Meletakkan Israk dan Mikraj pada tempatnya

>> Thursday, July 31, 2008


Adakah ustaz yang canggih bermaksud ustaz yang menggunakan laptop di dalam khutbahnya? Menerangkan hukum hakam agama dari sudut sains?

Mata merenung, otak menterjemah, akal berputar dan mulut mahu memperkatakannya.
27 Rejab sana sini masjid dan surau bergendang mengalunkan irama Israk wal Mikraj.Dan di dalam itu jualah kisah-kisah Nabi SAW berjumpa dengan situasi-situasi masa hadapan yang dilihat secara ghaibah di perjelaskan.
Skrip lama diulang semula. Ye lah manusia kan sering lupa!

Nampak hebat ustaz ini, menerangkan sudut cerita ini dari pengamatan sains. Sains itu bukan agama. Tetapi mahu diagamakan sains itu. Dalam keghairahanmengamalkan sains itu sebenarnya satu penolakan logik akal dimasukkan. Ah, apa yang tak kena dengan logik akal?

Sebenarnya, tidak ada yang tidak kena. Cuma Sains bukanlah faktor penentu hukum. Seseorang yang sedaya upaya menerangkan bahawa asbab Anjing itu diharamkan dagingnya kerana mempunyai cacing pita. Namun jika sains dapat memisahkan cacing pita tersebut, adakah hukum ini tertolak?
Begitu juga dengan daging Babi yang dikatakan punya kuman-kuman khusus dan bahaya seperti Porcine Torovirus, Porcine Rotavirus (Variant 4F), PRRS(Porcine Reproductive and Respiratory Syndrome Virus) dan H3N2 Swine Flu Virus. Jika berjaya dimusnahkan kuman-kuman ini, adakah hukumnya tertolak?

Tidak!
Pokoknya...Sebenarnya..Saya sukakan penceritaan sirah.
Bagaimana mahu menghubungkan antara agama dan dunia semasa. Biar pelajar sahaja yang mengolah. Ceritakan pengajaran untuk kepentingan jiwa dan pembawakan dakwah.

Tolonglah ustaz..
Tolonglah ceritakan saya kisah sebelum Israk Mikraj berlaku. Ceritakan bagaimana kisah ini cukup mempengaruhi jiwa Rasulullah untuk medan dakwah seterusnya.*Berjalan keluarlah Nabi SAW bersama-sama Zaid bin Harithah ke Thoif. Suku Thoqif di Thaif yang subur dan iklim sederhana itu. Medan luar yang mahu diuji kestrategikan dakwah Nabi SAW.
Tetapi bukan sambutan yang diperolehi, balingan batu dan pukulan. Seluruh negeri Thoif tidak menerima. Itulah sebenarnya risiko berdakwah di negeri yang kaya namun meminta perlindungan daripada kabilah Hawazir dan Quraisy.

Nabi SAW berdoa menunjukkan kesedihan....
Terdengarlah doa itu ditelinga Syaibah dan Utbah (kedua-duanya anak Rabiah) pemilik kebun anggur. Merasa kasihan lalu mengutus pembantu bernama 'Addas membawakan anggur kepada Nabi SAW. Ucapan Bismillah terucap di bibir Baginda sebelum menjamah.
Addas terkejut dan mengatakan perkataan itu ganjil dan tidak disebut kaum berdekatan. Nabi bertanya dan 'Addas menjawab. Rupanya 'Addas berasal dari perkampungan Yunus Bin Matta(Nabi Yunus).

Tolonglah ustaz, ceritakan lagi...
Pulangnya Nabi SAW dari Thoif, Allah SWT menghadiahkan hadiah. Jin beriman dengan Nabi! Kemudian Mut'in melindungi Nabi SAW memasuki Makkah, walhal Mut'in tidaklah beriman.
Penindasan orang Makkah, kewafatan Khadijah dan Abu Tholib, penghambatan orang Thoif mengundang kesedihan kepada diri Nabi SAW. Lalu kuasa Allah SWT menghadiahkan Nabi SAW Israk Mikraj. Hadiah yang besar ertinya bagi seorang Daei agung. Dibawa dan melihat, berjumpa dengan para Rasul dan pengalaman Nabi-Nabi terdahulu yang telah melalui dakwah ini dengan keperitan.
Melihat keagungan dan kebesaran ayat-ayat Allah.
Semangat inilah yang membawa kepada wawasan baru sebuah negara Islam sejurus selepas peristiwa Israk Mikraj. Tidak ditabalkan sejurus selepas perlantikan sebagai Nabi dan Rasul, tetapi selepas tempoh 13 tahun.

Apa yang jadi selepas itu?
Ummu Hanni meminta tidak diceritakan, bimbang keselamatan Nabi SAW. Namun Nabi menceritakan dengan ceramah tajaan Abu Jahal. Lucu! Tak masuk akal! Mengambil pasir diletakkan di atas kepala! Bayangkan satu malam ke Masjidil Aqsa dan naik ke Siddratul Muntaha. Seluruh media-media Makkah menghentam.
Muncullah Abu Bakr membenarkan! Aneh, tetapi itulah Abu Bakr! Jika kita berada di situasi demikian? Belum tentu lagi! WallahuTaala'alam.

Seorang yang menegakkan kebenaran. Sesungguhnya ujian, tohmahan dan fitnah sudah tertimpa kepada Nabi SAW dahulu! Tidak peliklah jika berlaku pada yang menegakkan kebenaran. Fitnah, aniaya, dituduh liwat! Ops! Mainan propaganda media bukan pematah kebenaran!

Jika tidak mahu ceritakan ini ustaz, boleh sahaja ceritakan hubungan Israk Wal Mikraj ini dengan PALESTIN!!!

-------------------------------------------------------------------------

*Kisah ini di salin dari ceramah Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin beberapa tahun dahulu mengenai Israk dan Mikraj.

Continue Reading...

Read more...

Melabur untuk dilebur?

>> Monday, July 28, 2008


"Assalamualaikum Bema. Aku nak berhenti ASB la. Kau ada suggestion untuk aku melabur tempat lain tak!"

Saya menekan pepunat 'send'. Mesej ini tertuju ke nombor Ahmad Bema(disebut Bima). Siapa dia? Rakan sekelas saya.

Pandangan saya dilontar ke tepi tingkap kereta. Ketika itu saya dalam perjalanan menuju ke Hulu Kelang.

"Aku mesti berhenti juga!" Benak hati saya memberi keyakinan.

Selang beberapa minit kemudian Ahmad Bema menelefon. Memberi salam dan memberi jalan. Ada harapan dijelmakan dihujung talian.

"Nanti aku cerita lebih lanjut!" Ahmad Bema membina janji.


"Ok, borang dah siap isi. Hang tandatangan sini, slip nanti minggu depan aku beri kat hang." Ahmad Bima menunjukkan borang. Jari telunjuknya di tujukan ke ruangan tandatangan.
Oh, Ahmad Bema rupa-rupanya sudah menjadi Unit Trust Consultant secara sambilan!

Selesai!
Saya telah memindahkan sejumlah besar simpanan saya ke dalam CIMB Wealth Advisor. Not yang tertinggal di dalam buku akaun adalah dividen sahaja. Nantilah saya fikir di mana mahu dilupuskan duit berkenaan sebelum akuan ini akan tutup terus. Eh, nanti kejap! Akan tutup terus selagi ASB tidak melantik panel syariah di dalamnya!

Sebenarnya artikel Al-Fadhil Ustaz Zaharuddin berkaitan ASB amat memberi kesan kepada diri saya. Saya tidak pernah menjangka, di sebalik galakan untuk melabur di ASB terdapat juga tegahan untuk membiarkan wang saya menari-nari di dalamnya.

Walaupun majlis fatwa baru-baru ini telah mengeluarkan fatwa bahawa pelaburan ASB adalah harus, namun saya masih tidak dapat menerima alasannya. Siapalah saya untuk menolak pendapat ulama-ulama tanah air tercinta ini. Namun saya juga punya pendirian. Pelaburan ini tetap saya anggap syubhah. Ya, seperti kata mereka! Mereka kata kalau mahu jadi warak hindarkanlah yang syubhah. Warak itukan mengukuhkan yang syarak!

Hasil pelaburan yang tidak jelas perlu dititikberatkan sebenarnya. Tetapi hal ini sering sahaja dipandang enteng sesetengah pihak. Mereka ingat soal agama itu hanya solah, mengaji, puasa dan naik haji sahaja. Tetapi pengamalan seharian itu yang penting, apakah ianya selari dengan ruh islam?

Bukankah hasil pelaburan yang tidak jelas itu bisa membuatkan kita makan hasil wang riba?
Dan bukankah ada ingatan yang menggerunkan di dalam surah Al-Baqarah ayat 278-279;

Allah SWT berfirman;

Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman.
Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.

Ya, bukan main-main lagi. Allah Taala mengisytiharkan perang dengan sesiapa yang tidak mahu meninggalkan saki-baki riba. Apatah lagi sebesar-besar riba?

Ibnu Abbas r.a. menafsirkan ayat ini;

"Akan dikatakan kepada pemakan riba di hari kiamat, "Ambillah senjata kamu untuk berperang dengan Allah SWT" "(Jami al-Bayan 'An Takwil Ayyi Al-Quran, At-Tabari, 3/68)

Imam Abu Hanifah pula mengatakan: "Inilah ayat di dalam Al-Quran yang paling menakutkan."(Ibid, At-Tabari, 3/72)

Sebenarnya ada pelbagai lagi alternatif untuk para mukmin-mukminat untuk melabur berlandaskan syariah. Cuma perlu rajin mencari sedikit. Tetapi perlulah sedar bahawa pelaburan secara unit amanah Islamik tidaklah dijamin sebagaimana ASB kerana secara mudharabah rugi dan untung dikongsi bersama. Apabila harga jatuh nilai pelaburan turut juga jatuh. Tetapi tidaklah perlu khuatir kerana unit akan sentiasa bertambah. Kalau jatuh pun sekadar sekejap sahaja disebabkan faktor perubahan iklim ekonomi dan politik.

Saya bukan Unit Trust Consultant.
Tetapi kalau mahu tahu lebih, apa kata cuba berurusan dengan Akh Ahmad Bema Bin Abdul Rahim (H/P: 019-268 3867). Mungkin beliau boleh membantu.

Melabur itu bijak tetapi jangan sampai ada yang terlebur...

Continue Reading...

Read more...

Hajat yang tidak kesampaian

>> Friday, July 25, 2008


Sinar dhuha memercik ke dahi. Kalis mata dan keningnya diangkat sedikit, reaksi silau. Dibujurkan dirinya tepat dihadapan rakan-rakan sekelas. Mereka rancak berbual di kantin sekolah, dikala waktu rehat. Sesi persekolahan baru beberapa minggu bermula sebenarnya. Kini Rizal sudah berada di tingkatan 4. Setelah berhempas pulas menghadapi peperiksaan PMR, alhamdulillah ianya membuahkan hasil. Beberapa hari lagi dia akan mengangkat tangan sayonara buat sekolah berjasa ini.

"Rizal..err..Suzalisa(bukan nama sebenar) kirim salam.." Nurul menyapa Rizal dari belakang. Rakan sekolah Rizal sedari kecil lagi.

Ketika itu Nurul sudah duduk tepat di kerusi panjang meja belakang. Menghadap ke arah Rizal yang membelakanginya. Disebelahnya Sharifah yang lagaknya seperti wakil menawarkan pinangan.Menunggu masa untuk berpantun. Dan disudut sebelah seberang meja mereka adalah pihak yang berhajat. Tertunduk malu, menantikan jawapan.

Apa semua ni?..ceh!
Dia tahu. Si berhajat, sudah menunjukkan reaksi beberapa kali sebelum ini. Menjeling, mengerling dengan harapan. Entahlah, dirasakan dirinya tidaklah hebat sangat. Tidaklah hensem, dan semacho mana. Mungkin keputusan PMRnya yang jadi faktor tarikan. Ah, tidaklah sehebat mana!

Akhirnya, di saat genting dia mahu berhijrah ini, Si berhajat memutuskan jua. Berbekalkan ingin dan teringin Si berhajat menzahirkan melalui 2 rakan perempuan Rizal yang sememangnya sudah rapat sedari sekolah rendah lagi.

Apa respons mu?

Terima sahaja?

Ah, peduli!!!

Akhirnya, dia buat tak endah. Rizal berpaling, reaksinya beku. Tanda menolak tanpa rayuan. Maka mereka faham. 2 rakan karib Rizal itu faham. Lelaki diam bukan tanda setuju seperti lazimnya perempuan, tetapi memendam amarah yang sukar diterjemah. Maka hampalah si berhajat. Impiannya itu mati di situ sahaja.

"Aduhai remaja..
Waktu ini, adalah waktu mencari ilmu sebanyak-banyaknya. Mencari ilmu bukan untuk diwarta dan dibangga-bangga. Tetapi mencari untuk diamalkan sebanyak-banyaknya.

Aduhai remaja..
Mengapa disibukkan dengan cinta. Bukankah kala ini amat bernilai ertinya? Diwaktu ni engkau sedang mencari arah tujuan. Harapan mendukung sinar impian. Kau cuba untuk terbang tinggi, kala sayapmu masih lagi tidak gagah. Engkau akan tersungkur.

Aduhai remaja..
Bukankah sinar kebahagiaan itu akan tiba jua. Tiba untuk menguatkan perjuanganmu ke medan jaya. Tetapi perjuanganmu itu apa? Bukankah waktu ini kau sudah bisa terjemahkannya?"

Kala ini Rizal tersenyum. Cerita silam buat kenangan. Mujurlah dia tidak pernah bermain-main dengan cinta remaja ini. Sememangnya dia sedar siapa dia dan dari mana asalnya. Namun dia mencoretkan sesuatu di sini. Delima Fahri(karakter novel ayat-ayat cinta) sebelum datangnya tawaran Syeikh Ahmad menempias atma dirinya. Dia mula mencongak siapakah Syeikh Ahmad dengan tawaran itu di dunia realitinya kini. Mudah-mudahan Allah Taala mudahkan jalan....

Apa cerita Suzalisa?
Risik-risik, sudah berkahwin dan beranak dua..Moga Allah memberkati hidupnya...

“Ya Allah, kurniakan kepada kami isteri-isteri dan zuriat kami sebagai penyejuk mata. Dan jadikan kami pemimpin bagi orang-orang bertaqwa”

Continue Reading...

Read more...

Tawaduk dalam memandu hidup

>> Tuesday, July 22, 2008


Andai kita dapat meletakkan diri dalam situasi redho, maka mungkin hidup ini lebih indah, lebih manis dan lebih barakah.
Sayang, kita tidak punya masa untuk mengenal diri. Sering kita merasa lebih dari kenyataan, atau merasa rendah daripada Allah yang kurniakan.
Tanamlah dirimu dalam tanah kerendahan, kerana setiap sesuatu yang tumbuh tetapi tidak ditanam maka tidak akan sempurna buahnya.

Ada sebatang pokok, akarnya tidak nampak.
Kata mereka, akarnya jauh terbenam ke dalam tanah. Tidak tertonjol.
Patutlah... digoncang, ditendang, ditiup taufan.. batangnya masih kukuh berdiri.

Ada sebatang pokok lagi, akarnya nampak tertonjol tertanah.
Kata mereka, akarnya tidak dalam, hanya beberapa kaki sahaja terbenam di dalam tanah.
Ditolak dan ditiup taufan, lantas tumbang ia.

Begitulah halnya amalan. Alangkah ruginya, amalan yang sepatutnya disembunyikan dan menjadi rahsia kita dengan Allah dijadikan hebahan kepada orang ramai. Hilang sudah keunikan dan kekuatan amalannya itu. Jika dia qiam di malam hari, dia senang untuk menceritakan. Jika dia puasa, sengaja mahu diberitahu kepada orang ramai. Jika dia bersedekah mahu sahaja diberitahu.
Ikhlas adalah nilaian tinggi yang sukar digapai sebenarnya. Tetapi ianya membuatkan kita istimewa disisi Allah. Dengan ikhlas datangnya tawaduk dan rendah hati. Dengannya terbit rasa rendah diri datangnya kemanisan ibadah. Dengan kemanisan ibadah lahirnya akhlak yang mulia dan disegani.

Sedarlah amalan kita itu datangnya daripada Allah. Amalan kita datangnya daripada taufik dan rahmat Allah.
Ingatlah qiam kita. Kalau kita gagah berdiri di malam hari, ingatlah siapa yang beri kekuatan? Siapa yang mengejutkan kita dari tidur?
Ingatlah puasa kita. Siapa yang memberi kita rezeki sahur dan berbuka? Siapa yang memberi kita kekuatan?
Ingatlah pada sedekah. Siapa yang memberi kita wang? Bukankah wang itu pun datang daripada Allah?
Banyak beramal tidak bererti kita selamat. Sebelum beramal cubaannya malas beramal. Selepas beramal cubaanya adalah ujub.
Lantas layakkah ini membuatkan kita megah dan bangga?

Siapa mahu senang hatinya...Jangan dikenang amalan dan pencapaian dahulu.
Jika kita ini seorang pelajar ijazah dan sarjana, ingatlah bukan itu yang dipandang Allah. Tetapi ikhlas kita.
Jika kita seorang ustaz. Jangan dikenang dan mahu dipanggil ustaz. Walhal mungkin title ustaz itu menjadi fitnah buat diri.
Kenallah diri sendiri. Kerana dengan mengenal diri sahaja kita bisa berhadapan dengan cakap-cakap orang.
Ingatlah pujian orang tidak pantas menjadikan kita bahagia. Dan kejian orang tidak pantas buat kita terhina, malahan mungkin hinaan itu lebih bagus sedikit daripada kehinaan kita yang terselindung.

Tolaklah semua itu, tolaklah dengan keinsafan tentang aib dan dosa kita. Bayangkanlah selalu bahawa dosa kita sering melebihi amalan kita. Jika dipuji, katakanlah pujian itu tidak layak untuk diri yang selalu berbuat dosa.
Pandanglah orang lain lebih istimewa daripada kita, cari kemuliaan mereka bukannya kesalahan.
Palinglah diri kepada anak kecil comot itu, dosanya lebih sedikit daripada kita.
Palinglah kepada orang tua bangka itu, hidupnya lama amalan kebaikannya lebih banyak daripada kita.
Palinglah kepada penjaja di jalan itu, mana tahu dia lebih jujur dalam menguruskan perniagaannya.
Palinglah kepada orang yang merangkak-rangkak membaca Al-Quran. Mana tahu setiap rangkakan itu membuatkan dirinya takut kepada Allah.
Palinglah kepada orang yang rendah CGPA nya, tetapi mana tahu itulah hasil ikhlas dan jujurnya dalam peperiksaan. Dan mana tahu CGPAnya paling rendah tetapi kedudukannya paling tinggi di sisi Allah.

Mungkin ini caranya mencapai tawaduk. Marilah bersama-sama menanamkan ia di dalam diri. Itulah nilaian yang berharga di sisi tuhan. Mudah-mudahan kerendahan hati kita memacu amalan kita untuk lebih sempurna.

Al-Hafizh Ibnu Rajab Al-Hambali rahimahullah berkata, "Orang yang sombong adalah orang yang memandang dirinya sempurna segala-galanya, dia memandang orang lain rendah, meremehkannya dan menganggap orang lain itu tidak layak mengerjakan suatu urusan, dia juga sombong dari menerima kebenaran dari orang lain". (Jami'ul Ulum Wal Hikam)

“LAA ILA HA ILLA ANTA SUBHANAKA INNI KUNTU MINAZ DZALIMIIN”
"Tidak ada Tuhan yang sebenarnya disembah melainkan engkau, ya Allah.
Maha Suci engkau, sesungguhnya aku adalah dari orang yang membuat zalim."
SURAH AL-ANBIYAK(21):87

Continue Reading...

Read more...

Biar seragam pada pakaian bukan pada kepercayaan!

>> Monday, July 21, 2008

Salah seorang Lt. Komander Muslim didalam Tentera Laut US.

Meniti hari-harinya sebagai seorang muslim pastinya berdepan cabaran. Manakan tidak mereka berada di tengah-tengah kelompok yang kita gelar tentera kuffar millenium.Itulah halnya yang dihadapi warga tentera US yang beragama Islam.

Salah seorang daripada mereka adalah Midshipmen(pegawai kadet kanan) Maksudal Ali. Pembabitannya dalam United States Naval Academy(USNA), Annapolis adalah di dorong cita-citanya untuk menjadi seorang fighter pilot.

Ali yang berasal dari Clarksburg, W Virginia asalnya berasa ragu-ragu untuk menyertai USNA akhirnya membuat keputusan yang dianggapnya benar biarpun terpaksa menghadapi tanggapan buruknya sendiri tentang tentera US. Dia adalah salah seorang daripada 10 orang Islam Midshipmen dimana jumlah keseluruhan Midshipmen adalah 4200 orang. Komuniti yang hanya beranggaran 1 % sahaja.
Lt. Abuhena M. Saiful-Islam, bertugas sebagai Muslim Chaplain di USNA

Walaupun dia melalui hari-harinya di USNA dengan positif, terdapat juga tekanan yang dihadapi sebagai seorang muslim di Akademi. Mereka seperti menjalani latihan untuk menyahut seruan negaranya menangani pengganas dan pelampau agama yang berjuang untuk Islam. Maksudnya mereka dilatih untuk memerangi sesama muslim juga.
Cabaran lain pula adalah kesukaran untuk berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan kewajipan solat lima waktu ditengah-tengah jadual yang padat sebagai seorang Midshipmen. Mereka juga terpaksa hadir ke majlis atau keraian dimana etika Islam tidak langsung diendahkan.

Ali yang juga presiden Kelab Midshipmen Muslim juga menambah yang dia tidak berdepan sebarang diskriminisi di sini, tetapi kadang-kala dia tidak berupaya untuk mengurus waktu solatnya dengan baik kerana jadual yang padat. Walaupun begitu Akademi ini tetap menghormati hari Jumaat untuk mereka menunaikan ibadah sebagai seorang muslim.

"Saya amat menghargai cara Akademi ini melayan kami sebagai seorang muslim. Saya tidak pasti adakah keadaan ini akan berterusan. Kepercayaan adalah sesuatu yang bernilai dalam diri ini."


Sewaktu berlangsungnya perang di Afghanistan, Mejar Abdul Rasheed, seorang Muslim Chaplain yang paling senior di dalam tentera meminta fatwa daripada Fiqh Council of North America sama ada mereka boleh terlibat atau tidak di dalam peperangan di Afghanistan.
Dan Majlis Fiqh ini membenarkan dengan alasan, "Sesiapa jua dibenarkan untuk berjuang demi negara melawan pengganas yang membunuh mereka yang tidak berdosa dan membenarkan membunuh orang awam tanpa pengadilan yang sewajarnya."

Walaupun begitu, fatwa ini tidak dipersetujui oleh sesetengah muslim. Seorang Sarjan Udara terpaksa menghabiskan beberapa tahunnya dalam tahanan tentera akibat ingkar arahan untuk turut sama menyertai misi peperangan di Iraq. Sepanjang perbicaraannya berlangsung, Muslim Air Force Chaplain membelanya dengan mengatakan bahawa dia telah berjumpa beberapa orang Ulama' di Jerman dan mereka mengatakan lebih baik mati daripada turut sama menentang sesama muslim.

Anggaran orang Islam yang berkhidmat di dalam tentera US adalah seramai 15,000 orang daripada 1.4 juta, kira-kira 1 % sahaja.
Ternyata cabaran dihadapi oleh mereka ini amat besar.
Saya terfikir ditengah-tengah mereka berjuang untuk mendapat hak muslim, ramai pula dikalangan kita yang tidak menghargai peluang dan nikmat dihadapan mata. Jangan sampai kita digantikan dengan kaum lain dimana mereka jika disuruh nescaya mereka akan mengerjakan solat, menunaikan zakat dan mengerjakan amar maaruf nahi mungkar.

Continue Reading...

Read more...

Ibadah itu makanan ruh.

>> Sunday, July 20, 2008


Setandus-tandus bumi akan ada jua hidupan di atasnya. Begitu juga tandusnya iman, pasti akan ada cahaya yang terbit dari celah-celah kegelapan. Manusia itu sering berbolak-balik hatinya. Malangnya tanpa penyerian hati, ianya tertutup mencari-cari.

Tanyakan pada ruh itu, lapangkah dia tanpa adanya ibadah?
Ah, tentu katanya tidak! Ibadah itu santapannya. Zikir itu penyerinya. Solat itu tunjang kekuatannya. Al-Quran itu ingatan dan hiburan.

Tanyakan pada diri, apa yang dia mahu lagi dengan hidup ini?
Tentu katanya hati yang tenang...

Oh, adakah hatinya tidak tenang lagi? Rumah besar, kereta mewah, isteri cantik dan makanan lazat..masih tidak tenangkah lagi?

Tidak...tidak...bukan itu yang membawa ketenangan. Itu adalah kesenangan. Rumahnya besar tetapi bukan berlabel baitul muslim. Keretanya mewah tetapi hanya memberi keselesaan kepada fizikal sahaja. Isterinya cantik, tetapi malang hanya bertakhta di mata.
Rupanya dia mahu, dia mahu ketenangan...
Dia mahu seperti orang di sana...
Orang disana...Rumahnya usang, tetapi selalu tersenyum tenang.
Orang disana...Kerjanya berpanas, tetapi itulah yang membuatkan ia berselera makan.
Orang disana...Isterinya 'biasa-biasa' sahaja, tetapi dia bilang isterinyalah bidadari syurga.
Orang disana...Tidurnya nyenyak walaupun beralas tikar mengkuang..

Oh, dia itu... Dialah orang yang sering merasa cukup. Dialah orang yang berniat kahwin dahulu untuk mendirikan baitulmuslim. Dialah orangnya yang kuat untuk bangun malam. Dialah orang yang yakin bahawa ibadah itu dipulangkan kembali kepada dirinya.
Dialah orang yang sering mengusap dahi anak-anaknya dikala waktu tidur sambil berdoa, moga anak mereka jadi insan soleh..
Dialah orang yang sering berdoa, "Ya Tuhanku, kurniakanlah isteri dan anak-anak yang menjadi penyejuk mata. Dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa."

Islam tidak pernah melarang untuk kaya, tetapi janganlah ia menjadi fitnah pada diri.
Kerana dia perlu sedar bahawa mengejar kesenangan belum tentu membawa ketenangan.
Tetapi mencari ketenangan sudah tentu membawa kesenangan.
Bagaimana caranya?
Bukankah raihan selalu mengulang dalam lagu iman adalah mutiara,"....Jika tidak kembali pada Allah...."

Continue Reading...

Read more...

Mee Goreng basah pula...

>> Friday, July 18, 2008

Amaran: Entri ini tidak ada kena mengena dengan entri dibawah. Diet-diet juga, makan perlu juga.

Minggu lepas semasa balik kampung, ibu dan adik saya mintakan saya masakkan mee goreng basah. Cabaran disahut dan alhamdulillah memuaskan hati seisi keluarga.
Suka untuk saya berkongsi resepi orang bujang yang tak seberapa ni.. maaf gambar dibawah sekadar hiasan sahaja. Mee sebenar sudah habis dimakan sebelum sempat ditangkap gambarnya.
Bahan-bahan:

2 kg mee kuning
3 biji bawang putih
4 biji bawang merah
(bawang putih dan bawang merah ini ditumbuk terlebih dahulu)
4 batang sawi (dipotong)
1 mangkuk kecil taugeh
4 biji telur dipukul dahulu.
60 gm isi udang dan isi ayam
1 cawan cili boh
2 sudu sos cili
1 sudu kicap pekat
1 sudu kicap cair
Sedikit minyak untuk menumis.

Bahan untuk hiasan:

Cili merah (dihiris)
Daun bawang (dihiris)
Bawang goreng
Limau nipis

Cara:

Panaskan kuali dan sedikit minyak.

Buatkan dahulu sambal untuk menumis mee dengan menumis sedikit bawang dengan cili boh sehingga masak. Campurkan sedikit gula, garam dan ajina moto.

Masukkan kicap pekat, kicap cair, cuka dan sos cili. Kemudian tuang air secukup rasa.

Masukkan telur yang dipukul tadi. Gaul dan masukkan sawi,dan isi ayam. Rasa sedikit kuah yang dimasak, tambah sedikit gula jika terasa masam.

Kacau sehingga kuah beransur pekat dan masukkan taugeh. Terakhir sekali masukkan mee kuning. Gaul dalam 4-5 minit sehingga rata.

Dah siap. Ianya sedia untuk dihidangkan dan letak bahan hiasan.

Continue Reading...

Read more...

Lebihnya berat badan...


Masalah berat badan cukup menjadi kegusaran di hati teman-teman. Mana taknya, kami diminta(dipaksa sebenarnya) untuk mengekalkan bmi-body mass index bawah daripada 24.0. Ya, bagi yang kurus dan sukar badannya untuk naik mungkin tersenyum, tetapi badan yang mudah naik macam saya ni...Asyik timbang berat je la..

Walaupun kami diberikan latihan pysical training khas setiap hujung minggu. Namun hakikatnya ianya tidak cukup. Dan saya sentiasa berusaha sendiri untuk mengekalkan berat badan. Saya rasa tidaklah sukar, cuma perlu istiqomah dan disiplin yang tinggi sahaja.

Soal pemakanan sememangnya terpenting sekali. Jika mahu berat badan turun, kawal-kawallah pemakanan tu. Ya, inisiatif untuk berpuasa sunat isnin dan khamis itu bagus. Namun janganlah diniatkan hanya sebab nak kurus dan janganlah ifthor(berbuka) seperti 2 hari tak makan pula.
Makan mengikut sunnah itu paling bagus, 'berhenti sebelum kenyang'-maksudnya ambil sedikit sahaja nasi bukan ambil banyak lepas tu tak habis. 'Makan beberapa suap untuk mendirikan sulbi, jika tidak sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga untuk udara'. Makan banyak hanya memalaskan untuk kita beramal.

Kawal pemakanan sahaja tidak cukup. Ianya mesti disertai dengan senaman bagi memberikan tubuh badan yang sihat dan cergas.
Ada sedikit tips senaman untuk menurunkan berat badan dan menjadikan perut lebih berotot dalam masa yang singkat. Amat sesuai untuk mengatasi 'perut buncit'.

4 senaman asas;

a) Berjogging. Nak tak nak inilah cara terbaik. Tetapi jika pandai berenang lebih bagus. Sebenarnya berenang lebih mempercepatkan pembakaran lemak, disamping menguatkan otot kaki dan tangan. Ianya mengurangkan juga risiko sakit jantung. Tanya saya? Saya akan buat kedua-duanya secara berselang seli atau ikut mood...

b) Melakukan seat-up(bangkit tubi) sekurang-kurangnya 30 kali. Kalau tak larat lakukan sampai perut rasa tegang dan sakit. Lakukan selama seminggu, kalau tak dapat perut ketul-ketul tidak mengapa. Janji otot perut itu keras. Otot perut yang keras menyokong stamina sebenarnya.

c) Push up(Tekan tubi). Tahap cemerlang 20x. Jika tidak biasa, lakukan juga sampai 20x walaupun satu badan dah vibrate. InsyaAllah kekuatan untuk tangan boleh diperolehi tidak sampai seminggu.


d) Sekali lagi untuk kekuatan perut. Buat v-ship. Caranya dengan berbaring sambil tangan dan kaki dilunjur tegak. Angkat tangan yang dilunjur untuk mencapai hujung kaki. Lakukan sebanyak 20x-tahap cemerlang.

Saya rasa 4 senaman inilah adalah yang paling asas, ekonomi dan senang. Jika dilakukan secara berterusan selama seminggu, insyaAllah akan nampak kesannya. Menjadi daei juga perlukan badan yang sihat dan cergas. Tips ini sekadar cadangan peribadi. Terima Kasih kerana sudi membaca.

Continue Reading...

Read more...

Israilliyat, nila yang merosakkan susu!

>> Wednesday, July 16, 2008


"...Begitulah hendaknya kisah Nabi Daud as yang hendak menggenapkan isterinya seramai 100 orang." Ustaz Daud seperti mahu mengakhiri kuliah tafsirnya.

"Ada soalan?" Ustaz Daud bertanya.

Lantas saya yang berada di sisi kanan paling hadapan mengangkat tangan.

"Assalamualaikum ustaz. Saya dapat tahu bahawa kisah Nabi Daud yang ustaz bentangkan tadi adalah cerita Israiliyyat. Apa pendapat ustaz?" Saya bertanya soalan.
Perasan juga ada rakan-rakan yang berbisik. Mahu tahu apa itu Israilliyat.

Ustaz Daud tersenyum. Lantas mengulas. Dia akui cerita itu Israilliyat. Dan dia katakan terpulang kepada kita semua untuk percaya atau tidak. Kerana terdapat keharusan memperkatakannya. Wallhualam. Saya berpuas hati dan menghormati jawapan guru saya ini.

Israilliyat adalah hikayat atau fakta yang ditokok tambah, yang dalilnya tiada dalam Al-Quran mahupun hadis Nabi Muhammad SAW. Lazimnya ianya diambil di daripada kitab-kitab yang terdahulu. Sebab itu digunakan perkataan 'Israil'.
Umumnya saya ambil pendekatan menolak apabila dibentangkan cerita-cerita Israelliyat. Jika ianya logik, saya hanya mendengar sahaja. Jika tidak, minta maaf kalau ana menegur.

Sebenarnya cerita Israelliyat ini selalu dialunkan di kampung-kampung. Saya tidaklah pernah mendengarnya daripada mulut penceramah dahulu. Mungkin zaman kecil penuh nakal. Datang masjid tahu nak main, bukan nak buat ibadah pun. Tetapi cerita ini berputar di mulut-mulut orang tua. Lalu terngangalah mulut anak kecil ini. Mendengar cerita burung merak dan Nabi Sulaiman as. Tidak langsung canggung, walhal watak Nabi Sulaiman as dipermainkan sedemikian.

Bila tiba musim Asyura, kampung saya akan adakan kenduri di masjid. Ibu-ibu sebahagiannya akan memasak ditepi masjid. Anak-anak kecil menunggu untuk waktu hidangan. Sementara para bapa mendengar ceramah agama di dalam. Saya? Masih lagi tak ambil pusing, sibuk dengan main sahaja.

Jika ditanya kenapa buat ni semua mak cik? Oh, cerita Nabi Nuh as masak di atas kapal yang diiramakan!
Habis kenapa orang syiah cederakan diri mereka pula mak cik? Ops, tak tahu pula teman!

Aneh sekali, tinggalan Nabi Nuh as yang dikenang hanya pada resepi 'bubur'nya. Tetapi bukan pada mesej kekentalan dakwahnya. 950 tahun berdakwah. Saya tak rasa fakta ini sepopular 'bubur asyura' baginda.

Sebenarnya ada banyak lagi kisah-kisah yang diselitkan dalam menghurai tafsir Al-Quran.
Israilliyat adalah sesuatu yang merosakkan disebalik pengajaran. Faktanya kadang-kadang pelik dan mencemarkan sahsiah dan kemaksuman Nabi-Nabi terdahulu. Inilah kejayaan yahudi sebenarnya. Tidak dapat menukar kandungan Al-Quran, mereka resapi dalam tafsirnya pula.

Dr Yusuf Al-Qaradawi menulis; "Sesungguhnya antara yang mencemarkan warisan ilmu kita, terutamanya di bidang tafsir ialah meresapnya Israilliyat, dan sukar untuk dibersihkan."
Tambahnya lagi,
" Seakan-akan yahudi ketika tewas di hadapan dakwah Islam di Madinah, Khaibar dan selainnya, maka mereka cuba pula menghadapi Islam dengan senjata yang lain sebagai ganti kepada kekalahan. Demikianlah itu senjata peperangan pemikiran. Lalu mereka memasukkan riwayat Israiliyyat yang pelik-pelik. Dalam kelalaian, maka tidak sampai sekejap, lalu Israeilliyat telah mencekik kitab-kitab kaum Muslimin."-Thaqafah al Da'iyyah.

Kata Ibnu Qayyim,"Yang peliknya ada orang yang sanggup menghitamkan buku-bukunya dengan perkara merepek ini(Israilliyat)."-Al-Manar al-Munif
Kaji dan telitilah pendapat dan penceritaan yang disampaikan. Amatlah malang cerita yang sepatutnya dikikis ini diwariskan kepada anak-anak muda Islam.

Lalu hilanglah tujuan asal Al-Quran. Tujuan untuk dijadikan pengajaran. Hikayat pelik pula yang didendangkan.
Continue Reading...

Read more...

Berpijak di bumi yang nyata..

>> Monday, July 14, 2008

Melihat kepada rupa blog ini, saya berfikir apakah hala tuju penyampaian saya sebenarnya. Siapa golongan sasaran dan apakah kriteria yang melayakkan saya untuk memperkatakannya. Sungguh saya minat sangat untuk berbicara tentang perkara asas dan wawasan Islami, tetapi ilmu saya amat-amatlah terbatas kerana saya bukan berada di dalam bidang pengajian pengkhususan agama Islam. Sungguh saya sedar ada benteng yang melantunkan saya kembali apabila saya cuba memanjatnya. Lalu saya berfikir, jangan sampai bidang agama yang dikejar tak dapat, bidang saya ambil ini pula keciciran.

Sememangnya saya sedar bahawa Islam itu adalah agama carian bukan warisan. Dan kesedaran itulah yang menyebabkan keinginan saya menjejakkan kaki, menadah ilmu di bumi Anbiya' itu betali-talu datang.
Lalu kadangkala menyalahkan takdir kerana tidak meniatkan diri untuk meletakkan diri di sekolah agama dahulu. Malah lebih daripada itu, perspektif pemikiran saya mengatakan bidang agama adalah bidang yang tidak menjanjikan jawatan dan gaji lumayan. Sungguh saya keliru!

Namun apalah yang mahu dikenang kisah takdir. Ah, terngiang kata-katanya; "Dunia ini adalah pentas lakonan, kitalah pelakonnya. Dan untuk menjadi pelakon wataknya berbeda, pelbagai ragam dan gaya."

Saya di sini. Di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Menjejakkan kaki dan bermastautin hampir 4 tahun 4 bulan. Allah know the best for me! Dia yang meletakkan saya di sini. Walaupun saya beria-ia mengelak tetapi bening hati saya berirama juga untuk menerimanya. Lalu tidakkah menjadi satu peluang untuk saya mempelopori (atau menyambung) wawasan dan cita-cita Islami yang bersarang disebalik uniform tentera yang disarung ini.

Saya punya rakan-rakan yang mempunyai cita-cita dan harapan yang sama untuk Islam. Bergerak dan berhalaqah seusai Maghrib bersama. Suluh anak muda biasanya berubah-rubah dan tidak tetap. Masakan tidak inilah masa cuba-cuba dan memulakan langkah, kelak 30 an adalah musim berbunga dan 40 an adalah musim menunggu buah.

Saya perlu teguhkan azam disebalik ruang. Untuk itu adalah wajar saya untuk saya menulis serba sedikit tentang Angkatan Tentera Malaysia di sini mungkin. Tetapi bukan secara mendalam kerana saya pun baru berenang-renang di gigian air. Moha Allah jadikan saya seteguh Tariq bin Ziyad dan sepintar Khalid Al-Walid. Amin!



Menyusur jalan merentang hikmah

Continue Reading...

Read more...

First Impression itu bukanlah teruk!

>> Wednesday, July 9, 2008



Shhh!!!
Ini rahsia kita..

Ada orang beritahu..dia tu..dia tu...
'Sombong'!

Haha..tak kenal maka tak bolehlah nak bercerita.
Saya sering beristighfar apabila kadangkala selalu memandang rendah pada orang yang baru pertama kali berjumpa.

Pernah sekali, seorang lelaki memintas dihadapan saya.
Pandangan kami tiba-tiba bertembung, saya hanya berlalu sahaja tanpa salam dan tanpa senyum kerana memikirkan dia tu kerani atau brother pejabat je. (Jangan tuduh saya ni memilih-milih untuk beri salam dan senyum pada orang. Anta yang berada disituasi demikian sahaja dapat mengerti.)

Alih-alih bila saya masuk kelas, orang yang dimaksudkan adalah lecterur sambilan yang ajar subjek matematik di keatas saya. Ada title Dr.(phd) pulak tu.. Ish..Ish..

Hari ini, akak office cakap kat saya yang anak boss ni sombong.
Saya terkejutlah, saya tak nampak pun dia ni macam sombong. Walaupun saya tak sempat beramah mesra dengan anak boss atas kebatasan ruang waktu dan tempat kerja namun kami pernah bertukar senyuman.

Sekali lagi..Tak kenal maka tak boleh bercerita..
Kadang-kadang buruk sekali first impression orang ni.
Ingat sangka buruk itu sebahagian daripada dosa!

p/s: Alhamdulillah, esok hari last praktikal! Best ada, sedih pun ada..

Continue Reading...

Read more...

Review Novel sikit.

>> Monday, July 7, 2008


Politik benar-benar simbol yang membebalkan.
Saya tak berhasrat untuk menulis politik. Saya nak beri komen pasal novel. Lari daripada kemelut politik membebalkan. Sekali-sekala novel perlu dibaca untuk membangunkan jiwa. Jiwa juga mahu berirama. Irama asyik pada Tuhan yang tak dapat dihidangkan oleh 'Geng Starz'(watak-watak buruk sebahagian manusia) di malam Isnin semalam.

Saya membeli novel 'Syabab Musafir Kasih' karangan Ustazah Fatimah Syarha (Akh Fadzil kenal kot?). Ini novel keduanya yang saya miliki selepas novel 'Tautan Hati'.
Apa ada pada novel? Hmm....Kisahnya begini;

'Syabab bangun dengan kental. Dia punya azam dan untung nasib yang amat baik. 2 faktor yang mungkin tiada di dunia realiti. Nor Mumtazah berjaya merubahnya. Bukan ubah main-main. Daripada budak hina kepada Ustaz berjaya. Cabaran besar kepada para daie sejati. Bisakah ini dirungkai?

Syabab budak kampung berjaya. Tanah terbiar berjaya diubah menjadi ladang subur. Subur dengan kelapa sawit baka amerika. Bukan itu sahaja menjadi penternak lembu berjaya. Bukan itu sahaja seorang direktor filem animasi. Bukan itu sahaja ustaz muda lepasan Universiti di Syria. Bukan itu sahaja berkahwin akhirnya dengan janda beranak 4 bernama Dr Nor Mumtazah.

Nor Mumtazah akhirnya menjadi pilihan Syabab. Umur mereka mungkin 16 tahun bezanya. Bukan main-main. Semasa Syabab berusia 13 tahun, Kak Zah baru balik dari Syria. Baru habis Master dan PHDnya. 6 Tahun di Syria+umur baru grade(dalam 23)=29. Maknanya, kalau Syabab kahwin umur 25, Kak Zah dah berumur 41. Bukan ini yang patut saya cerita.

Saya mencapai novel ini di saat futur mula menjelma. Alhamdulillah novel ini benar-benar membangun jiwa. Sajaknya tentang lelaki dan pemuda benar-benar membuatkan saya tercabar. Syabab adalah cerminan dunia realiti. Merungkai dirinya yang sering dilanda krisis identiti.'

Syabab...Syabab...
Huh..seperti biasa. Cerita ini akan dilekat di hati dan minda dalam dua tiga hari lagi, mungkin seminggu!

Continue Reading...

Read more...

Dia hanya layak jadi ibu, bukan Isteri?

>> Friday, July 4, 2008


Antara perkara yang sering di dengar adalah hakikat kebahagiaan antara suami dan isteri dan bagaimana untuk mengekalkannya.

Adalah agak janggal apabila terdapatnya keluhan daripada sang suami; "HUh, perempuan sekarang ini ramai yang layak jadi ibu, tetapi belum tentu layak jadi isteri!"

Pelik bunyinya.
Kalau mengikut kira-kiranya, sudah pastilah gelaran isteri dahulu yang diperolehi sebelum gelaran ibu.(Kecuali kes luar moral insan)
Tetapi mengapa pula status ibu itu lebih menonjol lebih daripada status isteri?

Ditambah pula dengan keluhan biasa baik; "Perempuan apabila bersuami mulalah kurang berfikir. Banyak perkara sengaja diconsultkan dengan suami. Walhal semasa bujang dahulu, berjauhan daripada keluarga boleh pula membuat keputusan."

Hmm..Entahlah..Mungkin nak capai persetujuan atau nak ber'manja' mungkin..erk

Lalu adalah nasihat-nasihar bingar, "Kalau nak kahwin carilah perempuan yang berfikir."

"Alamat lambat kahwinlah aku!"

Lihatlah point ringkas yang saya temui hasil bacaan, apa sebenarnya yang diinginkan oleh seorang lelaki bergelar suami.:

Pertama

Lelaki mahukan perhatian sepenuhnya. Mungkin seperti awal perkahwinan dahulu walaupun disibukkan dengan berbagai komitmen seperti anak, kerjaya dan persatuan.

Kedua

Lelaki meletakkan dirinya sebagai asas penilaian wanita. Jika dia seorang aktivis, dia juga mahu isterinya memahami kehendak berkaitan. Pujian, rangsangan dan perkongsiaan idea yang bernas amatlah diharapkan.

Ketiga

Lelaki yang berpelajaran sering menganggap isterinya sebagai rakan yang cergas. Jika ini dinafikan, maka kemungkinan besar si isteri akan ditinggalkan di rumah demi memenuhi tuntutan persahabatan yang tidak dapat diberikan si isteri.

Keempat

Khas untuk wanita belum berkahwin. Mereka yang terlalu 'terceruk' di dapur atau suka bermain dengan kanak-kanak tidak lagi dianggap sebagai satu kelebihan. Jika dahulu dianggap sebagai satu kelebihan sekarang mungkin dianggap sebagai 'kelemahan'.

Kelima

Dalam dunia yang global dengan semakin banyak anjakan paradigma dan budaya, wanita yang gagal membawa imej cergas dalam banyak segi tidak lagi dianggap berpotensi sebagai calon isteri yang baik.

Hakikat ini mungkin jelas disekeliling kita. Dengan bertambahnya bilangan pelajar perempuan di Universiti, maka nilaian terhadap imej dan pembawakan dirinya juga adalah berbeza daripada dahulu. Wanita sekarang lebih dituntut agar lebih dinamik. Tidak lagi bersifat homely. Sememangnya inilah imej wanita yang berjaya dan menjadi harapan negara.

Satu ciri yang mungkin disangka 'OK' seperti tersipu-sipu, menunduk, mata meliar dan kelihatan kaget menghadapi orang lain sebenarnya tidak lagi 'OK'.
Ciri ini tidak lagi dianggap 'Wanita Melayu Terakhir' dan ciri solehah tetapi menggambarkan ketidakyakinan diri dan tidak 'profesional'nya mengahdapi masyarakat dan dunia moden sekarang.
Namun saya tidaklah berpendapat perkara ini perlu dibuang dan ditangkis sepenuhnya. Kerana ya atau tidak ciri-ciri inilah yang membezakan antara nilai ketimuran dan kebaratan. Walaupun krebiliti ini tertonjol, ini tidak bermakna wanita Islam itu lemah dan ditindas.

Apa-apapun apabila si dia telah menjadi ibu yang baik bagi anak-anak. Apakah nikmat itu belum cukup untuk memuaskan kita yang sering kali tak pernah puas?

Continue Reading...

Read more...

Minda kita telah diracun Syiah?

>> Wednesday, July 2, 2008



Saya membelek-belek novel kanak-kanak itu. Sudah kuning lapok. Padanlah, tahun penerbitan pun 1983.

Novel itu dikutip di atas meja komputer. Risiknya adik saya yang darjah 3 itu pinjam daripada perpustakaan.
Ada sesuatu yang membuatkan saya tertarik untuk membelek dan baca novel yang saya mahu kategorikan sebagai novel remaja ini.
Karya Wan Yusof Hassan. Diterbitkan pertama kali pada 1981 dan edisi terkini adalah pada tahun 1985(sumber Faisal Tehrani).

Novel itu bertajuk; "Peristiwa di Padang Karbala."

Saya fikir novel ini sudah cukup popular buat kanak-kanak khasnya yang lahir sekitar tahun 1980an-1990an.

Apa yang tak kena dengan novel ini?

Peristiwa di padang Karbala adalah isu yang menjadi titik hitam dalam sorotan sejarah Islam. Di sana fitnah yang besar telah menimpa. Cucu kesayangan Rasulullah SAW dan kesayangan kita juga Saidina Hussein telah dibunuh. Dan bertitik tolak daripada inilah lahirnya perayaan Asyura yang disambut oleh golongan Syiah.

Saya ingin kupas sedikit perihal novel ini.

1) Yazid bin Muawiyah digambarkan sebagai seorang Khalifah yang kejam.

2) Abu Hurairah r.a mati di medan perang kerana membela Khalifah Yazid kerana dia telah dikurniakan harta dan kekayaan oleh Khalifah Yazid.

3) Yazid bin Muawiyah bertanggungjawab sepenuhnya dalam konspirasi membunuh Saidina Hussein.

Saya tidak baca habis novel ini. Tetapi ini bukan bermakna saya tidak boleh membuat rumusan novel ini adalah Syiahiyat.
Tambahan pula tiada rujukan fakta di belakang novel ini.

Saya mengentap bibir. Sememangnya saya sedar, racun ini telah disuntik sejak dahulu lagi. Bukan sedikit orang yang menganggap Saidina Muawiyah itu adalah orang yang jahat begitu juga anaknya Yazid. Malah saya juga beranggapan begitu dahulu.Lebih buruk lagi peribadi Abu Hurairah juga dijaja dan diputar belit. Inilah racun Syiah sebenarnya!

Tidakkah kita mendengar hadis yang bermaksud;

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Janganlah kamu menghina sahabat-sahabatku kerana jika engkau membelanjakan emas sebesar bukit Uhud di jalan Allh ianya tidak akan sama dengan secupak atau setengah cupak yang dibelanjakan oleh salah seorang dari mereka” ( Sahih Bukhari )

Ingat! Pertikaian tentang peribadi Abu Hurairah juga membawa kepada pertikaian hadisnya. Disiplin ilmu hadis tidak mengambil hadis daripada periwayat yang tidak thiqoh. Sedangkan hadis riwayat Abu Hurairah banyak dirakamkan dalam kitab-kitab hadis Ahli Sunnah Waljamaah.
Muawiyah adalah insan soleh begitu juga anaknya Yazid. Saidina Ali r.a. adalah insan soleh begitu juga anaknya Saidina Hassan dan Hussein.
Hanya pertimbangan nafsu dan syaitan sahaja yang meletakkan mereka ini bukan pada tempatnya.

Rujuk peribadi sebenar Saidina Muawiyah r.a. di sini.

Continue Reading...

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP