Alah bisa, anta lembik jawabnya binasa!

>> Saturday, January 31, 2009

Kaki saya digenangi air kesibukan. Kerana saya sudah dihinggapi penyakit orang berjawatan. Mencuri ruang untuk mencelah. Saya sudah semakin kerap tidur lewat, tetapi waktu bangun tetap dipaksa awal. Ah, masa! Izinkan sedikit ruang untuk aku mencurimu. Supaya ada peluang untuk aku memuntahkan manfaat kebaikan.

Alhamdulillah, saya diamanahkan untuk menulis teks khutbah Jumaat pula. Sudah 2 minggu teks saya dilantunkan oleh khatib yang diamanahkan. Walaupun isinya bukan 100% datang dari idea saya, tetapi sekurang-kurangnya membawa perubahan di dalam pengisian Jumaat.


Dan mujur, lambakan majalah-majalah berasaskan Islam seperti majalah I, Milenia Muslim dan Al-Islam di atas meja study saya banyak membantu. Di kala inilah saya hanya perlu membelek dan mencedok. Membaca majalah memang banyak manfaatnya.

"Khutbah Jakim ke tadi? Lain benar, ada bahasa-bahasa puisi pula di hujung khutbah!" seorang rakan saya bertanya.

Saya tersenyum, satu respons yang baik. Tetapi saya perlu berhati-hati lain kali di dalam menulis, kerana sebahagian khutbah itu adalah sihir. Seperti mana diungkap di dalam hadis riwayat Muslim;


Dari Abu Wail r.a. katanya: "Ammar pernah berkhutbah(Jumat ) di hadapan kami, singkat tetapi padat. Ketika dia sudah turun dari mimbar, kami berkata kepadanya, "Hai Abu Yaqzhan! Khutbah anda singkat dan padat. Alangkah baiknya kalau anda panjangkan sedikit lagi." Jawab Ammar, "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya siapa yang lama solatnya, pendek khutbanya, menandakan bahawa orang itu faham agamanya. Kerana itu panjangkanlah solat dan pendekkan khutbah, kerana sebahagian dari khutbah itu adalah sihir!"


InsyaAllah selagi saya punya ruang untuk mengetengahkan isu, selagi itu saya tidak malu memegang gong kesedaran untuk dipalu. Harapan buat ummah ini terlalu besar, melihatnya mungkin semakin hari boleh menjadi tawar. Tetapi saya tahu janji Allah itu pasti benar!

Saya tahu usaha saya ini bukan berhenti setakat ini, saya mahu mengubah secara fizikal bukan sekadar teori. Keberanian tulisan saya mesti segagah saya berdiri bertentangan dengan realiti yang ada. Saya sedar, saya bukan yang terbaik. Tetapi bukanlah kelemahan itu perlu, untuk menghargai dan menghadirkan Q(kualiti)?

Oh ya, saya baru balik dari ekspo kerjaya tentera di Dataran Merdeka. Mahu tahu apa itu tentera?
Jawapannya bersabar, kerana 1000 macam ragam dan masalah berselindung di sebalik celorengnya! Tetapi tidak perlu risau, buatkan sahaja minuman yang manis dari limau yang masam. Inilah kunci kepada kebahagiaan.




MS Rizal,
Kuala Lumpur,
31 January 2009/4 Safar 1430
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Istilah 'Allah' jangan cuba cemari...

>> Tuesday, January 27, 2009

Redup mata saya menjadi bujur apabila menonton siaran berita di televisyen beberapa hari lalu. Berang sungguh reaksinya Dato' Seri Dr Zahid Hamidi mengulas kedegilan pihak Kristian yang bertegas mahu menggunakan nama Allah di dalam risalah Kristian di negara ini.

Beliau menegaskan kerajaan tidak akan ragu-ragu untuk mengambil tindakan undang-undang.

Umum tahu siapa yang beria-ia benar mahu menggunakan istilah ini. Ianya sudah menjadi isu hangat yang masih belum selesai bermula Disember 2007 apabila Kementerian Dalam Negeri mengharamkan penerbitan akhbar Roman Catholic, The Herald. The Herald telah menggunakan istilah Allah untuk merujuk kepada tuhan di dalam salah satu artikel akhbar itu.

Ditambah pula dengan kenyataan dewan ulama Pas Pusat pada 3 Januari 2008 yang menyatakan tidak ada salahnya mereka menggunakan istilah Allah.

Jika mengikut teorinya, apa yang saya belajar dan hadam ditolak dengan emosi yang bercampur-baur, pastinya saya berdiri di belakang ramai pemikir-pemikir Islam tanah air yang bergerak menentang pemikiran Islam yang beku. Dr Mohd Asri contohnya telah mengulas perkara ini lama dahulu, tidak langsung bunyi menyanggah. Juga pendapat dikalangan blogger-blogger tempatan. Dan terbaru saya terbaca satu surat pembaca Berita Harian edisi minggu lepas berkenaan isu ini.Kebanyakkannya berhujah menyokong. Terdiam saya dibuatnya, berfikir untuk mengimbangi.

Pastinya pembaca berulang kali pernah membaca tentang arab Jahiliyah sebelum kedatangan Islam yang menamakan Tuhan mereka yang paling berkuasa juga adalah Allah. Begitu juga dengan masyarakat arab Kristian ortodoks yang lebih awal bertapaknya di bumi Arab berbanding Islam juga menamakan tuhan mereka sebagai Allah.Setelah Al-Quran diturunkan, nama Allah dibersihkan daripada sifat-sifat yang tidak layak baginya. Sifat-sifat tidak layak ini datangnya dari agama Yahudi, Majusi dan arab Jahiliyyah.

Dengan tegas Allah berfirman;

Dan mereka berkata: "Tuhan Yang Maha Pemurah mengambil (mempunyai) anak." Sesungguhnya kamu telah mendatangkan sesuatu perkara yang sangat mungkar,hampir-hampir langit pecah karena ucapan itu, dan bumi belah, dan gunung-gunung runtuh,karena mereka menda'wakan Allah Yang Maha Pemurah mempunyai anak.Dan tidak layak bagi Tuhan Yang Maha Pemurah mengambil (mempunyai) anak.Tidak ada seorangpun di langit dan di bumi, kecuali akan datang kepada Tuhan Yang Maha Pemurah selaku seorang hamba. (Surah Maryam,19:88-93)


Penggunaan nama Allah hanya masalah Istilah?

Jika memandang nama Allah hanya dari sudut istilah barangkali kita tewas dengan andaian ini. Penggunaan nama Allah itu adalah yang paling tepat untuk mewakilkan hanya kepada Allah Taala di sisi Islam sahaja. Disebabkan Al-Quran itu diturunkan di dalam bahasa Arab kerana inilah bahasa pilihan, justeru penggunaan nama Allah itu juga satu pilihan. Begitu juga dengan penggunaan istilah 'ad-diin'. Di dalam Al-Quran Allah SWT bermaksud mengkhususkan penggunaan ad-diin itu sebagai agama yang diredhoi di sisi Allah iaitu hanya Islam.(rujuk surah Al-Imraan,3:19). Jika halnya begitu, sudah tentulah istilah penggunaan nama Allah ini menyangkut soal Akidah.

Wah, isu ini menjadi kontradik. Melalui apa yang saya pelajari melalui tamrin, kuliah, usrah dan bacaan persoalan akidah telah dirungkai dengan jelas melalui tauhid rubbubiyah dan uluhiyah. Adakah saya tidak berapa faham dengan penjelasan tauhid? InsyaAllah saya sudah menghadamnya banyak kali, jika tidak jelas-mohon ada sesiapa yang menerangi.

Penerangan ringkas; Tauhid Rubbubiyah juga jika anda pernah menjumpai istilah 'god spot', menjangkau kepada akuan manusia bahawa wujudnya Tuhan yang mencipta alam ini. Namun siapa Tuhan itu, belum dirungkai di dalam kelas ini. Tauhid Uluhiyah pula adalah mengesakan Allah melalui semua pengibadatan yang telah disyariatkan oleh Allah melalui rasulNya, Nabi Muhammad SAW. Ianya membersihkan segala kejahilan dan andaian yang ditempelkan kepada Allah Taala. Inilah yang membezakan kita dengan bukan muslim.

Ada yang berpendapat, "Biarlah mereka hendak guna nama Allah, jika kita sudah kuat akidah apa yang hendak ditakutkan?"

Ya, saya bersetuju dengan pernyataan ini. Tetapi melihat fanomena masyarakat umat Islam Malaysia sekarang. Ia sebenarnya menghasilkan keputusan yang menggerutu. Soal syirik, tahyul, bomoh, black metal dan sebagainya masih samar. Adakah harapan masyarakat kita kuat pegangan akidahnya? Belum tentu...

"Salahkanlah kerajaan, jika ramai orang Islam tak kuat akidahnya.Ini disebabkan mereka!"

Ini satu pernyataan yang kurang sihat. Sememangnya sistem pendidikan kita punya kelemahan, namun menyalahkan kerajaan seratus peratus tidak adil. Di zaman Imam Shafie sendiri ada golongan yang bertawasul meminta hujan dengan menggunakan kopiah Imam Malik. Gejala tidak sihat ini wujud pada zaman Islam sedia kuat, apakah senjata ampuh yang berjaya menahan di zaman ini? Salahkan ustaz dan ustazah yang tidak pandai mengajar? Percayalah kita dalam proses penjerhihan untuk ini.

Katolik yang menebarkan racunnya.

Sedarlah bahawa ini semua adalah satu jarum yang digunakan untuk mendakyahkan Kristian di negara ini. Sudah lama British bertapak di tanah Melayu, namun istilah Allah tidak langsung digunakan kerana tiada apa yang mendesak mereka untuk melakukannya. Malah bible yang digunakan oleh mereka lebih selesa mengguna pakai istilah 'God' atau Tuhan. Terdapat juga bible di Indonesia yang menisbahkan sebagai Tuhan bapa.

Jika mereka mengatakan Kristian arab yang tiada masalah menggunakan perkataan Allah. Kemukakan juga syarat kepada mereka, Krismas tidak boleh lagi diraikan pada 25 Disember tetapi 6 Januari. Kerana 6 Januari adalah perayaan Krismas untuk Kristian Ortodoks. Kristian Ortodoks tidak mengakui konsep Triniti Tuhan. Tetapi katolik mengakuinya, inilah sesuatu yang amat bahaya di Malaysia!

Sekarang, mereka menggunakan platform politik untuk menebar racun ini. Namun jika Kristian Katolik ini berjaya juga dalam rencana mereka, tidak apa perlu dirisaukan kerana kebenaran Al-Quran itu jauh mengatasi Injil yang diubah dengan tangan-tangan mereka. Jika menggunakan istilah Allah itu berjaya menarik ramai umat Islam. Mereka sebenarnya telah berjaya menarik umat Islam haprak yang menjadi racun di dalam masyarakat. Tetapi kita sebenarnya boleh mengambil peluang ini untuk membersihkan nama Allah kepada penganut-penganut mereka yang bijak.

Islam datang membersihkan keraguan...





MS Rizal,
Kuala Lumpur,
27 Januari 2008/30 Muharam 1430H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Lapangkan aku hikmah dermawan

>> Friday, January 16, 2009


Wang kertas bernot RM 1 berjumpa dengan kawan lamanya wang kertas bernot RM 50.Wang kertas bernot seringgit bertanya; "Ke mana engkau pergi 50 ringgit? Sudah lama aku tidak jumpa?"

RM 50 menjawab, "Oh, aku? Adalah di dalam beg duit orang-orang besar. Mereka selalu hulurkan aku ditempat-tempat indah. Genting Highland, Restoren besar, Shopping Complex, hiasan mewah dan macam-macam lagi. Selalu juga aku dihulur dengan not RM 100 bersama.Engkau macam mana pula Seringgit?"

"Oh, aku biasalah. Aku selalulah dilipat-lipat dan disisipkan di tabung-tabung derma. Ada macam-macam tabung derma. Paling popular tabung masjidlah."

;

Saya hadir ke satu wacana ilmiah tentang Palestin. Turut serta, dihulurkan tabung-tabung derma. Sedihnya, ianya hanya dipenuhi wang RM 1 dan cuma penuh 2 balang sahaja. Adalah juga terselit wang-wang merah dan hijau.

Saya bersangka baik, mungkin mereka yang hadir sudah menginfakkan sendiri duit mereka melalui wahana lain. Namun saya merasakan sangkaan saya ini mungkin meleset, kerana ramai sebenarnya orang yang cuma menunjukkan rasa kesal. Tetapi tidak lebih sekadar kesal.

Anda punya ASB, Public Mutual, CIMB wealth advisor dan sistem pelaburan lain? Mengapa tidak berminat untuk melabur di Amanah Saham Akhirat? Lebih besar dan berlipat-lipat kali ganda keuntungannya.

Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha Mengetahui. (al-Baqarah: 261)



MS Rizal,
16 Januari 2009,
Kuala Lumpur,
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Gembirakan hatimu dengan mengubah persepsi

>> Friday, January 9, 2009

Lewat tengahari, telefon bimbit berbunyi. Di hujung talian, seorang sahabat mengadu masalah. Katanya dia tidak berjaya untuk melangsaikan hutang credit hoursnya dalam masa yang ditetapkan. Maksudnya dia terpaksa extend untuk satu semester lagi. Saya tahu, bukan kerana dia malas atau gagal di dalam peperiksaan. Tetapi kerana nikmat penyakit yang Allah berikan kepadanya sebagai wahana kafarah.

"Insyaallah, engkau akan nampak kebaikan juga di akhirnya," ujar saya.

Apa yang sedang difikirkannya? Mungkin dia akan berperang dengan persepsi sekeliling yang memandang. Abaikan, tiada makhluk yang berhak mengaku dia cerdik dan pandai. Semuanya datang dari Allah SWT.

Kisah di Damansara

Team technician Usrahlite mendapat panggilan daripada seorang Senior Engineer untuk menyelesaikan masalah pendawaian elektrik di rumahnya. Saya turut serta menemani abang Sani(Team Leader) untuk membantu. Rumah yang berkenaan terletak di kawasan perumahan mewah di Damansara.

Sesampainya di sana, saya melihat terdapatnya kesan kebakaran pada kotak fius DB rumah berkenaan. Saya bertanya kepadanya, apa sebenarnya yang terjadi?

Katanya, beberapa hari sebelumnya kotak fius DB berkenaan menghasilkan percikan api dan terbakar.
Lalu saya bertanya tindakan yang diambilnya?

"Saya simbah dengan air!"

Saya tergamam. Seorang Senior Engineer bertindak seperti itu...


Kisah di Sungai Siput


Saya menemani seorang rakan ke rumah keluarga angkatnya. Turut bersama, beberapa orang rakan dari Universiti yang berbeza. Kebiasaannya sesi taaruf akan bermula dengan bertukar-tukar soalan.

"Yang ini belajar kat mana?" ayah angkat rakan saya bertanya.

"Oh, saya jadi askar," ujar saya dalam keadaan malas nak menerangkan lebih-lebih, mengenangkan Universiti saya ini belum meluas lagi publistinya.

Nampak reaksi memandang rendah dari air muka si yang bertanya... Biarkan.
Saya selidik rupanya dia punya seorang anak yang sedang belajar di Canada. Huh, saya rasa raut muka pak cik itu pasti tidak sebegitu rupa jika dia mengetahui deretan A SPM saya pun mungkin lebih kurang sama seperti anaknya. Biarkan, dia dah menjamu saya sehingga kenyang. Saya tidak ambil hati disebabkan itu.

Ibrah

Persepsi manusia sering memerangkap seseorang untuk meninggi diri atau menjadi orang yang hilang keyakinan diri. Jika disingkap kembali tidak ada gunanya semua ini. Kerana ini adalah persepsi manusia, bukan penentuan persepsi yang Haq dari Maha Kuasa. Seseorang yang kita iktiraf pandai juga kadang kala akan membuat perkara bodoh. Lihat contohnya dengan kisah di Damansara.

Jangan berbangga secara membabi buta, kita tidak berhak untuk itu. Meninggi diri itu hadir bila kita melihat orang lain lebih hina dan teruk daripada kita. Rendah diri itu datang apabila melihat orang lain itu lebih mulia daripada kita. Mengapa perlu merendah diri? Kerana kita makhluk yang sama-sama mendapat nikmat daripada Allah Yang Maha Adil lagi Bijaksana.

Analoginya seperti kita mempunyai dua orang anak, satu bersekolah menengah dan satu sekolah rendah. Yang bersekolah rendah kita beri dia seringg
it kerana harga makanan di kantinnya murah. Satu lagi kita beri dua ringgit kerana harga makanan di kantinnya mahal. Tetapi alangkah peliknya, jika si anak tua berbangga dengan si muda bahawa dia mendapat lebih duit belanja. Walhal mungkin karipap di kantin si anak yang muda lebih sedap dan berisi lagi dari si tua.

Fikirkan dengan nikmat yang pelbagai yang Allah berikan kepada kita. Baru kita sedar bahawa semua orang adalah bertuah sebenarnya!

Bacakan kisah dari Surah Al-Kahfi di pagi hening Jumaat ini,

Dia berkata:" Kini tiba saatnya perpisahan antara aku dan kamu. Aku akan beritahu kepadamu mengenai maksud-maksud tindakanku yang tidak dapat kamu terima dengan sabar..."

Begitulah bicara seorang hamba diantara hamba-hamba Allah kepada Nabi Musa. Gunanya untuk menyedarkan Nabi Musa, bahawa soalan dari pertanyaan kaumnya perlu dijawab dengan tawaduk dan bijaksana.

Ketika ditanya, "Siapa paling pandai saat ini?"

Jawabnya, "Aim (saya)", tetapi bukankah seharusnya "Allahu Taala 'lam (Allah lebih mengetahui)". Segala pujian dan kepandaian dikembalikan kepada Allah Taala jua.

Sebelum menghabiskan sisa tinta, saya petik gambar dari buku '7 Habits..-Stephen R. Covey'


Siapa di dalam gambar ini? Seorang wanita muda bukan?
Sekarang cuba ubah persepsi anda. Sebenarnya ini gambar seorang wanita tua!



MS Rizal,
Kuala Lumpur,
09 Januari 2009,
1026H,
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Rokok, sudah lama inginku mengulas...

>> Friday, January 2, 2009

Saya tertarik dengan satu papan iklan yang terpapar jelas di bahu lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Selatan.

"Saya menghabiskan beratus ribu untuk merokok, kini tidak lagi," bicara seorang lelaki berkopiah haji memegang sebotol produk anti-rokok berjenama S'DETOX.


Mari kita kira, harga Dunhill 20 adalah sekitar RM 9.00 sekotak. Jika sehari sekotak, maknanya untuk sebulan ianya menjadi RM 270.00. Anda pasti setuju jika saya katakan jumlah RM 270.00 itu bukanlah satu jumlah yang sedikit untuk ditukarkan dengan barang sia-sia. Jika didarab untuk setahun, ianya menjadi RM 3240.00. Harga rokok akan meningkat untuk tahun-tahun akan datang. Bayangkan jika si perokok terus tegar untuk 40 tahun seterusnya. Tidakkah habis beratus ribu?


Merokok itu 'macho'kah?

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak lelaki remaja, pastinya rokok menjadi musuh masa depan yang menggerunkan. Remaja lelaki yang merokok dianggap jahat oleh orang dewasa. Siapa mahu anaknya digelar jahat? Tetapi hal ini berbeza pula dikalangan mereka dan rakan sebaya. Merokok melambangkan ke'macho'an, matang dan dewasa. Siapa pula tidak mahu digelar budak macho dan matang?
Kontradik bukan?

Hukum itu bukan untuk dilambung-lambung.

Terpampang jelas di hadapan masjid kebanyakan masjid-masjid wilayah persekutuan. 'Merokok itu diharamkan fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam kali ke-37, 1995'. Saya kira ini tindakan terpuji yang telah diambil oleh JAWI. Tetapi soalnya siapakah yang ambil pusing?

"Alah..ada ulama' yang kata makruh.." kata beliau dengan muka tidak kisahnya.

Ya betul, ia sememang makruh. Itu seandainya Majlis Fatwa berkumpul sekadar mengkiaskan rokok dengan jering dan petai. Tetapi malangnya perkembangan teknologi zaman tidak membantu si perokok. Rokok diakui mendatangkan keburukan kepada kesihatan dan pembaziran wang ringgit. Ini jelas ditentang oleh Islam. Saya yakin hampir semua fatwa terkini baik dalam atau luar negara mengharamkan rokok. Inilah hakikatnya.

Apa yang mengesalkan, perkara ini tidak sampai kepada umum atau mungkin yang buat-buat tidak tahu. Bukan sedikit jemaah surau dan masjid yang juga terdiri daripada yang orang merokok. Ada kotak rokok yang tersemat di dalam poket baju melayu. Buat azimat mungkin untuk khusyuk tak mahu terganggu. Simpan untuk dihisap dan dihulurkan bersama rakan-rakan di tangga surau tempat orang menumpang lalu. Buat santapan sementara menunggu Isyak datang bertamu.

Ada pula individu yang apabila bercakap Islam, siasah, Israel & Amerika sampai meletup-letup. Tetapi apabila penat bercakap, kocek diseluknya, berehat sebentar dengan rokok sebagai pemudah bicara. Entah pakcik ini sedar atau tidak dialah penyumbang secara tidak langsung kepada kekayaan Israel itu. Sungguh situasi yang mendatangkan kekesalan.

Anda mampu mengubahnya,

"Jangan, binasa...binasa!!!" mungkin saya tidak akan diendahkan apabila saya menjerit tentang ini di khalyak ramai.

Tetapi inilah yang direkodkan di dalam surah al-Baqarah, ayat 195:

"... dan janganlah kamu mencampakkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan.."


Peranan pemerintah sebenarnya perlu telus dalam menangani isu rokok ini. Janganlah seperti melepas batuk di tangga sekadar menulis 'MEROKOK MEMBAHAYAKAN KESIHATAN AMARAN..BLA..BLA.." di tepi kotak rokok. Ambillah tindakan tegas mencontohi pemerintahan Sultan Murad IV(Kerajaan Uthmaniyah) yang amat kuat memusuhi rokok. Sehingga baginda mengambil tindakan tegas untuk menjatuhkan hukuman bunuh kepada individu yang merokok.

Saya membayangkan, disebabkan kefasikan yang jelas kepada perokok ini. Elok benar Majlis Fatwa tidak membenarkan bapa yang merokok menjadi wali nikah anaknya. Masa itu, baru kendur lutut bapa-bapa yang merokok di Malaysia.!




MS Rizal,
Kuala Lumpur,
02 Januari 2009/5 Muharram 1430,
1100H,
HOME: http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP