Terawih itu 'rehat'lah...

>> Sunday, August 31, 2008


Saya melihat secara serius akan jumlah kedatangan orang ramai ke masjid untuk bersolat terawih. Saban tahun saya asyik mendengar perlian sinis, si ustaz berceramah mengenai hangat-hangat tahi ayam sikap jemaah.

"Hari pertama, penuh masjid....."

"Hari kedua, penuh lagi..."

"Hari ketiga dah mula nampak sikit..."

"Hari keempat, kelima, keenam dan seterusnya makin sikit..."

Persoalan ingin ditimbulkan di sini. Dimanakah silapnya terawih itu sehinggakan jumlah jemaah saban hari semakin kurang?
Apakah signifikannya terawih itu kepada umat Islam seusai sahaja bulan pentarbiyahan Ramadhan?

Dan kembali dipersalahkan adalah jemaah. Entahlah, kadang-kadang saya rasa sesetengah ceramah agama ini tidak banyak yang mendidik masyarakat. Tetapi dijadikan medan untuk ustaz menyalahkan masyarakat. Tidak setuju? Salahkan kembali saya yang tidak pandai memilih tempat.

Umum sifat manusia, susah untuk beritiqomah. Hanya yang benar-benar tetap dan teguh kakinya menompang lantai sahaja yang teguh berdiri. Tetapi tidak adakah sesuatu usaha Tok Imam dan Bilal mahupun pengerusi masjid untuk mengambil pendekatan yang mesra masyarakat?

Sesetengah tempat, berdegil mahu mengadakan 20 rakaat. Saya tidak mahu berhujah tentang bilangan rakaat, namun situasi ini kadang-kadang dilihat tidak mesra masyarakat. Dalam pada untuk meramaikan orang datang ke masjid, mereka dibebankan untuk meng'Istiqomah' kan diri ikut sampai rakaat ke-20.

"Apa masalah buatlah lapan, lepas itu baliklah?"

"Bukan semua orang suka buat kerja tak habis."

Saya teringat satu hadis,
Sebaik-baik amalan di sisi Allah, adalah yang paling istiqamah walaupun sedikit-(Riwayat Bukhari & Muslim.)

Bayangkan, daripada malas nak datang solat jemaah fardu ke masjid. Malas nak sunat qobliah dan ba'diah. Malas nak bangun qiam. Terus sahaja lompat untuk berterusan solat 20 rakaat. Mana boleh tahan lama...
Jika dikatakan zaman Umar al-Khattab, terawih diadakan 20 rakaat. Jangan lupa bandingkan peratus orang Islam datang ke masjid untuk bersolat jemaah fardhu. Dulu dan sekarang, jauh panggang daripada api.

Sesetengah tempat mengerjakan solat terawih secara laju. Mungkin nak jimatkan masa, atau ada sesuatu yang ingin dikejar(hendak habiskan 20 rakaat agaknya). Maka lenguh-lenguhlah kaki jemaah. Kaki diurut, hati mengeluh. "Tok Imam ini, bermakmumkan malaikat ke?" Pandanglah belakang, mungkin di dalamnya terdapat sebaris orang tua yang baru berjinak datang ke masjid. Para muda-mudi yang baru belajar mengikat kain pelikat dan memakai telekung. Dan kanak-kanak yang mahu menilai keindahan Islam zamannya.

Sewajarnya, berehat-rehatlah selang 4 rakaat. Baru sesuai dengan maksud 'terawih' itu sendiri yang dinamakan rehat. Alangkah baiknya, selang rakaat keempat diberikan sedikit tazkirah, memotivasikan jemaah dan mengajak jemaah memuji sebanyak-banyaknya kepada Allah. Barulah dinamakan masjid yang mendidik.

Kadang-kadang bacalah satu muka surah, atau setengah. Atau kadang-kadang bacalah dua atau tiga potong ayat sahaja. Bukankah ini langkah yang baik bagi meraikan segala lapisan masyarakat; tua dan muda, alim dan jahil, dewasa dan kanak-kanak, lelaki atau perempuan.

Alangkah baiknya, yang menjadi kegembiraan ramai orang untuk menyebutnya adalah keindahan solat terawih di masjid. Malangnya ramai orang suka memperkatakan selesainya solat terawih dan paling seronok adalah moreh!

Continue Reading...

Read more...

Bila Merdeka sudah bankrupt...

>> Friday, August 29, 2008


Kemerdekaan besar ertinya bukan?
Apa salah kiranya memikirkan penderitaan?

Bayangkan apabila anda bangun pada pagi 31 Ogos 2008 anda dengar riuh rendah di luar sana. Anda fikir anda sudah ketinggalan solat subuh rupanya masih pukul 6.30 pagi. Ada kesempatan lagi, tapi terlepas solat subuh berjemaah. Anda pun berkata, "Apa yang riuh rendah di luar tu?"

Tiba-tiba datang jet pejuang yang entah dari mana. Menembak dan mengebom kawasan kejiranan anda. Semuanya musnah. Anda kalut, "Malaysia diserangkah?" Anda bingkas mendapat isteri dan anak-anak. Benak hati berkata-kata, "Adakah Malaysia...."
"Malaysia diserang!!!"Orang ramai mula menjerit.

Anda bersiap membawa anak bini lari..Lari entah kemana? Tiba..tiba datang dua ketumbukan askar berbaju celoreng krim dari arah halaman rumah. Mengenggam M14 masing-masing di tangan mereka. Anda kalut! Kemana hendak bersembunyi?

Anak-anak sudah mula menangis. Kakak yang sulung cuba menenangkan adik-adik. Isteri cuba mencari sesuatu di dapur untuk dibuat senjata. Anda bersedia menghadap pintu, menunggu sebarang kemungkinan yang tiba.

Banmmm!!

Pintu rumah ditendang. Askar berbaju krim celoreng menjerit sesuatu yang anda kurang faham. Menjerit dan mengacukan M14 ke arah anda dan anak-anak. Anda diperintahkan berteriap. Bahu anda dipijak dengan kasar sambil muncung M14 terus dihalakan dengan cuping telinga anda. Kematian mungkin hampir tiba. Tangan anda dialihkan kebelakang dan digari. Bagaimana anak-anak dan isteri?
Anak-anak diasingkan. Isteri di dapur?

"Abangggg!!!" Isteri menjerit. "Ya Allah apa yang terjadi." Anda menggasak mahu melihat. Tetapi askar yang memijak menjerit dan memaki kepada anda dalam bahasa yang anda tidak faham!

"Ya Allah, Isteriku!!!!!" Anda melihat isteri anda digomol dua askar lagi. Anda mengasak. Marah! Mata mula menjegil! Peluh timbul dari segenap ruang!

Anda melihat Isteri anda lemah dan tidak berupaya melawan!

Banmm!!!

Yang dicintai sudah tiada lagi!!! "Celaka..Bangsat..Kau rogol dan bunuh isteriku!!!!"

Anak-anak diseret dibawa pergi. Hilang terus dari pandangan. Anda diseret ke trak dengan kasar. Di luar mayat-mayat bergelimpangan. "Ke mana kau nak bawa anak aku bangsat?", "Kemana kau nak bawa aku pula?" Anda bertanya sambil menangis dan merintih. Semuanya hilang sekelip mata.

Di halaman anda melihat situasi kacau bilau..Rumah-rumah musnah. Mayat-mayat bergelimpangan.
Itukah dia Encik Rusdi, sudah tidak bernyawakah dia? Semalam baru mereka bergelak ketawa menceritakan semula detik-detik mereka sesama bersekolah dahulu.
Itukah dia Karim Latiff? Bukankah tangannya yang berbulu lebat itu menolong mengangkat motorsikalnya jatuh kelmarin. Kemana perginya tangan yang sebelah lagi?
Itukah dia Mak Cik Yong Timah? Ah, susuk badannya ku kenal. Wajahnya semalam melemparkan senyuman manis seperti seorang ibu ke arah ku. Tetapi hari ini wajah itu sudah tiada..Kepalanya terburai!! Otaknya tersembur!!

Itu Fatimah! Kawan anak sulung ku! Iblis!!!! Mereka rogol perempuan-perempuan di jalanraya!
Syaitan!! Mereka tembak orang-orang tua lemah tak berdaya!

"Siapa kamu semua!" "Kemana kamu hendak bawa aku bangsat!"
Berbalam-balam dalam fikiran anda terbayang, 'Sut Overall berwarna oren berselang seli dengan dibogelkan tanpa seurat benang +Jeriji besi+Kerusi elektrik+Askar-askar yang ketawa melihat anda di siksa.'
Ya Allah tabahkan hambamu ini.....

*Di saat kita berpesta, berbangga-bangga dengan keamanan dan kedamaian...Lemparkanlah sejenak kepada penderitaan orang Islam di bumi tengah sana.
Situasi di atas mungkin lebih tragis lagi jauh dari dugaan kita!
Derita mereka adalah derita kita!
Perjuangan mereka adalah perjuangan kita!

Continue Reading...

Read more...

Carik-carik bulu ayam

>> Thursday, August 28, 2008

Saya adalah peminat majalah i. Malah saya sudah mempunyai koleksi majalah ini 3 1/2 tahun lamanya. Anda sendiri boleh membayangkan setinggi mana majalah ini di rak buku saya.

Namun sejak beberapa bulan kebelakangan, saya agak culas membeli majalah ini. Melihat kepada topik dan isi edisi sebulan sebelumnya memberikan saya nafas kecewa. Dan kekecewaan ini dibawa ke keluaran bulan ini, adakah saya bakal beralih ke majalah lain?

Saya menggariskan beberapa sebab isi dan topik majalah i yang lesu kebelakangan ini. Antara faktor utama adalah topiknya yang basi. Cuba anda bayangkan, tajuk utama majalah i bulan ogos adalah isu 'Mubahalah'. Walhal isu ini telah keluar beberapa minggu sebelumnya. Isu mubahalah adalah isu pisang goreng. Isu ini hanya panas dalam tempoh 1 ke 2 minggu sahaja. Dan apabila isu ini mulai sejuk, majalah i pula menjadikannya sebagai isu ini utama. Bukankah sudah tidak menarik lagi?

Kedua, ada sesetengah artikel yang dicedok daripada laman internet. Contohnya ruangan Teladan Hidup yang dikelolakan oleh Ust. Hasrizal. Terima kasih kerana saya mengenali Saifulislam.Com melalui majalah ini.

Saya fikir adalah tidak menarik untuk majalah i kembali meletakkan artikel yang sudah di baca oleh beratus-ratus peminatnya di laman Saifulislam.Com. Dan saya rasa kebanyakan daripada mereka adalah pelanggan majalah i juga. Maka adalah menjadi kekok untuk saya terus membaca artikel yang telah dibaca dan mungkin telah dijadikan koleksi simpanan. Mintalah Ust. Hasrizal menulis artikel khas. Itukan lebih baik.

Ketiga, indeks kabus(fog index) yang tebal. Indeks kabus adalah ketidak upayaan untuk pembaca membaca dengan lancar mengikut kelajuan matanya, penggunaan kelancaran mata tidak seiring dengan kepantasan otak menterjemah.

Saya telah memberikan contoh pada ayat yang berwarna merah. Anda pasti membacanya dua kali kerana indeks kabus yang tebal. Sesetengah artikel amat tinggi indeks kabusnya. Bahan bacaan seperti ini tidak sesuai bagi semua peringkat umur. Dan tidak juga dijadikan sebagai majalah santai. Maksud saya majalah islamik yang santai.


Keempat, susunan perenggan yang panjang. Susunan perenggan yang panjang menyebabkan artikel itu amat berat untuk dibaca. Walhal jika dibaca, tidaklah seberat mana. Namun pandangan pertama, sudah cukup membuatkan banyak artikel bagus gagal disampaikan dengan cemerlang.

Mengkritik tandanya sayang. Namun bukan semua pandangan saya mengkritik, ada juga yang saya mahu berikan pujian. Saya masih membeli majalah ini, kerana sukakan ruangan Jendela Keluarga, Mutiara Silam (sirah) dan Sastera (cerpen). Saya berharap majalah i dapat membuat suatu reformasi ke atas penulisan majalah ini.

Ini bukan sahaja dapat mengembangkan lagi skop para pembaca, malah dapat memenuhi tuntutan dakwah yang ingin disampaikan. Editor Majalah i perlu sedar bahawa majalah ini bukan majalah persatuan yang punya pembaca tetap.

Lagipun majalah persatuan tidak tinggi kos penerbitannya. Isu segar perlu segera dibangkit dan dicungkil. Jika tidak majalah i akan tewas kepada artikel-artikel mantap dan berisi di laman-laman web. Jika stail lama yang dikekalkan. Maka tidak mustahil majalah i akan berkubur seperti majalah-majalah lain sebelumnya. Sayang seribu kali sayang!


Continue Reading...

Read more...

Sumpah itu dinding orang munafik!



Pelik benar sebelum pilihanraya Permatang Pauh berlangsung. Mudah benar seseorang individu itu bersumpah.

"Saiful dah angkat sumpah dah, apa komen hang?" Kawan saya bertanya.

"Entahlah, makin keliru pulak!" Saya berbasi-basi.

Sebelum jari-jari saya terus menari, elok benar jika saya menukilkan ayat 2 dalam surah al-Munafiqun;


1. Apabila orang-orang munafik datang kepadamu, mereka berkata: "Kami mengakui, bahwa sesungguhnya kamu benar-benar Rasul Allah." Dan Allah meangetahui bahwa sesungguhnya kamu benar-benar Rasul-Nya; dan Allah mengetahui bahwa sesungguhnya orang-orang munafik itu benar-benar orang pendusta. 2. Mereka itu menjadikan sumpah mereka sebagai perisai, lalu mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah. Sesungguhnya amat buruklah apa yang telah mereka kerjakan.

Nyata benar perisai orang munafik ini. Melalui sumpah kebiasaanya sesuatu kebohongan berjaya ditegakkan. Sesuatu kekalahan berada kembali di atas titian. Sesuatu rona-rona kejahatan tertutup pudar. Itulah pelaku munafik. Tidak teragak-agak melakukan sumpah. Sumpah itu adalah pemanis bibir, tiada apa yang hendak dirisaukan. Mudah sahaja melafaz, "Dengan nama Allah!" Walhal bukan itu pelaku orang beriman.

Siapakah orang yang beriman? Merekalah orang yang apabila disebutkan nama Allah bergetarlah hati mereka. Bergetarkah hati kita?


Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk shalat mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya'(dengan shalat) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali. An-nisa' 142

Bagi diri saya, jika benar saya berada di pihak benar sekalipun. Untuk mengatakan laknat dan kutukan Allah menimpa saya sewenang-wenangnya amatlah berat mungkin akan mengalir air mata. Allahuakhbar, peganglah Al-Quran seeratnya-eratnya ketika bersumpah! Tetapi adakah dia tahu isi di dalamnya yang menceritkan tentang kepedihan laknat, kutukan dan balasan Allah SWT.

Kisah Saiful, ada iktibar di dalamnya. Tunggu dan lihat.
WallahuTaala'lam

Cuma, saya hampir tergelak tetapi dalam nada marah sebenarnya apabila membaca akhbar pada Ahad-24 ogos 2008. Reaksi Dato' Seri Diraja Tajol Rosli apabila menjawab tuduhan MB Dato' Seri Nizar. Mudah-mudah sahaja dia mahu mengajak MB Nizar turut sama bermubahalah di Masjid Negeri di hadapan Mufti Perak. Apakah dia tahu apa yang diucapkannya? Bermubahalah atas perkara remeh!

Lebih baik gunakan kuota mubahalah itu untuk menerangkan kebenaran Islam. Kerana kebenaran Islam itu sudah tentu, kebenaran diri sendiri belum tentu lagi. Diri banyak melakukan dosa dan maksiat. Ketakutan pada dosa dan maksiat ini membuatkan diri orang-orang beriman gementar menyebut nama Allah! Sedangkan orang yang rasa tidak berdosa, akan mudah menyebut, "Wallahi, Wabillahi, 'Wa-Taila-hi'....."


Continue Reading...

Read more...

Adat membawa barah?

>> Tuesday, August 26, 2008


Kata pepatah, biar mati anak jangan mati adat. Adat dijunjung biar sampai penghujung. Biarpun belum pasti, anak-anak membesar dengan saingan adat mahu menyambungnya atau tidak. Siapa mahu menjunjung si musuh?

Adat tuan adat berserah,
Mari datang membawa puan,
Adat bersirih adat sejarah,
Untuk tuan kami sembahkan.

Dahulu, saya tidak pasti bila... Ada 'anynomous' meminta saya untuk menulis pergeseran antara adat dan agama. Saya menyatakan kesanggupan. Tetapi tidak tahu bila, mungkin di dalam entri ini hajat yang berkenaan dipenuhi.

Adat atau nama lainnya 'al-urf' sebagai meminjam bahasa arab bukanlah sesuatu yang janggal dalam budaya perkembangan Islam. Malahan Islam itu cukup bersedia mengharungi adat. Perkembangannya fleksibel dan mesra adat. Islam datang sebagai mengangkat dan memurnikan adat. Mana yang bagus diteruskan. Mana yang tidak elok dibuang dan diganti. Mana yang lapok? Buat apa nak pakai lagi?

Jika perang itu dikira sebagai adat. Maka Islam tidak datang menentang adanya adat. Perang itu tetap ada, tidak logiklah suatu agama datang mahu memberhentikan perang. Mata pedang itu bukannya mata syaitan. Bahkan ianya mungkin kunci syurga buat hati yang sudah berbunga dengan ayat-ayat Maha Pencipta.

Saya telah memberi suatu contoh. Setakat tulisan ini ditulis, saya tidak berhasrat untuk menambah contohnya lagi.

Orang Melayu begitu kuat dengan adatnya. Mungkin saya memukul rata, baiklah saya betulkan; 'sesetengah' Melayu begitu kuat dengan adatnya. Mungkin ini disebabkan oleh faktor berkembangnya Islam di Tanah Melayu hanya tertumpu pada bidang ibadah sahaja. Aspek lain bukan tidak diambil berat, cuma masih tidak dianggap sepenting ibadah ritual. Akibatnya Islam tidak dipraktikkan secara menyeluruh. Dan apabila tidak menyeluruh, terdapatnya lopak-lopak yang sedia diisi oleh budaya dan adat lama kembali.

Bagaimana persepsi Islam terhadap ini? Terdapat pendapat di dalam Mazhab Hanbali menolak penggunaan adat di dalam pengamalan Islam. Tetapi tidak bagi Mazhab Maliki dan Hanafi, adat dihormati sebagai suatu tambahan bernilai di dalam Islam.

Sebagai contoh; penentuan had baligh, haidh dan kadang-kadang jua dalam hal muamalat.

Tetapi yang jelas, fleksibiliti ini terkadang sengaja dilanggar di sesetengah tempat di Tanah Melayu. Lihat sahaja pada perlian ini, "Engkau berani hendak meminang anak dara Negeri Sembilan?" Apa yang tidak kena pada anak dara Negeri Sembilan? Eden bilang, Adat pepatih!

Ini tidak sepatutnya berlaku, tetapi malangnya inilah yang berlaku. Apabila adat telah diletakkan melebihi batas-batas yang dibenarkan. Semenjak zaman kolonial lagi telah diluluskan 'The Custom Tenure Encament (FMS) cap 215' di Negeri Sembilan. Akta yang tidak langsung rasional ditengah-tengah wujudnya pengamal Islam dengan meletakkan undang-undang Pepatih lebih tinggi daripada undang-undang lainnya. Sampai Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan(JAINS) pun tidak dapat berbuat apa-apa.

Mungkin ini kepincangan yang membuatkan mata-mata pena mencatat rentetan sejarah kejumudan yang berlaku terhadap orang-orang Melayu. Parahnya adat sehingga boleh bawa barah. Iakah Salmah?

Lidah yang berkata benar sering menginjak-injak nilai keselesaan. Maka apa kaitan Islam dan adat? Islam turun melengkapkan adat, meninggikan martabat dan membawa manusia beradat ke jalan selamat.

Adat bersendikan hukum,
Hukum bersendikan kitab Allah,
Kuat adat tak gaduh hukum,
Kuat hukum tak gaduh adat'

Menanam kelapa di Pulau Bukum
Tinggi sedepa sudah berbuah
Adat bermula dengan hukum
Hukum bersandar di Kitab Allah.

Continue Reading...

Read more...

Mengetuk isu lama

>> Monday, August 25, 2008

Beduk di DBP

Dahulu kita sering melihat ketung, beduk atau ketuk-ketuk di masjid-masjid atau surau-surau. Ada sesetengah pihak memanggilnya naqus. Naqus adalah pinjaman kepada bahasa Arab. Saya lebih selesa memanggilnya ketuk-ketuk. Penggunaannya pelbagai. Tetapi untuk memanggil orang kampung berkumpul. Paling popular penggunaannya adalah untuk memanggil orang ramai datang ke masjid kerana selepas itu azan akan dilaungkan. Dan selalu juga digunakan bagi menandakan adanya kematian.

Terdapat perbezaan antara ketung dan beduk. Ketung bentuknya memanjang dan dibuat daripada kayu keseluruhannya. Manakala beduk pula seperti gendang cuma saiznya besar sedikit. Beduk diperbuat daripada kayu dan kulit lembu. Saya selesa memanggilnya ketuk-ketuk juga.

Mungkin sesetengah daripada kita merasa rindu dengan zaman ketuk-ketuk ini. Namun tahukah kita? Popularitinya yang tenggelam kini mendatangkan kelegaan sesetengah pihak. Siapa? Izinkan saya mengkategorikan sebagai reformis-tradisionalis(kaum muda), atau puak tradisionalis-konservatif(kaum tua) melabelkan sebagai 'Wahabbi'. Saya tidak memakai label itu di sini. Apabila reformis menentang, maknanya mungkin ada yang tidak kena di sisi agama.
Di sebelah kanan adalah beduk, dan di sebelah kiri adalah ketung

Bermula tahun 1917, Sultan Zainal Abidin(Sultan Terengganu) mengutus surat kepada Syeikh Muhammad Azhari di Mekah mengenai masalah ketuk-ketuk. Lalu Syeikh Azhari yang merujuk kepada mazhab Syafie. Mazhab Syafie adalah mazhab yang dipraktikkan di Tanah Melayu ketika itu dan kini. Mengikut Mazhab Syafie, ketuk-ketuk adalah dilarang dan mungkar.

Berlanjutan ceritanya apabila tahun 1932, Syeikh Hassan b Sa'id al Yamani datang ke Melaka. Beliau adalah bekas mufti Mekah. Beliau telah memberi ceramah di segenap masjidmasjid mengenai haramnya naqus ini.
Akibatnya timbullah reaksi terhadap kenyataan ini. Dan satu majlis Muazakarah Ulama diadakaan pada tahun 1932 di Masjid Keling untuk mencari penyelesaian terhadapa masalah ini.

Pemuka yang muncul menentang adalah Haji Abdul Latif Tambi. Beliau merupakan tuan punya milik Malacca Latiefiah Press. Malacca Latiefiah Press menerbitkan akhbar ulung di Melaka ketika itu iaitu suara benar.

Sebenarnya kenyataan Syeikh Hassan disokong oleh mufti Melaka ketika itu Haji Khalil b Haji Hussin. Begitu juga dengan Sheikh Muhammad Ali b Hussin al Maliki. Malah Sheikh Muhammad menulis sebuah kitab bagi menyokong kenyataan Syeikh Hassan.

Haji Abdul Latif tidak berdiam diri. Beliau menyanggah dengan menulis sebuah buku bagi mempertahankan pendiriannya.

Akibatnya timbul perpecahan antara dua pihak.


Lalu mucul pemuka yang cuba meredakan. Beliau adalah Haji Ahmad b Haji Kassim. Beliau merupakan seorang ahli mesyuarat kerajaan Melaka. Dan juga penasihat hal ehwal agama Islam kepada Residen Inggeris di Melaka. Dalam hal ketuk-ketuk beliau telah merujuk kepada fatwa Syeikh Muhammad Bakhit al Muti'i. Disertakan dengan satu hadis;

Apabila masuk waktu solat pada zaman Rasulullah SAW seorang lelaki seraya berteriak; Solat! Solat! Perbuatan sedemikian itu amatlah menyukarkan manusia manusia untuk melaksanakan. Maka sahabat berkata kepada Rasulullah SAW; kalau kita gunakan naqus bagaiman? Rasulullah SAW mengatakan yang demikian itu adalah perbuatan orang Nasrani. Mereka berkata lagi, bagaimana kalau menghidupkan api di tempat tinggi? Rasulullah SAW menjawab,itu adalah perbuatan orang Majusi. Maka Rasulullah SAW memerintahkan bilal supaya azan.

Fatwa ini memberi kemenangan secara tidak langsung kepada Syeikh Hassan.

Lain pula ceritanya di sebuah Masjid di Kelang. Apabila ketuk-ketuknya hilang dicuri. Dipercayai golongan reformis yang melakukannya.
Siapa kata pergeseran pemikiran ini berlaku pada dasarwarsa ini sahaja?
--------------------------------------------------------------------------------
Fakta diambil daripada buku 'Pemikiran Islam di Malaysia' karya Dr. Abdul Rahman b. Hj Abdullah.


Continue Reading...

Read more...

Lee Chong Wei melangkah ke final Olimpik Beijing.

>> Friday, August 15, 2008


BEIJING, Aug. 15 -Saya memang sukakan sukan. Maka tidak hairanlah saya boleh turut serta menyaksikan perlawanan mendebarkan antara Lee Hyun Ill dan Lee Chong Wei. Sememangnya saya cukup berdebar dan mengharap Chong Wei menang. Apabila kedudukan terikat 11-9 pada penentuan rubber set saya makin berdebar. Akhirnya saya mengambil langkah mengundur diri sambil mengharapkan berita kemenangan yang akan tiba.

Ternyata dalam langkah untuk solat Maghrib di Masjid, berita kemenangan Lee Chong Wei telah tersebar. Menang dengan 21-18, 13-21, 21-13.
Syukur Alhamdulillah. Semoga Lee Chong Wei mendapat kejayaan di final dan juga mendapat hidayah Allah untuk kejayaan di akhirat pula.


Continue Reading...

Read more...

Hadiah daripadaNya.


Demam Pelentung yang saya alami benar-benar membawa hikmah. Wallahualam, saya tidak tahulah apa hikmah tersembunyi namun hakikatnya saya dapat praktikkan apa yang saya belajar selama ini.

Selama lebih kurang seminggu saya tidak dapat berwudhuk untuk solat kerana cacar air yang memenuhi anggota wuduk terutamanya muka. Terasa benar wudhuk itu adalah nikmat dan anugerah Allah Taala sebenarnya. Maka alternatif yang umum mengetahui adalah bertayamum. Pastinya bagi yang tidak biasa atau tidak belajar secara terperinci tentang tayamum akan kekok untuk mengamalkannya.

"Leceh pula nak cari debu pasir."

"Kalau pakai debu pasir habislah penuh muka dengan pasir."

"Tak pelah, lepas habis sakit boleh qadho' solat."

Rungutan di atas mungkin berlaku bagi yang kurang tahu. Atau mungkin dialami oleh orang yang mengamalkan solat hanya pada 'zon selesa' sahaja. Jika hanya belajar bertayamum dengan kelas PAFA maka mungkin inilah yang akan difahaminya.

Izinkan saya yang dhaif ini ingin berkongsi ilmu sedikit tentang tayamum;

1) Tayamum adalah rukhsah yang dikurniakan oleh Allah Taala kepada hambanya yang tahu meng'hargai'. Tayamum tidak akan diambil endah oleh orang tak pernah ambil endah pun pasal solat. Ini fakta!

2) Tayamum menggantikan wudhuk dan juga mandi junub.

3) Bahan yang aula untuk bertayamum adalah debu! Seperti mana firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 6,"....dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau kembali dari tempat buang air (kakus) atau menyentuh perempuan, lalu kamu tidak memperoleh air, maka bertayammumlah dengan tanah yang baik (bersih); sapulah mukamu dan tanganmu dengan tanah itu. ..."

Ulama' fiqh berbeza pendapat tentang makna 'soi'dan toyyiban' dalam ayat di atas. Jika dilihat pada terjemahan bermakna tanah yang baik. Soi'd telah diperluaskan lagi oleh Imam Abu Hanifah dan Imam Malik iaitu semua jenis tanah dan jenis-jenisnya termasuk batuan, kapur,pasir, kerikil, kaca dan lain-lain. Malah Imam Malik menambah termasuklah salji, serta bahan galian seperti timah yang tidak dialih dari tempatnya dan bukan bahan hiasan. Maksudnya emas, permata dan perak tak bolehlah.

4) Jika diambil daripada pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Malik maka kita boleh bertayamum menggunakan dinding batu atau kaca. Baik ianya berdebu atau tidak. Walaupun peratus debu di atas permukaan kaca tersebut 0%!

5) Tatacara tayamum adalah berniat. Kemudian pukul tangan ke tanah, hembus dan disapu(bukan basuh) ke muka dan tapak tangan. (Pengalaman saya hanya melakukan sekali tepukan untuk sapuan muka dan tapak tangan). Adapun menyapu tangan sampai ke siku adalah daripada Imam Shafie dan Hanafi-hadis ini lemah.

6) Jika memakai cincin hendaklah dibuka. Ini berbeza dengan wudhuk yang hanya perlu direngang-rengangkan sahaja.

7) Waktu bertayamum adalah sejurus masuknya waktu solat.

Rukshah tayamum adalah salah satu lagi hujah bahawa solat itu amat dititikberatkan. Ianya adalah hadiah daripada Allah sebagaimana solat Jamak dan Qasar. Qado' solat? Maaf saya tidak tahu pula adanya untuk orang sakit.

Continue Reading...

Read more...

Menjernihkan kesombongan

>> Wednesday, August 13, 2008


"Mereka patut belajar berkursus bagaimana nak jadi humble dulu. Baru kursus itu dan ini..." seorang pensyarah meluahkan perasaannya pada saya. Sasaran 'mereka' itu adalah pensyarah-pensyarah yang baru meningkat naik.

Saya tak anggap serius luahan ini, kerana perjumpaan saya dengannya pun atas urusan kepentingan peribadi.

Click!!

Itu bunyi 'tetikus' saya. Makin berusia, makin mahu menarik perhatian pula. Minta ditukar baru mungkin.
Umum manusia suka kan perhatian. Suka digilai dan dipuji. Sememangnya pujian mendatangkan perasaan dan hati yang mengembang. Laksana belon yang ditiup, hati-hati! Makin lama ianya akan pecah.

Isu kesombongan bukan topik baru. Mungkin orang yang mewar-warkan pun terhimpit dengan perasaan ini.(istighfar..istigfar). Macam mana nak tahu dia tu sombong? Mulalah jalan hanya pandang ke depan, sukar memaniskan senyuman, cakap hanya mahu menyakitkan hati..sebenarnya cara nak adili orang itu sombong ini subjektif, anda penilai.

Lawan sombong adalah rendah hati. Justeru sebelum merangkak naik dan rasa-rasa diri bakal naik, tanamlah diri dengan kerendahan hati. Kerana setiap sesuatu tidak akan tumbuh tanpa ditanam dahulu. Jika mahu jadi pemimpin yang disukai bukan kerana suka pendekatan 'populis' tetapi kerana peribadi yang memikat. Tak perlu disogok-sogok. Dengan saranan dan gerak hati yang diberi Maha Kuasa, orang ramai akan mulai suka.

Rasa diri hebat? Lihatlah pada Rasulullah SAW. Baginda adalah pemimpin paling agung sepanjang zaman. Pengaruh baginda adalah no. wahid. Kekasih Allah yang paling mulia. Namun tidaklah ianya mendatangkan kesombongan dalam diri baginda.

Baginda berperwatakan ceria, jernih dan selalu tersenyum menghadapi orang ramai. Baginda menunggang keldai tetapi tidak malu untuk memboncengkan orang lain di belakang . Baginda menolong isterinya di dapur, menjahit pakaiannya sendiri. Dermawan, sehinggakan sesiapa yang meminta pertolongan pasti diberinya.

Sungguh penyayang kepada sesiapa jua. Anas bin Malik meriwayatkan; Nabi saw adalah seorang yang paling baik akhlaknya. Aku mempunyai adik kecil yang baru disapih, bernama Abu Umair. Ia mempunyai seekor burung kecil yang sakit bernama Nughair. Dengan lemah lembut Rasulullah SAW membelai anak kecil itu sambil berkata: "Wahai Abu Umair, kenapa burungmu begitu?" (Shahih Bukhari dan Muslim)

Ketika fathul Makkah, Rasulullah SAW masuk sambil memimpin pasukan muslim. Di atas unta baginda menundukkan kepala sangat rendah sehingga hampir menyentuh hujung pelana, sebagai tanda merendahkan diri di hadapan Allah SWT.

Berputar-putar pada kisah ini, justeru tidaklah layak untuk kita menyombongkan diri. Siapalah kita dihadapan Allah SWT? Belum tentu lebih baik daripada orang yang di bawah kita..belum tentu...

Continue Reading...

Read more...

Jika Allah sudah menetapkan.

>> Saturday, August 2, 2008

Kebelakangan ini, terasa pening dan sakit tekak.

"Mungkin nak demam agaknya." Saya mengagak, maklumlah sehari dua ini panas terik yang agak luar biasa.

Saya melihat lengan, "Eh, apa ni?"

Nabi Ayyub AS benar-benar diuji Allah SWT. Jika ada sesiapa yang mengaku dia menderita sakit kulit yang dahsyat, maka dia perlu sedar penyakitnya itu tidak setanding dengan apa yang dideritai oleh Nabi Ayyub AS.
Masakan tidak, menurut satu riwayat(1) Nabi Ayyub AS adalah orang pertama yang mengalami penyakit cacar. Bukan cacar biasa, tetapi cacar yang sangat kronik. Sehinggakan kulitnya lepuh dan dagingnya gugur. Ketika itu dagingnya tidak banyak lagi selain dari kulit pembungkus tubuh dan tulang rangkanya.
Penyakit yang dialami Nabi Ayyub ini terjadi dalam waktu yang lama sehinggakan dia tidak mampu lagi untuk duduk. Badan Nabi Ayyub mengeluarkan satu bau yang sangat tengit dan busuk. Oleh sebab itu dia dipulaukan dan diusung menuju sebuah tempat pembuangan sampah. Disitulah tubuhnya mula mengeluarkan pelbagai jenis ulat.
Pun begitu isteri Nabi Ayyub tetap setia melayani setiap keperluan suaminya. Dia adalah perempuan yang jiwanya teramat sabar dalam menghadapi mehnah ini bersama-sama suami. Apa lagi setelah kekayaannya selama ini habis dan anak-anaknya mati satu persatu.

Setiap kali isteri Nabi Ayyub datang dia membawa bersama-sama debu yang digunakan untuk mengalas di bahagian bawah tubuh Nabi Ayyub. Sehinggalah kesabarannya teruji sedikit, beliau berkata; "Wahai Ayyub! Kiranya engkau berdoa kepada Allah, tentu engkau akan diberi jalan keluar." Lalu Nabi Ayyub menjawab dengan tegas; " Aku telah diberi kesihatan selama 70 tahun. Adalah wajar jika di hadapan Allah aku dapat bersabar selama 70 tahun juga."

"Kau kena demam campak ni!" Sukri(rakan serumah) memberitahu.

"Hang kena demam pelentung la tu...!" Mak saya seolah-olah mengiakan andaian Sukri setelah saya menelefonnya.

Hampir tidak percaya. Tetapi inilah hakikat yang terpaksa diterima. Campak atau Pelentung kedua-duanya satu spesies. Rasa pening, sakit tekak, badan panas-sejuk, conjunctivitis dan paling 'simbolik' timbul tompok-tompok merah berair di keseluruhan badan. Dan sebenarnya ia boleh membawa maut!
Lalu ada yang memberi cadangan untuk saya pulang sahaja ke kampung.
Terasa berat untuk meninggalkan bilik kuliah, nota, assignment, lab report, thesis, kuiz dan ujian 1 yang bakal menjelma dalam tempoh seminggu atau 2 minggu. Meninggalkan untuk di 'qadho' semula. Inilah yang menjadi berat sebenarnya sekembalinya saya nanti..syafakallah..

Saya berkira-kira untuk pulang ke kampung. Mendapatkan rawatan tradisional(bukan bomoh!) yang lebih menjadi pilihan. Saat ini kasih sayang keluarga benar-benar membantu. Bolehlah jadi budak kecil balik, semua benda mak akan concern..hehe..

Ya Syabab, kuatlah sedikit!

Dan (ingatlah kisah) Ayub, ketika ia menyeru Tuhannya: "(Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang." Maka Kamipun memperkenankan seruannya itu, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya dan Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan Kami lipat gandakan bilangan mereka, sebagai suatu rahmat dari sisi Kami dan untuk menjadi peringatan bagi semua yang menyembah Allah. (Surah Al-Anbiyaa', 83-84)(2)

"Demam menghilangkan dosa anak-anak Adam seperti api di pandai besi yang menghancurkan karat."(Riwayat Muslim)(3)

"Eh, gatalnya!"

-------------------------------------------------------------------------------------------------------
(1)Wahab bin Munabbih dan para ulama lainnya dari Bani Israel menceritakan dalam sebuah kisah Nabi Ayyub yang panjang. Allah jua yang maha mengetahui keshohihannya. Dipetik dari buku 'Kisah para Nabi teladan bagi orang berakal'-karya Abul Fidaa' Ismail bin Katsir Al-Quraisy-(Ibnu Kathir)

(2) Petikan AL-Quran dari AL-Quran Digital(download dari Al-Ahkam)

(3) Petikan hadis disunting dari buku 'Akhlak seorang Muslim."cetakan pertama 1985-Imam Al-Ghazali. (terjemahan Abu laila dan Mohd Tohir.)
Continue Reading...

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP