Separuh bukanlah lengkap

>> Monday, March 24, 2008



"Kenapa kamu hantar tugasan rumah ini separuh sahaja?" Soal Cikgu Ahmad kepada Mohsin.

"Tak apalah cikgu, hantar separuh pun dinamakan tugasan juga cikgu." Jawab Mohsin.

"Mana boleh. Kamu sudah ingkar arahan ni. Cikgu tak boleh terima tugasan kamu ni..Ambil balik!" Balas Cikgu Ahmad kembali.

Cuba bayangkan, separuh sudah dikatakan sempurna? Adakah sesuatu perkakasan itu boleh dinamakan komputer jika yang ada hanya monitor dan tetikusnya sahaja?
Adakah sebuah rumah boleh dipanggil rumah jika hanya ada dinding dan lantai tanpa bumbung? Adakah kita boleh mengambil separuh dan meninggalkan separuh lagi lalu mengatakan ianya sudah sempurna? Malah jika memakai hukum matematik pun 0.5 tidak boleh dikatakan sama dengan 1. Jika jumlah kecil boleh sahaja dibundarkan. Tetapi jika jumlahnya besar? 500 tak sama dengan 1000? Benar bukan?

Tetapi sedarkah kita bahawa selama ini kita hanya mengamalkan separuh sahaja daripada agama. Lalu tanpa segan silu mengatakan inilah Islam! Sayalah muslim contoh! Saya duduk di negera Islam contoh! Benarkah begitu?

Islam adalah sebuah agama yang lengkap, syumul dan menyeluruh. Manhaj atau sistem yang ada di dalamnya sentiasa relevan dengan zaman. Jika kita katakan tidak, maka kita juga sebenarnya menuduh Al-Quran itu tidak relevan dengan zaman. Walhal zaman itu bergerak seiring dengan susunan isi kandungan Al-Quran.

Islam itu lengkap tidak perlu tokok tambah di pangkal atau hujungnya. Tidak juga perlu dikupas dan dibuang isinya. Lalu diisi dengan teori akal manusia yang dangkal, disalut kembali dengan nama; Inilah Islam sebenar!
Islam itu merangkumi segala persegi tentang kehidupan. Inilah dia agama kerohanian dan material, memenuhi aspek dunia dan akhirat, roh dan jasad, ibadah dan politik serta timbal balik hubungan manusia dan alam.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah ayat 3:

Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu.

Tetapi alangkah malangnya..Agama yang sempurna ini hanya diambil separuh sahaja oleh penganutnya. Separuh lagi ditambah dengan ajaran-ajaran agama Nasrani, Yahudi dan Nafsu. Sebagai contoh; fikah Islam terbahagi kepada empat. Iaitu ibadah, munakahat(perkahwinan), muamalat(urus niaga) dan jenayah. Daripada keempat-empat perkara ini, yang kebiasaannya digunapakai adalah ibadah dan munakahat. Bagaimana pula dengan muamalat dan undang-undang Islam? Anda sendiri ada jawapannya.

Tidak lekehkah jika negara kita contohnya, mengaku bahawa negara ini adalah negara Islam hanya dengan menggunakan hujah Peruntukan Perlembagaan Persekutuan perkara 3(1) bahawa Agama Islam adalah agama rasmi persekutuan dengan agama lain dapat diteruskan dengan amana dan damai di mana-mana bahagian persekutuan. Tun Salleh Abbas pernah berkata bahawa peruntukan ini tidak lebih kepada aspek kepercayaan sahaja.

Walhal telah terang-terang Allah SWT menerangkan di dalam Al-Quran, surah Al-Baqarah ayat 208;

Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.

Imam Qatadah juga pernah berkata;

"Janganlah kamu campuradukkan ajaran Islam dengan ajaran Yahudi dan Nasrani sedangkan kamu mengetahui agama yang diredhai di sisi Allah ialah Islam."

Ambillah sepenuhnya apa dinamakan Islam.
Bukan, bukan separuh!
Jangan, jangan berani mengatakan dengan mengambil separuh lalu mengatakan ianya telah lengkap!
Takut, takut amalan ditolak, rahmat ditarik, berkat disapu!
Lalu jadilah kita nanti umat yang Muflis!


Continue Reading...

Read more...

MsRizal, hunuskanlah senjatamu!

>> Friday, March 21, 2008


MsRizal duduk di atas 'thinking chair' berwarna hijau.
Meletakkan tangan di atas 'thinking desk' berwarna coklat+hitam.
MsRizal menghadap bukunya.
Dia perlu habiskan baca. Tulis. Kira. Hafal.
Exam nak dekat!!!

(Soundtrack muzik filem Muhammad The Messenger beralun dari speaker )..

Wah..Wah..Muzik berlatarbelakangkan peperangan Badar.
Menaikkan semangat betul.
Tetapi apakah Msrizal berani untuk berhadapan dengan perang?

Kalau dia selesa dengan tilam empuknya. Lupakanlah.
Kalau rasa kenyang dengan makan mewah bersama Menteri. Bersendawa sahajalah.
Kalau dia asyik dengan nasyid cintanya. Duduk sahajalah.
Kalau dia hanya pandai berkata-kata sahaja. Sondolkan sahaja Mikrofon ke mulutnya.

Tetapi kalau dia beraspirasi dengan karya agung ciptaan Tuhan.
Warisan agung kurniaan zaman. Sirah Nabawiaah Rasul Junjungan. Maka ambillah dia.
Beri perhatianlah padanya. Sarungkanlah pedang perwira kepundaknya.

Ketika itu kalau dia tidak menjadi lelaki dewasa. Mungkin dia seperti Umair Bin Abu Waqqas.
Remaja belasan tahun yang bertekad untuk mengikut Rasulullah SAW walaupun dipujuk pulang oleh baginda.
Atau mungkin juga dia menjadi salah seorang daripada dua orang belia yang tidak diyakini
kemampuan mereka oleh Sahabah Rasul Abdul Rahman Bin Auf.
Namun mereka berdua berjaya membunuh Abu Jahal.
Merekalah Muaz bin Amru bin Al Jamuh dan Muaz bin Affa'.

Atau bisakah dia menghayun senjata seperti Ali Karamallahuwajhah. Masih muda yang berjaya membenamkan pedangnya ketubuh gagah Kafir Al-Walid.
Atau menjadi berani seperti Abu Dajjanah si pemilik 'Serban Merah' di perang Uhud.
Sahabat yang diberikan pedang Rasulullah untuk menghayunnya di pentas agung itu.
Berjalan dengan megah dan semangat. Ketika dia menggebarkan serban merahnya dan melilitnya ke kepala,
berkatalah orang-orang Ansar: "Abu Dajjanah telah mengeluarkan serbannya".
Tanda kehebatannya.

(Muzik latar belakang semakin perlahan...)

Apabila perang tamat. Dan kau masih hidup MsRizal? Atau jika kau terkorban MsRizal?
Apakah lagi yang kau harapkan daripada orang ramai?
Popularkah? Mahu nama disebut sebagai pahlawankah?
Bukan semua pahlawan dikatakan pahlawan.
Malah ada yang di fitnah seperti anggota perang Badar bernama Tsalaabah r.a.

(Muzik berhenti...)

Huh...MsRizal juga berjuang di meja ini. Menuntut Ilmu.
Ditekadkan bulat-bulat. Bukan tujuan menuntut Ilmu untuk pujian.
Bukan jua untuk pekerjaan.
Bukan mengharap redho insan.
Hanyalah di hati untuk mendapatkan keredhoan Tuhan. Continue Reading...

Read more...

Kembalikan suara itu

>> Wednesday, March 19, 2008


Bosan. Layu. Mengantuk. Saya nak keluar daripada kepompong ini!

Begitulah alkisahnya, sedari saya mengenali binaan berlantai karpet biru bersilang kuning ini. Mengenali binaan yang tumbuh merata-rata di pelusuk Malaysia amnya dan pelusuk dunia khasnya. Binaan yang melaungkan kalimah agung di waktu-waktu manusia perlu rehat. Rehat daripada kepenatan rohani. Bermula saya kecil sehinggalah sekarang dan insyaAllah sampai saya mati saya akan tetap mencintai binaan ini. Tetapi saya tetap nampak ianya kaku. Tidak ramai orang yang mahu mengunjunginya. Apakah kesibukan dunia telah menyibukkan mereka untuk melabur di pelaburan alam kekal abadi. Mengabdikan diri kepada Allah mengikut syariat yang selari dengan ajaran Rasul junjungan SAW. Ataupun kedatangan mereka sekadar seminggu sekali tidak dapat mendatangkan apa-apa pada hati? Mengapa begitu.

Ah, saya bosan! Saya semakin layu! Semakin mengantuk! Saya rasa nak berdiri dan melaungkan; " Berkhutbahlah seperti orang yang sebenar-benar berkhutbah wahai khatib!"

Khutbah Jumaat.



Ketika saya dalam sekolah rendah, zaman nakal-nakal. Saya mengenali Tok Imam Kampung. Ada 3 orang yang silih berganti. Dan sampai sekarang ianya masih dibaca oleh ketiga-tiga orang ini. Hakikatnya saya tidak ada rasa tertarik dengan khutbah ketika itu.

Ketika saya bersekolah di sekolah men. Teknik Ipoh sewaktu tingkatan 4. Kebiasaannya saya dan rakan-rakan akan berjalan beriringan ke Surau Sekolah Izzudin Shah yang terpisah dengan sekolah saya hanya dengan rumah pengetuanya sahaja. Ketika itu saya dapat rasai satu kelainan pada khutbahnya. Lain! Hampir 6 tahun lamanya. Masih tergiang bait-bait ucapan khatib di telinga saya. Sampai begitu sekali?

"Ayuh kaum muslimin, kita sekarang telah dilalaikan oleh kaum yahudi dengan pelbagai ancaman...". Ayat-ayat seterusnya tajam dan mendatangkan kesan. Lebih berkesan daripada khutbah Jumaat yang saya dengar di Masjid Jalan Dairy Ipoh yang mempunyai sistem bunyi yang menarik untuk penidur-penidur Jumaat.

Mimbar Jumaat adalah warisan Rasul! Layakkah para khatib yang layu untuk mewarisinya? Bercakap tentang hal-hal yang jika didendangkan pada kuliah Maghrib pun orang boleh mengantuk.
Mengapa begitu? Sedangkan saya lihat dan kebiasaanya Mimbar Jumaat lebih tinggi dan cantik daripada pentas yang disediakan untuk kuliah Maghrib atau ceramah Isu semasa.
Mengapa begitu? Di manakah isu semasa yang tidak langsung diperkatakan di dalam Masjid ini? Adakah Islam tidak relevan lagi untuk bercakap hal-hal semasa.
Mengapa begitu? Adakah kerana khatib kita tiada suara? Tiada buah idea? Menulis isi khutbah di puncak pergunungan Himalaya?

Jawapannya hanyalah kerana suara ini disekat. Disekat oleh mereka-mereka. Menyekat suara ulama' yang mahu menasihati pemimpin. Menyekat pemikiran pemimpin yang mahu disalurkan kepada rakyat. Menyekat golongan-golongan berkepentigan daripada terasa. Tak mengapa, kita sediakan khutbah yang tidak menegur pemimpin malah memujinya. Sedarlah ianya hanya menghantar pemimpin itu ke neraka. Manakan tidak, lama- kelamaan mereka akan berfikir apa yang salah itu adalah betul . Merasakan diri baik.

Alhamdulillah sedikit sebanyak harapan saya ini kembali berbunga. Saya tidak berkesampatan lagi untuk solat Jumaat di Ipoh. Lama tak balik kampung. Tetapi dengan jaminan MB Perak yang baru. Saya sedar bahwa suara itu tidak akan tersekat di surau-surau hijau sahaja. Ianya akan didendangkan kepada semua. Kepada semua yang mula rindukan Khutbah sebenar seperti saya.

Continue Reading...

Read more...

Kemenangan itu bukan milik dia..

>> Sunday, March 16, 2008



Dia sering menggengam tangan dan mengatakan mahu menang. Apa jua yang menanti di hadapannya akan diharungi. Tidak kira onak ranjau. Badai setinggi tsunami. Atau sekecil semut api yang menggigit hujung jari. Di hatinya hanya satu. Kebenaran itu pasti menang akhirnya. Allah pasti menolongnya.

Impian ini pastinya mengundang sejuta keberanian di hati. Siapa mahu menentang? Dalam dirinya ada jiwa besar. Tetapi sedarkah dia, bahawa kekuatan itu lahir daripada asas kebenaran. Dirinya dekat dengan Tuhan. Solatnya seakan ber'dating' dengan Allah. Bacaan Al-Qurannya umpama berdialog dengan Allah. Tetapi apakah yang akan terjadi jika dirinya dibelenggu dengan kemaksiatan? Kesilapan musuh turut diulanginya? Ah, melihat wanita berdahi licin sudah tidak berkedip mata. Apatah lagi mahu melawan godaan musuh yang beribu malahan berjuta kali ganda. Ditegur sedikit sudah mula tarik muka. Bagaimana mahu jadi pemimpin yang dikritik beribu-ribu manusia?

Tidak pernahkan dia mendengar surat yang diutus umar Al-Khattab kepada panglimanya Saad bin Abi Waqqas?

Tegas Umar; “…..Sesungguhnya orang-orang Islam telah mendapat pertolongan dari Allah s.w.t. disebabkan oleh kemaksiatan yang telah dilakukan oleh pihak musuh. Jika bukan kerana hal itu, nescaya tidak ada kekuatan bagi orang Islam….”

Sekarang sedarkah dimanakah letak dirinya itu? Bukan pada laungan kebenarannya. Bukan pada kesolehan dirinya sendiri. Tetapi pada kemaksiatan dilakukan musuh. Jika dirinya juga melakukan kemaksiatan yang sama. Maka bersedialah! Allah SWT juga akan mencampakkan ketakutan ke dalam hatinya.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Ahzab ayat 26;


"Dan Dia menurunkan orang-orang Ahli Kitab (Bani Quraizhah) yang membantu golongan-golongan yang bersekutu dari benteng-benteng mereka, dan Dia memasukkan rasa takut ke dalam hati mereka. Sebahagian mereka kamu bunuh dan sebahagian yang lain kamu tawan."

Lalu bergetarlah hatinya. Was-was menyerang dan mendesak dengan bertubi-tubi. Apakah dia mampu menang dalam perjuangan ini? Kepada siapakah mahu disandarkan pertolongan lagi? Kepada Allah SWT yang sering dia tidak malu untuk lakukan maksiat?

Kemenangan itu bukan kejayaan mutlak. Ianya hanya pinjaman. Terkadang sebagai istidraaj, terkadang sebagai nikmat. Yang pastinya ia bukan penentu kepada kehidupan di padang Mahsyar kelak.



Continue Reading...

Read more...

Inilah MB yang kucari-cari...

>> Thursday, March 13, 2008


Alhamdulillah segala puji dan syukur hanya untuk Allah SWT. Dibawah kebesaran dan rahmatnya, dapat kita sama-sama meneruskan kehidupan di alam fana ini dengan panduan Islam sebagai rahmatan fil Alamin.

Saya tertarik dengan isu perlantikan Menteri Besar Perak yang baru. Sekali lagi saya tegaskan di sini. Saya bukanlah mewakili mana-mana parti. Tetapi bercakap di atas sifat neutral sebagai seorang yang hanya memerhatikan politik dari jauh.

Ir Mohammad Nizar Jamaluddin!
Dengar namanya sudah dapat mengagak yang beliau semestinya berlatar belakangkan pendidikan yang baik.
Saya amat berharap yang beliau akan dapat meneraju kerajaan negeri Perak Darul Ridzuan dengan baik, adil dan saksama.

Saya juga berbangga kerana beliau pernah bersekolah di Sekolah Menengah Teknik Persiaran Brash, Ipoh. Di mana sekolah ini juga merupakan bekas sekolah saya.

Saya berharap selepas ini kebangkitan Islam di Ipoh khasnya dan Perak amnya akan lebih lancar dan maju. Pendekatan dakwah lebih terancang dan terurus. Dan khutbah Jumaat di setiap ceruk masjid adalah berisi, tegas dan menyampaikan kesan yang mendalam buat ahli-ahli Jumaat. Di dalamnya terkandung kritikan membina kepada pemerintahan, baik kepada kerajaan Negeri ataupun kerajaan pusat.

Saya juga berharap akan ada perkhidmatan bas di kawasan rumah Ibu Bapa saya di Chepor, Chemor. Kawasan yang masih lagi dipegang oleh pembangkang negeri ini sudah berapa lama tidak ada perkhidmatan bas. Padahal sudah banyak projek perumahan dikawasan ini tumbuh.

------------------------------------------------------------------------------------------------

Pengalaman luas aset utama Nizar terajui Kerajaan Negeri Perak
Johari Jaafar
Thu | Mar 13, 08 | 12:46:32 pm MYT

Mengenali Menteri Besar Perak yang baru, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, beliau dilahirkan pada 17 Mac 1957 di Kampung Air Hitam Labu, Kampar Perak. Beliau telah mendapat pendidikan awal di Kampar, kemudiaannya meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Anglo Chinese, Kampar.

Selepas itu menyambung pelajaranya di Sekolah Menengah Teknik, Persiaran Brash, Ipoh. Pada tahun 1972 beliau mengambil Advance Level (A Level) di Norwich City College Of Arts & Technology Norwich, Norfolk, England.

ImageBeliau merupakan lulusan Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Mekanikal dari University Of Aston di Brimingham, United Kingdom. Sekembalinya ke tanahair, beliau bekerja di beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Kerja Raya bahagian bengkel dan kuari, Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA - Daya Urus), Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

Beliau berpengalaman luas dalam menjalankan beberapa projek besar negara. Antaranya Projek Dayabumi fasa 2 & 3 pada tahun 1983, projek Pusat Islam (BAHES, Jabatan Perdana Menteri (1984), projek Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu (1985), pengurusan bangunan-bangunan kerajaan dan swasta termasuk KOMTAR, Bangunan Persekutuan Gunasama, pusat membeli belah dan pengurusan semua lif di hospital Kerajaan Negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis sehingga kini.

Sebelum dilantik menjadi Menteri Besar beliau merupakan Pengarah Urusan di beberapa firma swasta. Di luar negara pula beliau banyak menjalankan beberapa projek di beberapa buah negara, antara di Birmingham, United Kingdom, Zug Switzerland, Miano Italy, Bangkok Thailand, Sdyney dan Goldcoast Australia, Doha Qatar dan Tehran, Iran.

Dalam bidang politik pula, beliau berkecimpung dengan PAS dengan memegang Ahli Jawatankuasa PAS kawasan Kampar (1999 - 2001). Beliau menjawat jawatan Yang Dipertua PAS kawasn Kampar (2001 hingga kini). Di peringkat PAS Negeri Perak, beliau memegang jawatan Bendahari PAS Negeri (2001- 2006), Setiausaha PAS Negeri (sebelum menjadi Menteri Besar Perak).

Walaupun beliau seorang yang berpendidikan tinggi tetapi beliau amat aktif dengan kegiatan masyarakat. Antaranya kuliah dan majlis ilmu di masjid-masjid dan surau-surau, ceramah motivasi pelajar dan institusi pengajian tinggi, menyampaikan khubah jumaat, bantuan kepada fakir miskin, mewakili PAS dalam program program kaum bukan Islam serta terlibat secara langsung dengan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Beliau mempunyai lapan orang cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama isterinya, Fatimah Taat. Anaknya pertama merupakan lulusan BA Syariah Universiti Mut'ah, Jordan. Anak kedua pula lulusan hafiz al-Quran di Universiti Mut'ah Jordan. Anak yang ketiga juga lulusan hafiz al-Quran dari Universisiti Damsyik, Syria dan Universiti Lebanon. Manakala anak yang ke empat hingga ke lapan sedang belajar di beberapa pelbagai institusi pendidikan dalam negeri.

Menurut Setiausaha Kerja PAS Perak, Khalilul Abdul Rahman, Nizar merupakan seorang yang pemurah dan mudah bergaul dengan masyarakat dan mengambil berat masalah kakitangan di bawahnya. "Jika ada kakitangannya yang menghadapi masalah, beliau akan cepat menyekesaikan masalah temasuk masalah kewangan," jelas Khalilul. "Sebagai ketua pejabat, beliau seorang yang peramah dengan orang ramai termasuk orang bawahannya dan beliau bersedia mendengar pandangan orang lain," ujar beliau.

Memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat menjadi agenda perjuangannya, kerana itu beliau bergiat cergas di dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO). Umpamanya Gabongan Pengguna Air Perak (GPAP).

Keistimewaan beliau, walaupun lulusan dari luar negeri beliau mampu mengajar (buka kitab) di masjid-masjid dan suara-surau.malah beliau sendiri mampu mengelenggarakan ibadah kurban termasuk penyembelihan bintang kurban.

Di samping itu Haji Nizar juga selain boleh berbahasa Inggeris, ia juga boleh berbahasa Cina dan Tamil. Inilah Menteri Besar yang dikehendaki oleh rakyat, mampu mentadbir, berwibawa dan mempunyai pengetahuan agama dan boleh membaca khutbah jumaat. Perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang memilih Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak memang tepat, oleh itu semua pihak perlu akur dengan keputusan yang dibuat oleh Sultan Perak. - mr


Continue Reading...

Read more...

Negara itu bukan Islam sepenuhnya....

>> Tuesday, March 11, 2008

Apabila saya membuka media massa dalam sehari dua ini malah seminggu sebelum pilihanraya terdapat seperti provokasi tentang negara Islam kepada umum. Bunyi penegasan ' Negara Islam' yang dijunjung pembangkang khususnya PAS, seolah-olah istilah yang menggerunkan.

Sungguh ini adalah kesengajaan untuk memburuk-burukkan istilah ini. Sedarkah pihak ini yang mereka secara tidak langsung telah memburuk-burukkan imej Islam itu sendiri. Orang ramai menjadi takut apabila dikatakan negara Islam. Difikiran mereka terbayang-bayang ramainya rakyat yang kudung tangannya. Pupus akibat direjam dan berbagai-bagai lagi keganasan kpada rakyat. Juga terbayang bahawa semua perempuan tidak kira islam atau tidak wajib bertudung. Negara menjadi lembap ekonomi. Sana-sini orang berpakaian selekeh.
Allahuakhbar!!! Sesungguhnya pihak yang memburuk-burukkan istilah ini telah menanggung dosa yang besar.

Tidak terbayangkah mereka bahawa negara Islam itu adalah negara yang di dalamnya terdapat keadilan dan kesaksamaan. Semua orang dilayan dengan adil walaupun seorang non-muslim itu dizalimi oleh seorang Islam. Syak wasangka sesama kaum dilupuskan. Sesama agama dihormati. Malah orang Islam itu dilarang menghina dan menghancurkan rumah ibadat orang bukan Islam. Malah dilarang menghina tuhan-tuhan mereka.


Bukankah Allah telah berfirman dalam surah;



"Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan." Al An'aam,108.

Juga berbaik-baik dengan ketua agama mereka;

"Dan janganlah kamu berdebat dengan ahli-ahli kitab,melainkan dengan cara yang paling baik,kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka,dan katakanlah:"kami telah beriman kepada( kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepada kamu;Tuhan kami dan Tuhan kamu adalah satu;dan hanya kepadaNya kami berserah diri" Al-ankabut, 46.

Lihat pada konsep toleransi beragama yang Allah SWT tunjukkan. Padahal telah nyata tiada tuhan lain selain Allah SWT.

Allah berfirman: "Janganlah kamu menyembah dua tuhan; sesungguhnya Dialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kepada-Ku saja kamu takut." 16. An Nahl ,51.

Bukankah Islam itu indah?

Saya suka membetulkan konsep negara Islam ini kepada orang ramai. Perlukah negara Islam itu tertegak? Ya, perlu! Antara perkara yang perlu ditekankan dalam negara Islam adalah ekonomi Islam! Ekonomi adalah penting dalam perjalanan sesebuah urusan negara. Daripada ekonomi pemimpin, turun kepada rakyat kesemuanya perlu dipastikan halal dan jauh daripada amalan riba.
Mengapa ini perlu?
Ianya untuk mengelak bala Allah SWT. Besar sungguh dosa riba di sisi Allah SWT:

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman.
Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya." Al-Baqarah 278-279

Allah SWT mengisytiharkan perang untuk pengamal riba! Bukan main-main!

Jika dikatakan tentang hudud. Mengapa perlu gerun dengan undang-undang hudud? Kaji dan bacalah dahulu tentang pelaksanaan hukum ini. Undang-undang Islam itu bukan menghukum. Tetapi mencegah! Sebelum orang itu mencuri. Undang-undang Islam itu mencegahnya mencuri. Sebelum orang itu berzina. Undang-undang Islam mencegahnya daripada berzina. Tambahan pula jalan untuk memutuskan hukuman kepda seseorang adalah sukar dan boleh jadi adalah keputusan yang terakhir. Seseorang hakim yang dilantik berdasarkan kriteria Islam itu jika boleh mahu melepaskan orang yang bersalah daripada menghukum orang yang tak bersalah. Jika hendak menghukum orang berzina, orang yang menuduh orang lain berzina itu dahulu diselidiki. Di datangkan 4 orang saksi yang adil. Jika tidak si penuduh itu di sebat. Bukankah dengan ini peluang untuk si penzina melepaskan diri itu terbuka luas. Tetapi selepas itu lihatlah kesan kepada dirinya sendiri. InsyaAllah berubah. Jangan kaitkan hukuman zina ini dengan rogol! Zina tak sama dengan rogol!

Jika diselidiki kembali. Negara Islam dan apa-apa yang terkandung di dalamnya adalah untuk mendidik masyarakat supaya menjadi baik dan lebih baik. Dengan didikan ini, maka terhindarlah masalah rasuah, ponteng kerja, bermalas-malasan, isteri teraniaya,remaja yang liar, makanan yang bersih dan pelbagai campur aduk masalah masyarakat.

Dan yang paling penting untuk membuktikan kepada rakyat dan dunia amnya bahwa Islam is the best way of life.!
Continue Reading...

Read more...

Berprinsip dalam memilih

>> Friday, March 7, 2008


Jika bercakap banyak perkara tentang prinsip saya suka memperkatakannya di musim pilihanraya ini.
Saya tidak mewakili mana-mana parti dan saya tidak bercakap atas nama mana-mana parti.
Tetapi yang jelas saya cuba bercakap di atas nama prinsip!

Prinsip! Di atas nama prinsiplah seseorang itu dipandang mulia. Orang yang tidak berprinsip malah sering berbolak-balik pula pendiriannya. Tidak harus dijadikan sahabat. Mana mungkin dijadikan sahabat, sedang dia sendiri tidak tahu meletakkan dirinya di mana. Dan boleh sahaja dia mengkhianati dirimu pada saat bila-bila dan di mana-mana sahaja.

Apabila menjelang pilihanraya umum ini banyak masalah timbul di sekeliling. Ada yang mengadu pada saya yang dia sampai takut untuk mengundi. Bunyi ancaman, penipuan menjadi halnya. WallahuTaala'alam..Saya tidak tahu sampai mana kebenarannya.
Saya juga pergi mengundi. Pilihanraya secara undi pos di Kem Sg. Besi ini dijalankan lebih awal. Bertarikh 5 & 6 Mac 2008.

Pada hari berkenaan saya melakukan solat Istikharah. Memohon kepada Allah supaya membuka hijab kebenaran di pandangan mata saya. Pilihanraya ini penting. Ia juga menjadi sebahagian tanggungjawab sosial saya kepada Islam. Sesetengah orang tidak memandang kisah akan apa yang akan diundinya. Malah dengan rasa tidak bersalah hanya mengatakan. " Alaa.. kalau aku seorang tak undi pun bukan ada 'effect' apa-apa."
Dia tidak sedar bahawa hidupnya sebahagian daripada masyarakat. Bak kata Ustaz Hasrizal datangnya kedunia bersambut dan perginya dari dunia diiring. Bagaimana dia boleh bersifat ke'AKU'an begitu?
Tangan yang memangkah itu turut sama memangkah perkataan 'TIDAK!' pada peta kerajaan Malaysia.

Memangkah 'TIDAK' untuk korupsi!

Memangkah 'TIDAK' untuk maksiat!

Memangkah 'TIDAK' untuk riba!

Memangkah 'TIDAK' untuk generasi mendatang menjadi bohjan dan bohsia!

Memangkah 'TIDAK' untuk azab dan kemurkaan Allah Azzawajalla!

Dan sesudah tentunya kita memilih mana-mana manifesto parti yang melaungkan ini! Manifesto yang ada janji-janji Islam di dalamnya. Kita ini bangsa yang dimuliakan kerana Islam, tanpa Islam kita adalah bangsa yang hina.

Amirul Mukminin Umar radiallahuanhu pernah berkata;"Kita dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Maka jika kita mencari kemuliaan dengan selain Islam, kita akan dihina oleh Allah."
Untuk mencari kemuliaan ini kita perlu berprinsip. Ianya tidak mudah! Dan selalu orang yang dipandang tinggi bukan sebab ianya mulia selalu merasa terancam dengan kemulian yang diberikan Allah Azzawajalla kepada seseorang. Lantas kezaliman pun berlaku. Ditindas, difitnah dan diperkotak-katikkan. Lalu apakah yang dapat mempertahankannya?

Prinsip..Prinsip..Prinsip Syeikh!

Inilah yang dipegang oleh Tabie-Tabein, Imam-imam, Ulama'-ulama', Muslimin dan Muslimat yang telah dibukakan hijab kebenaran di matanya. Lalu ia tidak lekas mahu menyimpannya, malah berupaya menarik orang ramai kelandasan yang betul kembali. Namun ini bukan mudah!
Mereka difitnah, disiksa dan dibunuh. Namun ini tidaklah mematahkan semangat juang mereka. Malah ketika kepala mereka disebat sampai mengalir darah di celah-celah serban mereka, lalu mereka pun berkata; " Baru sekarang kami dapat merasa kemanisan perjuangan ini!"

Inilah bukti manisnya membawa kebenaran dan manisnya menyambut kebenaran. Dan ini hanya dapat dirasai oleh orang yang bercita-cita mahu meneguk kemanisan telaga di dalam syurga...

Allahuakbar!!!(Kalimah ini tidak melambangkan mana-mana parti, tetapi untuk semua parti yang merasa parti mereka membawa Islam di dalamnya)
Continue Reading...

Read more...

Mengapa bertangguh? Dunia ini tidak lama.

>> Wednesday, March 5, 2008




Jiwa yang segar! Otak yang sihat! Tubuh yang kuat!
Itulah yang patut ada pada seorang Islam.

Jiwa yang segar menghadirkan kekhusuyukan dalam solat.
Lidah yang petah berkata-kata serta mengungkap bait-bait hikmah di sisipan bibirnya lahir dari Jiwa yang segar.
Jiwa yang segar juga memungkinkan seseorang murah dengan senyuman bila bersua.
Tetapi kedekut dengan tertawa kerana mengingat akan hadirnya kematian pada saat bila-bila.

Otak yang sihat menjamin pemikiran yang idealistik dan bukan sampah.
Ditetapkan halatuju arah panduan hidup dengan yakin dan tawakkal.
Mengarahkan tubuh bekerja keras dan tidak bertangguh-tangguh.
Solatnya dijaga siang dan malam tanpa kenal letih malah menjadi asyik pula.
Dia sedar dunia bukan miliknya dan bukan tempatnya dia mahu bersenang-lenang.

Tidakkah dia pernah mendengar hadis Rasulullah SAW yang berbunyi;

Abdullah ibnu Umar menceritakan; 'Suatu hari Rasulullah SAW menepuk bahuku seraya berkata;

" Jadilah di dunia ini ibarat orang asing atau pengembara." Ibnu Umar melanjutkan, " Apabila datang petang jangan engkau menunggu pagi. Apabila datang pagi jangan engkau menunggu petang. Gunakanlah masa sihatmu sebagai bekal masa sakitmu. Dan gunakanlah masa hidupmu sebagai bekal kematianmu." (1)

Lalu, mampukah dia bertangguh-tangguh? Tidak pula ia mengsalahertikan zuhud.
Mengapa jua mahu melalaikan keutamaan solat?
Tidakkah dia terkesan dengan kata-kata Imam Shafie?
Dimana Imam besar ini pernah mengungkap;

" Dikala waktu lapang, dapatkan keutamaan ruku'(solat) untuk dirimu kerana boleh jadi kematian secara tiba-tiba mendatangimu. Berapa banyak orang yang sihat kemudian mati tanpa sakit terlebih dahulu. Jiwanya yang sihat tiba-tiba pergi berlalu." (2)

Bangunlah wahai pemuda ruh Islam...Bukan-bukan..Bukan tempatmu diatas katil melingkar. Bukan jua menghadap komputer menekan pepunat game ciptaan si Kafir. Kamu ada misi, misi yang jika kamu tidak melaksanakan amanah ini. Maka Allah akan gantikanmu dengan kaum yang lebih menunaikan amanah.

-----------------------------------------------------------------------
Nota kaki:

1) Diriwayatkan oleh Bukhari dalam kitab Ar-Riqaaq, bab: Sabda Nabi: "Jadilah engkau bagai orang asing." dengan nombor 6416.
2) Hadyus Saari Mukaddimah Shahih Al-Bukhari oleh Ibnu Hajar, hal 481.
Continue Reading...

Read more...

Kursus Solat dan Muhasabah diri di UIAM

>> Monday, March 3, 2008

Pepatah Arab ada menyebut;
"Kebiasaannya manusia akan memusuhi perkara yang tak diketahuinya."

Jadi mengapa?
Menagapa masih bermusuh dengan orang yang lain daripada kita?
Adakah terasa diri ini baik dan betul?

Justeru hadirlah ke program-program sebegini...
Kursus solat dan muhasabah diri 2 Mac 2008 di UIAM...
Alhamdulillah..setiap hujung minggu dapat saya isi dengan program tarbiyyah, sama ada kopiah di atas kepala atau jungle hat di atas kepala(latihan ketenteraan la..)
Gembira dapat jumpa Al-Fadhil Ustaz Zaharuddin..



Bergambar dengan The Blogger Akh Fadzil (cermin mata+kopiah)

Ahmad Bema(sahabat Abu Hasif) dan disebelah kirinya Ustaz Zaharuddin

Ilmu yang bermanfaat dikongsi bersama

Ustaz Zaharuddin sewaktu sesi kursus berlangsung

Sebahagian daripada peserta yang hadir
Afham & msrizal
Continue Reading...

Read more...

Apa?Tag..Tag...Tag..!


Akh Syawal telah meminta saya untuk menyiapkan Tag...
Saya cubalah..

1. Saya adalah orang yang pure banjar.. Ayah saya orang Banjar dan Mak saya juga orang Banjar..Tapi jangan minta saya cakap banjar..sikit-sikit boleh.

2. Semasa kecil saya pernah mencipta pistol ikan sendiri hanya dengan gambaran dan mencuba berulang-ulang kali dan akhirnya berjaya menciptanya.

3. Saya pernah bersembang dengan seorang Nepal yang langsung tak tahu cakap bahasa lain selain bahasa dia, lalu saya menggunakan bahasa Isyarat dan bahasa Hindustan sikit-sikit..Itupun boleh faham..

4. Perkara yang saya benci masa sekolah dulu adalah kawad kaki Kadet Remaja Sekolah..At last saya boleh masuk UPNM pulak.

5. Kalau tiada apa-apa nak buat hujung minggu, saya akan keluar ke Masjid Jamek untuk sembang-sembang berkisarkan Allah SWT dengan siak masjid tu.

6. Saya selalu rindukan masakan Emak, walaupun ianya hanya sekadar telur goreng sahaja.

7. Adik bongsu (darjah 3) saya suka ikut cara saya, pernah sekali saya letak bedak sejuk di tengkuk disebabkan ruam. Dia pun tiru sama padahal tak kena ruam pun.

8. Pernah satu ceramah saya tiba-tiba tertawa sebab salah faham dengan apa yang dimaksudkan penceramah. Padahal orang lain tak gelak pun. Malunya.....

Saya nak tamatkan Tag ni..maka takde pautan yang saya nak cadangkan..

Continue Reading...

Read more...

saya pun mahu terbang

>> Saturday, March 1, 2008

Saya agak hairan apabila ada segelintir golongan agama yang mengkritik pengusaha blog menulis bab agama.
Adakah disebabkan kami ini bukan berlatarbelakang pendidikan agama kami tak layak menyentuh bab agama.
Kami pun tahu batasannya dan tak akan lebih daripada batasan itu dan tak akan cuba-cuba bercakap benda yang tak tahu.

Kami juga mahu turun di medan dakwah ini. Melalui apa sahaja medium dan cara setakat terdaya.
Amat tidak adillah jika kami dibenarkan bercakap tentang bidang kami sahaja.

Contohnya saya yang mengambil bidang kejuruteraan Elektrik & Elektronik.
Nak mengantuk pembaca saya , jika saya menerangkan tentang apa itu Matlab? Apa itu MikroP? MikroE? Control?etc....
Atau menerangkan tentang tentera..Apa itu tentera? Apa itu Bofors? Styer AUG etc...
Bukan..bukan itu tujuan saya menulis blog...

Hakikatnya saya sedar bukan semua orang saya boleh beri kepuasan...

Continue Reading...

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP