Mimbar yang memegang hak umat Islam

>> Thursday, November 27, 2008

Berulang kali saya membelek teks yang berada di tangan. Zikirnya ada, fikirnya mana?

Saya diminta untuk menggantikan khatib pada solat jumaat minggu lepas atas sebab-sebab tertentu. Namun awalnya, saya menjadi keberatan mengenangkan kepura-puraan yang perlu saya tanggung. Apa yang perlu saya lontarkan bukan datang dari hati saya, malah mungkin sesetengahnya langsung saya tidak saya setujui. Saya berlatih, setiap kali sampai di pertengahan teks, saya berhenti. Saya tidak mampu meneruskan.

"Apa ini? Ini? Ini?.." saya memprotes sendirian sambil tangan menconteng-conteng isi khutbah yang yang tidak perlu.


Saya sering kecewa dengan isi khutbah Jumaat, lebih-lebih lagi teks khutbah khas JAKIM. Berapa lama agaknya individu yang menulis khutbah ini tidak membaca akhbar dan menonton berita. Fakta picisan yang bukannya umat ini tidak perlu tetapi tidak sesuai dengan keadaan sekarang.

'Oleh itu janganlah kita meminum arak, menghisap dadah, pil kuda, pil khayal, ubat batuk...etc..

Statistik penghidap HIV yang diperolehi adalah sekian...sekian....'

Lesu!

Tolonglah...Isu HIV sudah diulang sejak sedawarsa yang lalu!

Jika saya naik ke atas mimbar hanya kerana ini, maka ini bukan kenangan manis untuk pengalaman pertama membaca khutbah. Di luar pengetahuan Mejar Ustaz Daud yang mengamanahkan, saya akhirnya mengubah hampir 70% teks JAKIM ini.

Saya memilih isu 'pengkid' yang sedang hangat menjadi topik perbualan. Juga isu aurat yang sudah lama khatib-khatib menegaskan setakat apung-apungan sahaja. Maaf, saya tidak membawa ayat yang terapung kali ini, saya membawa hadis shohih berbaur amaran!

Saya merenung mimbar. Aduhai mimbar, sudah lama engkau tidak diduduki khatib yang benar-benar memegang amanah Rasulullah SAW. Bukankah selayaknya engkau begitu? Engkaulah menjadi saksi pemuka hebat yang memegang masalah ummah.

Bukankah engkau menjadi saksi khutbah terakhir Nabi SAW yang memakai selimut tebal di kedua bahu baginda, dan memakai ikat kepala dengan kain warna abu-abu? Juga bukankah engkau menjadi saksi Umar ibnu Abd Aziz yang mengibas-ngibas lengannya kerana mahu mengeringkan baju yang kebasahan? Engkau jua yang menjadi saksi ulama'-ulama' yang tidak takutkan pemerintah menghentam mereka di benteng utuhmu. Dan engkau juga menjadi saksi ada di antara mereka yang ditarik turun kerana terlalu tajam bahasanya.

Tamam,

Alhamdulillah, ianya berlangsung dengan baik, walaupun terdapat sedikit ketersasulan yang perlu saya perbaiki. Feedback yang baik datang daripada rakan terdekat, tidak kurang juga daripada pegawai yang hadir. Kelainan yang mereka rasai membungakan harapan di hati. Bukan pujian yang saya harapkan, segala pujian itu layak dikembalikan kepada Allah Azzawajjalla jua. Niat saya untuk naik mendidik sidang Jumaat melalui mimbar ini sekurang-kurangnya berjaya.

Saya tidak mahu menyalahkan JAKIM 100%. Mereka tetap mempunyai sumbangan besar kepada umat Islam di negara ini. Tetapi saya berharap tekanan yang datang dari berbagai sudut kearah mereka dapat dijadikan ibrah untuk melakukan perubahan kearah kebaikan. Mimbar jumaat adalah lidah rasmi penyelesaian isu semasa umat Islam. Zikir dan fikirlah, kembalikanlah hak sidang Jumaat yang hilang ini!


MS Rizal,
Kuala Lumpur,
27 November 2008,
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Namun kupunya angan-angan

>> Tuesday, November 25, 2008

Amaran: Entri di bawah ini bersifat 'poyo'. Ditulis atas kepentingan peribadi. Dan agak panjang berbanding yang biasa-biasa. Ianya akan memotong banyak masa anda. Jika anda rasa ianya memualkan, maka saya rasa anda tahu apa itu kombinasi kekunci Alt+F4.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


MS Rizal selesai menghadam sebuah buku. Dia merenung jauh ke arah dinding berwarna putih di hadapannya. Tiba-tiba dia tersenyum bersendirian, apa yang membuatkannya tersenyum seorang diri? Berangan barangkali. Mari kita lihat angan-angannya;

;

"Aku mengimpikan seorang permaisuri buat peneman diri suatu hari nanti. Cuba kucari namanya, kulihat wajahnya, kusebut namanya, kuelus rambutnya dan kucium dahinya. Tetapi semua itu kabur dan tidak jelas, barangkali belum sampai masanya lagi.

Di malam dini hari, dia mengejutkan aku yang sedang nyenyak tidur. Barangkali waktu itu aku sedang mimpikan umat yang sedang segar membangun, menuju kearah matlamat jelas. Menegakkan syariat, gagah sekali umat ketika itu. Tetapi tiba-tiba aku merasakan ada percikan air di muka. Kubukakan mata, kulihat permaisuriku tersenyum kearahku seraya berkata, "Maaf abang, abang yang minta kejutkan begini. Mari kita solat tahajud." Aku mengucapkan hamdallah.

Keesokan malamnya, dia pula kuperlakukan begitu. Kukejut secara perlahan bahunya, sambil aku memanggil namanya perlahan. Kami pun bersama-sama mendirikan solat di malam yang hening itu diwaktu kejiranan mungkin sedap tidur mengiring.

Dia ladang yang baik, yang kupinta petani-petani yang baik mencarinya. Dia kutabur dengan benih yang baik, yang kujaga ia dengan jalan mujahadahku ketika aku masih pemuda. Aku mahu memetik hasil yang baik juga dari ladang yang baik ini.

;

"Abi! Abi! Bacakan Asim suatu cerita," anak sulungku meminta.

Waktu itu aku sedang berusaha untuk mengajak mereka supaya lekas tidur. Agar, esok-esok pagi, kita berjemaah subuh sama-sama di Masjid.

"Yelah, Abi ceritakanlah kami suatu cerita," adik perempuannya pula meminta.

"Baiklah, tetapi nak cerita pasal apa ya?" aku menurut, sambil membelai ubun-ubun mereka lantas mencium mereka satu-persatu.

"Harimau!! Harimau!! Abi ceritalah pasal harimau!" anak sulungku meminta.

"Tak nak, harimau tak best! Abi ceritalah pasal kambing biri-biri. Kambing biri-biri itu cantik." anak keduaku meminta pula.

"Hah, baiklah. Abi ambil kedua-duanya jadi suatu cerita. Nak dengar tak?"

"Nak!!!"

Ada seekor anak harimau, dia tersesat. Lantas dia berjumpa sekawan kambing biri-biri liar. Dia pun masuk ke dalam kumpulan kambing biri-biri itu dan dijadikan anak oleh seekor ibu biri-biri. Walhal ibu biri-biri itupun sudah punya anak-anaknya. Lalu anak harimau itu berkongsi susu yang sama, bermain-main dan tinggal bersama. Sehingga dia membesar menjadi watak seekor kambing biri-biri. Mengembek dan makan makanan yang sama dengan kambing biri-biri yang lain.

Suatu hari datang seekor serigala mahu menerkam kambing biri-biri liar. Kambing biri-biri liar itu cepat-cepat lari ketakutan. Begitu juga anak harimau yang telah dewasa itu. Dia pun turut sama mengembek dan ketakutan. Serigala itu akhirnya berjaya menerkam seekor kambing anak kepada ibu angkat harimau itu. Ibu biri-biri itu menyuruh harimau itu menolong. Tetapi anak harimau itu takut. Ibu biri-biri itu menolak juga anak harimau yang telah dewasa itu ke depan.

"Kau harimau gagah, kau lawan serigala itu. Tolong adikmu itu." ujar ibu biri-biri itu.

Anak harimau itu pun melangkah ke depan. Dia mengembek, dan berlari menuju kearah serigala tersebut sambil kepalanya bersedia untuk meranduk serigala.

"Abi, geli abi!" anak perempuanku mengekek apabila ku sondol-sondol perutnya lembut.

Serigala sempat mengelak dan menyerang kembali harimau tersebut. Digigitnya anggota badan harimau itu. Anak harimau mengembek kesakitan. Habis calar-balar badannya. Anak harimau itu tidak berdaya lagi. Serigala itu telah menang dan mula memakan kambing biri-biri yang diserang tadi.

Ibu kambing biri-biri itu cukup kecewa. Dia tidak mahu, bercakap dengan anak harimau tersebut. Anak harimau berasa hampa yang amat sangat. Dia terasa diasingkan, lalu dia pun berjalan, dan mula berjalan. Dia penat dan berehat di bawah pokok yang teduh.

Suatu hari dia dijumpai seekor harimau lain. Harimau itu meyapanya. Tetapi hairan anak harimau tidak faham bahasanya. Dia hanya mengembek. Harimau itu lagi kehairan melihat tingkah laku anak harimau tersebut seperti seekor biri-biri. Lalu dibawanya anak harimau itu kepada kawanan mereka. Disedarkan anak harimau itu bahawa dia adalah seekor harimau. Harimau itu raja rimba yang mengaum bukannya mengembek. Diajar caranya bagaimana harimau mengigit dan menyerang serta mempertahankan diri. Akhirnya anak harimau itu menjadi harimau yang gagah. Dan dia akhirnya mengambil keputusan itu tinggal semula dengan kawanan kambing biri-birinya.

Anak harimau pulang kepangkuan ibu angkatnya. Dia berjanji akan melindungi kawanan kambing biri-biri tersebut. Suatu hari serigala datang menyerang. Serigala yang sama yang menyerang tempoh hari. Harimau ke depan untuk mempertahankan kawanan kambing biri-biri tersebut. Serigala memandang rendah sahaja, kerana sangkaannya anak harimau itu tetap anak harimau yang sama. Dia pun mula menyerang. Dia cuba mengigit tetapi harimau menepis pantas. Anak harimau itu mengaum garang. Serigala jadi kecut perut. Dia mahu membuka langkah untuk cabut lari, tetapi terlebih dahulu menyerangnya. Serigala itu pun mati. Dan selepas itu mereka hidup aman dan damai.

"Ketahuilah anakku, ramai umat Islam tidak sedar mereka sebenarnya adalah seekor harimau yang gagah. Cuma mereka sering merasa mereka adalah seekor kambing yang pengecut. Mereka ada kemampuan yang luar biasa. Bayangkan jika 1.9 bilion umat Islam di dunia ini sedar seorang satunya adalah harimau, maka kalimah Allahuakhbar itu lebih mudah ditinggikan di menara dunia. Dan orang kafir harbi itu akan gerun mendengar ngaumannya sahaja. Jadilah harimau itu anakku. Jika tidak menjumpainya, mengembara dan berhijrahlah untuk mencari nilai harimau itu pada dirimu." Aku mengkhatamkan cerita.

Anak-anak sudah mahu tidur. Kuajarkan mereka doa sebelum tidur, Al-fatihah, 3-Qul dan ayatul kursi. Kubacakan mereka surah As-Sajadah dan Al-Mulk. Pohon yang baik itu datangnya dari benih dan ladang yang baik.

;

Oh, panjangnya angan-angan MS Rizal ini. Mungkin ini salah satu motivasi buatnya. InsyaAllah.. All the bestlah, akhi!!!




MS Rizal,
Kuala Lumpur,
25 November 2008,
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Berutus surat untuk menyatakan yang tersirat

>> Saturday, November 22, 2008

Jika anda menyelak novel-novel hebat sepanjang zaman, anda mungkin tidak akan terlepas daripada melihat bijaknya pengarang menitipkan warkah surat buat gula-gula pemanis cerita.

Kembangnya hati, apabila membaca dua watak di dalam satu cerita, berhubung melalui surat. Ianya seperti hati kita yang menjadi menonton komunikasi antara dua hati. Jika anda tidak pernah menjumpainya di dalam pembacaan, anggaplah ianya ibarat anda membaca senyap-senyap surat cinta rakan baik anda.-Pernah buatkah? Saya tidak.

Novel 'Warkah Cinta Berbau Syurga'. Walaupun saya tidak sanggup menghabiskan novel ini, kerana tidak tertarik dengan jalan ceritanya namun saya tetap memuji apa yang dititipkan. Ianya ibarat membaca novel karya Hamka, 'Tenggelamnya Kapal Van Der Vick', juga saya tidak menghabiskan novel ini kerana bahasa jawanya yang memeningkan. Maaf saya tiada kamus jawa.

Apa yang membuatkan saya terkesan dengan penangan surat ini adalah salah satu babak di dalam filem sang Murobbi di mana Ustaz Rahmat menasihati adiknya. Cara itu berkesan, sepucuk surat yang membuatkan adiknya berubah. Jika saya berada di tempat adiknya itu, mungkin saya juga akan mengambil tindakan yang sama. Rasa hormat ditambah lagi bijaksananya pengisian surat membuatkan adiknya sukar untuk menolak kebenaran yang terkandung di dalam surat itu.

Begitulah 'power'nya penangan surat. Ianya menjadi jambatan yang menghubungkan antara dua hati tanpa perlu perantaraan mulut. Setiap titipan surat ditulis dengan pertimbangan akal yang logik serta disertakan sekali dengan fakta ilmiah yang kuat. Sungguh pena itu berkuasa dan tajam dari mata pedang. Mungkin kerana itu Yahoo Massenger menjadi popular, kerana biasanya hati lebih bijak meluahkan dari kata-kata.

Saya nasihatkan kepada rakan, jika suatu hari nanti ada anak-anak kita yang degil. Maka ini adalah salah satu caranya. Kirimkan mereka sepucuk surat. Beri nasihat, banyakkan sentuhan, cium ubun-ubun dan mengusap-usap belakang anak.

Saya hadir salah satu program tarbiyah untuk para Murobbi. Ustaz yang mengajar di hadapan membuka satu slot. Menarik isinya. Dia mengatakan, hendaklah ahli-ahlis usrah membiasakan diri menulis surat kepada ahli-ahli usrah yang lain. Tulis surat antara murobbi(ketua halaqah) dengan mutorabbi(anak halaqah), juga antara mutarobbi dengan mutorabbi. Surat juga adalah ejen yang berkesan untuk mutorobbi menegur kesalahan murobbi. Ustaz itu siap menayangkan contoh surat benar seorang mutorabbi menegur murobbinya. Wah, menarik sungguh membaca surat orang ini!

Inilah yang saya guna pakai, apabila saya bercanggah pendapat dengan rakan-rakan yang tidak sefikrah. Saya pernah menulis surat kepada rakan yang bersungguh-sungguh menerangkan kepada saya kewajipan jawlah(ziarah cara Tabligh). Pernah saya melepas geram mengkritik seorang rakan melalui laman blog ini. Akhirnya, artikel itu 'kantoi'. Lalu ada yang iklankan melalui YM, macam pisang panas kalau ada artikel kritik mengkritik ini. Dan akhirnya rakan saya ini menitipkan surat buat saya. Saya lega dengan surat yang diberikan dan kami berdamai tanpa ada bibit-bibit perang mulut ataupun tumbuk-menumbuk pun.-Gaduh macam ini tidak berapa bagus.

Pendek kata, menulis surat itu jalan selamat dan bijaksana. Cuma jangan cuba untuk menulis surat layang berbaur fitnah pula. Saya berlepas diri dari apa yang dilakukan.




MS Rizal,
Kuala Lumpur,
22 November 2008, (Ulangtahun kelahiranku yang ke 22! Menganjak ke hari tua)
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Nak kasi promote sikit.

>> Friday, November 21, 2008

Salamunalaikum,

Sahabat saya, Akh Fitri meminta untuk saya mengiklan poster di bawah.

Nasihat saya, jika anda bukan si kaki wayang-maka filem ini memang untuk anda. Kerana jika kaki wayang melihat filem ini pasti membandingkannya dengan filem hebat lain. Ya, anda silap tempat jika anda adalah kaki wayang kerana filem ini tiada aksi-aksi stunment dan ngeri, tiada lawak yang memecahkan perut, tiada adengan 'celak masuk sarung' dan tiada kisah cinta yang meleret-leret.

Harap maklum dengan iklan ini dan minta tolong sebar-sebarkannya;






MS Rizal,
Kuala Lumpur,
21 November 2008,
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Kemana Perginya Spirit Yang Hilang?

>> Sunday, November 16, 2008



Hati saya berlagu sebak, setiap ungkapan katanya seperti peluru Short Gun yang menabrak hati. Sejurus saya beristighfar mengenangkan daifnya diri. Masih ramai lagi orang mulia di muka bumi ini. Dan terasa saya ini cuma kerdil...kerdil yang amat sangat...
Bagaimanakah untuk saya menjadi seperti dia?

"Sang Murobbi, Mencari Spirit Yang Hilang"


Jazakallah untuk murobbiku yang sudi berkongsi DVD cerita ini buat penyegar spirit yang hilang.

Lebih baik punya hayat yang pendek tetapi panjang cita-cita, daripada punya hayat yang panjang tetapi kosong daripada pencerahan. Saya juga tidak mahu mati saya hanya meninggalkan tiga baris tanda di batu nesan sahaja. Saya mahu lebih daripada itu.

Dakwah ini akan terus mengalir menuju redho Allah. Tepislah air mata tangis, kemana sahaja daei itu pergi dakwah itu akan sentiasa berjalan. Cuma keikhlasan..keikhlasan yang sentiasa dibolak-balikkan yang membuatkan ianya berjaya atau tidak.

Allahuakhbar!!!

Saya sisipkan trailer filem hebat ini;





MS Rizal,
Kuala Lumpur,
16 November 2008,

http://msrizal.blogspot.com/ Continue Reading...

Read more...

Demi sebuah perhatian

>> Friday, November 14, 2008

Sedari kecil.....

Sedari kecil lagi kanak-kanak itu asyik merengek dan menangis. Dia disangka sakit atau ada serangga yang mengigit. Ternyata tidak, dia terasa terpinggir bila terasa tiada orang menghiraukannya.

Hari dan tahun berlalu, dia menganjak remaja. Rakan-rakannya berkata, "Marilah bermain bola!". Dia fikir, ada baiknya. Wah, mahu jadi ahli sukan di sekolah. Menjadi perhatian guru-guru dan murid perempuan di sekolah.

Zaman tidak berhenti, dia kini sudah dewasa. Punya harta dan punya kerjaya. Bajunya mahal-mahal dan bergaya belaka. Kereta mewahnya menjalar di jalan-jalan raya. Bangga memandu, orang ramai pasti kagum apabila memberi lalu.

Dia manusia yang sukakan perhatian. Dia melakukan itu dan ini, kerana satu; Suka menjadi perhatian. Kadang-kadang dia menjadi sasau dan angau kerana sebuah perhatian. Juga menjadi payah dan hampir gila hanya kerana sebuah perhatian.

Baginya perhatian itu membungakan hatinya. Dia buat segala-galanya demi sebuah perhatian. Perhatian manusia yang hanya sebentar sahaja menghargai sesuatu perkara. Mungkin dia perlu lebih sedar, bahawa setiap kali dia meminta perhatian, dia sebenarnya tidak pernah lepas daripada diperhatikan!




MS Rizal,
Kuala Lumpur,
14 November 2008,
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Sekapur barus

>> Wednesday, November 12, 2008

Assalamualaikum,

Saya tidak berniat untuk menulis panjang kerana saya sedang mencuri masa di sebalik kesibukan menghadapi peperiksaan akhir yang akan di duduki pada 13hb, 14hb dan 19hb November.

Subjek yang akan dihadapi adalah;

* Assembly Languange
* MicroController
* Digital Signal Processing
--------------------------------------------------------------------------

Beberapa minggu lepas, muka hadapan akhbar tempatan meriuhkan kisah rumahtangga Abby Abadi dan Norman Hakim.
Saya cuma membaca sepintas lalu dan tidaklah berniat hendak komen apa-apa. Artis tu tetap artis juga!
Daripada sumber lain, saya tertarik apabila mendengar keluhan Abby Abadi tentang perubahan sifat Norman setelah dia berkorban segala macam untuk kebahagian rumahtangga mereka termasuk 'mengandung' lagi.
Saya tidaklah berpihak kepada sesiapa, cuma jika si isteri merasakan dia sudah cukup mithali untuk menjadi seorang ibu yang bisa membuatkan suaminya bahagia. Dia mungkin silap.
Saya pernah menulis tentang ini dahulu di dalam entry bertajuk 'Dia hanya layak jadi ibu, bukan Isteri?'

Saya berundur diri dahulu, ceriakan harimu dengan menceriakan orang sekeliling!
Salamunalaikum...




MS Rizal,
Kuala Lumpur,
12 November 2008
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Pendusta yang bertopeng Agama.

>> Saturday, November 8, 2008


"Kalau kita lihat secara literalnya berdusta pada agama ini membawa maksud apa?" Ustaz Borhan bertanya kepada jemaah.

Semua diam, tanda berfikir. Ketika itu beliau sedang memberikan tazkirah tafsir surah Al-Maun selepas solat Isyak.

"Maksudnya keluar daripada agamalah*, betul tidak?" Ustaz Borhan mengutarakan pendapatnya.

(*Pendapat ini bukan untuk mengkafirkan, tetapi sebagai wacana muhasabah diri.)

Saya membentangkan ciri-cirinya di fikiran; herdik anak yatim, tidak memberi makan kepada orang miskin, lalai di dalam solat, berlaku riyak dan enggan memberikan barang berguna(sebahagian mufassirin mengertikan sebagai zakat.)

Lalai di dalam solat! Sejauh mana kita menilai lalai di dalam solat itu? Kitakah yang meletakkan kayu ukurnya?

Saya merenung jauh di dalam diri. Kemungkinan saya juga termasuk di kalangan mereka yang lalai dan bermain-main di dalam solat. Ukurlah di dalam setiap solat yang lima ini, mungkin sukar untuk saya mencari solat yang sempurna tanpa fikiran yang melayang. Ukurlah dari segi masa pula, ada ketika saya senang untuk hadir berjemaah lewat ketika imam sudah sampai ke penghujung solat. Atau ada ketikanya rasa malas untuk berjemaah dan rasa selesa solat di rumah, hadir di dalam diri.

Itu baru solat, belum ciri-ciri yang lain lagi.

Ada orang yang beramal dengan amalan-amalan penghuni syurga sehingga jarak yang memisahkan dia dengan syurga tidak lebih dari sehasta sahaja. Namun takdir mendahuluinya sehingga dia beramal dengan amalan penghuni neraka lalu dia pun masuk ke dalam neraka.

Kemungkinan saya belum terhindar dari label yang diutarakan di dalam surah Al-Maun ini. Label yang ditembak tepat ke dahi. PENDUSTA AGAMA!




MS Rizal,
Kuala Lumpur,
8 November 2008,
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Yang pelik itu bukan jelek!

>> Wednesday, November 5, 2008

"Kau ada buku 'pelik tetapi benar dalam solat' itu kan?" seorang kawan saya bertanya.

"Ada!" saya membenarkan.

"Kau baca tak tentang pengharamannya oleh KDN?" dia mendapatkan kepastian.

"Sudah..." saya menjawab datar.

Dialog ini berlaku sejurus berita harian mengeluarkan berita terkininya secara online beberapa bulan lepas. Isu ini sebenarnya sudah diulas oleh Mufti Perlis dan beberapa pemuka lainnya. Ramai yang memberikan komen menentang. Sungguh saya cakna di dalam hal ini.

Alasannya mudah, ianya mengelirukan.

Hairan!

Biasanya orang pandai, kalau keliru mereka bertanya. Kalau tidak tahu mereka belajar. Tetapi atas sikap ego untuk bertanya, dan rasa sudah cukup ilmu untuk belajar maka inilah yang berlaku. Kebodohan itu sentiasa membuatkan manusia rugi. Apatah lagi ianya dilakukan oleh orang yang punya kuasa. Hati berkudis!

Saya membayangkan, jika fakta-fakta yang dibentangkan di dalam buku ini adalah mengelirukan. Maka sudah tentunya solat itu tidak akan wujud di dalam sektor atau bidang yang mengaplikasikan waktu secara maksimum. Contohnya, setiap kali cuti semester saya tidak akan pulang bercuti seperti kebanyakan universti lain. Kami akan dihantar untuk menjalani latihan intensif khas tentera mengikut perkhidmatan masing-masing selama 8 minggu. Saya biasanya akan ke Lumut, Perak. Di sini kami akan menjalani latihan ketenteraan secara menyeluruh. Pengurusan waktu amatlah dititikberatkan. Kadang-kala waktu rehat cuma 2-3 jam sahaja sehari. Waktu-waktu tertentu dijadikan taruhan menguji mental dan fizikal yang saya tidak akan nyatakan di sini. Waktu solat kadang-kala tidak langsung dititikberatkan. Bayangkan, selepas habis sahaja satu aktiviti, kami disuruh balik ke bilik untuk bersiap dan berbaris semula. Masa diberikan kadang-kala hanya 10-15 minit. 10-15 minit untuk mandi, saterika baju, kilat kasut, solat, kemaskan bilik dan sebagainya. Lalu, apakah yang saya perlu lakukan untuk memastikan solat saya dipenuhi. Mengalah dan menyalahkan? Tidak sama sekali....

Saya juga belajar tentang tatacara solat yang lebih pelik daripada apa yang terbentang di dalam buku itu. Kalau KDN tahu, mahukah diharamkan KAGAT yang mengajar semua ini pula? Setakat solat menggunakan kasut boot dan menyapu sahaja diatasnya ketika berwuduk itu adalah kebiasaan. Antaranya kami belajar tentang tatacara solat semasa berkawal.

Caranya dengan kami memegang senjata-badan sentiasa dihalakan ke arah kiblat. Sejurus selepas mengangkat takbiratulihram, kami berjalan seperti biasa...seperti lagak orang tidak bersolat tetapi sebenarnya mulut terkumat-kamit membaca al-Fatihah dan surah. Sudah habis bacaan surah, berhenti sebentar untuk rukuk..kemudian iktidal..kemudian berjalan semula..selepas itu berhenti untuk sujud, duduk antara dua sujud, sujud, bangun dan berjalan semula..sehinggalah habis semua rukun.



Ada juga tatacara solat dimana sof pertama melakukan rukuk dan sujud dahulu bersama imam, sof kedua masih dalam keadaan qiam. Kemudian sof pertama pula qiam, sof kedua rukuk dan sujud bersama imam. Kemudian musuh datang, semua bertempiaran lari..menghabiskan solat secara sendirian pula. Pelik dan wahabbikah tatacara solat ini? Tidak...tidak bagi orang yang berlapang dada menerima ilmu.

Pelik dan mengelirukan jugakah bagi kami untuk bersolat jumaat walaupun di dalam bilangan tidak cukup 40 orang? Kadang-kala hanya tinggal 8 orang atau lebih sedikit daripada itu. Ketika ini bolehkah diteruskan solat jumaat? Atau bolehkah kami jamak dan qasarkan solat di dalam latihan jalan laju walaupun perjalanan tidak sampai 2 marhalah?

Kelirukah ini....Atau memudahkan?

Kepelbagaian situasi yang dialami orang kebanyakan kadang-kala menghimpit ruang waktu untuk bersolat. Lalu ketika ini apakah lagi yang tinggal kecuali ilmu yang memimpin? Saya rasa orang yang duduk di dalam pejabat lalu berkata itu dan ini, harus turun dan menilai keadaan sekeliling sebelum membuat sebarang keputusan. Ana memegang Islam itu mudah, mengapa anta pula mahu menyusahkan?...

* KDN= Kementerian Dalam Negeri
KAGAT= Kor Agama Angkatan Tentera





MS Rizal,
Kuala Lumpur,
5 November 2008,
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Berfikir lebih daripada satu

>> Tuesday, November 4, 2008

Malam itu sunyi. Sunyi betul.
Tambahan pula Blok F, asrama SMTI bersebelahan dengan kubur cina. Bertambah sunyilah dibuatnya.
Semua orang sudah nyenyak tidur. Tinggallah saya berfikir dan merenung jauh ke hadapan. Memikirkan akan masa hadapan. Kemana mahu pergi selepas SPM dan apa course pilihan?

Salah satu bidang yang saya fikirkan adalah bidang arkeologi. Saya pasti, sukar untuk mencari pelajar di sekolah ini yang berminat untuk menyambung pelajaran dalam bidang ini. Sudah masuk sekolah teknik, ambil course engineeringlah! Tidak, saya tidaklah se'stereotaip' begitu.


Saya melangkahkan kaki ke sekolah ini selepas permohonan saya ke SBP tiada jawapan. PMR 7A 1C-BI dapat C, mana orang nak layan. Alasan saya masuk ke sekolah ini adalah untuk mengambil subjek Lukisan Kejuruteraan(LK). Best apa LK. Makmalnya ada meja lipat-lipat!

Dan inilah subjek yang saya tiada masalah untuk membawanya selain Matematik Tambahan dan Sejarah. Subjek elektif lain kena basuh, push & pull barulah mahu berkilat.

Tetapi apakah kepentingan sejarah dengan matematik mahupun engineering?
Soalan ini mungkin telah menjadi mentera rasmi budak-budak engineering yang anti-sejarah. Alasannya mudah, di universiti bukan apply pun! Baguslah cakap besar macam itu, mereka ingat subjek ini diwujudkan untuk sia-sia. Akhirnya orang yang cakap sebegini ini terkial-kial nak masuk universti.

Saya berpendapat di antara matematik dan sejarah wujud satu kombinasi yang menarik. Teori yang membuatkan rakan-rakan pelik dengan saya. Sering, mereka menyangka bahawa sejarah itu adalah menghafal tarikh dan fakta. Kalau begitulah anggapannya maka tidak tercapailah bab yang paling awal kita belajar semasa tingkatan 1 dahulu. Belajar sejarah untuk mengenal jati diri sendiri.

Apa kaitan sejarah dan matematik? Matematik banyak melibatkan penggunaan otak kiri. Otak kanan pula lebih kepada menghafal. Bukankah seimbang jika kita dapat memaksimumkan penggunaan kedua-dua belah otak ini?

Sejarah itu menghafal dan matematik tidak!
Betul juga itu. Matematik tidak perlu menghafal, cuma perlu banyakkan praktis. Formula pun telah disediakan. Tetapi sebenarnya kita perlu sedar mengafal itu penting. Dan inilah sebenarnya ditekankan oleh ilmuwan dahulu. Seawal pembelajaran sudah dimulakan dengan hafalan Al-Quran. Selepas itu barulah mengusai bidang-bidang lain. Cuma, mungkin kita terikut-ikut sistem pembelajaran semester yang dipraktikkan oleh Amerika. Di mana untuk meminumkan hafalan, sebilangan subjek hanya dihadapi untuk 1 semester sahaja. Kemudian, lupakan dan hadapi sebilangan subjek untuk semester seterusnya pula. Rosak..rosak...rosak disiplin ilmu.

Keupayaan menggunakan otak kanan adalah anugerah. Dan saya mensyukuri nikmat yang diberi ini. Saya bukan sahaja menyukai sejarah, malah saya adalah peminat sastera dan falsafah. Tidak patut untuk saya mengecilkan minat dan keupayaan hanya di dalam bidang yang saya ceburi sahaja. Kenapa tidak saya cuba menjenguk keluar dari kotak itu dan mengintai bidang lain? Asalkan sahaja ianya berilmiah dan tidak sia-sia.


Saya sering berpesan kepada junior-junior yang mengambil bidang engineering. Jangan cuba jadikan diri sebagai enjin. Enjin itu tidak punya akal, hati dan perasaan. Enjin cuma tahu berkerja dan kemudiannya rosak. Terlampau menumpu pada bidang engineering tanpa mahu melibatkan diri dengan bidang lain mahupun persekitaran secara automatik menjadikan diri sebagai enjin. Sudahlah semasa belajar, belajar menjadi enjin. Sudah bekerja menjadi enjin pula. Patutlah ramai yang mengadu tiada kepuasan berkerja.

Eh, seronok tahu menjadi manusia! Manusia itu punya perasaan. Punya akal yang berfikir logik dan mantiknya.
Saya mengambil contoh ilmuwan Islam, Al-Khawrizmi. Al-Khawrizmi tidak sahaja mengusai matematik dengan hebatnya malah dia juga adalah pakar dan berpengetahuan luas di dalam bidang bidang falsafah, logik, aritmetik, geometri, muzik, kejuruteraan, sejarah Islam dan kimia.

Kenapa saya menceritakan semua ini?
Sebab petang tadi, habis technical writing saya diconteng-conteng oleh supervisor. Cubaan saya memasukkan ayat-ayat berbunga dalam perenggan permulaan chapter 3 dibantah sekeras-kerasnya. Peringatan kepada saya bahawa ini adalah techinical writing bukannya menulis sastera. Terpaksalah saya ringankan jari-jemari untuk menulis semula. Fuh!




MS Rizal,
Kuala Lumpur,
4 Disember 2008,
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP