Seluas lautan, setitik ilmu kurniaan Tuhan.

>> Wednesday, December 31, 2008

Sebelum saya memulakan mukadimah, izinkan saya berpesan untuk sama-sama kita berqunut nazilah. Setiap kali bumi palestin dinodai lagi, maka setiap itulah jiwa ini sentiasa mengharap akan ada lagi Salehuddin al-Ayubbi di zaman ini. Kabulkanlah Ya Allah.


"Bila nak habis?"

Ini soalan rutin Cikgu Hairuddin kepada saya. Sejurus apabila menjejak kaki di surau yang biasa saya berjemaah apabila pulang ke kampung. Wajar sungguh ditanya soalan ini memandangkan saya yang amat jarang pulang ke kampung. Tahu-tahu sudah hampir 5 tahun saya berteduh di ibu kota cinta ini. Sekejap tenggelam, sekejap timbul!

"InsyaAllah, semester ini yang terakhir cikgu."

Yakin Boleh!!!

Sudah agak lama saya ber'uzlah' (sebenarnya mengeram di dalam selimut) di bilik. Kepulangan saya ke kampung selama hampir seminggu mungkin satu langkah baik untuk saya mengaplikasikan teori. Membaca buku banyak mendedahkan teori, maka mari kita mengaplikasi;

1) Men are from Mars, Women are from Venus:

Saya menemani bonda(saya menyebut mak) ke pasar minggu. Cuma saya dan bonda sahaja, tanpa iringan adik-adik. Setiap kali bonda mahu membeli sesuatu beliau akan meminta pandangan saya. Hampir semua. Hatta, setangkai petai mana yang patut dipilih.

Saya akhirnya rimas,

"Ambil je mana-mana mak, tak jadi hal punyalah," saya bernada seloroh tetapi sememangnya itulah yang saya maksudkan.

Oh, ini bonda. Masih berbunga hormatku pada beliau. Bagaimana pula nanti jika halnya menemani 'adinda'?

2) Apabila Allah mahu memberikan kebaikan.....(ini nukilan hadis)

Lihat ragam ramai orang. Sangkanya sudah baik dengan mengejar-ngejar kecantikan, kekayaan dan digelar 'pandai..pandai'.

Kalaulah demikian, sudah lama Aisyhawara Rai digelar wanita baik yang punya kriteria masuk syurga. Sudah lama juga kita letakkan Bill Gate sebagai calonnya. Mungkin sudah lama juga kita meletakkan Stephen Hawkins atau Albert Einstein di dalam senarai pertama.

Tetapi apabila saya duduk ditembok merenung tanah, mengambil batu yang punya hujung tajam sambil melorekkan tanda pangkah. Jawapannya tidak!

Barangsiapa yang Allah inginkan agar ia menjadi orang yang baik, maka Allah akan tafaqquhkan dia dalam (urusan) agama. (Hadis Sahih, Muttafaq 'Alaihi)


Tafaqquhufiddin syeikh! Bererti faham agama. Itulah yang lebih baik untuk kita pilih dan mengejarnya. Apa usaha saya untuk menyedarkan mereka tentang ini?

"Ewan* dah nak dekat Maghrib! Balik mandi!"

*Memperkenalkan adik bongsu berusia 9 tahun.

Mulakan dengan ahli baitmu dahulu...

3) Mesra. Net(resepi masakan)

Malam itu bonda malas hendak memasak. Saya menawar diri untuk memasak nasi goreng kampung.

"Untung kalau lelaki pandai memasak.." puji bonda sambil menyuap butir-butir nasi kemulutnya.

Pandailah konon, jangan anda cuba bayangkan bagaimana rupanya nasi goreng kampung saya?

;

Bagaimana dengan buku lain? Mungkin belum sampai masa dan suasana yang tidak mengizinkan ianya dipraktikkan. Tidak mengapa, mungkin setakat ini masih boleh digunakan di bawah minda sedar(tidur)...



MS Rizal,
Kuala Lumpur,
31 Disember 2008,
2246H,
Entri penutup untuk tahun 2008,
selepas ini tahun 2009 akan menyusul sekaligus menjadi tahun ketiga daku berblogging,
Home: http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Bumi mana tidak ditimpa hujan

>> Monday, December 22, 2008

Semilir angin beralun menghambat sekonyong-konyong kapal ke tengah lautan. Awan turut mengiring membawa bersama kawanan berwarna hitam. Matahari malu-malu memancarkan sinar hendak bermalam di balik puncak banjaran. Bulan sudah bersiap-siap memulakan persembahan.

"Oh, Tuhanku. Tidaklah engkau jadikan ini dengan sia-sia."

Lihatlah alam ini berkerja untuk manusia. Janganlah asyik dalam kealpaan, ayuh bangun mulakan langkah menuju keredhaan Tuhan.

Ajarkan kami ubat kesedihan,

Sudah saya ungkapkan di dalam entri demi sebuah perhatian. Manusia suka berbangga dengan segala kejayaan dan kemampuan. Suka dipuji dan menjadi perhatian ramai insan. Konon dia contoh, tidak perlulah masyarakat untuk heboh-heboh.

Mengapa mengeluh? Engkau tidak tahan cercaan dan hinaan?

"Andai boleh kuludah mukanya, biar menjadi ulat yang lembik dan tak bermaya. Lalu kupijak-pijak. Padan muka!"

Jangan marah. Bangun dan berwuduklah. Sejuknya api bukan kerana bara. Tetapi sejuknya kerana air yang menyejukkan.

Bukankah Imam Hassan Al-Banna pernah berkata;

"Jadilah kamu di kalangan manusia seperti pokok buah-buahan. Mereka melemparnya dengan batu tetapi dia melemparkan dengan buah."


Sanggup anda menjadi pohon buah-buahan?

Kita bukan super power,

Bayangkan kita punya super power, apakah yang kita akan lakukan kepada orang yang menyakitkan hati kita?

Ops, jangan 'fire' lagi!

Sekarang berpijaklah, yang sebenarnya pemilik segala super power itu adalah Allah Taala. Tiada izzah melainkan Allah SWT. Tetapi lihatlah, sekonyong-konyong manusia yang tidak tahu beruntung suka mengherdik dan menghina Allah. Suka mengundang kemurkaan Allah dengan berbuat maksiat. Manusia tidak betah untuk mempertikaikan qada' dan qadar Allah.

Sedangkan pencipta lagikan dikutuk manusia, inikan pula kita sebagai makhluk.

Tetapi Allah masih memberi mereka rahmat dan rezekinya. Masih dibiar mereka menghirup udara yang nyaman dan tinggal di bumi Allah. Bukankah itu salah satu kebesaran Maha pemurah dan Maha penyayang?

Hari yang cerah bertukar menjadi hujan. Gelapnya alam kerana malam. Variasi cubaan untuk melengkapkan putaran insan. Menagih erti kesabaran kerana ianya pasti membuahkan kebahagiaan.




MS Rizal,
Kuala Lumpur,
22 Disember 2008,
0856H,
Home: http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Masih adakah lagi bayang-bayang 16 September?

>> Wednesday, December 17, 2008


"Saya ada berita gembira. 3 minggu lagi syarikat ini akan menaja anda semua bercuti ke Bandung Indonesia selama 3 hari 2 malam," Encik Rahmat pengurus syarikat XXXX menyelitkan pengumuman ketika taklimat pagi kepada semua staf pejabat.

Berita yang cukup menggembirakan semua orang di situ.

2 minggu sudah berlalu, tiada sebarang tindakan susulan yang diberikan oleh Encik Rahmat. Dan beberapa hari sebelum genap 3 minggu, Encik Rahmat mengumumkan pembatalan percutian itu atas sebab-sebab tertentu.
Semua orang hampa dengan pengumuman demikian.


Terlajak perahu boleh diundur,


Umum, individu yang berada di dalam kelompok dipimpin gemar mendengar kata-kata janji daripada pemimpin mereka. Bagi mereka kata-kata janji itu membuahkan harapan dan kegembiraan untuk mereka mengharungi hari-hari esok. Tetapi awas, mereka juga tidak menyukai harapan palsu.
Bentanglah alasan sekukuh mana sekalipun, ianya sekalipun hanya boleh mengembalikan kepercayaan tetapi tidak dapat mengubati kehampaan.

Pemimpin perlu menilai kembali kata-katanya sebelum dilontarkan kepada umum. Kerana silap kata, bukan seorang dua yang kita sakitkan hatinya, tetapi mungkin berpuluh, beratus mahupun berjuta.

Anwar Ibrahim,
bapa reformasi?

Saya tidak boleh menipu diri sendiri. Walaupun saya tidaklah meletakkan keyakinan seratus peratus kepada janji-janji manis beliau namun, ianya tetap mendatangkan kehampaan. Ternyata tarikh 16 September itu bukanlah hari yang perlu diwar-warkan. Kerana tiada apa yang kena dengan tarikh. Cuma lebih elok diceritakan bagaimana caranya pengambil alihan kuasa dan rasional yang dapat diberi jika berlaku pun pengalihan kuasa. Dan paling penting di atas nilai apakah perlunya pengambil alihan kuasa. Tetapi itu semua nampak terburu-buru dan hasilnya cuma retorik semata-mata.

Hendaklah pemimpin-pemimpin berhati-hati dengan mulutnya yang berucap. Takut-takut ianya termasuk di dalam kategori menipu rakyat. Kerana ada amaran keras daripada Rasulullah SAW yang direkodkan di dalam Shohih Muslim, juga disebut di dalam Shohih al-Bukhari;

Dari Al Hassan r.a. katanya:
Ubaidullah bin Ziyad mengunjungi Ma'qil bin Yasar Al Muzani ketika dia sakit hampir meninggal. Kata Ma'qil kepada 'Ubaidullah, "Aku hendak menyampaikan kepadamu sebuah hadis yang kudengar sendiri daripada Rasulullah SAW yang kalau aku yakin bahawa usiaku panjang hadis ini belum aku sampaikan kepadamu.
Aku mendengar Rasulullah SAW, bersabda: "Tidak ada seorang hamba yang dipercaya Allah kepadanya memimpin rakyatnya, kemudian dia mati. Sedangkan pada hari kematiannya dia (masih) menipu rakyatnya, nescaya Allah mengharamkan syurga baginya."


Taksub,

"Dia tidak pernah kalah di dalam setiap peperangan sehingga ada yang berkata kemenangan itu milik Khalid bin Walid," begitulah jawab Umar apabila ditanya mengapa dia melucutkan jawatan panglima daripada Abu Sulaiman itu.

Namun terpujinya sifat Khalid yang tidak tersinggung pun dengan perlucutan jawatan itu dan menyerahkannya kepada Abu Ubaidah ibn al-Jarrah.

Bagaimana agaknya jika saya letakkan Anwar Ibrahim dalam keadaan sebegini. Dia tidak patut menjadi Perdana Menteri kerana dia menjadi pujaan rakyat jelata dengan melampaunya. Mungkin ada penyokongnya yang marah kepada saya...

Anwar Ibrahim tetap manusia biasa yang tidak maksum. Saya risau dengan kata-katanya yang menyihir ramai orang. Selalunya seseorang yang pandai bercakap akan terus bercakap sehingga ia mula bercakap kosong. Dan sebenarnya ada satu yang membuatkan saya tidak berapa selesa dengan beliau semenjak beliau keluar dari penjara. Beliau seperti menuntut jawatan yang patut disandangnya 10 tahun yang lalu; sebagai Perdana Menteri. Maafkan saya jika saya menilainya sebagai meminta-minta jawatan.

Dari Abdurrahman bin Samurah r.a. katanya: "Hai, 'Abdurrahman! Janganlah engkau meminta-minta hendak jadi pembesar negara. Kerana jika engkau menjadi pembesar dengan meminta, tanggungjawabmu akan besar sekali. Dan jika engkau diangkat tanpa meminta, maka engkau akan ditolong orang dalam tugasmu. (Hadis Shohih Muslim)


Melihat pemimpin-pemimpin yang berada di atas, membuatkan saya termenung seketika. Tiada siapa yang boleh menuding dia berada di pihak yang benar sekalipun dia berada di jalan parti hijau atau parti keris taming sari. Kerana saya percaya prinsip parti berasaskan agama atau bangsa punya halatuju yang baik yang akhirnya dapat memenangkan Islam. Cuma tangan yang mengadunnya membuatkan prinsip itu kabur dan tidak sampai.

Anda minat politik? Berhati-hatilah kerana sukar untuk membuang tohmah dan fitnah bila anda terjun ke dalamnya.


p/s: Blog ini bukan blog politik, saya jadi hairan apabila sudah lama ianya tersenarai di dalam Beras-padu.pit. Tetapi... mungkin elok juga dikekalkan untuk ch
eck and balance.




MS Rizal,
Kuala Lumpur,
17 Disember 2008/19 Zulhijah 1429H
1021H
Home: http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Tuan, ajarkan saya sehingga faham!

>> Monday, December 15, 2008

Terima kasih kerana memahami...

Jari-jemari ini menari selepas diri diziarahi Jamaat Tabligh. Sekali lagi saya diajak mengikut serta.

"Kalau boleh ikut kami ziarah sekaranglah, kalau tidak boleh hari lain pun tidak mengapa," senior saya meminta dengan adab.

Saya menolak dengan baik.

Apa itu menyampaikan?

Suasana pagi itu dingin, angin sepoi-sepoi bahasa. Kami sudah selesai morning exercise, duduk berehat di atas podium menghadap kolam renang. Mari kita mulakan sesi perbualan dengan mengumpat...erk.

Topik yang paling dekat dengan kami hari itu adalah keputusan peperiksaan yang baru keluar semalamnya. Alkisah ada subjek yang kurang memberangsangkan keputusannya. Maka sasaran tembakan tentunya terhadap pensyarah yang mengajar.

"Aku tidak kisah kalau lecterur itu nak marking kertas ikut skema. Tapi diri sendiri itu kena pandai mengajarlah dahulu," seorang rakan meluahkan perasaan.

"Susah juga dapat lecterur yang pandai sangat ini. Banyak perkara dia akan ambil mudah. Akhirnya kitalah yang jadi susah." Tembakan kedua yang mencari sasaran.

"Ya betul, ramai orang mengaku dia pandai. Tetapi bukan semua orang pandai yang boleh mengajar orang lain supaya jadi betul-betul pandai."

Mengajar sehingga betul-betul pandai! Pemikiran saya terarah kepada guru-guru saya semasa sekolah rendah. Ya, mungkin tahap kita yang sudah berada di Universiti. Silibus mencanak petak dan bersegi, memandang enteng untuk mengajar 123 dan ABC. Tetapi untuk kita angkuh dan berkata itu senang sahaja, amatlah tidak patut. Ingatlah asal kita adalah daripada lopong dan menganga. Cikgulah yang menyuapkan ilmu, memberi belaian dan pujian ransangan;

"Cantik tulisan 'a' kecil Rizal ini," puji cikgu seawal darjah satu yang cukup bermakna kepada saya.


Mengajar supaya betul-betul pandai,


Sifat mengajar, menyampai dan mendidik sehingga betul-betul pandai adalah sifat Rasul yang mulia. Nabi SAW sentiasa mengajar dengan hikmah dan menggunakan pendekatan senang. Malah berbeza pula cara penyampaian mengikut waktu dan ketika. Sahabat baginda dilarang bertanya soalan remeh sedangkan berbeza dengan arab badwi yang datang bertanya.

Anas r.a meriwayatkan di dalam shohih bukhari bahawa Nabi SAW apabila mengucapkan satu patah perkataan diulanginya sampai tiga kali sehingga orang mengerti maksudnya. Nabi SAW juga tahu cara mengelakkan orang bosan dengan penyampaiannya, seperti mana diungkap dengan hadis di bawah,

Berkata Abu Wail r.a. katanya: "Abdullah (bin Umar) mengajar suatu jemaah setiap hari Khamis.
Seorang lelaki berkata, "Hai, Abu Abdurrahman, saya berharap supaya tuan dapat mengajar kami setiap hari."

Jawab Abdullah, "Saya khuatir, kalau-kalau anda semua menjadi bosan. Saya memilih waktu yang baik, sebagaimana juga Nabi SAW memilih waktu yang baik untuk kami belajar, supaya kami tidak bosan."
(Hadis Riwayat Bukhari)


Biasa saya melihat guru yang fed up untuk mengajar. Lantas dibiar sahaja murid-murid terkontang-kanting. Walhal bukan murid-murid yang tidak reti bahasa. Cikgu..jangan malas untuk asah bakat menyampai dan mengajar. Tidak sedarkah bahawa ilmu adalah hikmah(ilmu yang hak) yang diberi oleh Allah Taala. Tempatnya juga pada yang hak. Jangan sia-siakannya.

Jangan diberi alasan tidak pandai mengajar. Kalau begitu orang itu juga tidak layak diajar. Belajar adalah proses sehala. Mengajarlah untuk menjadikannya dua hala. Bukankah mahsyur hadis juga menyebut tentang proses dua hala ini;

Sebaik-baik kalian adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya. (Hadis Riwayat Bukhari)


;

Saya menerima mesej daripada YM, "slmtkn diri anda...5 minit*(gelaran sinis untuk Jamaah Tabligh di sini) ada kat aras anda..." Saya marah, lalu membalas dengan hamparan maksud surah Nuh kepada empunya angkara.




MS Rizal,
Kuala Lumpur,
15 Disember 2008,
0021H,

http://msrizal.blogspot.com/ Continue Reading...

Read more...

Ayam yang menemani subuh

>> Saturday, December 13, 2008

Nyaring ayam berkokok....
Terasa mahu dilastik sahaja ayam ini. Mengganggu orang seawal pagi. Tunggu dulu, jangan terburu-buru! Ayam itu punya kebaikan pengajaran. Mengejut orang diwaktu dinihari. Mengorbankan dagingnya buat santapan harian dan juga kenduri.



Ambillah ibrah(pengajaran) kokokan ayam...
Ayam mengejutmu seawal 5 pagi,

"Bangun manusia! Bangun! Ada yang lebih baik nilaiannya diwaktu ini.
Keuntungan berlipat-ganda yang Allah janji. Apa yang membuatkan kamu malas tak terperi? Selimut tebalkah, atau tilam empuk semalam yang kau beli?"

Ah, sedapnya tidur...Sibuk sahaja ayam ini! Hah, apa yang keuntungan yang Allah janji itu wahai ayam?

"Eh, kamukan tahu sendiri? Kamukan baca kitab dan mengaji. Mengapa aku pula sasaran soalanmu ini? Tetapi aku tahu ada yang menarik...ada yang akan tertarik.."

Sudah..sudah..aku malas nak buka kitab. Kau sahaja yang patut menerangkan wahai ayam!

Dahulu aku terserempak dengan orang berjalan diwaktu subuh menuju ke masjid. Dia tersenyum padaku dan memberikan salam buatku. Aku melihat wajahnya cukup bahagia dan bercahaya, ku tanya dia apa rahsianya?
Dia berkata, waktu inilah terasa indahnya membaca doa cahaya, dia mengajarkan padaku doanya,

"Ya Allah, jadikanlah pada hatiku cahaya, pada lidahku (percakapanku) cahaya, pada pendengaranku cahaya, pada penglihatanku cahaya, dari atasku cahaya, dari bawahku cahaya, dari kananku cahaya, dari hadapanku cahaya dan dari belakangku cahaya, Jadikanlah dalam diriku cahaya, besarkanlah cahaya bagiku dan agungkanlah cahaya bagiku. Jadikanlah bagiku cahaya serta jadikanlah diriku cahaya. Ya Allah, berikanlah kepadaku cahaya dan jadikanlah dalam urat sarafku cahaya, dalam dagingku cahaya, dalam darahku cahaya, pada rambutku cahaya dan pada kulitku cahaya".

Oh, itu doa ke masjid aku sudah hafal. Tinggal aku sahaja tak berkesempatan ke masjid. Mana dia kelebihan itu wahai ayam?

Tidak berkesempatan atau lemah iman pada diri?
Hmm, Dia mengatakan bahawa waktu subuh adalah waktu paling indah berjemaah. Suasana hening , tinggal suara imam yang merdu memecah sunyi. Katanya lagi, di dalam waktu ini terdapat solat sunat yang fadhilatnya melebihi apa yang ada di dalam dunia dan isi. Aku fikirkan dengan otak aku yang kecil ini, solat sunat sudah begitu fadhilatnya apatah lagi solat fardu yang dikerjakan berjemaah.


Oh, begitu? Lagi..apa lagi yang diberitahu?

Katanya lagi orang yang hadir berjemaah isyak ianya seakan-akan telah mengerjakan solat setengah malam. Dan orang yang hadir berjemaah subuh ianya seakan-akan telah mengerjakan solat satu malam penuh. Katanya lagi ada khabar gembira kepada orang-orang yang banyak berjalan dalam kegelapan menuju ke masjid dengan cahaya yang sangat terang pada hari kiamat. Dan janji besar yang mungkin 'kalau' kau beriman kau akan menyukainya, sesiapa yang solat dua waktu yang dingin akan masuk syurga. Selepas menerangkan itu dan ini, dia pun berlangkah pergi.

Eh, aku berimanlah! Mengapa disebut perkataan 'kalau'? Wah itu besar sekali fadhilatnya. Apa tuntas yang kau buat selepas itu?

Aku lihat ramai manusia yang tidur sewaktu azan subuh berkumandang. Ramai juga yang bangun di hujung-hujung waktu untuk solat kemudian tidur kembali. Hah, dahulu orang munafik sahaja yang tidak mahu untuk bersolat subuh. Sekarang orang yang mengaku beriman pun turut sama. Aku geram..aku berkokok kuat-kuat! Ada yang bangun memekik dan memaki-maki, tidak kurang juga yang mencapai lastik mahu menggertak dan mahu aku cabut lari.

Aduhai, jika kufikir kalau begini mudahlah musuh hendak menakhluk negara. Di awal-awal subuh sudah menang tanpa bertanding. Aduhai, tidak fikirkah mereka ini kelakuan siapa? Kelakuan musuh Islam yang mana mereka diperangi oleh panglima-panglima hebat seawal-awal pagi. Nabi SAW tidak memulakan peperangan di Khaibar sehinggalah menunggu subuh. Sallehuddin al-Ayyubi menang peperangan Hittin dengan permulaan subuh. Bukankah ini bukti doa keberkatan awal pagi yang diucapkan Nabi SAW buat umatnya?

Sungguh subuh itu satu ujian. Alangkah indahnya jika kita salah seorang yang menggagahi ujian ini.




MS Rizal,
Kuala Lumpur,
15 Zulhijah 1429H,
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Andaiku pantas berlari

>> Wednesday, December 10, 2008

Bagaimana saya mahu memulakan mukadimah ini? Dengan menulis dialog senyum? Tetapi bukannya saya senyum sentiasa, kadang-kadang intonasinya menjadi sedih pula. Adakah dengan menerangkan pangkal permulaan cerita atau bagaimana?


Saya menemani Syafiq menonton filem hebat Singapura keluaran tahun 2003 'Homerun'. Filem ini berlatarbelakangkan kehidupan adik-beradik yang hidup di dalam serba kesusahan pada tahun 1965. Suatu tarikh yang simbolik kepada perpisahan antara Malaysia dan Singapura. Mungkin ada di antara kita yang tidak pernah mendengar pun tentang filem ini. Bagaimana mungkin, filem ini disekat daripada ditayangkan di Malaysia kerana sindiran politik yang sinis terhadap ikatan yang penuh pantang larang antara Malaysia dan Singapura.

Letakkan isu sindiran itu ditepi. Bukan itu mesej sebenar yang mahu disampaikan. Ini kisah tentang kesusahan, persahabatan dan kasih sayang antara adik beradik yang cukup menyentuh perasaan.
Pengarah filem ini Jack Neo telah mengadaptasi filem hebat dari Iran, 'Children of Heaven'. Dimana kisah dua beradik yang terpaksa berkongsi kasut untuk ke sekolah akibat kemiskinan. Begitu juga untuk cerita ini si adik perempuan, Chew Seow Fang yang terpaksa berlari seusai pengajian sesi pagi di sekolah untuk bertukar kasut dengan si abang, Chew Kiat Kun yang bersekolah pada sesi petang pula.

Sering kali Seow Fang lewat untuk bertukar kasut dengan abangnya yang sudah menanti di pertengahan jalan. Akibatnya Kiat Kun sering di denda pengetua yang rajin menunggu pelajar di hadapan pintu sekolah.

Tan Beng Shoon muncul sebagai watak anak orang kaya yang sering mempergunakan Kiat Kun untuk menyiapkan kerja rumahnya. Habuannya dia akan menaja kasut bola untuk Kiat Kun dan rakan-rakannya bermain bola. Juga tidak ketinggalan sepasang kasut untuk adik perempuan Kiat Kun. Tetapi Beng Shoon seringkali mengkhianati perjanjian dan sering kali mengambil kesempatan terhadap Kiat Kun. (Anda fikir watak ini simbolik untuk siapa di mata mereka?)

Akhirnya Kiat Kun menyertai satu pertandingan larian semata-mata untuk mendapat tempat ketiga di mana hadiahnya berupa sepasang kasut. Dia perlu menang untuk menghadiahkan kasut itu kepada Seow Fang.

Filem ini telus pada kehidupan. Latar belakang kesusahan membuatkan sesiapa sahaja akan berfikir, kebahagian itu sesuatu yang bukan terletak pada material dan kekayaan. Kesusahan juga membuatkan dua adik beradik Chew ini menjadi kuat mengharungi kehidupan. Ikatan adik-beradik sering membuatkan mereka saling belajar tentang erti persaingan dan bantu membantu untuk berjaya di dalam kehidupan.

Memetik kata-kata Bob Hope yang dinukil di dalam buku Zabrina A. Bakar, 'Life is an Open Secret';

"I grew up with six brothers. That's how I learned to dance-while waiting for the bathroom."

Syabas untuk filem hebat ini!





MS Rizal,
Kuala Lumpur,
12 Zulhijah 1429H,
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Hujan renyai-renyai di pagi Aidiladha

>> Monday, December 8, 2008

"Allahuakhbar..Allahuakhbar..Allahuakhbar.."

Puji takbir dan tahmid hamba laungkan buat pemilik semesta alam.
Ya Allah, hamba ini kerdil sebenarnya. Maka itu tidak layak untuk hamba ini membesarkan diri apatah lagi sombong dan angkuh berjalan di bumiMu.

Ya Allah, ampunkanlah dosa hamba, dosa kedua ibu bapa hamba, dosa muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat sama ada yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia.

Saban tahun kita menyambut Hari Raya Aidiladha dengan takbir dan tahmid memuji Ilahi. Gema takbir itu bisa meruntun jiwa-jiwa yang sentiasa merindui tuhannya. Tangis air mata mengalir bukan tangis dibuat-buat apatah lagi bukan kerna mengingat satu-persatu detik nostalgia lampau. Ianya hadir dengan penuh harapan. Harapan moga kalimah agung inilah yang kembali bergema menggegar dunia suatu hari nanti.

Tidak lengkap rasanya kita meraikan tarikh tanpa menyebutkan asbab dan puncanya. Sesungguhnya hari raya ini adalah di antara dua hari raya yang disyariatkan Allah kepada Nabi SAW.

Anas bin Malik r.a. berkata: Nabi SAW datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main(bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda:

"Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari raya yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri." (Hadis riwayat al-Nasai, di dalam Sunan al-Nasa'i)

Kita sering mendengar kisah pengorbanan Nabi Ibrahim as untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail as. Moga-moga kita menghafal dengan baik kisah ini dan ada ibrah yang dapat diambil daripadanya.

Namun jika melihat penuh sesaknya orang-orang yang wukuf di Arafah, kemudian Musdalifah dan mengerjakan rukun-rukun haji lain. Kita tidak boleh lepas daripada menyorot peristiwa yang berlaku sebelum hari-hari penakhlukan Makkah itu sendiri yang digelar Fathul Makkah.
Bagaimana ianya bermula dengan perjanjian Hudaibiyah pada tahun ke-6 hijriyah, kemudian tahun ke-7 Hijriyah dan tahun ke-8 bermulalah Fathul Makkah.

Datanglah Umar al-Khattab bertanyakan kepada Rasulullah SAW, menyatakan ketidakpuashatinya akan perjanjian Hudaibiyah. Sedangkan sangkanya Nabi SAW telah berjanji bahawa mereka akan mengerjakan tawaf di Baitullah. Rupanya Rasulullah SAW berjanji, tetapi bukan untuk tahun itu. Perancangan Allah Taala amatlah besar.

Ketika peristiwa ini berlaku turunnya surah al-Fath, dan Nabi SAW membacakannya kepada Umar. Dengan itu barulah Umar merasa tenang.

Nabi SAW lalu menggesa sahabat-sahabatnya menyembelih ternakan kurban dan bercukur.

Saat kita melaungkan takbir. Jangan lupa bawakan juga semangat ini. Semangat kemenangan Islam. Menangislah kerana ini dan juga kerana takutkan Allah Taala. Bukan tangis sebak dan sedih kerana tidak pulang berhari raya.

Allahuakhbar!!!

Pagi raya yang tetap indah bersama rakan serumah; dari kiri Syafiq, Shamil, Shah Rizal dan Sukri.

Salam Aidil Adha!!!

MS Rizal,
Kuala Lumpur,
10 Zulhijah 1429H,
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Merangkak-rangkak kubelajar kantonis

>> Friday, December 5, 2008

"Yatt, yee, sam, se'...."

Pelik benar raut muka rakan saya melihat mulut saya terkumat-kamit menghafal sesuatu.

Saya tersenyum.

"Aku tengah mengira dalam bahasa kantonis ini ha!" saya menjelaskan.


Azam saya! Sebelum menamatkan pengajian yang masih berbaki satu semester ini, saya berazam mempelajari bahasa kantonis dengan seorang rakan berbangsa cina. Bukan saya tidak biasa dengan bahasa kantonis, saya pernah bersekolah harian sewaktu tingkatan 1 hingga tingkatan 3 dahulu.

Kelas saya ketika itu seimbang kapisitinya antara bangsa melayu dan bangsa cina. Adalah tambahan dua orang berbangsa india. Saya selesa sebenarnya sekelas dengan bangsa cina ini. Bukan cina bandar yang fasih berbahasa Inggeris. Tetapi cina kampung yang ada segelintirnya hanya boleh berbahasa kantonis. Bayangkan situasi saya yang dilantik menjadi ketua kelas pula ketika itu!

Saya belajar sedikit, sedikit bahasa kantonis. Tetapi tidaklah sehingga fasih.

"Seefat aucho!!!"teriak Chea Kar Wah kepada seorang rakan lain. Terburai ketawa rakan-rakannya yang lain!

Terpinga-pinga saya dibuatnya. Lepas diselidiki barulah tahu maksudnya. "Punggung busuk!!!" ceh, bahasa longkang! Apa punya turr...

Saya tidak melihat kepentingan belajar bahasa kantonis melainkan selepas berkecimpung di dalam lapangan tarbiyah. Menyesalnya saya selama 3 tahun duduk di dalam kelas yang sama dengan bangsa cina tetapi tidak dapat mengusai bahasa kantonis dengan baik. Alangkah beruntungnya kelebihan ini digunakan di dalam lapangan dakwah. Amat besar impaknya.

Menteri Besar Perak,

Menteri Besar Perak mempunyai kelebihan yang jarang terdapat pada pemimpin politik yang lain. Beliau boleh berbahasa cina dan tamil. Malah sewaktu dijemput pertama kali berucap di forum "What's coming next" yang kebanyakannya dihadiri bangsa cina, MB Perak telah menyelitkan sedikit bahasa mandarin, kantonis dan tamil. Sungguh ucapannya itu membuatkan bangsa cina terpukau dan kagum dengan kemampuan beliau.

Saya melihat perkara ini di dalam ruang lingkup dakwah. Dakwah yang berjalan dari semenanjung arab diserakkan ke merata dunia dengan asas-asas yang tidak membebankan penganutnya. Islam tidak memaksa untuk memeluknya mereka terpaksa belajar bahasa Arab terdahulu. Tetapi cukuplah ianya bermula dengan akidah yang sejahtera terlebih dahulu. Kemudian barulah belajar sedikit demi sedikit tentang asas-asas ibadah yang memerlukan hafalan bahasa arab, juga mempelajari al-quran yang diturunkan di dalam bahasa arab.

Islam datang tidak menghapuskan budaya,

Islam tidak datang untuk menghapuskan budaya. Malah meraikan budaya yang tidak langsung bercanggah dengan akidah. Sinis saya memandang individu yang memaksa untuk seseorang memakai songkok sedangkan orang itu tidak mahu. Apa kapasti yang digunakannya? Perlembagaan pun tidak pernah memaksa.

Pendakwah perlu berfikir dan berusaha,

Untuk mendekati bangsa yang bukan melayu perlulah bijak dan berhati-hati. Jangan sesekali melabel mereka dengan gelaran yang tidak mereka sukai. Jangan sekali memandang mereka jijik, sedangkan diri sendiri belum tahu kebersihannya. Mereka akan lebih selesa dengan pendekatan kita jika kita juga selesa untuk bermesra dengan persekitaran mereka. Bonusnya berbicara dalam bahasa mereka. Sampaikan keindahan Islam di dalam bahasa mereka. Percayalah mereka akan cepat jatuh cinta!

"Hmmph.."

"Apa hmmph?" rakan saya bertanya.

"Hmmph itu '5' lah.." saya menjelaskan.

"Bukan 'Wu' ke?"

"Itu mandarinlah!"

Bahasa yang melembutkan hati pemilik bangsanya!




MS Rizal,
Kuala Lumpur,
4 Disember 2008,
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Erti mehnah di dalam kehidupan

>> Thursday, December 4, 2008


Datang seorang sahabat kepada saya mengadukan mehnah(ujian) besar yang bakal ditempuhinya.
Mehnah ini bukanlah mehnah calang-calang, mehnah berupa iman dan harga diri sebagai seorang mukmin muttaqqin.
Saya agak tergamam mendengarkan ceritanya. Dari butir-butir katanya terjelma keikhlasan untuk tetap setia memegang tali Allah ini.

Saya bermonolog di dalam hati, "Ketahuilah sahabat, saya juga bakal menemui mehnah sebegitu rupa. Malah mungkin lebih sukar lagi..."

Marilah... Saya mahu mendendangkan suatu cerita wahai sahabat. Cerita berlaku di awal kedatangan Islam.

Kenalkah kamu dengan Khabbab bin al-Arit?

Beliau pernah mendatangi Rasulullah SAW pada suatu hari dalam keadaan lemah akibat penderitaan. Ketika itu Rasulullah SAW sedang sayup-sayup berteduh di bawah naungan Kaabah. Khabab bin al-Arit mengadu kepada Rasulullah SAW, "Wahai Rasulullah SAW, apakah anda tidak memohon perlindungan bagi kami? Apakah anda tidak berdoa bagi kami?"

Ketika itu telah berlaku bermacam-macam siksaan yang menimpa umat Islam. Tidak terkecuali juga Khabab. Khabab adalah seorang tukang besi. Dia juga turut disiksa. Orang kafir datang kepadanya lalu mencucuk besi panas ke pahanya sehingga masak pahanya dek kepanasan besi.

Namun, Nabi SAW bukanlah tidak pernah memikirkan tentang kesengsaraan orang Islam.

Nabi SAW lantas menjawab,

"Di antara orang-orang sebelum kamu dahulu ada yang disiksa dengan ditanam hidup-hidup, ada yang dibelah kepalanya menjadi dua, dan ada pula yang disisir rambutnya dengan sisir besi hingga kulit kepalanya tergelupas! Tetapi ini semua tidaklah menggoyahkan tekad mereka untuk tetap mempertahankan agama ini.

Demi Allah, Allah pasti mengakhiri semua persoalan ini! Sehingga orang ramai akan berani berjalan dari Shan'a ke Hadramaut tanpa rasa takut kepada sesiapun kecuali Allah. Jika takut pun hanyalah risaukan kambingnya diserang serigala.

Tetapi kamu, nampak seperti terburu-buru!"

Renungkanlah, jika orang yang seperti Khabab itu dikatakan terburu-buru. Apatah lagi kita ini?

Wahai sahabat, keimanan itu bukanlah slogan yang boleh diungkap semata-semata. Ianya tidak dapat dibuktikan hanya dengan kepetahan lidah mengungkap ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis. Ianya bukan dilihat pada pakaian kopiah berserban serta janggut yang panjang. Ketahuilah sahabat, ianya telah dinyatakan oleh Allah di dalam ayat yang popular ini, Al-Ankabut(1-3):

Alif laam miim, Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.


Inilah sunnatullah yang ditetapkan. Sesiapa mengaku beriman mestilah diuji. Ujian inilah yang membezakan sama ada seseorang itu benar-benar beriman atau sekadar berpura-pura. Ketahuilah sahabat, sunnatullah ini tidak akan pernah berubah sama-sekali. Malah ianya juga yang telah dilalui para anbiya' terdahulu. Demikian juga diwariskan kepada sahabat-sahabat, para ulama' dan mujahidden, kemudian akhirnya kepada kita yang mengaku mahu beriman kepada Allah dan RasulNya. Inilah harga yang perlu dibayar untuk syurga sahabat. Harga itu bukan murah. Ianya telah dibayar dengan siksa dan pengorbanan nyawa oleh orang-orang terdahulu.

Sahabatku, prinsip dan keimananmu itu sentiasa akan direbut dan didengkikan orang yang jahat. Mereka akan datang untuk menendangmu dari setiap sudut supaya ianya akan tercampak keluar. Ikatlah ianya baik-baik sahabatku. Kerana sekali ianya terkeluar maka ketika itu engkau sudah boleh diibaratkan seperti bangkai anjing. Tahukah kamu nilaian bangkai anjing itu? Orang tidak akan lagi menendang bangkai anjing lagi, malah mereka sendiri jijik melihatnya.

Ingatlah sahabatku, walau bagaimana pun ujian menimpamu. Pertolongan Allah itu amat dekat...amat dekat sahabatku..amat dekat..InsyaAllah.

Benih iman yang kau tanam hari ini,
janganlah engkau harap ianya tumbuh segera,
ianya memerlukan air, cahaya dan udara.
Ianya juga tidak lepas dari ribut dan gangguan serangga.

Jagailah ianya dengan baik,
kita akan sama-sama menunggu hasilnya sahabat,
kita akan melihat ianya tumbuh menjadi pohon yang segar,
kita akan terpesona melihat dahan, ranting dan daun-daunnya yang cantik,
kita akan memetik buah-buahnya yang lazat.
Doakan kesejahteraan kita bersama.






MS Rizal,
Kuala Lumpur,
4 Disember 2008,
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Menanti mentari yang belumkan pasti

>> Monday, December 1, 2008

Badan saya agak letih untuk menaip...

Saya sengaja biarkan blog ini tidak bertulis beberapa hari, niat untuk mengasah gergaji. Saya tidak banyak pengalaman untuk ditulis. Juga tidak banyak falsafah untuk diungkap. Apatah lagi ilmu yang cuma sedikit. Tetapi mudah-mudahan perkongsian saya yang sedikit selama ini, ada kebaikannya untuk kita sesama muslim. Tekad saya menulis untuk memandaikan manusia!

InsyaAllah rakan-rakan saya akan bergraduasi 4 Dis ini. Menariknya, mereka akan menerima dua anugerah sekaligus. Pertama sudah tentunya scroll Ijazah Sarjana Muda. Dan keduanya watikah tauliah sebagai Pegawai Angkatan Tentera berpangkat Kapten setaraf disampaikan oleh SPB Yang Dipertuan Agong. Dan inilah acara kemuncak sebenarnya.

Umumnya Universiti lain apabila menunggu hari-hari graduasi akan pulang ke kampung, isi borang kerja dan menunggu untuk majlis konvokesyen pula. Atau yang beruntung terus sahaja memulakan kerjaya.

Tetapi tidak di sini.

Apabila tamat sahaja semester terakhir, kami akan dihantar untuk latihan fasa terakhir sebagai pegawai kadet selama 3 bulan. Pulang sahaja daripada latihan fasa terakhir, menanti pula latihan perbarisan yang memakan masa hampir 2 bulan setengah. 2 bulan setengah itu mungkin lama bagi sesetengah individu. Tetapi inilah tempoh latihan yang rasional kerana perbarisan pertauliahan yang memakan masa hampir 45 minit itu bukanlah senang untuk memastikan kesempurnaannya.



Practice make perfect! Latihan membuahkan kesempurnaan!

Menanti giliran saya akan menyusul pula tahun depan. Saya masih berbaki satu semester insyaAllah~result sem lepas belum keluar, apa-apa kemungkinan boleh berlaku.

Hakikat pangkat bukanlah untuk dikejar dan dibangga-banggakan, tetapi ianya amanah yang punya hisab dan pertanggungjawaban.
Selamat bergraduasi dan tauliah buat rakan-rakan dan senior-senior ku!!





MS Rizal,
Kuala Lumpur,
1 Disember 2008,
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP