mungkin hinaan itu lebih bagus sedikit daripada kehinaan kita yang terselindung.

Tolaklah semua itu, tolaklah dengan keinsafan tentang aib dan dosa kita. Bayangkanlah selalu bahawa dosa kita sering melebihi amalan kita. Jika dipuji, katakanlah pujian itu tidak layak untuk diri yang selalu berbuat dosa.
Pandanglah orang lain lebih istimewa daripada kita, cari kemuliaan mereka bukannya kesalahan.
Palinglah diri kepada anak kecil comot itu, dosanya lebih sedikit daripada kita.
Palinglah kepada orang tua bangka itu, hidupnya lama amalan kebaikannya lebih banyak daripada kita.
Palinglah kepada penjaja di jalan itu, mana tahu dia lebih jujur dalam menguruskan perniagaannya.
Palinglah kepada orang yang merangkak-rangkak membaca Al-Quran. Mana tahu setiap rangkakan itu membuatkan dirinya takut kepada Allah.
Palinglah kepada rakan yang paling rendah pencapaian akademiknya, tetapi mana tahu itulah hasil ikhlas dan jujurnya dalam peperiksaan. Dan mana tahu keputusan peperiksaannya yang paling rendah, tetapi kedudukannya paling tinggi di sisi Allah.
Kita perlu sedar akan hakikat penipuan dunia, jika kita rasa kita adalah orang yang paling mulia di dunia. Maka fikirkan tempatmu di akhirat sana, mungkin menjadi orang yang paling hina.

Mungkin dengan berfikir cara ini akan mencapai tawaduk. Marilah bersama-sama menanamkan ia di dalam diri. Itulah nilaian yang berharga di sisi Tuhan. Mudah-mudahan kerendahan hati kita memacu amalan kita untuk lebih sempurna.

Al-Hafizh Ibnu Rajab Al-Hambali rahimahullah berkata, "Orang yang sombong adalah orang yang memandang dirinya sempurna segala-galanya, dia memandang orang lain rendah, meremehkannya dan menganggap orang lain itu tidak layak mengerjakan suatu urusan, dia juga sombong dari menerima kebenaran dari orang lain". (Jami'ul Ulum Wal Hikam)



"Tidak ada Tuhan yang sebenarnya disembah melainkan engkau, ya Allah.
Maha Suci engkau, sesungguhnya aku adalah dari orang yang membuat zalim."
SURAH AL-ANBIYAK(21):87





MS Rizal,
Kuala Lumpur,
14 Februari 2008/18 Safar 1430H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Hikayat si Panjang Tangan

>> Monday, February 9, 2009

Saya tidak tahu apa yang difikirkan oleh seorang pencuri ketika mencuri.

Adakah dengannya dia akan menjadi kaya raya? Atau boleh dibuat modal pelaburan MLM untuk untung berjuta-juta?

Apabila terasa sempitnya dada, luaskanlah minda. Mencari kebahagian diri bukan dengan menzalimi.

Rakanku mengadu barangnya dicuri

Sepanjang hampir 5 tahun saya mengaji di sini. Hampir tiada tahun yang tiada kes curi. Kecurian bukanlah kecil-kecil. Duit beribu-ribu, handset mahal dan komputer riba habis kena sapu. Termenunglah si kena curi mengira baki-baki duit simpanan untuk membeli yang baru.

Alahai, pencuri kesiankan kami yang juga punya masa-masa sempit sepertimu!

Juniorku mengadu barangnya dicuri

Baru minggu lepas, selepas sebulan proses perpindahan blok besar-besaran berlaku. Seorang junior saya setahun lebih muda(Tahun 3) melaporkan barangnya dicuri. Tentunya ia tidak menjadi sesuatu yang kontroversi. Mengenangkan kejadian ini seperti sudah lali.

Maka habislah bilik junior saya yang paling bongsu(seorang pelajar Tahun asas/foundation year) digeladahi. Junior yang saya kenalinya kerana kerap benar 'menipu diri sendiri'. Jangan salahkan si penggeladah bilikmu, kerana sejak kecil kami diajar peribahasa 'siakap senohong, gelama ikan duri'.

Setelah puas digeledah, hasilnya tetap buntu!

Mengenang diri juga pernah menjadi mangsa curi

Saat wang ringgit saya mula kekeringan. Tahun 1, seingat saya kejadian ini menjadi bukan sekadar igauan. Tak banyak, RM 100. Tetapi percayalah saat itu cukup memeritkan. Tetapi itu tidaklah menjadi hal yang perlu saya hebohkan. Mengenang rakan-rakan lain yang lebih dahsyat dan sadis dengan kehilangan.

Mungkin wang dicuri itu bukan hak anda

Saya bermuhasabah diri. Pelajar-pelajar di sini memang berwang, hasil wang elaun yang mencecah gaji asas seorang pekerja lepasan diploma. Ditambah lagi dengan penginapan dan makanan percuma. Disebabkan punya banyak wang limpahan ada yang berbelanja mewah dan bergaya. Ada juga yang mula pandai berhutang demi untuk bergaya. Disebabkan inilah saya kehairanan, kerana masih lagi ada yang kesempitan wang. Berbelanja lebih untuk keluarga mungkin? Percayalah saya juga punya tanggungjawab besar seperti itu tetapi alhamdulillah masih baik pengurusan wang.

Masalahnya sebab apa? Jawabnya kedekutnya diri untuk bersedekah, kedekutnya untuk berzakat. Masih ramai lagi yang tidak ambil endah untuk berzakat, bukan zakat fitrah. Tetapi zakat pendapatan. Saya mengambil skim zakat pendapatan wilayah persekutuan. Hasil kira-kira, saya hanya layak membayar lebih kurang RM10 sebulan. Ianya memadai,setakat ini.

Kedekut untuk bersedekah.

Saya biasa menolong bilal mengira duit hasil tabungan masjid untuk solat Jumaat. Kebiasannya hasilnya tidaklah sampai seribu ringgit. Maka inisiatif dibuat oleh rakan-rakan yang prihatin untuk membuat kira-kira. Hasilnya purata yang diperolehi, pelajar-pelajar di sini hanya bersedekah RM 0.03 sen seorang! Sedih bukan?

Bersedekah adalah cara untuk membersihkan harta kita. Kadang kala terdapat masa yang kita tidak tepati, ada waktu kita senang berehat-rehat atau selesa untuk ponteng. Tetapi gaji tetap diperolehi. Inilah cara membersihkan harta.

Bersedekah itu juga membersihkan hati dan dosa. Anda punya Tabung Simpanan Tetap? Jangan lupa juga membuka 'Tabung Simpanan Akhirat'!



Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai ada seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha Mengetahui.(Al-Baqarah: 261)


MS Rizal,
Kuala Lumpur,
9 Februari 2009/13 Safar 1430H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

(Entri bersahaja) Perkembangan di Perak

>> Friday, February 6, 2009

Perak adalah negeri yang saya cintai. Rakyatnya terdiri dari komposisi kaum yang unik. Melayu(1,101,105 or 53.68%), Cina (643,129 or 31.35%) , India(262,121 or 12.78%), dan lain-lain kaum (6,536 or 0.32% termasuk Thai 2,080). Diketuai oleh seorang Sultan yang dilantik berdasarkan sistem dinasti.

Walaupun saya tidaklah biasa berbahasa Perak kerana saya bukanlah orang Parit, Bota, atau Manjoi yang punya bahasa Perak pekat. Bapa saya berasal dari Semanggol, dan keluarga Ibu saya berasal dari Kuala Kurau. Kedua-dua tempat ini dipenuhi oleh masyarakat Banjar salah satu masyarakat besar di dalam Melayu. Mereka kebanyakannya bekerja sebagai petani. Ibu dan bapa saya juga orang banjar. Dan saya juga sudah tentulah berketurunan banjar. Kulaan niring ngapaan terkurihing? ((Wah lama dah aku kade basurah banjar.. di ide sapa yang handak manyurahi ako..huhu)

Masih ramai lagi yang perlu

Sebenarnya Perak masih mempunyai ramai rakyat miskin tegar di seluruh negeri. Saya membesar di dalam keluarga yang punya ekonomi sederhana(pendapatan bawah RM800 tahun 1990-an). Saya punya ramai kawan-kawan yang tidak sempat menghabiskan persekolahan di sebabkan kemiskinan. Saya juga melihat ketidakpedulian kerajaan negeri sebelum itu akan nasib rakyat-rakyat di Pedalaman. Saya juga melihat betapa tidak mesra rakyatnya ketua kampung dengan penduduk. Saya melihat bantahan demi bantahan dibuat atas tanah yang ditarik daripada penduduk estet ladang Sarthistala(saya pernah tinggal di sini kerana bapa saya bekerja sebagai polis bantuan ketika itu). Saya mendengar rintihan kampung Cina Kuala Kuang yang ditipu kontrak tanah sehingga terbinanya kilang getah mengeluarkan bau busuk berhampiran pekan Chemor. Ramai lagi rupanya hidup dengan slogan Survival for the fittest.

Untuk apa saya menerangkan semua ini?

Sedarlah sebenarnya rakyat bawah tidak peduli siapa yang memerintah. Asalkan ianya adil di dalam memberi layanan. Juga mereka memerlukan tempat pengaduan yang telus. Bukan Adun yang susah nak nampak batang hidung sebab sakit nak mampus! Bukan juga MB yang susah benar hendak hadir mendampingi rakyat. Sepanjang saya bersimpar siur di Ipoh, bersekolah di sana, saya hanya sekali nampak Mantan MB (Tajol), itupun selepas menghadiri majlis Maal Hijrah. Berbeza dengan Ir Nizar yang mudah dijumpai kerana dia adalah kariah Masjid. Dan untungnya saya bertemu dengannya juga di Masjid. Sungguh ikatan jemaah masjid itu adalah sesuatu yang istimewa. Kita bersahabat tidak kira dari kariah masjid mana.

Rakyat bawahan tidak kenal pun siapa Nicollo Machiavelli(1469-1527)?

Hidangkan pemikiran Machiavelli dan buku yang terkenalnya 'The Prince' pada era Renaissance kepada Mak Cik Timah yang berniaga pisang di tepi jalan. Mesti Mak Cik itu buat tak sior(baca endah). Juga kepada Arimuthu yang sedang asyik menggunting rambut pelanggannya. Berikan juga kepada Ah Seng yang berniaga ikan, "Ikan! Ikan! Satu longgok RM 4.00!", "Haiya ini buku apa?"

Mereka tidak tahu pun apa dia istilah Machiavelli. Tetapi jika mereka di tanya tentang kebobrokan pemerintah, pemimpin yang gila kuasa, keringat rakyat yang diratah, semuanya akan mengangguk faham. Ya, inilah sebenarnya mak cik apa yang dihadam oleh pemimpin gila kuasa di atas puncak sana. Teori yang disaring dari pemikiran Machiavelli iaitu penekanan halalnya pemerintah menggunakan sebarang cara bagi mengekalkan kuasanya. Mengikut cara ini, berpolitik secara licik dan zalim demi mengekalkan kuasa adalah halal dan demikian juga dengan aspek yang lain. Machiavellianisme hanyalah istilah, praktikalnya sudah mendarah daging di kalangan pemimpin-pemimpin mabuk kuasa di seluruh dunia.

Muktahir, apa yang berlaku di Perak memang cukup membingungkan. Tetapi itulah hakikatnya, saya berharap apa yang berlaku ini bolehlah diambil iktibar. Sering benar sesebuah kerajaan yang baik di sabotaj oleh orang dalam. Pengkhianat biasanya tidak akan duduk lama, punggungnya sentiasa panas, hidupnya di dalam ketakutan, mereka akan dibenci sama ada kawan atau lawan. Sejarah telah memahat nama mereka atas satu sebab, 'lompat si katak lompat'.

Politik Malaysia yang haru biru!


MS Rizal,
Kuala Lumpur,
6 Februari 2009/ 10 Safar 1430H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Turki jambatan ke arah era Islam?

>> Wednesday, February 4, 2009

Sungguh dunia terkesima melihat keberanian Erdogan!

Beliau mengingatkan saya kepada tokoh itu.~kali pertama dan terakhir saya mengenali wajahnya, tersemat wajah keberaniannya di tali gantung!

Jika mereka nyatakan pada saya, betapa sekularnya Turki. Jawabkan kembali falsafah Kemalismanya yang pernah pemimpin kita jilati. Dari Turki sekular ini datang, dari Turki juga sekular ini akan terbenam.

Tokoh yang dimaksudkan ialah Adnan Menderes.

Pada asalnya Adnan Menderes adalah watak di sebalik wayang demokrasi FreeMason di Turki. Pada saat Barat ingin menguji betapa berkesannya pengaruh Mustafa Kamal Atarturk merubah Turki. Lalu Presiden Pengganti selepas itu, Ismet Inonu telah memilih Celal Bayar untuk menubuhkan parti pembangkang dan parti demokrat. Adnan Menderes muncul sebagai watak yang membantu Celal Bayar, dan akhirnya dia dilantik sebagai pemimpin dalam parti yang ditubuhkan tersebut.

Namun sesuatu yang ajaib, Adnan Menderes telah dialihkan hatinya dengan hidayah Allah. Dia terselamat di dalam satu nahas kapal terbang yang mengorbankan semua anak kapal kecuali beliau. Sebenarnya di saat kritikal itu dia berdoa, 'jika dia selamat maka dia akan berusaha mengembalikan Islam di bumi Turki'.

Dengan izin Allah Parti Demokrat yang dipimpin Adnan Menderes menang bergaya di dalam pilihanraya umum Turki 1950. Dan lawannya Parti Republikan Atarturk mengalami kekalahan teruk. 32 kerusi berbalas 318 oleh parti Demokrat. Adnan naik sebagai Perdana Menteri dimana Celal Bayar pula naik sebagai Presiden Turki.

Islam kembali digerakkan oleh Adnan Menderes. Nyata dia ketika itu sedang menunaikan janjinya. Syukur tidak terhingga apabila azan diberikan haknya di dalam bahasaArab. Pelajaran agama dikembalikan di sekolah-sekolah dan hak wanita Islam dikembalikan.

Masa pergi tanpa disedari. Pilihanraya umum 1954 muncul dengan membawa kejayaan lebih gemilang buat Adnan Menderes. Merampas lagi 8 kerusi daripada Parti Republik.
Hal ini tidak dibiarkan sahaja oleh tangan-tangan Yahudi Internasional. Akhirnya satu rampasan kuasa tentera dibuat ke atas kerajaan Adnan Manderes pada tahun 1960.

Dan inilah yang berlaku kepada Perdana Menteri Turki ini;


Adnan Menderes digantung mati.

Penyebab utama yang menjadikan Manderes dibawa ke tali gantung adalah kerana usahanya untuk mendekatkan Turki dengan negara Islam dan memisahkan diri dengan Israel secara bertahap. Dan salah satu langkah bijaknya ialah mendirikan Parti Keadilan. Suleyman Demirel mengambil alih Parti Keadilan dan seterusnya menyambung peranan Adnan Menderes.

Selepas daripada itu pemimpin-pemimpin Turki yang bercita-cita Islam datang silih berganti. Walaupun perjalanan ke arah tajdid Islam itu sering dicantas oleh pihak yahudi dan sekularis namun watak-watak Islam ini tetap kekal, cuma pelakonnya berbeza. Sesungguhnya Islam itu adalah darah daging bangsa Turki. Tidak mungkin darah daging ini dapat diasingkan sel demi sel dari tubuh rakyatnya melalui revolusi Atarturk. Jika terkesan pun hanya di kulit sahaja.

Bangsa Turki akan tetap kembali kepada Allah dan fitrah Islam. Generasi mendatang Turki akan merampas kuasa dari pihak Sekularis. Mereka inilah yang tumbuh sebagai pencinta Al-Quran, dari madrasah-madrasah yang dirintis kembali oleh Adnan Menderes dan pemimpin yang inginkan Islam seterusnya. Inilah fitrah Allah, dimana Allah yang menciptakan manusia dengan fitrah tersebut;

Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada peubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.


-----------------------
Fakta di dalam entri ini dipetik dari buku Turki Negara Dua Wajah oleh As-Syahid Dr Abdullah Azzam.


MS Rizal,
Kuala Lumpur,
4 Februari 2009/ 8 Safar 1430H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP